PENGGUNAAN BAHASA TIDAK SANTUN DALAM BIDANG POLITIK. BAGAIMANA KITA MENGATSINYA?
http://cdn.mobicow.com/feed/link/pub/18223/sub/15589
PENGENALAN
Kata santun diberi makna dalam Kamus
Dewan sebagai ‘halus (budi bahasa atau budi pekerti), beradab, sopan’.
Oleh itu, kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau
budi pekerti dan kesopanan. Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk
kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia
dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.
Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun.
Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah wujud sejak sekurang-kurangnya dua alaf
atau dua ribu tahun lalu telah mempunyai tradisi perbahasaan yang halus dan
memancarkan adab bangsa Melayu. Asasnya menjadi lebih teguh dan jelas apabila
agama Islam disebarkan di Kepuluan Melayu dan menjadi mercu tanda kebangkitan
tamadun baharu yang bersendikan tauhid dan syariat sempurna Din al-Islam.
Akhlak Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.a sebagai
akhlak al-Qur’an menjadi asas akhlak dan kesantunan umat Melayu Islam, termasuk
dalam aspek kesantunan bahasa. [1]
Asmah
(2002) mendefinisikan santun bahasa sebagai penggunaan bahasa berpandukan
peraturan tertentu, yang pada amnya ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa;
iaitu peraturan lingustik, peraturan sosiolingustik dan peraturan pragmatik.
Kepatuhan pada peraturan itu menunjukkan bahawa penggunaan bahasa bercirikan
santun bahasa. Peraturan lingustik adalah peraturan yang memastikan keteraturan
sebutan dan nahu dalam penggunaan bahasa. Peraturan sosiolingustik pula adalah
peraturan yang mengawal ketertiban social individu yang berinteraksi antara
satu sama lain, sama ada secara bersemuka seperti dalam perbualan atau dialog,
mahupun interaksi secara tidak setara, iaitu komunikasi antara penulis dengan
pembaca.[2]. Aspek pragmatik pula memberi tumpuan tujuan penggunaan bahasa
iaitu kesan yang ingin disampaikan dan tindakan lanjutan daripada kesan
tersebut (Salinah, 2005).[3]
Nik Safiah (1981) menjelaskan
kesantunan dapat dilihat apabila seseorang itu berkomunikasi dengan orang lain
dengan melihat bahasa yang digunakan, iaitu sama ada bahasa berbentuk kasar
atau bahasa berbentuk halus. Penggunaan kata gantinya pula ada yang berbentuk
kasar dan halus juga. Bahasa berbentuk halus ialah bahasa yang sopan dan
mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Kata ganti pula digunakan mengikut
taraf seseorang penutur dengan penutur yang lain. [4] Tegasnya dalam masyarakat
Melayu, konsep santun atau kesopanan bermaksud sopan, iaitu tingkah laku, tutur
kata, adat sopan santun, tatasusila, tingkah laku (tutur kata) yang baik dan
keadaban (Kamus Dewan, 1991). [5] Menjadi satu nilai kesantunan yang amat tidak
santun apabila pemimpin bercakap secara tidak bersopan dengan pemimpin yang
lain semasa menjalankan perbincangan di Dewan Parlimen. Sebagai contohnya,
apabila pemimpin berbincang isu politik antara satu sama lain di Dewan
Parlimen, pemimpin tersebut seharusnya menggunakan kata sapaan yang sopan serta
tidak menggunakan kata-kata kasar seperti Eh, Kau dan lain-lain lagi. Sebagai
contoh Gobind digantung tanpa gaji selama 12 bulan
pada 16 Mac, 2009 kerana menghina Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan
menggelar Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri,
seorang pembunuh.[6]
Kesantunan bahasa juga meliputi lingkungan yang luas, iaitu mencakupi
bahasa bukan verbal, seperti bahasa muka, bahasa badan dan lain-lain. Dengan
perkataan lain, kesantunan bahasa secara umum merujuk penggunaan bahasa yang
baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan
kepada pihak yang menjadi teman bicaranya (Awang Sariyan, 2007). [7]
ISI
Sering kali, kita dapat menyaksikan
keriuhan berlaku di parlimen akibat penggunaan bahasa yang mengetepikan nilai
kesantunan berbahasa ini. Dalam komunikasi, baik dalam bentuk lisan mahupun
tulisan, kita bukan sahaja dituntut menggunakan bahasa yang baik, tetapi juga
mengikut norma-norma budaya. Masalah bahasa dalam komunikasi politik yang turut
melibatkan ahli politik ini sebenarnya bukan sahaja menyangkut kepandaian
bercakap yang harus menaati kaedah atau aturan bahasa yang ditetapkan, tetapi
juga berkaitan dengan keperluan mematuhi etika berbahasa yang santun dan
bertanggungjawab. Pengetahuan tentang norma-norma budaya dalam masyarakat
penting kerana penggunaan bahasa yang mematuhi norma-norma budaya akan
menghasilkan bahasa yang santun. Komunikasi politik golongan tertentu
akhir-akhir ini, bukan sahaja tidak mengendahkan norma atau aturan berbahasa,
tetapi juga mengabaikan nilai-nilai luhur budaya bangsa.
Kita sering kali dapat memerhatikan
penggunaan kata-kata yang kasar dan kesat, serta bahasa yang tidak terkawal
yang dapat menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan pertengkaran atau
pergaduhan. Kata-kata yang menghina, mengata, memaki-hamun, atau
menyumpah-seranah semakin banyak ditemukan baik dalam bentuk lisan mahupun
tulisan. Malah, penggunaan kata-kata makian seolah-olah sudah menjadi suatu
kebiasaan. Komunikasi politik golongan tertentu yang sarat dengan kata
yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan ini jelas memperlihatkan betapa
kurang bertanggungjawabnya mereka terhadap bahasa dan penggunaannya.
Komunikasi politik itu tampaknya
telah ‘menghalalkan’ segala bentuk bahasa. Dalam setiap kali pilihan raya,
misalnya, kita dapat melihat bertebaran kata ‘mengancam’, ‘mengugut’,
‘mengata’, ‘menfitnah’, ‘memaki’, dan ‘menghamun’ yang mendorong perpecahan
bangsa. Bahasa digunakan sebagai alat untuk menyemai kebencian dan
memecah-belahkan masyarakat. Keadaan sedemikian pasti membimbangkan kita.
Komunikasi politik seharusnya ikut mengembangkan bahasa Melayu, bukan
sebaliknya memusnahkan fungsi bahasa Melayu sebagai sarana untuk mewujudkan dan
mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban.
Faktor-faktor
Yang Menyebabkan Berlakunya Bahasa Tidak Sopan
Faktor bermaksud
unsur atau penyebab yang menyumbang kepada sesuatu hasil. (Kamus
Dewan,2002:348).[8] Oleh itu tercetusnya
fenomena bahasa tidak sopan di kalangan masyarakat Malaysia pada masa kini
disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor ini juga boleh dibahagikan
kepada faktor dalaman dan faktor luaran.
Faktor dalaman
adalah merupakan yang faktor terbit daripada individu itu sendiri iaitu seperti
pengaruh dan didikan keluarga serta emosi dan sikap. Kebanyakan
ibubapa masa kini bekerja sepenuh masa. Lantaran kesibukan dan kesuntukan masa,
maka hak penjagaan dan didikan anak-anak kurang dititikberatkan sebaliknya ada
yang menyerahkan sepenuh tanggungjawab ini kepada penjaga anak-anak mereka
seperti pembantu rumah atau pengasuh. Lebih menyedihkan kerana terlalu mengejar
kebendaan dan mementingkan kerjaya ada pihak yang sanggup meninggalkan
anak-anak mereka kepada ibu bapa yang telah tua di kampung. Sikap sambil lewa
dan tidak mengambil berat inilah yang menjadi punca kewujudan sifat-sifat
negatif dalam diri anak-anak. Anak-anak umpama kain putih yang suci
dan bersih. Ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan kain itu agar menjadi
corak yang cantik dan sempurna. Begitulah juga dengan jiwa anak-anak yang
lembut dan halus. Mereka mudah untuk dibentuk dan tersentuh. Sikap
tidak peduli dan tidak bertanggungjawab ibu bapa ini akan menyebabkan sesebuah
keluarga itu kurang kemesraan dan kasih sayang.
Faktor
seterusnya ialah sikap dan emosi penutur itu sendiri turut menjadi punca kepada
fenomena bahasa kurang sopan ini. Contohnya sikap suka
menunjuk-nunjuk akan kehebatan diri dan ego akan menimbulkan rasa
sombong dan angkuh dalam diri individu. Apabila ini berlaku,
individu tersebut lebih cenderung untuk menggunakan kata-kata yang kasar dan
kesat apabila berinteraksi dengan orang lain. Sikap hormat - menghormati
dan beradab sopan dengan orang lain akan turut terhakis dari dalam diri
individu tersebut. Seseorang yang mempunyai emosi yang tidak stabil,
jiwa yang resah, kusut dan tidak terkawal juga akan cenderung mengeluarkan
kata-kata yang tidak sopan terhadap orang lain. Ini mungkin
disebabkan oleh perasaan rendah diri atau marah akibat dihina atau dimarah.
Justeru itu, mereka cuba untuk melepaskan perasaan marah dan tidak puas hati
yang terpendam dengan melafazkan kata-kata kasar, kesat dan sebagainya tanpa
memikirkan kesan daripada kata-kata tersebut boleh menyinggung perasaan orang
lain.
Faktor luaran
yang mempengaruhi penggunaan bahasa tidak sopan ini ialah seperti pengaruh
rakan sebaya, persekitaran, media massa dan politik negara. Rakan sebaya
merupakan orang yang paling hampir dengan kita selain ibu bapa dan kaum
keluarga. Remaja yang terdedah dengan kehidupan yang terlampau bebas
akan menjadikan rakan sebaya mereka sebagai individu yang penting dalam hidup
mereka. Pergaulan yang bebas dengan rakan sebaya yang bermasalah
akan menyebabkan mereka akan turut terpengaruh dengan gejala yang kurang
baik. Kebiasaannya golongan ini akan menggunakan kata-kata yang kasar dan
kesat apabila berkomunikasi sesama mereka. Lebih membimbangkan
apabila ada di kalangan remaja tidak segan silu menggunakan bahasa - bahasa
lucah apabila bercakap. Sekiranya tingkah laku ini tidak dibendung
pastinya akan menjadi teladan dan ikutan golongan anak-anak kecil ataupun
adik-beradik mereka pula.
Persekitaran
bermaksud apa yang ada di sekeliling kita. Pengaruh persekitaran
biasanya disumbangkan oleh masyarakat dan kehidupan sosial yang berlaku dalam
sesuatu komuniti itu. Komuniti bermaksud kumpulan orang atau masyarakat yang
tinggal di suatu daerah atau negara dan mempunyai sifat-sifat atau
kecenderungan dan kepentingan yang sama. Masyarakat kita terdiri
daripada berbilang bangsa dan agama. Begitu juga
dengan bahasa Melayu yang terdiri daripada pelbagai variasi bahasa.
Variasi bermaksud kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal
bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dialek merupakan satu contoh
variasi bahasa. Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan mengikut
sesuatu daerah atau kelas sosial. (Abdullah Yusuf. 2010). [9] Seseorang penutur
bahasa akan menggunakan dialek mengikut daerah asal atau tempat tinggalnya
untuk berkomunikasi. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan berlaku apabila
penutur dialek dari daerah yang berlainan saling berkomunikasi menggunakan
dialek daerah sendiri. Akibatnya wujud ketidakfahaman dan salah
faham terhadap makna yang ingin disampaikan. Contohnya bagi dialek
Kedah penggunaan kata gantinama ‘aku’,’hang’,’hangpa’ menunjukkan panggilan
yang mesra dan hubungan yang rapat. Akan tetapi bagi penutur dialek
dari negeri seperti Selangor dan Johor menganggapnya sebagai satu perkataan
atau panggilan yang agak kasar dan kurang sopan. Begitu juga
ungkapan perkataan ‘celaka’ yang dianggap kesat dan keterlaluan bagi penutur
negeri lain, tetapi dianggap sebagai satu ungkapan yang biasa di kalangan
masyarakat negeri Melaka.
Selain itu, media massa juga
merupakan penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial
anak-anak muda masa kini. Jenis-jenis media ialah seperti saluran
televisyen, internet, radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan
sebagainya. Malaysia kini telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang
dibekalkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula
berlumba-lumba menyiarkan berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik
perhatian para penonton. Persaingan ini lebih mengutamakan
keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Penggunaan
bahasa tidak sopan juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak
stesen televisyen. Contohnya seperti rancangan “Lu Pikir La Sendiri’
yang dikelolakan oleh pelawak muda tanah air iaitu Nabil mempunyai pengaruh
bahasa tidak sopan yang amat ketara. Tajuk rancangan itu sendiri
telah menunjukkan penggunaan bahasa yang tidak sopan. Lebih
menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama
golongan anak-anak sekolah.
Cadangan
Langkah Mengatasi
Pepatah melayu ada menyatakan bahawa
“melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Ini bermakna mendidik
anak-anak perlulah dari kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain
putih, ibu bapalah yang berperanan untuk mewarnainya. Ibu bapa
merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Bagi menangani
fenomema masalah penggunaan bahasa tidak sopan ini, ibu bapa perlu memainkan
peranan penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara
berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sopan dan teratur Ibu bapa perlu
bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak mereka. Mereka juga perlu
memantau aktiviti dan cara pergaulan anak-anak mereka.
Sekiranya terdapat ciri-ciri negatif dan penggunaan
bahasa yang kurang sopan di kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah berusaha
menegah agar hal itu tidak berterusan. Teguran dan nasihat hendaklah
sentiasa diberikan supaya anak-anak dapat membezakan tentang bahasa yang sopan
dengan bahasa yang tidak sopan . Ibu bapa juga perlu menggunakan
bahasa yang baik dan sopan apabila berkomunikasi dengan
anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak akan merasa lebih disayangi dan
dihargai. Ahli keluarga lain mesti mengamalkan pertuturan yang bersopan dan
berhemah antara satu sama lain. Ini merupakan contoh dan pengaruh
yang baik terhadap anak-anak. Apabila anak-anak sentiasa didedahkan
dengan penggunaan bahasa yang baik dan sopan, mereka tidak akan mudah
terpengaruh dengan penggunaan bahasa-bahasa yang kasar dan kurang sopan.
Peranan guru adalah untuk melahirkan insan yang
seimbang dari emosi, jasmani, fizikal dan rohani. Justeru dalam
usaha membendung gejala penggunaan bahasa tidak sopan ini, peranan guru khasnya
guru bahasa Melayu perlu memberi penekanan dalam aspek kemahiran lisan dalam
kemahiran berbahasa. Penekanan harus diberikan tentang aspek-aspek
pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan tersusun. Penerapan
nilai-nilai murni juga perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Pembentukan
moral dan sahsiah yang baik juga perlu ditekankan melalui pengajaran Pendidikan
Agama lslam dan Moral. Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang
berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia.
Media massa merupakan medium yang paling sesuai
untuk memain peranan dalam menangani fenomena bahasa tidaka sopan
ini. Ini adalah kerana media massa merupakan ejen penyampai yang
paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai. Antara
peranan yang boleh dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televisyen,
radio dan seumpamanya ialah dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang
menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan sopan. Media cetak juga perlu memainkan
peranan yang serupa dalam membenteras isu ini. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kamus Dewan, akhbar-akhbar dan majalah perlu lebih aktif mengeluarkan
bahan-bahan untuk panduan dan rujukan orangramai tentang
tatacara penggunaan bahasa yang sopan
Kerajaan merupakan jentera paling penting dalam
sesebuah negara. Dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan ini,
kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah
ini. Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan
kesedaran orangramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang baik
dan betul. Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi Kesenian dan
Kebudayaan telah pun melancarkan “Bulan Bahasa Kebangsaan” pada setiap tahun. Pihak
kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang
bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen
bagi memastikan rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati
syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-nilai budaya dan kesantunan
bahasa Melayu. Contoh yang sedia ada ialah FINAS (Lembaga Penapisan
Filem Negara) yang berperanan menapis filem-filem yang ingin ditayangkan di
negara ini agar menepati syarat wajib tayang yang telah ditetapkan. Pihak
kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengadakan satu akta
tentang penggunaan bahasa tidak sopan di khalayak umum. Melalui akta
tersebut, individu yang mengeluarkan atau mengucapkan kata-kata yang tidak
sopan di khalayak umum boleh di denda dan dikenakan hukuman. Ini
bertujuan untuk membenteras penggunaan bahasa tidak sopan yang
semakin berleluasa dan sukar di bendung. Dalam
dewan negara, terdapat seorang Yang Dipertua Dewan negara dan timbalannya.
Mereka dipilih daripada kalangan dewan juga untuk mempengerusikan mesyuarat
dewan setiap kali persidangan diadakan. Yang dipertua dewan negara juga
tertakluk kepada tugas-tugas tertentu antaranya ialah mempengerusikan dewan
negara, memastikan ahli-ahli dewan negara mematuhi tatatertib dewan negara,
menjadi jurucakap bagi dewan negara dan mengenakan tindakan disiplin dan
tatatertib terhadap ahli-ahli dewan yang tidak mengikuti tatatertib yang
dibuat.
RUMUSAN/KESIMPULAN
Bahasa merupakan satu alat untuk manusia
berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa bahasa, manusia adalah bisu dan
hanya boleh berinteraksi melalui bahasa isyarat atau bahasa
badan. Bahasa juga melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara.
Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita. Berbagai-bagai
usaha telah dijalankan bagi menjamin kedaulatan serta memartabatkan bahasa
Melayu di persada dunia. Namun begitu, kita juga tidak terlepas
daripada menghadapi rintangan dalam mengekalkan usaha-usaha
tersebut. Antara rintangan tersebut ialah penggunaan bahasa tidak sopan
yang semakin menular umpama satu wabak yang amat merbahaya. Fenomena
penggunaan bahasa tidak sopan merupakan satu gejala alaf baru yang bakal
menggugat kedaulatan bangsa dan menghakis nilai-nilai kasantunan bahasa Melayu
sekiranya tidak di bendung dengan sewajarnya.
Usaha pelbagai pihak
daripada semua peringkat masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan
dicapai. Kesedaran di kalangan masyarakat tertutama ahli parlimen
atau wakil rakyat tentang kepentingan bahasa yang sopan perlulah
dipertingkatkan kerana mereka adalah pemimpin dan menjadi contoh ikutan
masyarakat am. Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai dan betul
akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud
semasa kita berkomunikasi dengan orang lain. Memahami apa yang
disampaikan menjadikan individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan
gembira. Ini menandakan bahawa proses komunikasi itu
berjaya Kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada
rakyatnya yang memartabatkan kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam
budaya kehidupan yang dilalui.
Oleh itu, pelbagai usaha harus
dilakukan untuk meningkatkan kesedaran golongan ini tentang tanggungjawab
masing-masing terhadap bahasa dan berbahasa. Dengan kesedaran ini, mereka
diharapkan akan akan lebih bertanggung jawab dalam menggunakan bahasa, mengawal
diri agar tidak mudah meluncurkan kata-kata yang kesat, kasar, dan cabul.
Bahasa sebagai alat komunikasi harus dipastikan terus memegang peranan penting
sebagai saranan komunikasi yang dapat meningkatkan kefahaman dan rasa
kebersamaan.
RUJUKAN :
[1] Awang Sariyan, Ph.D Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka Malaysia [Kertas kerja untuk Ceramah Bahasa bersempena
dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Singapura 2012, anjuran Kelab Masyarakat Fuchun,
dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Singapura, pada 14 Julai 2012]
[2] Asmah Hj. Omar. 2002. Setia dan
Santun Bahasa. Tanjung Malim: Penerbitan Universiti
Perguruan Sultan Idris.
[3] Salinah Ja’afar.
(2005). “Kesantunan Bahasa: Pertembungan antara Budaya Melayubukan Melayu dan
Islam-Bukan Islam” dlm. Jurnal Peradaban 3. 2005.
[4]
Nik Safiah Karim. (1981). Beberapa Persoalan Sosiolingustik Melayu. Kuala
Lumpur.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
[5]
(Kamus Dewan, 1991).
[7]
Awang Sariyan, 2007. Santun
Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
[8] (Kamus Dewan,2002:348)
[9]
Abdullah Yusuf. 2010. HBML3403.
Linguistik dan Sosiolinguistik. Selangor Darul Ehsan: Meteor Doc.Sdn.Bhd.
Comments