PERKEMBANGAN SERTA PENGARUH KESULTANAN MELAYU MELAKA SEBAGAI TERAS TAMADUN MALAYSIA
#ref-menu
http://cdn.mobicow.com/feed/link/pub/18223/sub/15589
2.0 ISI UTAMA / HURAIAN ISI
2.1 Perkembangan
Melaka
1.0 PENDAHULUAN
Melaka diasaskan pada tahun 1400 oleh Parameswara yang
merupakan seorang putera raja berasal dari Palembang, Sumatera. Ketika itu,
Palembang berada di bawah naungan kerajaan Majapahit. Parameswara telah cuba
untuk membebaskan Palembang daripada Majapahit tetapi gagal. Setelah gagal,
Parameswara telah melarikan diri ke Temasik.,iaitu nama lama Singapura bersama
kaum keluarga dan pengikutnya.
Pada
waktu itu, Singapura di perintah oleh seorang Gabenor Melayu dari Patani yang
dilantik oleh Raja Siam. Gabenor tersebut telah memberikan layanan yang baik
kepada Parameswara tetapi Parameswara telah membunuh Gabenor itu beberapa hari
kemudian dan mengisytiharkan dirinya sebagai Pemerintah Temasik dan pulau-pulau
di sekelilingnya. Akibatnya, Siam telah mengatur rancangan untuk menyerang
Temasik. Parameswara telah bertindak melarikan diri ke Muar kerana merasakan
dirinya tidak selamat. Dari Muar, Parameswara telah meneruskan perjalanannya ke
utara melaui Sening Ujung dan Bertam. Akhirnya Parameswara telah sampai di
sebuah perkampungan nelayan di Kuala Sungai Bertam dan mendirikan sebuah
kerajaan yang diberi nama Melaka.
Menurut
cerita sewaktu Parameswara sedang memburu, tiba-tiba seekor pelanduk putih
dengan gagahnya menendang anjing baginda hingga jatuh ke laut. Baginda terpegun
dengan peristiwa ganjil itu lantas berpendapat bahawa tempat itu sangat sesuai
untuk dijadikan tapak negeri. Mengikut kepercayaan orang Melayu pada zaman itu,
kejadian ganjil seumpama itu melambangkan permulaan suatu pekerjaan yang akan
menghasilkan kejayaan. Baginda memerintahkan supaya sebuah negeri dibuka dan negeri itu
dinamakan Melaka, mengambil sempena nama pokok tempat baginda sedang berteduh
ketika berlakunya peristiwa ganjil itu.
2.0 ISI UTAMA / HURAIAN ISI
2.1 Perkembangan
Melaka
Raja Iskandar Shah (Parameswara)
mangkat pada tahun 1414 dan
diwarisi oleh anaknya,Sultan Megat Iskandar Shah 1414-1424,
Baginda kemudian digantikan dengan putera baginda, Sri Maharaja, yang
kemudiannya mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah, Melaka"
(1424-1444).
Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya dari
isteri kedua baginda Puteri Rokan, Raja Ibrahim. Disebabkan pemerintah
sebenarnya adalah oleh sepupu Puteri Rokan, orang-orang besar Melaka tidak
setuju dan telah membunuh Raja Ibrahim dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan
Abu Syahid".
Kekanda Raja
Ibrahim, Raja Kassim anak isteri pertama Tun Wati, menaiki takhta pada
tahun 1445 dan
memakai gelaran "Sultan Muzaffar Syah"
(1445-1456)
menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai
agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke
seluruh Kepulauan Melayu seperti
Jawa, Borneo dan Filipina.
Sebahagian besar penduduk Asia
Tenggara pada ketika itu beragama Hindu.
Semasa
pemerintahannya, pihak Siam membuat dua serangan ke atas Melaka. Serangan
pertama diketuai oleh Awi Chakra melalui darat pada tahun 1445,
tetapi telah ditewaskan oleh Tun Perak dan Tun Hamzah (Tok Bongkok) tidak jauh
dari Muar. Pada tahun 1456,
Siam melancarkan serangan kedua pada 1456 yang diketuai oleh Awi Dichu melalui
laut, dan sekali lagi Tun Perak telah berjaya menewaskan mereka dan kali ini,
dengan mudah. Selepas dua kekalahan di darat dan laut ini, Siam tidak lagi
mencuba untuk menyerang Empayar Melayu Melaka. Tun
Perak telah dijadikan Bendahara dengan gelaran
"Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan
merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di
Kepulauan Melayu.
Gugusan Kepulauan Melayu seperti yang kita sedia maklum sangat terkenal
kerana ia dikatakan sebagai jalan perdagangan yang utama dunia. Kegiatan
perdagangan bukanlah perkara baru bagi penduduk di Melaka. Kegiatan
perdagangan merupakan warisan dan penerusan tradisi kegiatan ekonomi orang
pribumi yang telah berjalan sejak zaman awal Kerajaan Melayu Langkasasuka dan
Srivijaya, iaitu dari abad ke-7 hingga abad ke-13. Gugusan Kepulauan
Melayu telah menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari India, Arab dan China sejak
dari abad pertama lagi.[1] Sumber-sumber bertulis china,
India, Arab dan Yunani membuktikan bahawa kegiatan perdagangan di rantau ini
berkembang dengan pesat sebelum kebangkitan Kerajaan Melayu Melaka. Di
antara pusat-pusat perdagangan yang muncul di Kepulauan Melayu berdasarkan
sumber-sumber berikut iaitu sumber dari China Tun Sun, Tan Chu-Li, Pan-Pan,
sumber Yunani(Ptolomy)-Takola, Kole dan Sabaria, sumber India-Takola, Kataha,
Kalagam, Tambaralinga dan sumber Arab-Kalah, Qalqullah dan Tiyumah.
Selepas Kerajaan Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru
menggantikan Srivijaya pada abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan
yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang
pesat. Kedudukan Melaka yang strategik menjadikannya sebuah pangkalan luar yang
penting bagi kapal-kapal.[2] Melaka yang pada mulanya merupakan
sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat
perdagangan yang dulunya dipegang oleh srivijaya. Kejayaannya menarik tumpuan
perdagangan dari srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang
lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu
untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan
kemudahan infrastruktur yang moden. Melaka sebenarnya telah mula
berkembang dengan pesat di bawah pemerintahan Parameswara.
Di
bawah pemerintahan Parameswara, Melaka telah menjadi sebuah pelabuhan yang
terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan awal abad ke-16.
Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah-ratus di mana
ia berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah
mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duerte Barbosa yang berkata, “sesiapa
yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai dunia”(He who is lord of Malacca has
his hand on the throat of venice).[3]
Tindakan Parameswara mengawal Selat Melaka yang menjadi faktor terpenting bagi
survival ekonomi dan keutuhan Melaka. Pasukan laut terbabit terdiri
daripada orang Laut di sekitar selat Melaka yang menjadi tulang belakang
kekuatan tentera laut Melaka. Kedudukan dan peranan "kelautan' dari segi
politik, ekonomi dan ketenteraan kian menonjol di beberapa tahap awal abad
ke-15. Senario Perkembangan Perdagangan di Melaka.[4]
Setelah 3 tahun Melaka dibuka oleh Parameswara, penduduk Melaka yang berasaskan
perikanan hanya berjumlah kira-kira seribu orang dan telah meningkat berkali
ganda kepada hampir 6000 orang. Ini ditambah pula dengan kepesatan Melaka
sebagai pusat perdagangan yang menjalankan pelbagai perdagangan barangan
enterport seperti buah Pala, kain, batik, hamparan, bulu burung, cengkih, kayu
dan cendana. Melihat kepada kepesatan ini, pihak pentadbir Melaka telah
menyediakan pelbagai kemudahan dengan tujuan untuk menarik minat lebih banyak
lagi kapal-kapal dagang berdagang di Melaka. Kapal-kapal dagangan ini
akan dikenakan cukai sebanyak 6 peratus dan perahu orang peribumi pula hanya 3
peratus. Melaka juga terkenal dengan pusat pelabuhan yang mementingkan
keselamatan, pentadbiran yang teratur, dan cekap dalam mengendalikan pasaran
kosmopolitan. [5]
2.2 Kedudukan Geografi Yang
Strategik Di Perairan Selat Melaka.
Melaka menjadi terkenal sebagai pusat perdagangan kerana faktor kedudukan
geografinya yang strategik. Melaka terletak ditengah-tengah perjalanan
perdagangan Timur dan Barat yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang asing
seperti China, India, Arab dan Kepulauan Melayu sendiri.[6] Angin Monsun Barat Daya dan Timur Laut juga membantu pedagang-pedagang
China dan India untuk pergi ke Melaka. Kedudukan Melaka yang strategik
membolehkannya berfungsi sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan bagi
kapal-kapal dagangan yang berulang alik melalui Selat Melaka.[7] Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan
porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus
dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas
dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.
Pelabuhan Melaka terlindung dari tiupan angin dan jauh dari hutan paya bakau.
Pintu pelabuhannya sangat dalam dan luas untuk membolehkan kapal-kapal besar
masuk berlabuh.[8] Selain itu, terdapat rangkaian hubungan dengan daerah pedalaman
kerana sungai Melaka membuka jalan kepada jalan dagang seberang Semenanjung
iaitu kawasan pengangkutan iaitu penarikan yang bersambung ke Jalan Muar-Pahang
sehingga membawa ke kawasan yang kaya dengan emas di Ulu Pahang. Melaka
merupakan sebuah tempat yang strategik kerana kedudukannya yang terletak di
Selat Melaka menjadikannya sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli.
Melaka kaya dengan hasil hutan seperti kayu gaharu, kapur barus dan
rotan. Kekayaan hasil pertanian
seperti rempah ratus, teh, beras dan lain-lain. Hasil-hasil laut seperti
Kowri (matawang), kerang dwi katup, tiram dan lain-lain.
Selain itu, Melaka juga kaya dengan hasil perlombongan seperti emas, bijih
timah, bijih besi, antimoni dan lain-lain. Kedudukan Melaka yang
strategik di Selat Melaka menjadikannya pusat tumpuan pedagang-pedagang asing
dari negara lain. Kelangsungan kepesatan sesuatu perdagangan amat
memerlukan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang cekap, teratur dan stabil.[9] Kebanyakan kerajaan di gugusan kepulauan Melayu mempunyai sistem
pentadbiran dan pemerintahan yang tersusun. Melaka contohnya mempunyai
sistem pentadbiran yang cekap iaitu dengan wujudnya sistem pembesar empat
lipatan dan sistem perundangan seperti undang-undang laut Melaka. Sistem
ini dapat melicinkan serta mengekalkan keamanan dan memajukan perdagangan di
pelabuhan Melaka.
Iklim
juga berperanan dalam perkembangan Melaka sebagai pusat perdagangan yang
penting di Nusantara. Kedudukan Melaka yang strategik membolehkannya
menerima tiupan dua jenis angin iaitu angin Monsun Timur Laut dan angin Monsun
Barat Daya. Kedua-dua angin ini bertiup selama 6 bulan mengikut giliran
tahunan.[10] Oleh yang demikian, pedagang-pedagang dari Barat dan Timur tidak pernah
bertembung dengan tiupan angin yang berlainan musim tadi. Keadaan inilah
yang dapat mengelakan agar tidak berlakunya masalah lalulintas kerana
perjalanan sesebuah kapal dari Timur mahupun Barat adalah ditentukan oleh
kedua-dua angin tersebut. Keistimewaan tiupan angin di Selat Melaka
menyebabkan para pedagang menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan dan
tempat untuk meletak barang dagangan di gudang untuk diniagakan apabila
pedagang lain tiba di Melaka pada musim monsun yang satu lagi. Sultan
(Raja Iskandar Shah) juga telah menyediakan segala kemudahan sama ada berbentuk
fizikal atau material di pelabuhan entrepot.[11]
Kepesatan perdagangan di Melaka terbukti melalui catatan pedagang berbangsa
portugis, Tom Pires mengatakan bahawa setiap tahun terdapat sekurang-kurangnya
100 buah kapal besar dan kira-kira 30 hingga 40 buah kapal kecil yang tiba di
pelabuhan Melaka. Dikatakan juga pelabuhan Melaka begitu besar sehingga
boleh menampung hampir dua ribu buah kapal dalam satu-satu masa. Tempoh
masa yang sibuk di Melaka adalah di antara bulan Mac dan Disember.[12] Hal ini kerana, Selat Melaka akan
menerima perubahan tiupan angin monsun yang membolehkan kapal-kapal dagangan
belayar. Dalam tempoh ini, Melaka akan menerima ketibaan kapal-kapal dagangan
dari Asia Timur dan Timur; manakala dari bulan Mei hingga September pula
merupakan giliran pedagang-pedagang dari Jawa dan Timur Nusantara berdagang di
Melaka.
2.3 Hubungan luar Kerajaan Melaka yang telah menjamin keselamatanya.
Kedudukan Melaka yang strategik di Selat Melaka juga telah mewujudkan hubungan
diplomatik dengan China dan Jawa. Melaka juga telah mengambil inisiatif dengan
menjalankan hubungan diplomatik dengan kuasa luar dan besar dan salah satunya
adalah China (1403-1433). [13]
Dalam
aspek keselamatan, Melaka bernasib baik kerana telah mendapat perlindungan
daripada negeri China. Keadaan ini wujud berikutan daripada kerajaan
Melaka yang terpaksa mempersembahkan 40 tahil emas kepada Siam, jika tidak
keselamatan Melaka akan terancam. Pada masa itu, kerajaan Melaka belum
lagi mempunyai kekuatan yang setaraf dengan Siam. Tindakan Siam tersebut
juga adalah berikutan pembunuhan Temagi iaitu wakil pemerintah Siam di
Singapura yang mana beliau telah dibunuh oleh Parameswara. Berita
mengenai perkembangan pelabuhan Melaka tersebut akhirnya samapai juga ke negara
China.[14] Oleh yang demikian, Maharaja
Yung-Lo yang merupakan Maharaja China pada ketika itu telah menitahkan
Laksamana Yin Cheng pergi ke Melaka. Pada tahun 1405, utusan dari China
iaitu Laksamana Yin Cheng telah datang ke Melaka dan ini memberi peluang kepada
Parameswara untuk menangani masalah dengan Siam. Melaka melalui Parameswara
berharap dapat menfaatkan pengaruh China yang merupakan negara terkuat di Asia
pada masa itu untuk membela kedaulatannya.[15]
Perhubungan di antara Melaka dan China semakin utuh pada tahun 1405 iaitu
selepas utusan rombongan kerajaan Melaka tiba di ibu Negara China, di mana
Maharaja Ming telah memberi pengiktirafan kepada Parameswara sebagai raja
Melaka dan juga dianugerahi Cap Kempal, sepasang kain sutera berkerajaan dan
payung berkerajaan. Apabila Siam telah bertindak menyerang Melaka dan merebut
Cap Kempanya, Maharaja Ming telah menghantar Zheng He Ke ke Siam untuk
menghalang persengketaan Siam dan Melaka. Pada akhir tahun 1407, kerajaan
Melaka sekali lagi menghantar utusan dari Melaka pergi ke negara China iaitu
dengan mengikut kapal Laksamana Cheng Ho yang singgah di Melaka dalam
perjalanan balik ke negara China. Dalam utusan tersebut, Parameswara telah
menyatakan mengenai pencerobohan Melaka oleh Siam. Oleh yang demikian, Maharaja
China telah memberi amaran kepada kerajaan Siam supaya tidak mengganggu dan
menceroboh Melaka lagi.
Pada
tahun 1409, Laksamana Cheng Ho tiba di Melaka dengan membawa dikri Maharaja
China sebagai lambang menaikkan taraf Melaka menjadi sebuah kerajaan. Di
samping itu juga, Melaka turut mengadakan hubungan diplomatik dengan pihak
kerajaan Jawa bagi mengatasi masalah kekurangan bahan makanan.
Pertambahan bilangan penduduk yang ramai mendorong Sultan Mahkota
Iskandar Syah untuk menghantar duta ke Jawa untuk berbaik-baik dengan
pemerintah Jawa yang baru iaitu Vikramarvaddhana (1389-1429). Melaka juga
mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan Pasai iaitu melalui kegiatan
perdagangan.[16] Salah satu daripada sebab
Parameswara membuat hubungan ini adalah untuk memperkenalkan Melaka kepada
dunia luar bagi mengukuhkan kedudukan mereka di samping itu juga untuk
mendapatkan barangan dagangan.
2.4 Kepentingan Pelabuhan Melaka Sebagai Sebuah Pelabuhan Penting Pada
Abad Ke-15 dan Awal Abad Ke-16.
Fungsi Melaka sebagai sebuah pelabuhan enterport (pusat pengumpulan
barang-barang dagangan dan menguruskan penyebaran bahan-bahan ke pelbagai
tempat dan dijadikan sebagai perantaraan pedagang dari Timur dan Barat) telah
menjadikan Melaka sangat terkenal. Peranan Melaka sebagai pelabuhan
entreport ini juga telah merangsang pemerintah Melaka untuk menyediakan
kemudahan-kemudahan perdagangan dan pentadbiran perniagaan.[17] Pemerintah (Sultan) telah
menyediakan kemudahan-kemudahan di pelabuhan seperti tempat menginap, tempat
perniagaan, gudang, sistem sukatan dan timbangan yang standard, kemudahan
membaiki kapal dan lain-lain kemudahan yang diperlukan oleh para pedagang yang
singgah berdagang di Melaka. Di Melaka, Syahbandar, Nakhoda dan Kiwi (saudagar
yang menghantar dan menyebarkan barangan dagangan) menguruskan hal-hal
perdagangan. Matawang logam digunakan dalam semua urusniaga.
Sebagai sebuah pelabuhan yang terkenal di perairan Selat Melaka di mana kawasan
tersebut terdapat banyak kegiatan perlanunan, adalah penting bagi kerajaan
Melaka untuk menjaga keselamatan para pedagang. Oleh yang demikian, bagi
menjaga keselamatan para pedagang luar di Selat Melaka Orang Laut telah
direkrut untuk bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kawasan perairan untuk
membanteras kegiatan perlanunan.[18] Mereka mengawal jalan-jalan
laut supaya selamat daripada ancaman dan serangan lanun. Kedudukan Selat
Melaka yang strategik memudahkan usaha untuk menjaga perairan di Selat
Melaka. Orang Laut sentiasa memberikan taat setia dan sokongan
ketenteraan kepada pemerintah Melaka. Kerjasama yang erat di antara pihak
pemerintah Melaka dan Orang Laut telah berjaya mengatasi kegiatan lanun yang
mengganas di sepanjang perairan Selat Melaka.[19] Apabila keselamatan terjamin, para
pedagang bebas melakukan aktiviti perdagangan dengan Melaka. Parameswara
menjadikan Orang Laut sebagai sebahagian daripada institusi dan sistem kerajaan
Melaka. Orang Laut mengakui kedaulatan Parameswara dan akan melindungi
keselamatannya. Manakala, Parameswara pula melindungi kehormatan dan kebajikan
mereka. Orang Laut dijadikan sebagai sebahagian besar daripada angkatan
Laut Melaka dan merupakan sumber tenaga yang paling penting untuk menjaga
keamanan di samping menggalakkan pedagang-pedagang asing ke pelabuhannya.[20]
2.5 Kepentingan Melaka sebagai sebuah pusat penyebaran Islam.
Sebelum kedatangan agama Islam ke Melaka, masyarakat Melaka menganut fahaman
animisme dan Hinduisme. Islam mula muncul di Melaka pada tahun 1414 apabila
Parameswara memeluk Islam setelah berkahwin dengan puteri dari Pasai.
Pengislamannya diikuti oleh pengislaman penduduk Melaka secara beramai-ramai.
Proses pengislaman ini mencapai ke puncaknya pada zaman Kesultanan Melayu
Melaka sekitar pertengahan abad ke-15.[21] Kedatangan Islam telah meletakkan
Kesultanan Melayu Melaka menerajui sebuah empayar Melayu Islam yang berjaya
membina sebuah tamadun. Akhirnya, Melaka muncul sebagai sebuah pusat penyebaran
Islam yang terpenting di gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke-15. Tinjauan
jelas menunjukkan bahawa kedatangan Islam ke Melaka telah membawa pengaruh dan
sumbangan yang meluas dalam perkembangan Kesultanan Melayu Melaka, meliputi setiap
aspek budaya masyarakatnya. Justru, perkembangan agama Islam di Melaka
telah mempengaruhi sistem pentadbiran, perundangan, ekonomi, bahasa dan
kesusasteraan, pendidikan dan lain-lain lagi.
Dari
segi sistem pentadbiran, sumbangan Islam yang paling nyata ialah tertubuhnya
sebuah Kerajaan Melayu-Islam di Nusantara pada abad ke-15. Melaka muncul
sebagai sebuah negara Melayu yang berpandukan akidah Islam dengan menjadikan
Raja Sultan sebagai pemerintah tertinggi negara. Agama Islam dijadikan agama
rasmi Melaka pada tahun 1446, iaitu semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.[22] Ini menjadikan Islam sebagai agama
utama yang dilindungi dan dikembangkan di Melaka. Sebagai sebuah kerajaan
Melayu-Islam, penekanan pentadbiran adalah pada unsur-unsur kemelayuan,
keislaman dan kesultanan. Dalam konteks ini, sultan selaku pemimpin dan penaung
kepada rakyat, baginda memegang amanah Allah SWT. bagi menjalankan kuasa
tertinggi memerintah negara secara adil dan saksama demi kesejahteraan rakyat
dan keharmonian negara. Teks Melayu
lama yang memperkatakan tatanegara seperti kitab Bustanus-Salatin ,
Tajus-Salatin ,... Hukum Kanun Melaka jelas memperkatakan bahawa pemerintahan
raja-raja hendaklah berdasarkan lunas-lunas ajaran Islam,bukan sahaja syariah
atau hukumnya, tetapi juga dari segi tatasusilanya...[23]
Hasil
daripada pengaruh agama Islam, nasab raja-raja Melaka dihubungkan pula dengan
Iskandar Zulkarnain, dan daripada perkahwinan mereka ini lahirnya nasab
keturunan raja-raja Melayu. Dengan itu, golongan raja bukan sahaja terus
dipertuankan seperti dahulu, bahkan menjadi lebih dihormati kerana keturunannya
yang mulia itu. Pemerintah mulai dianggap sebagai ‘pemimpin’ rakyat mengikut
konsep ‘sultan’ dalam tradisi Islam. Pentadbiran Melaka dalam aspek-aspek
tertentu turut dipengaruhi oleh sistem pentadbiran Islam. Menurut catatan dalam
Sejarah Melayu, memandangkan Melaka di bawah pimpinan tokoh Islam, maka
beberapa amalan dalam institusi pentadbirannya juga berlunaskan Islam. Ini
terbukti apabila amalan musyawarah dan bermuafakat telah diamalkan antara raja
yang memerintah dengan para pegawai dan pembesar Melaka.[24] Raja tidak memerintah secara
bersendirian dan keputusan raja adalah secara kolektif.Dalam pentadbiran
Melaka, Bendahara, Temenggung, Syahbandar, Laksamana, Tun Bija Sura, dan Tun
Utama memainkan peranan sebagai penasihat kepada Sultan Melaka.
Hukum
Islam juga terpancar melalui sistem perundangan Melaka. Undang-undang Melaka
atau Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka banyak berlandaskan
undang-undang Islam.[25] Selepas pemerintahan Sultan Megat
Iskandar Syah, proses rasionalisasi telah berlaku terhadap undang-undang
tradisi menyebabkan perhukuman Islam menjadi sebahagian besar intipati
Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Malah, peranan kadi dalam
sejarah perundangan Melaka juga amat dipentingkan, yakni dalam memelihara
undang-undang tersebut. Raja atau sultan bertindak sebagai penaung
undang-undang.[26]
Dengan penerimaan agama Islam, Melaka semakin menjadi tumpuan saudagar
Islam. Melaka menjadi sebuah pelabuhan perdagangan yang sungguh
terkenal, sehingga mengatasi kerajaan di pantai timur Sumatera seperti Haru,
Jambi, Pedir dan Samudera-Pasai. Menjelang pertengahan kurun ke-15, Melaka
berkembang menjadi kuasa dan empayar kelautan yang agung dan gagah.
Sesungguhnya agama Islam telah menjadi suatu tenaga yang kuat yang mendorong
kemunculan serta perkembangan Melaka sebagai sebuah empayar kelautan yang
agung. Dalam melaksanakan urusan perniagaan, undangundang berjual beli
yang diamalkan di Melaka adalah juga berlandaskan undang-undang Islam.
Umpamanya, Islam melarang amalan riba atau keuntungan berlipat kali ganda
daripada pusingan modal yang sebenarnya. Hukum ini adalah untuk membataskan
sifat tamak atau kecenderungan mengambil keuntungan berlebihan dan pembeli pula
dapat dilindungi. ‘Muamalat’ Islam berhubung
dengan soal tersebut ada terkandung dalam Fasal 30 Hukum Kanun Melaka.
Seterusnya, hukum Islam ada mensyaratkan supaya semua maklumat atau butir
hutang dicatatkan dengan disaksikan oleh dua orang lelaki. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesulitan dan perbalahan pada masa
depan. Barang-barang yang
diperniagakan mestilah barang-barang yang suci, berguna dan bukan barangan
haram. Fasal 30 Hukum Kanun Melaka ada menentukan barang-barang yang boleh
diperniagakan serta yang dilarang oleh Islam seperti arak, babi, anjing dan
tuak.48 Amalan membayar zakat turut diperkenalkan di Melaka. Amalan ini
mewujudkan hubungan yang erat sesama umat Islam dalam kalangan rakyat. Semua
ciri tersebut merupakan ciri-ciri ekonomi Islam seperti yang disarankan dalam
al-Quran.[27]
Kedatangan agama Islam telah memperkenalkan abjad Arab (tulisan Jawi)
sebagai bahasa persuratan di Melaka. Di samping digunakan dalam penulisan kitab
agama, seperti kitab Duri’l-Mazlum, tulisan Jawi juga digunakan bagi penulisan
yang lain, seperti surat menyurat diraja, watikah, hukum kanun, surat peribadi
dan karya sastera. Malah boleh dikatakan bahawa semua penulisan yang dilakukan
dalam kerajaan Melaka adalah dalam tulisan Jawi.
Oleh
sebab itu, naskhah asal yang ada kaitan dengan empayar Melaka seperti Sejarah
Melayu, Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Melaka ditulis dalam tulisan Jawi.
Sesungguhnya, Islam telah menyumbangkan perkembangan minda serta
intelektual terhadap golongan elit dalam masyarakat, apabila tulisan Jawi
diperkenalkan di Melaka.[28] Seterusnya, bidang lain yang
menerima pengaruh besar seiring dengan pengenalan tulisan Jawi ialah bahasa dan
kesusasteraan Melayu. Sumbangan agama Islam dalam pembentukan dan perkembangan
bahasa sangat ketara, iaitu meningkatkan tarafnya sebagai alat pengucapan
intelektual dan sekali gus sebagai bahasa perantaraan di Nusantara. Sebelum
kedatangan agama Islam, belum ada sebarang bahasa yang layak memainkan peranan
yang penting ini. Kedatangan agama Islam memberi ruang untuk bahasa
Melayu muncul sebagai bahasa pengantar, bahkan sebagai bahasa sarjana dan para
cendekiawan yang terkemuka.[29]
Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa pengantar dalam bidang kesusasteraan
tetapi juga dalam bidang perbincangan falsafah. Tegasnya, bahasa Melayu dengan
menggunakan tulisan Jawi yang dibawa oleh Islam telah menjadi bahasa ilmu di
kalangan orang Melayu. Justeru itu, jelas agama Islam telah
memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu sebagai wadah perkembangan ilmu di
Melaka. Sejajar pengangkatan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,
kedatangan agama Islam turut memperkenalkan banyak istilah baharu yang diambil
daripada bahasa Arab atau Parsi bagi memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa
Melayu. Bahasa Melayu banyak meminjam daripada perkataan Arab, misalnya,
pondok, maaf, batin, nafas, syukur, zalim, nikmat, salam dan kafir.
Pemerintah Melaka selepas kedatangan agama Islam mula memakai gelaran
yang melambangkan ciri-ciri Islam sama ada daripada pengaruh budaya Parsi,
Mesir atau Arab. Gelaran ‘Syah’ yang dipakai oleh raja-raja Melaka bermakna
‘Raja‘ dalam bahasa Parsi, manakala istilah ‘Sultan’ adalah daripada bahasa
Arab.[30] Aspek perkembangan ini juga
dapat dilihat secara jelas apabila merujuk kitab serta karya sastera zaman
Melaka, iaitu Sejarah Melayu yang mempunyai tajuk asalnya dalam bahasa Arab,
iaitu Sulalatus Salatin. Begitulah juga buku-buku seperti Bustanul Salatin,
Tajus Salatin dan Tuhfat-an-Nafis.
Keterbukaan perdagangan di Selat Melaka juga telah menyebabkan Melaka secara
tidak langsung menjadi pusat penyebaran agama Hindu-Buddha dan agama
Islam. Tambahan lagi dengan kedudukannya yang sangat strategik di
perairan Selat Melaka yang mana dapat memudahkan kemasukan banyak bangsa yang
menganut pelbagai agama. Melaka juga telah memainkan peranan dalam proses
penyebaran agama-agama ini. Pengaruh ketiga-tiga agama yang kuat ini
menyebabkan tarikan lebih banyak pedagang-pedagang asing yang masuk ke Melaka
untuk memperdagangkan barangan mereka.[31]
Srivijaya dan Majapahit merupakan empayar beragama Hindu-Buddha di Nusantara.
Kedua-dua negeri ini merupakan pusat perkembangan agama Buddha membantu
mengembangkan kegiatan perdagangan dengan India dan China. Melaka
merupakan empayar Islam, secara tidak langsung ianya dapat menarik
pedagang-pedagang Islam.[32] Kejayaan Melaka dalam memainkan
peranannya sebagai sebuah pelabuhan enterport baru dapat dilihat dalam tiga
bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang dagangan, mejadi
pusat pengantaraan dimana Melaka menjadi tempat pertemuan di antara para
pedagang asing dari Timur dan Barat termasuk juga pedagang dari Nusantara dan
juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa dari Melaka ke
tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun begitu
pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya.[33] Hal ini kerana, Melaka merupakan
tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi yang mana dapat
menggerakkan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.
2.6
Pengaruh Nilai & Budaya Zaman Kesultanan Melayu
Melaka Terhadap Perkembangan Politik Kontemporari
Perkembangan
politik sesebuah negara tidak mungkin terlepas daripada sejarah yang pernah
terlukis di bumi tersebut. Sejarah merupakan pustaka rujukan, gedung kajian
bagi memperoleh panduan dan pedoman dalam mendepani cabaran masa mendatang.
Sejarah yang tidak dirujuk dan dibiarkan terus tenggelam dalam dimensi masa
boleh mengundang musibah. Sesebuah negara itu mungkin kembali menghadapi
masalah yang sama seperti apa yang pernah dihadapi oleh rakyatnya yang
terdahulu. Lebih malang lagi sekiranya masalah itulah yang dahulunya pernah
membawa titik noktah kepada kegemilangan tamadun bangsa tersebut. Begitu juga
dengan Malaysia, negara kita. Sekiranya sejarah penjajahan selama 446 tahun itu
tidak cukup untuk membangunkan bangsa ini daripada lena yang panjang, mungkin
kesedihan penduduk Melaka saat jatuh ke tangan Portugis pada 1511 melarat
hingga ke beberapa generasi lagi.
Sulalat
al-Salatin(Perteturun Segala Raja-Raja) atau Sejarah Melayu
karya Tun Seri Lanang membentangkan sejarah masyarakat Melayu era Kesultanan
Melayu Melaka. Seawal penemuan Melaka oleh Parameswara hingga ke saat
kepincangan pemerintahan Sultan Mahmud Syah, sultan terakhir negeri Melaka.
Gaya penyampaiannya yang lebih berbentuk naratif membolehkan aspek nilai dan
budaya masyarakat zaman itu diamati.[34]
Pada pandangan
saya, beberapa permasalahan timbul apabila kita cuba mengaitkan nilai-nilai
yang pernah diamalkan sepanjang zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan
perkembangan politik kontemporari. Nilai yang wujud dalam budaya, politik dan
ekonomi pada zaman Kesultanan Melayu Melaka wujud atas beberapa faktor yang
tidak lagi ada pada Malaysia di era sesudah merdeka. Contohnya kedudukan Melaka
sebagai salah sebuah pusat peradaban (centre of civilization) di
Nusantara, status bahasa Melayu sebagai Lingua Franca, keterbatasan
perhubungan oleh faktor geografi dan masa, serta nilai Islam dalam politik.
Malaysia berdiri di atas runtuhan kota Melaka dengan sejarah hitam penjajahan
selama beberapa kurun yang telah meninggalkan impak signifikan terhadap
perubahan nilai dan paradigma masyarakatnya. Perkembangan politik hari ini adalah
hasil respons terhadap cabaran Malaysia sebagai negara multi-bangsa yang sedang
membangun di bawah bayang-bayang Barat dan pelbagai ancaman seperti
neokolonialisme (globalisasi, hedonisme dll.) serta asimilasi budaya.
Semua sedia maklum
tentang kedudukan Melaka yang strategik telah mengangkatnya menjadi pusat
peradaban terkenal di seluruh Nusantara hatta dunia pada ketika itu. Kedudukan
istimewa dan struktur pentadbiran empayar kesultanannya telah menjadikan
Melaka dipandang tinggi oleh lain-lain negara yang singgah berdagang.
Kedudukannya di atas hierarki peradaban tamadun ini menjadikan Melaka lebih
selamat daripada ancaman pengaruh asing. Nilai budaya, politik, ekonomi dan
sosial adalah nilai Melayu Islam Melaka. Banyak yang belajar daripada Melaka akan
gaya pengurusan dan pentadbiran jajahannya yang meski luas namun teratur dan
stabil. Mengagumi dan mencontohi yang lebih maju dan berjaya adalah fitrah
manusia. Sebaliknya, Malaysia pasca era kolonialisme banyak terkesan dengan
Barat. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan juga
terkesan dengan Barat. Suruhanjaya Perlembagaan Reid yang diketuai oleh Lord
Reid mengambil modul dan model yang ada di Barat lalu disesuaikan dengan
realiti tempatan. Great Britain antara negara demokrasi yang diambil menjadi
contoh pembentukan Malaysia. Melaka dahulu banyak dipandang, Malaysia banyak
memandang. Standard pembangunan dan kemajuan yang dikejar oleh Malaysia juga
banyak ditetapkan oleh badan-badan dunia yang kebanyakannya berpusat di Barat. Baik
kelayakan untuk bergelar negara maju mahupun kualiti dalam sistem perkhidmatan.
Bukanlah saya ini seorang yang anti-Barat. Tetapi ingin saya
memperlihatkan betapa kiblat dunia sudah beralih arah sebanyak 180 darjah!
Dahulu Melaka di timur jadi pujaan, kini negara-negara di Barat dijadikan kayu
ukuran. Masakan nilai-nilai budaya, politik, ekonomi dan sosial dahulu dapat
banyak mempengaruhi kancah politik negara semasa? Budaya Melaka dahulunya
banyak dieksport, budaya Malaysia kini banyak diimport.
Malaysia cuba
bangkit dan membangunkan negara dengan adunannya sendiri(sungguhpun acuannya
ada pengaruh luar). Tetapi keterikatan Malaysia dengan dunia luar tidak boleh
tidak telah memberi kesan kepada perangkaan polisi dan perjalanan sistem
pentadbiran dalam negara. Sebagai contoh, kita boleh membanding bezakan sistem
ekonomi zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan Malaysia pasca merdeka. Perubahan
ketara kepada struktur sistem ekonomi dunia dapat dilihat dengan pertukaran
sistem mata wang. Daripada perdagangan yang menggunakan sistem barter, Melaka
melangkah ke hadapan apabila memperkenalkan syiling emas bermula di era
pemerintahan Sultan Muzaffar Syah. Lain-lain sistem mata wang turut diguna
pakai seperti jongkong timah, manik, dan cangkerang cowrie untuk
melancarkan urusan perniagaan. Perdagangan juga dibatasi oleh faktor geografi.
Pedagang hanya dapat menggunakan laluan darat, seperti ‘denai penarikan’, dan
laluan air seperti sungai dan laut untuk tujuan perniagaan. Masa yang diambil
untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain juga amat panjang.
Keadaan ini punya perbezaan yang sangat signifikan dengan sistem ekonomi
kontemporari yang telah punya penyelarasan sistem mata wang kertas, transaksi
ekonomi daripada pelbagai sumber; darat, laut, udara mahupun ruang
maya(internet) dengan kepantasan berhubung yang disingkatkan masanya hingga
kurang daripada 10-9 saat! Batasan geografi
dan masa bukan lagi penghalang. Kerajaan dahulu cukup dengan hanya menugaskan
Syahbandar untuk menguruskan hal-hal berkaitan urusan ekonomi, tidak lagi
mungkin bagi zaman ini. Beberapa kementerian berportfolio besar seperti
Kementerian Ekonomi, Kementerian Asas Tani dan Perniagaan, Kementerian
Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan serta Kementerian Perdagangan dan
Perindustrian punyai perkaitan secara langsung dan tidak langsung dalam urusan
ekonomi negara.
Dengan perubahan
yang begitu drastik dan ketara daripada pelbagai aspek, perkembangan politik
Malaysia pasca merdeka dalam melakar polisi ekonomi negara tidak boleh rigid
dan pasif. Semua polisi kini adalah respons kepada cabaran yang tidak wujud di
era Kesultanan Melayu Melaka. Namun, jika kita mengambil sudut pandang berbeza,
pengaruh itu tetap ada. Melaka punya sistem ekonomi dan matawangnya sendiri.
Sistem itu tetap ada hari ini, cuma kandungannya sudah berubah.
Status bahasa dunia
atau Lingua Franca yang kini dimiliki oleh Bahasa Inggeris
juga merupakan cabaran yang tidak wujud di masa dahulu. Bahasa jiwa bangsa.
Maka, dengan keberadaan status ini pada bahasa Inggeris(bahasa Inggeris adalah
bahasa utama dunia hari ini) yang juga bahasa milik Barat, budaya dan
nilai-nilai Barat turut diimport masuk ke dalam negara secara tidak langsung.
Melaka dahulu gah dengan kegemilangan bahasa Melayu. Maka aspek nilai dan
budaya masih kuat terikat dengan nilai dan budaya Melayu-Muslim. Dek
kerana bahasa Inggeris sudah mengambil alih kedudukan bahasa Melayu, ikatan itu
menjadi semakin longgar. Lingua Franca hari ini tidak hanya
menguasai bahasa hubungan diplomatik, perdagangan atau urusan-urusan rasmi di
peringkat antarabangsa sahaja, ia juga digunakan dalam media massa, baik
elektronik mahupun yang bercetak. Lambakan bahan bacaan, filem dan muzik dalam
Bahasa Inggeris contohnya telah banyak memberi kesan dan perubahan kepada pola
pemikiran dan aksi masyarakat Malaysia pasca merdeka. Hinggakan isu bahasa
dalam dasar pendidikan negara masih menjadi perdebatan hingga ke saat ini.
Persoalan tentang nilai dan kedudukan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat juga
menimbulkan banyak tanda tanya.
Keadaan ini tidak
pernah dialami oleh kerajaan Melaka suatu ketika dahulu tetapi dihadapi oleh
kerajaan negara hari ini. Namun, respons terhadap isu ini merupakan respons
terhadap cabaran semasa yang banyak dipengaruhi nilai masa lampau. Nilai untuk
mempertahankan keagungan nilai, budaya dan bahasa Melayu bagi sesetengah pihak
yang dapat melihat dan menjangkakan implikasi penggunaan bahasa asing dalam
pengajaran subjek-subjek teras. Tidak dinafikan, sungguhpun ada golongan
yang cuba mempertahankan bahasa Melayu, golongan ini seakan terpencil dan kecil
bilangannya. Persepsi masyarakat sudah berubah. Bahasa Inggeris menjadi
prasyarat kemasukan ke kebanyakan pusat pengajian tinggi dan punyai nilai
kompetitif yang tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa. Tidak pula sebanding
dengan bahasa Melayu. Walaupun kedudukannya tinggi dalam perlembagaan, sebagai
bahasa Kebangsaan, dan diangkat menjadi bahasa rasmi dalam setiap agensi
kerajaan, realiti penggunaannya masih terbatas. Keindahan bahasa Melayu juga
semakin pudar kerana rata-rata masyarakat hari ini selesa menggunakan bahasa
rojak apabila berbicara. Bagaimana mahu generasi mendatang mempelajari nilai
dan budaya yang diwarisi sedari zaman gemilang kesultanan Melayu Melaka? Apatah
lagi pula mahu membawa pengaruhnya kepada perkembangan politik semasa?
Tanggungjawab institusi Raja-Raja Melayu yang dahulunya mentadbir negara
kini dipegang oleh kuasa legislatif kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
Nilai ketaatan kepada sultan yang tidak berbelah bagi pernah dianuti dan dipuji
oleh masyarakat Melayu dahulu hingga wujud sultan yang megah dengan konsep
daulat dan tulah. Sewenang-wenangnya melakukan apa yang disukai nafsu
serakah. Dalam buku Sejarah Melayu, cerita tentang Tun Fatimah yang kehilangan
ayahnya kerana dibunuh sultan (sungguhpun tanpa kesalahan) cukup untuk kita
renungkan. Sudahlah begitu, diri Tun Fatimah pula terpaksa menerima sultan si
pembunuh sebagai suami (lantaran sultan yang tertarik kepada
kecantikannya). Apa yang lebih menyedihkan tiada yang bangkit memperjuangkan
keadilan, menegakkan kebenaran pada ketika itu. Sultanlah pemerintah, sultanlah
undang-undang, sultanlah kebenaran. Isu ini dibangkitkan hanya setelah lama
sultan Melaka kehilangan takhta. Setelah dunia berubah memandang kekuasaan
semata-mata bukanlah kekuatan, harta dan kedudukan. Minda sekarang ini menjadi
aset utama.
Isu tentang kekebalan institusi beraja daripada undang-undang pernah
seketika mengheret Tun Dr. Mahathir keluar daripada parti UMNO. Namun nilai
sudah berubah. Sejarah panjang telah melahirkan manusia yang mahukan keadilan
sejagat. Salah perlu dinafikan. Benar perlu dipertahankan. Kesannya, hari ini
sukar untuk kita dapati golongan yang boleh bertindak sesuka hati. Biarlah
namanya sultan atau perdana menteri, jika berada di tempat yang salah,
kebenaran akan datang mengadili.
Tidak dinafikan terdapat juga coretan cerita tentang pemimpin yang adil
di sepanjang rentetan sejarah Melaka. Pemimpin dan pegawai yang saksama ditaati
dan disanjungi. Namun nilai ini nilai manusiawi. Tidak bermakna disebabkan oleh
wujudnya golongan terdahulu yang menghormati pemerintah adil maka apa yang
berlaku pada hari ini adalah pengaruh daripada peristiwa tersebut. Hal ini
tidak berkait secara langsung kepada perkembangan politik semasa. Mana-mana
manusia normal daripada mana-mana bangsa di mana-mana penjuru dunia sekalipun
akan punya perasaan yang sama. Menghormati yang adil dan saksama. Kecuali bagi
mereka yang egois sentiasa, gila kuasa serta tamak haloba.
Nilai yang diamalkan dalam urusan pentadbiran negara zaman Kesultanan
Melayu Melaka dengan Malaysia juga berbeza kesan daripada kewujudan kontrak
sosial antara kaum ini. Selain daripada kedudukan sultan yang berlainan dalam
hierarki pemerintahan, konsep perkongsian kuasa juga baru diimplementasikan.
Menteri-menteri kabinet terdiri daripada pelbagai bangsa dan hal ini memerlukan
nilai toleransi yang tinggi antara semua pihak agar kerjasama terbaik dapat
menghasilkan kerja terbaik dalam urus-tadbir negara. Kementerian-kementerian
yang wujud mengikut keperluan semasa juga membezakan antara dahulu dengan
sekarang. Nilai masyarakat yang telah berubah, seperti status kaum wanita
membawa kepada kewujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Komuniti dan Keluarga.
Semua ini adalah perkembangan politik semasa dalam mendepani cabaran semasa.
Nilai Islam dalam politik juga berbeza antara kedua-dua zaman yang
diperbandingkan. Undang-Undang Laut & Undang-Undang Melaka yang pernah
diguna pakai oleh kerajaan Melaka berdiri atas peruntukan undang-undang Islam;
hukum had, qisas, dan takzir. Contohnya dalam fasal 48 dan 30 kedua-dua
undang-undang ini ada menyebut tentang hukuman yang akan dikenakan kepada
pesalah zina seperti yang digariskan dalam peruntukan hukum had Islam. Fasal 5
Undang-Undang Melaka mengambil hukum qisas; kesalahan bunuh dibalas bunuh dan
hukum takzir pula terdapat pada fasal 5 Undang-Undang Laut dengan peruntukan
takzir kepada orang yang terlibat dengan hutang. Pengamalan hukum Islam ini
menyeluruh. Namun, Malaysia tidak lagi menggunakan undang-undang berdasarkan
peruntukan hukum-hakam Islam sepenuhnya. Malaysia sebaliknya punya peruntukan 2
undang-undang berasingan; sivil dan syariah. Banyak kes jenayah diadili dengan
hukuman sivil. Hukum syariah hanya terbatas dalam hal-hal perkahwinan dan
perceraian. Perbandingan ini jelas memperlihatkan akan perbezaan yang wujud
dalam pengamalan Islam dalam politik dahulu dan sekarang.
3.0
PENUTUP / RUMUSAN
Melaka telah mencapai zaman kegemilangannya selepas
kejatuhan Majapahit iaitu kira-kira pada tahun 1414 masihi. Pada ketika
itu, Melaka telah diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah. Baginda telah
berjaya meluaskan kuasanya di negeri sekitar Melaka. Ekspedisi peluasan
kuasa ini telah membantu menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan
yang terpenting di gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 15 dan awal abad ke
16. Sejak pengasasannya, Melaka telah mempunyai sistem pentadbiran yang
tersusun. Faktor ini menyebabkan Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang
terkenal. Kedudukan Melaka yang strategik iaitu di Selat Melaka telah
mendorong kepada perkembangan perdagangan di gugusan Kepulauan Melayu.
Kepesatan perdagangannya telah menarik minat kuasa Barat iaitu Portugis di
bawah pimpinan Alfonso De Alburqueque untuk menakluki Melaka pada tahun 1511.
Keagungan dan kemasyhuran Melaka sebagai pusat perdagangan pada awal abad ke-15
dan awal abad ke-16 memang tidak dapat dinafikan. Keagungan empayar perdagangan
Melaka mulai merosot setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Setelah
itu, Acheh telah menggantikan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan yang
maju di gugusan Kepulauan Melayu.
Secara ringkasnya, perbincangan ini telah menunjukkan bahawa nilai dalam
budaya, ekonomi, politik mahupun sosial dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka
mempunyai pengaruh terhadap perkembangan politik kontemporari tetapi tidak
secara langsung. Nilai-nilai dalam masyarakat berubah dengan berubahnya
beberapa faktor yang disebutkan sepanjang perbincangan ini. Nilai yang
diamalkan Malaysia adalah respons pemerintah kepada stimulus semasa. Nilai yang
terbentuk di kalangan masyarakat hari ini banyak terkesan dengan penjajahan
yang begitu lama. Hasilnya, ada nilai-nilai yang pernah hidup dalam masyarakat
dahulu kini telah berkubur tanpa nisan.
Bibliografi
[1] Bahasa Othman,
1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher &
Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 14.
[3] Barbara Watson
Andaya & Leonard Y. Andaya, 1983. Sejarah Malaysia. Petaling
Jaya: Macmillan, hlm. 17.
[5] Muhammad Yusoff
Hashim, 1989. Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 54.
[6] Prof.
Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Melaka, hlm. 78.
[8] Zainal
Abidin Abdul Wahid, 1996. MALAYSIA
: Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 36.
[14] Bahasa
Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher
& Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 35.
[16] Prof.
Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan
Melaka, hlm. 70
[18] Bahasa
Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher
& Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm, 50
[19] Bahasa
Othman, 1989, Melaka : Sejarah Awal Negara Kita, Marwilis Publisher
& Distributors Sdn.Bhd, Selangor, hlm. 53.
[21] Prof.
Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah
Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 80.
[22] Prof.
Khoo Kay Kim, Melaka dan Sejarahnya. Terbitan Persatuan Sejarah
Malaysia Cawangan Melaka, hlm. 100.
[25]Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1990. Pemikiran Umat
Islam di Nusantara : Sejarah dan Perkembangannya hingga abad ke- 19. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 14.
[30] Dr.
Ustaz Hj. Md. Zain Hj. Serudin, 1998. Melayu Islam Beraja : Suatu
Pendekatan. Brunei : Dewan Bahasa dan Pustaka, hl. 77.
[31] Mohd
Taib Osman, 1989. Masyarakat Melayu ( Struktur Urbanisasi ) dan
Manifestasi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 90.
[34] Tun Seri
Lanang, Sulalat al-Salatin(Perteturun Segala Raja-Raja)/Sejarah Melayu
Comments