HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

http://cdn.mobicow.com/feed/link/pub/18223/sub/15589 http://cdn.mobicow.com/feed/link/pub/18223/sub/15589

PENGENALAN

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang tersendiri di Malaysia. Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.

J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.

Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.

Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.

ANALISIS SEJARAH PENDUDUK MALAYSIA

Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).

Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.

Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.

Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.

Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).

Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).

Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.

Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

KESERASIAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.

1.1 Sebelum Merdeka


Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan seperti berikut: -

· Etnik Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung dan bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pertukangan dan sebagainya.

· Etnik Cina tertumpu di kawasan bandar dan bekerja di kawasan lombong, melibatkan diri dalam perniagaan runcit dan sebagainya.

· Etnik India tertumpu di kawasan estet dan lading-ladang. Bekerja sebagai penoreh, buruh binaan dan sebagainya.

Pada zaman pemerintahan Jepun pula, penindasan terhadap etnik Cina berlaku. Permusuhan ini adalah kesan daripada perang Jepun-China pada tahun 1937. Pihak Jepun menjaga hubungan baik dengan masyarakat Melayu dan orang-orang Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam pentadbiran. Pihak Jepun juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang India. Sistem pemerintahan Jepun yang berat sebelah telah mengundang permusuhan di kalangan etnik Cina dan Melayu. Etnik Cina aktif berpolitik dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. PKM berfungsi menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.

Parti politik Cina telah menyiksa orang-orang Melayu sebagai tanda membalas dendam setelah pihak Jepun berundur dari Tanah Melayu. Jurang di antara etnik pada zaman penjajahan adalah amat besar dan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pelbagai etnik di negara ini. Etnik Cina dan India berusaha ke arah mendapatkan taraf sama rata seperti etnik dominan Melayu. Secara tidak langsung, tindakan etnik Cina dan India telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan etnik Melayu sehingga tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946 dan Isu Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kemerdekaan ketiga-tiga etnik ini telah bersatu dan bekerjasama membentuk Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti UMNO, MCA dan MIC. Pembentukan ketiga-tiga jenis parti ini telah banyak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional di kalangan etnik di negara ini. Berikut adalah beberapa ciri-ciri parti politik UMNO, MCA dan MIC: -

· Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO diasaskan oleh Dato Onn Jaafar. UMNO ditubuhkan bertujuan untuk menentang Malayan Union dan berjuang menuntut kemerdekaan.

· Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MCA diasaskan oleh Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kepentingan Cina dan bekerjasama dengan etnik lain untuk mencapai kemerdekaan.

· Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah ditubuhkan pada Tahun 1949. MIC diasaskan oleh John Thivy. MIC ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum India dan memperjuangkan kemerdekaan bersama etnik lain.

Tidak dinafikan secara tidak langsung kedatangan Inggeris telah membawa kepada usaha-usaha perpaduan melalui tindakan pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Hubungan etnik juga amat baik semasa menentang komunis.

1.2 Selepas Merdeka


Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan untuk merapatkan hubungan etnik seperti berikut: -

· Dasar Pelajaran Kebangsaan


Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha untuk menyatupadukan murid-murid dari semua kumpulan etnik ke dalam satu sistem pelajaran yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Umumnya, dalam pendidikan usaha memupuk perpaduan dan persefahaman disalurkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Matlamat penting dasar ini adalah memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui elemen-elemen seperti berikut: -

ü Pertama, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

ü Kedua, menyediakan sukatan pelajaran yang sama kandungannya.

· Dasar Ekonomi Baru (DEB)

DEB termaktub dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama. DEB merupakan satu program jangka panjang yang mengambil masa selama 20 tahun. DEB dimulakan pada tahun 1970. Beberapa Matlamat utama DEB membantu dalam pembentukan integrasi nasional dalam pelaksanaannya adalah seperti berikut: -

ü Penyusunan semula masyarakat majmuk untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

ü Membasmi kemiskinan. Ketidakseimbagan ekonomi etnik berpunca daripada dasar pecah dan perintah Inggeris. Pengelasan etnik mengikut pekerjaan dan pelajaran telah menyebabkan interaksi etnik Melayu, Cina serta India kurang berlaku.

ü Mengurangkan ketidakseimbangan dalam gunatenaga supaya penyertaan etnik adalah seimbang.

· Dasar Pembangunan Nasional

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan kesinambungan kepada DEB yang berakhir pada tahun 1990. Program DPN meliputi perkara-perkara seperti berikut: -

ü Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

ü Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek.

ü Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi.

ü Menerapkan nilai sosial, kerohanian dan amalan cintakan alam sekitar.

ü Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan.

1.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 52 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Umpamanya, dalam Wawasan 2020 digariskan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi melibatkan hubungan etnik untuk menjadikan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diwujudkan bertujuan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Dalam wawasan ini, sembilan cabaran berkaitan dengan hubungan etnik dikenalpasti untuk dihadapi seperti berikut: -

ü Membentuk negara bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

ü Mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.

ü Membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik matang yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia unggul berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun.

ü Mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya dengan warganegara Malaysia mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta didorong oleh piawaian etika paling tinggi.

ü Mewujudkan masyarakat matang bersifat liberal dan bertoleransi dengan setaip rakyat bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing serta pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.

ü Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat berdaya cipta serta berpandangan jauh iaitu masyarakat yang bukan saja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

ü Membentuk masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat berbanding diri sendiri.

ü Membentuk masyarakat yang adil ekonominya iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.

ü Membentuk masyarakat makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan ada daya ketahanan.

2.0 HUBUNGAN ETNIK: PENCAPAIAN SELEPAS HAMPIR 50 TAHUN MERDEKA

Pencapaian negara selepas hampir 50 tahun merdeka sehingga kini jelas memperlihatkan perubahan cemerlang termasuklah dalam memupuk hubungan etnik di negara ini. Hubungan etnik yang baik dan harmoni menjadikan Malaysia cemerlang serta unik di mata dunia. Hubungan etnik dan pencapaian selepas hampir 50 tahun dapat dilihat dalam pelbagai perkara antaranya dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan agama.

2.1 Politik

Perlembagaan Malaysia banyak menyumbang kepada perpaduan etnik di negara ini. Melalui perlembagaan Malaysia, ketuanan Melayu selaku penduduk dominan di negara ini terpelihara dan pada masa yang sama kepentingan etnik lain tidak diabaikan sebaliknya wujud toleran untuk mereka hidup aman dan makmur di negara ini. Perlembagaan sentiasa dipinda dari masa ke semasa mengikut kepentingan sejagat dan menyeluruh. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), Tun Mohamed Suffian telah mengariskan ciri-ciri asas perlembagaan Malaysia seperti berikut[4]: -

ü Perlembagaan mengasaskan Malaysia sebagai sebuah persekutuan.

ü Sebagai negara raja berperlembagaan.

ü Sebagai negara demokrasi berpalimen.

ü Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama.

ü Perlembagaan memperuntukkan ketinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang.

ü Perlembagaan memperuntukkan pengasingan kuasa ketiga-tiga cabang kerajaan bermakna seluruh jentera pentadbiran bukan saja eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh cabinet serta seluruh birokrasi. Ketiga-tiga cabang adalah Parlimen, Eksekutif dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga mempunyai status sama dan tiada satu yang lebih tinggi di antara satu sama lain serta setiap satu mempunyai fungsi dan tanggungjawab berbeza.

ü Perlembagaan memperuntukkan sebuah badan kehakiman yang berasingan dan bebas daripada kawalam Parlimen dan Eksekutif malah mempunyai bidang kuasa eksekutif untuk menentukan pertikaian dan hak-hak serta liability lain dalam Perlembagaan.

Selepas 50 tahun merdeka kita dapati kesinambungan perkongsian pemerintahan terus berlangsung sehingga kini. Parti Perikatan UMNO, MCA dan MIC terus berlangsung sehingga kini walaupun wujud persaingan dengan parti pembangkang yang lain. UMNO didominasi oleh orang-orang Melayu, MCA didominasi oleh orang-orang Cina dan MIC didominasi oleh orang-orang India. Setiap etnik diwakili dalam pentadbiran negara. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan bahawa tiada sekatan untuk etnik-etnik lain selain etnik Melayu menceburkan diri dalam bidang politik.

Walaupun dalam bidang pentadbiran keutamaan diberikan kepada etnik Melayu namun etnik-etnik lain turut diberi peluang untuk mewakili etnik mereka melibatkan diri secara langsung dalam pentadbiran negara.

2.2 Ekonomi

Dalam rancangan pembangunan nasional, aspek etnik turut menjadi keutamaan. Pelbagai dasar dan program pembangunan dirangka dan dilaksanakan demi untuk mencapai kemajuan menyeluruh meliputi semua lapisan etnik di negara ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, terdapat rancangan lima tahun yang menjadi pemacu kepada misi nasional ke arah mencapai wawasan 2020. Di bawah pemerintahan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Rancangan Malaysia ke-9 merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk negara yang maju dari segi ekonomi, seimbang dari segi pembangunan sosial, memiliki masyarakat bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Terdapat lima teras yang menjadi misi nasional yang menyumbang kepada perpaduan etnik di Malaysia seperti berikut: -

ü Teras Pertama: Meningkatkan Nilai Tambah Dalam Ekonomi Negara

o Meningkatkan nilai tambah dalam sector pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.
o Menjana sumber kekayaan baru melalui ICT dan bioteknologi.
o Meningkatkan pewujudan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
o Menjadikan sektor swasta peneraju pembangunan ekonomi.
o Memperluas pasaran bagi produk dan perkhidmatan Malaysia.

ü Teras Kedua: Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama

o Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan.
o Memperkukuhkan keupayaan R&D, Sains dan Inovasi.
o Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.
o Memperkasakan belia dan wanita.

ü Teras Ketiga: Menangani Masalah Ketidaseimbangan Sosioekonomi Secara Membina dan Produktif

o Basmi kemiskinan.
o Memacu pembangunan wilayah.
o Mengurangkan jurang kekayaan.
o Penstrukturan semula pola pekerjaan.
o Membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera generasi baru.
o Mencapai pembangunan lebih seimbang dan bermakna.

ü Teras Keempat: Meningkatkan Tahap dan Kemampuan Kualiti Hidup
o Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan perbandaran.
o Menambah baik perkkhidmatan kesihatan.
o Menambah baik kemudahan prasarana pengangkutan.
o Menjamin bekalan tenaga mampan.
o Mempertingkat sistem pembekalan air dan menangani banjir.
o Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber mampan.
o Membangunkan sukan.
o Menjamin pertahanan negara dan ketenteraman awam.

ü Teras Kelima: Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan Keupayaan Pelaksanaan Negara

o Menggalakkan tadbir urus yang baik.
o Mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
o Pembangunan melalui kerjasama antarabangsa.

2.3 Budaya
Dari aspek budaya, wujud kebudayaan nasional yang menjadi asas perkongsian semua etnik tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah. Kebudayaan nasional menjadi asas kepada pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan etnik. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti berikut: -

ü Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal negara ini.

ü Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsure kebudayaan kebangsaan.

ü Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Antara amalan masyarakat Malaysia adalah rumah terbuka. Rumah terbuka diadakan oleh semua etnik apabila tiba musim perayaan. Semua etnik saling kunjung-mengunjungi antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama. Amalan ini memperlihatkan usaha pelbagai etnik untuk mencari keserasian dan kesamaan agar perayaan dapat dirayakan bersama. Contohnya Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Deepavali, Pesta Gawai dan Pesta Keamataan memperlihatkan usaha etnik-etnik bukan melayu serta bukan beragama Islam menyediakan hidangan dan makanan halal agar dapat diraikan oleh masyarakat daripada etnik Melayu. Sikap toleransi dan pertimbangan antara kaum jelas memperlihatkan keharmonian hubungan etnik terjalin kukuh, saling memahami dan menghormati budaya antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini jelas menunjukkan tentang integrasi sosial antara etnik walaupun berbeza budaya, agama dan bangsa.

2.4 Agama

Perpaduan hubungan etnik dapat dilihat dari aspek keagamaan. Amalan dan sikap toleransi beragama sehingga kini telah memupuk hubungan harmoni di kalangan etnik yang berbilang agama di negara ini. Di Malaysia, umumnya etnik Melayu beragama Islam, etnik Cina beragama Buddha dan etnik India beragama Hindu. Wujud juga beberapa etnik menganut agama Kristian. Agama Islam memberi penekanan kepada aspek keamanan, hubungan baik sesama umat manusia dan kebebasan dalam beragama. Surah Al-Baqarah ayat 256 menyatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam menganut agama, sesungguhnya telah jelas petunjuk itu daripada kesesatan”. Dalam Perlembagaan Malaysia juga dinyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama di kalangan etnik berbilang agama di negara ini.

HUBUNGAN ETNIK DAN CABARAN

Pelbagai usaha dirancang dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik. Umumnya, cabaran dibahagikan kepada dua elemen utama iaitu cabaran internal dan external seperti berikut: -

ü Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri dan memperjuangkan hak etnik masing-masing serta cuba menidakkan etnik Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini memberi cabaran hebat kepada hubungan etnik di negara ini. Tindakan pihak ketiga mencetuskan rasa tidak puas hati semua pihak yang pastinya mengundang kepada perpecahan.

ü Dasar “pecah dan perintah” oleh British memberi implikasi kepada hubungan etnik sehingga kini. Etnik Melayu, Cina dan India terasing dari segi penempatan dan jenis pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan interaksi di kalangan etnik amat kurang khususnya yang tinggal dalam wilayah berbeza. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia.

ü Sistem pendidikan yang tersendiri memperlihatkan tentang dominasi mengikut kepentingan etnik masing-masing. Pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu. Pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan. Pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar.

Hal ini menyebabkan interaksi antara etnik amat terhad dan interaksi hanya tertumpu dalam kumpulan etnik yang sama. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Hasilnya, masing-masing cuba mempertahankan bahasa ibunda. Termasuklah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Justeru itu, cabaran wujud dalam usaha membentuk suatu kesatuan sistem pendidikan bersepadu yang sesuai untuk semua etnik. Sistem pendidikan yang berbeza secara tidak langsung memberikan impak yang kurang baik kepada penstrukturan negara. Cabaran dalam aspek pendidikan harus dipandang serius oleh semua pihak kerana jika ini berlarutan akan wujud perasaan kekitaan di kalangan etnik masing-masing.

ü Cabaran dari aspek budaya juga harus diambil kira. Ini kerana bentuk penajajahan baru oleh kuasa-kuasa asing adalah melalui ledakan budaya. Masyarakat berbilang etnik terdedah kepada cara pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Aspek kepercayaan dan agama semakin dipinggirkan memandangkan terlalu memikirkan keseronokkan dunia.

ü Cabaran dari aspek ekonomi. Kepentingan etnik dari sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.

Penguasaan ekonomi yang berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi.
ü Cabaran dari aspek politik. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.

ü Cabaran dari aspek nilai-nilai etnik. Setiap etnik di Malaysia mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa, dan kebudayaan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan berbeza. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap etnik fanatik dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing. Kesannya, setiap etnik lebih mengutamakan anggota sendiri daripada etnik yang berbeza dalam memilih sahabat dan mendapatkan perkerjaan. Kesukaran untuk hidup dalam satu kelompok yang sama akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini kerana masyarakat pelbagai etnik mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan etnik-etnik lain memandangkan mereka terbiasa hidup dengan masyarakat dalam etnik yang sama.

ü Cabaran dari segi globalisasi. Semua etnik perlu berani menyahut cabaran globalisasi agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam bidang teknologi dan perkembangan komunikasi. Aspek cabaran globalisasi perlu diambil kira dalam memupuk semangat perpaduan etnik di Malaysia. Setiap perancangan dan pelaksanaan program perpaduan perlu mengambil kira cabaran globalisasi agar jurang di antara etnik dapat

Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?

Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama.Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu diuruskan.Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara.Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut. Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina keserasian antara kaum.Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal. Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik.Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah.Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara.Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya.Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.

RUMUSAN

Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing dan sehingga kini negara telah mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada negara secara tidak langsung. Termasuklah mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi kesan yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu. Diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Usaha untuk memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak.

Dalam era globalisasi terdapat banyak cabaran yang mampu menggugat perpaduan di kalangan etnik di negara ini. Isu-isu internal dan external menyumbang kepada kegoyahan hubungan etnik jika tidak ditangani dengan bijak. Kestabilan ekonomi dan politik merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik. Perpaduan yang dikecapi pada hari ini perlu dihargai agar terus dirasai oleh generasi akan datang. Kegagalan mengekalkan perpaduan memudahkan dominasi negara-negara lain untuk menakluki negara kita. Semua etnik tanpa mengira batas agama, budaya dan adat perlu belajar daripada sejarah agar sejarah penjajahan yang telah berlangsung lebih dari seratus tahun tidak akan berulang. Cabaran era globalisasi hadir tanpa mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu bijak dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang. Keupayaan sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu menjadikan negara berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain.

BIBLIOGRAFI

1.Abdul Latiff Abu Bakar. (1996). Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia. Institut Kajian Sejarah Malaysia Cawangan Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka (diterbitkan bersama Universiti Malaya, Kuala Lumpur)

2.Abdul Rahim Abu Bakar. (2001). Kelangsungan Hidup Bahasa Melayu Sebagai Tonggak Negara Barat Dalam Gelombang Globalisasi. Dewan Bahasa. Oktober 2001, Jilid 1 Bil.10

3.Ann Wan Seng. (1994). Perayaan Orang Cina. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Arena Wati. (1978). Pribumi Sabah (Kadazan/Dusun). Yayasan Sabah. Kota Kinabalu.

4.Asmad. (1990). Seni Kehidupan & Kemasyarakatan. Melaka. Associated Educational Distributors (m) Sdn. Bhd.

5.Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang. Penerbit Universiti Putra Malaysia

6.Azman Anuar. (2009). Lebih 50 Tahun Pupuk Perpaduan.



Comments

Unknown said…
sy copy year..untuk dijadikan rujukan
Mahadee said…
Satu tulisan yang bagus dan menarik...saya copy ya untuk tujuan perkongsian ilmu
Unknown said…
salam, mohon copy untuk tujuan rujukan

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA