PENGGUNAAN BAHASA TIDAK SANTUN DALAM BIDANG POLITIK. BAGAIMANA KITA MENGATSINYA?

http://cdn.mobicow.com/feed/link/pub/18223/sub/15589
PENGENALAN
Kata santun diberi makna dalam Kamus Dewan sebagai ‘halus (budi bahasa atau budi pekerti), beradab, sopan’. Oleh itu, kata kesantunan berkaitan dengan sifat kehalusan budi bahasa atau budi pekerti dan kesopanan.  Kesantunan bahasa, secara umum, merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi salah satu ciri penting bangsa yang bertamadun. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang telah wujud sejak sekurang-kurangnya dua alaf atau dua ribu tahun lalu telah mempunyai tradisi perbahasaan yang halus dan memancarkan adab bangsa Melayu. Asasnya menjadi lebih teguh dan jelas apabila agama Islam disebarkan di Kepuluan Melayu dan menjadi mercu tanda kebangkitan tamadun baharu yang bersendikan tauhid dan syariat sempurna Din al-Islam. Akhlak Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.a sebagai akhlak al-Qur’an menjadi asas akhlak dan kesantunan umat Melayu Islam, termasuk dalam aspek kesantunan bahasa. [1]
Asmah (2002) mendefinisikan santun bahasa sebagai penggunaan bahasa berpandukan peraturan tertentu, yang pada amnya ada tiga jenis peraturan penggunaan bahasa; iaitu peraturan lingustik, peraturan sosiolingustik dan peraturan pragmatik. Kepatuhan pada peraturan itu menunjukkan bahawa penggunaan bahasa bercirikan santun bahasa. Peraturan lingustik adalah peraturan yang memastikan keteraturan sebutan dan nahu dalam penggunaan bahasa. Peraturan sosiolingustik pula adalah peraturan yang mengawal ketertiban social individu yang berinteraksi antara satu sama lain, sama ada secara bersemuka seperti dalam perbualan atau dialog, mahupun interaksi secara tidak setara, iaitu komunikasi antara penulis dengan pembaca.[2]. Aspek pragmatik pula memberi tumpuan tujuan penggunaan bahasa iaitu kesan yang ingin disampaikan dan tindakan lanjutan daripada kesan tersebut (Salinah, 2005).[3]
            Nik Safiah (1981) menjelaskan kesantunan dapat dilihat apabila seseorang itu berkomunikasi dengan orang lain dengan melihat bahasa yang digunakan, iaitu sama ada bahasa berbentuk kasar atau bahasa berbentuk halus. Penggunaan kata gantinya pula ada yang berbentuk kasar dan halus juga. Bahasa berbentuk halus ialah bahasa yang sopan dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Kata ganti pula digunakan mengikut taraf seseorang penutur dengan penutur yang lain. [4] Tegasnya dalam masyarakat Melayu, konsep santun atau kesopanan bermaksud sopan, iaitu tingkah laku, tutur kata, adat sopan santun, tatasusila, tingkah laku (tutur kata) yang baik dan keadaban (Kamus Dewan, 1991). [5] Menjadi satu nilai kesantunan yang amat tidak santun apabila pemimpin bercakap secara tidak bersopan dengan pemimpin yang lain semasa menjalankan perbincangan di Dewan Parlimen. Sebagai contohnya, apabila pemimpin berbincang isu politik antara satu sama lain di Dewan Parlimen, pemimpin tersebut seharusnya menggunakan kata sapaan yang sopan serta tidak menggunakan kata-kata kasar seperti Eh, Kau dan lain-lain lagi. Sebagai contoh Gobind digantung tanpa gaji selama 12 bulan pada 16 Mac, 2009 kerana menghina Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee dan menggelar Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu timbalan perdana menteri, seorang pembunuh.[6]
Kesantunan bahasa juga meliputi lingkungan yang luas, iaitu mencakupi bahasa bukan verbal, seperti bahasa muka, bahasa badan dan lain-lain. Dengan perkataan lain, kesantunan bahasa secara umum merujuk penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya (Awang Sariyan, 2007). [7]

ISI
Sering kali, kita dapat menyaksikan keriuhan berlaku di parlimen akibat penggunaan bahasa yang mengetepikan nilai kesantunan berbahasa ini. Dalam komunikasi, baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan, kita bukan sahaja dituntut menggunakan bahasa yang baik, tetapi juga mengikut norma-norma budaya. Masalah bahasa dalam komunikasi politik yang turut melibatkan ahli politik ini sebenarnya bukan sahaja menyangkut kepandaian bercakap yang harus menaati kaedah atau aturan bahasa yang ditetapkan, tetapi juga berkaitan dengan keperluan mematuhi etika berbahasa yang santun dan bertanggungjawab. Pengetahuan tentang norma-norma budaya dalam masyarakat penting kerana penggunaan bahasa yang mematuhi norma-norma budaya akan menghasilkan bahasa yang santun. Komunikasi politik golongan tertentu akhir-akhir ini, bukan sahaja tidak mengendahkan norma atau aturan berbahasa, tetapi juga mengabaikan nilai-nilai luhur budaya bangsa.
Kita sering kali dapat memerhatikan penggunaan kata-kata yang kasar dan kesat, serta bahasa yang tidak terkawal yang dapat menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan pertengkaran atau pergaduhan. Kata-kata yang menghina, mengata, memaki-hamun, atau menyumpah-seranah semakin banyak ditemukan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Malah, penggunaan kata-kata makian seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan. Komunikasi politik golongan tertentu yang sarat dengan kata yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan ini jelas memperlihatkan betapa kurang bertanggungjawabnya mereka terhadap bahasa dan penggunaannya.

Komunikasi politik itu tampaknya telah ‘menghalalkan’ segala bentuk bahasa. Dalam setiap kali pilihan raya, misalnya, kita dapat melihat bertebaran kata ‘mengancam’, ‘mengugut’, ‘mengata’, ‘menfitnah’, ‘memaki’, dan ‘menghamun’ yang mendorong perpecahan bangsa. Bahasa digunakan sebagai alat untuk menyemai kebencian dan memecah-belahkan masyarakat. Keadaan sedemikian pasti membimbangkan kita. Komunikasi politik seharusnya ikut mengembangkan bahasa Melayu, bukan sebaliknya memusnahkan fungsi bahasa Melayu sebagai sarana untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban.

Faktor-faktor Yang Menyebabkan Berlakunya Bahasa Tidak Sopan
Faktor bermaksud unsur atau penyebab yang menyumbang kepada sesuatu hasil. (Kamus Dewan,2002:348).[8]  Oleh itu tercetusnya fenomena bahasa tidak sopan di kalangan masyarakat Malaysia pada masa kini disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor-faktor ini juga boleh dibahagikan kepada faktor dalaman dan faktor luaran.
Faktor dalaman adalah merupakan yang faktor terbit daripada individu itu sendiri iaitu seperti pengaruh dan didikan keluarga serta emosi dan sikap. Kebanyakan ibubapa masa kini bekerja sepenuh masa. Lantaran kesibukan dan kesuntukan masa, maka hak penjagaan dan didikan anak-anak kurang dititikberatkan sebaliknya ada yang menyerahkan sepenuh tanggungjawab ini kepada penjaga anak-anak mereka seperti pembantu rumah atau pengasuh. Lebih menyedihkan kerana terlalu mengejar kebendaan dan mementingkan kerjaya ada pihak yang sanggup meninggalkan anak-anak mereka kepada ibu bapa yang telah tua di kampung. Sikap sambil lewa dan tidak mengambil berat inilah yang menjadi punca kewujudan sifat-sifat negatif dalam diri anak-anak.  Anak-anak umpama kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapalah yang berperanan untuk mencorakkan kain itu agar menjadi corak yang cantik dan sempurna. Begitulah juga dengan jiwa anak-anak yang lembut dan halus. Mereka mudah untuk dibentuk dan tersentuh.  Sikap tidak peduli dan tidak bertanggungjawab ibu bapa ini akan menyebabkan sesebuah keluarga itu kurang kemesraan dan kasih sayang. 
Faktor seterusnya ialah sikap dan emosi penutur itu sendiri turut menjadi punca kepada fenomena bahasa kurang sopan ini.  Contohnya sikap suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan diri dan ego akan menimbulkan rasa sombong  dan angkuh dalam diri individu.  Apabila ini berlaku, individu tersebut lebih cenderung untuk menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat apabila berinteraksi dengan orang lain. Sikap hormat - menghormati dan beradab sopan dengan orang lain akan turut terhakis dari dalam diri individu tersebut. Seseorang yang mempunyai emosi yang tidak stabil, jiwa yang resah, kusut dan tidak terkawal juga akan cenderung mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan terhadap orang lain.  Ini mungkin disebabkan oleh perasaan rendah diri atau marah akibat dihina atau dimarah. Justeru itu, mereka cuba untuk melepaskan perasaan marah dan tidak puas hati yang terpendam dengan melafazkan kata-kata kasar, kesat dan sebagainya tanpa memikirkan kesan daripada kata-kata tersebut boleh menyinggung perasaan orang lain.
Faktor luaran yang mempengaruhi penggunaan bahasa tidak sopan ini ialah seperti pengaruh rakan sebaya, persekitaran, media massa dan politik negara. Rakan sebaya merupakan orang yang paling hampir dengan kita selain ibu bapa dan kaum keluarga.  Remaja yang terdedah dengan kehidupan yang terlampau bebas akan menjadikan rakan sebaya mereka sebagai individu yang penting dalam hidup mereka.  Pergaulan yang bebas dengan rakan sebaya yang bermasalah akan menyebabkan mereka akan turut terpengaruh dengan gejala yang kurang baik. Kebiasaannya golongan ini akan menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat apabila berkomunikasi sesama mereka.  Lebih membimbangkan apabila ada di kalangan remaja tidak segan silu menggunakan bahasa - bahasa lucah apabila bercakap.  Sekiranya tingkah laku ini tidak dibendung pastinya akan menjadi teladan dan ikutan golongan anak-anak kecil ataupun adik-beradik mereka pula.
Persekitaran bermaksud apa yang ada di sekeliling kita.  Pengaruh persekitaran biasanya disumbangkan oleh masyarakat dan kehidupan sosial yang berlaku dalam sesuatu komuniti itu. Komuniti bermaksud kumpulan orang atau masyarakat yang tinggal di suatu daerah atau negara dan mempunyai sifat-sifat atau kecenderungan dan kepentingan yang sama.  Masyarakat kita terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.  Begitu juga dengan  bahasa Melayu yang terdiri daripada pelbagai variasi bahasa. Variasi bermaksud kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dialek merupakan satu contoh variasi bahasa. Dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan mengikut sesuatu daerah atau kelas sosial. (Abdullah Yusuf. 2010). [9] Seseorang penutur bahasa akan menggunakan dialek mengikut daerah asal atau tempat tinggalnya untuk berkomunikasi. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan berlaku apabila penutur dialek dari daerah yang berlainan saling berkomunikasi menggunakan dialek daerah sendiri.  Akibatnya wujud ketidakfahaman dan salah faham terhadap makna yang ingin disampaikan.  Contohnya bagi dialek Kedah penggunaan kata gantinama ‘aku’,’hang’,’hangpa’ menunjukkan panggilan yang mesra dan hubungan yang rapat.  Akan tetapi bagi penutur dialek dari negeri seperti Selangor dan Johor menganggapnya sebagai satu perkataan atau panggilan yang agak kasar dan kurang sopan.  Begitu juga ungkapan perkataan ‘celaka’ yang dianggap kesat dan keterlaluan bagi penutur negeri lain, tetapi dianggap sebagai satu ungkapan yang biasa di kalangan masyarakat negeri Melaka.
Selain itu, media massa juga merupakan penyumbang penting terhadap corak kehidupan dan tingkah laku sosial anak-anak muda masa kini. Jenis-jenis media ialah seperti saluran televisyen, internet,  radio, suratkhabar, majalah, buku-buku dan sebagainya. Malaysia kini telah mempunyai pelbagai saluran televisyen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta . Saluran-saluran ini pula berlumba-lumba menyiarkan berbagai-bagai rancangan yang bertujuan menarik perhatian para penonton.  Persaingan ini lebih mengutamakan keuntungan tanpa memikirkan kualiti dan mutu rancangan yang disiarkan. Penggunaan bahasa tidak sopan juga amat berleluasa dan seakan di pandang remeh oleh pihak stesen televisyen.  Contohnya seperti rancangan “Lu Pikir La Sendiri’ yang dikelolakan oleh pelawak muda tanah air iaitu Nabil mempunyai pengaruh bahasa tidak sopan yang amat ketara.  Tajuk rancangan itu sendiri telah menunjukkan penggunaan bahasa yang tidak sopan.  Lebih menyedihkan apabila bahasa-bahasa yang digunakan menjadi ikutan ramai terutama golongan anak-anak sekolah. 


Cadangan Langkah Mengatasi  

 Pepatah melayu ada menyatakan bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Ini bermakna mendidik anak-anak perlulah dari kecil kerana anak-anak yang dilahirkan umpama kain putih, ibu bapalah yang berperanan untuk mewarnainya.   Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak. Bagi menangani fenomema masalah penggunaan bahasa tidak sopan ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing anak-anak dalam membentuk cara berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang sopan dan teratur Ibu bapa perlu bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.  Mereka juga perlu memantau aktiviti dan cara pergaulan anak-anak mereka.  

Sekiranya terdapat ciri-ciri negatif dan penggunaan bahasa yang kurang sopan di kalangan anak-anak , ibu bapa perlulah berusaha menegah agar hal itu tidak berterusan. Teguran dan nasihat hendaklah sentiasa diberikan supaya anak-anak dapat membezakan tentang bahasa yang sopan dengan bahasa yang tidak sopan .  Ibu bapa juga perlu menggunakan bahasa yang baik dan sopan apabila berkomunikasi dengan anak-anak.  Ini menyebabkan anak-anak akan merasa lebih disayangi dan dihargai. Ahli keluarga lain mesti mengamalkan pertuturan yang bersopan dan berhemah antara satu sama lain.  Ini merupakan contoh dan pengaruh yang baik terhadap anak-anak.  Apabila anak-anak sentiasa didedahkan dengan penggunaan bahasa yang baik dan sopan, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan penggunaan bahasa-bahasa yang kasar dan kurang sopan.

Peranan guru adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dari emosi, jasmani, fizikal dan rohani.  Justeru dalam usaha membendung gejala penggunaan bahasa tidak sopan ini, peranan guru khasnya guru bahasa Melayu perlu memberi penekanan dalam aspek kemahiran lisan dalam kemahiran berbahasa.  Penekanan harus diberikan tentang aspek-aspek pertuturan yang bertatasusila, lengkap dan tersusun.  Penerapan nilai-nilai murni juga perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Pembentukan moral dan sahsiah yang baik juga perlu ditekankan melalui pengajaran Pendidikan Agama lslam dan Moral.  Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berkeperibadian tinggi dan berakhlak  mulia.

Media massa merupakan medium yang paling sesuai untuk memain peranan dalam menangani fenomena bahasa tidaka sopan ini.  Ini adalah kerana media massa merupakan ejen penyampai yang paling berkesan dalam menyampaikan maklumat terkini kepada orang ramai. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh media elektronik khasnya seperti televisyen, radio dan seumpamanya ialah dengan menyiarkan rancangan-rancangan yang menggunakan bahasa-bahasa yang baik dan sopan. Media cetak juga perlu memainkan peranan yang serupa dalam membenteras isu ini.  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamus Dewan, akhbar-akhbar dan majalah perlu lebih aktif mengeluarkan bahan-bahan untuk  panduan dan  rujukan orangramai tentang tatacara penggunaan bahasa yang sopan
Kerajaan merupakan jentera paling penting dalam sesebuah negara.  Dalam menangani fenomena bahasa tidak sopan ini, kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini.  Contohnya, mengadakan kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran orangramai tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul.  Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan telah pun melancarkan “Bulan Bahasa Kebangsaan” pada setiap tahun. Pihak kementerian yang berkaitan juga boleh menubuhkan sebuah lembaga penapisan yang bertujuan menapis bahan-bahan untuk tayangan stesen-stesen radio dan televisyen bagi memastikan rancangan-rancangan yang ingin ditayangkan menepati syarat-syarat wajib tayang serta mematuhi nilai-nilai budaya dan kesantunan bahasa Melayu.  Contoh yang sedia ada ialah FINAS (Lembaga Penapisan Filem Negara) yang berperanan menapis filem-filem yang ingin ditayangkan di negara ini agar menepati syarat wajib tayang yang telah ditetapkan. Pihak kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang dengan mengadakan satu akta tentang penggunaan bahasa tidak sopan di khalayak umum. Melalui akta tersebut, individu yang mengeluarkan atau mengucapkan kata-kata yang tidak sopan di khalayak umum boleh di denda dan dikenakan hukuman.  Ini bertujuan untuk membenteras penggunaan bahasa tidak sopan  yang semakin berleluasa dan sukar di bendung. Dalam dewan negara, terdapat seorang Yang Dipertua Dewan negara dan timbalannya. Mereka dipilih daripada kalangan dewan juga untuk mempengerusikan mesyuarat dewan setiap kali persidangan diadakan. Yang dipertua dewan negara juga tertakluk kepada tugas-tugas tertentu antaranya ialah mempengerusikan dewan negara, memastikan ahli-ahli dewan negara mematuhi tatatertib dewan negara, menjadi jurucakap bagi dewan negara dan mengenakan tindakan disiplin dan  tatatertib terhadap  ahli-ahli dewan yang tidak mengikuti tatatertib yang dibuat.



RUMUSAN/KESIMPULAN
Bahasa merupakan satu alat untuk manusia berkomunikasi antara satu sama lain. Tanpa bahasa, manusia adalah bisu dan hanya boleh berinteraksi melalui bahasa isyarat atau bahasa badan.  Bahasa juga melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara. Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita. Berbagai-bagai usaha telah dijalankan bagi menjamin kedaulatan serta memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.  Namun begitu, kita juga tidak terlepas daripada menghadapi rintangan dalam mengekalkan usaha-usaha tersebut. Antara rintangan tersebut ialah penggunaan bahasa tidak sopan yang semakin menular  umpama satu wabak yang amat merbahaya. Fenomena penggunaan bahasa tidak sopan merupakan satu gejala alaf baru yang bakal menggugat kedaulatan bangsa dan menghakis nilai-nilai kasantunan bahasa Melayu sekiranya tidak di bendung dengan sewajarnya. 

            Usaha  pelbagai pihak daripada semua peringkat masyarakat adalah perlu bagi memastikan kejayaan dicapai.  Kesedaran di kalangan masyarakat tertutama ahli parlimen atau wakil rakyat tentang kepentingan bahasa yang sopan perlulah dipertingkatkan kerana mereka adalah pemimpin dan menjadi contoh ikutan masyarakat am.  Penggunaan bahasa yang bertepatan, sesuai dan betul akan memberi kesan dan makna yang mendalam untuk menyampaikan sesuatu maksud semasa kita berkomunikasi dengan orang lain.  Memahami apa yang disampaikan menjadikan individu yang di lawan cakapnya merasa dihargai dan gembira. Ini menandakan bahawa proses komunikasi itu berjaya  Kemakmuran dan keharmonian sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya yang memartabatkan kedaulatan bangsa dan menjaga tatasusila dalam budaya kehidupan yang dilalui.
Oleh itu, pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan kesedaran golongan ini tentang tanggungjawab masing-masing terhadap bahasa dan berbahasa. Dengan kesedaran ini, mereka diharapkan akan akan lebih bertanggung jawab dalam menggunakan bahasa, mengawal diri agar tidak mudah meluncurkan kata-kata yang kesat, kasar, dan cabul. Bahasa sebagai alat komunikasi harus dipastikan terus memegang peranan penting sebagai saranan komunikasi yang dapat meningkatkan kefahaman dan rasa kebersamaan.































RUJUKAN :

 [1] Awang Sariyan, Ph.D Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia [Kertas kerja untuk Ceramah Bahasa bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan Singapura 2012, anjuran Kelab Masyarakat Fuchun, dengan kerjasama Majlis Bahasa Melayu Singapura, pada 14 Julai 2012]
[2] Asmah Hj. Omar.  2002.  Setia dan Santun Bahasa.  Tanjung Malim:  Penerbitan Universiti Perguruan Sultan Idris.
[3] Salinah Ja’afar. (2005). “Kesantunan Bahasa: Pertembungan antara Budaya Melayubukan Melayu dan Islam-Bukan Islam” dlm. Jurnal Peradaban 3. 2005.
[4] Nik Safiah Karim. (1981). Beberapa Persoalan Sosiolingustik Melayu. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
[5] (Kamus Dewan, 1991).
[7] Awang Sariyan, 2007. Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
[8] (Kamus Dewan,2002:348)
[9] Abdullah Yusuf. 2010. HBML3403. Linguistik dan Sosiolinguistik. Selangor Darul Ehsan: Meteor Doc.Sdn.Bhd.


Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA