Skip to main content

Jadi Pemimpin Bukan Kebanggaan Tapi AMANAH



(GAMBAR CONTOH PEMIMPIN :KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN  AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA'IN BILLAH




MENJADI pemimpin bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi amanah yang diberikan oleh Allah untuk berbakti kepada yang dipimpin. 

SANGGUP melakukan apa sahaja asalkan mendapat jawatan. Itulah realiti fenomena yang berlaku dalam kalangan masyarakat termasuk umat Islam pada masa kini bagi mengejar kuasa dan pangkat lebih-lebih lagi untuk dilantik sebagai pemimpin.
Oleh kerana dibayangi kedudukan dunia itu, ramai yang dilihat seakan-akan tidak mengendahkan bahawa kepimpinan adalah tuntutan utama dalam ajaran Islam yang perlu diberikan perhatian.
Hakikatnya, kepimpinan adalah isu yang besar dan serius, kerana kepimpinan yang baik bakal membawa kemakmuran serta keamanan kepada negara, manakala kepimpinan yang buruk dan zalim bakal memporak-perandakan negara.
Kepentingan kepimpinan ini terbukti apabila Rasulullah SAW mengesyorkan agar dilantik seorang pemimpin ketika bermusafir walaupun dalam kumpulan yang kecil.
Baginda turut menggambarkan bahawa semua individu Muslim itu dianggap sebagai pemimpin dan dipertanggungjawab terhadap mereka yang berada bawah kepimpinannya.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya:
“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin.” - Riwayat Bukhari
Berdasarkan pengertian hadis tersebut, kedudukan kepimpinan dalam Islam bermula daripada memimpin diri sendiri dan seterusnya meningkat kepada tanggungjawab terhadap kepimpinan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Kepimpinan perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab, adil dan amanah kepada setiap golongan yang dipimpin.
Firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat,” (al-Nisa’ 58)
KEKUATAN JASMANI
Bagi merealisasikan tanggungjawab kepimpinan, ulama menetapkan beberapa syarat dalam menentukan kelayakan seseorang pemimpin, antaranya ialah:
1. Keupayaan jasmani,
2. Pengetahuan undang-undang
3. Kelayakan ilmu
4. Adil
5. Menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.
Menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa: “Seorang pemimpin itu hendaklah mempunyai pemikiran tajam untuk menjaga siasah umat, pentadbiran menjamin kemaslahatan, berani, berupaya mempertahan negara dan berjihad menentang musuh.”
Islam juga menggariskan ciri-ciri kepimpinan yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah ‘al-Qawiyul Amin’ seperti mana firman Allah dalam surah al-Qasas, ayat 26: bermaksud:
“Sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah,”
Kuat
Bermaksud mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan kesihatan, kemampuan berfikir serta menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti tinggi, mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan melaksanakan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.
Amanah
Bermaksud seorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin, jujur dan tidak memungkiri janji.
Dalam bahasa yang mudah
  • Kalimah ‘qawiy’ merujuk kepada nilai kompetensi
  • Amanah difahami sebagai nilai integriti.
Selain daripada kuat dan amanah, pemimpin yang baik adalah mereka yang memiliki ciri-ciri keislaman dan ketakwaan. Pemimpin sebegini akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka kerana yakin bahawa setiap tindakan yang diambil bakal dipertanggungjawab di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.
WAJIB TAAT PEMERINTAH
Negara hari ini menyaksikan pembentukan kepimpinan barisan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan yang akan menentukan arah tadbir demi keamanan dan pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
Justeru sebagai rakyat, wajib mentaati pemimpin yang adil sebagaimana disepakati majoriti ulama tafsir dan fuqaha.
Perintah taat kepada pemerintah bukan datang daripada pemerintah tetapi Allah:
Firman Allah maksudnya: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu,” (An-Nisa: 59)
Berdasarkan ayat ini, Imam Nawawi menjelaskan bahawa rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah.
Selain itu, hubungan antara umara (pemimpin) dan ulama sememangnya tidak wajar dipisahkan. Bahkan umara perlu menjadikan ulama sebagai rujukan dalam menjalankan sistem pemerintahan atau melantik ulama iaitu cendekiawan Muslim.
Apatah lagi dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam. Banyak hal dalam pentadbiran negara yang memerlukan kepada pandangan dan ijtihad ulama. Di sinilah pentingnya hubungan akrab antara dua institusi ini.
Ini sebagaimana digambarkan melalui sabda Rasulullah SAW mafhumnya:
“Ada dua golongan antara umat manusia yang apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah seluruh manusia (masyarakat), dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia (masyarakat), iaitu ulama dan umara’.” – Riwayat Abu Nu’im

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA