SCCA 2083 UNDANG – UNDANG DALAM KOMUNIKASI
1.0
Pengenalan
Dalam era globalisasi dengan kemajuan sains dan
teknologi telah mendatangkan kemudahan dan kesenangan dalam melakukan urusan
seharian mahupun urusan kerja. Namun begitu keburukan dan bahaya juga tidak
dapat dielakkan. Ini berlaku apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab
telah menyalahgunakan kemajuan sains dan teknologi demi memenuhi kepentingan
diri dan keuntungan. Kemudahan siber merupakan antara kemajuan sains dan teknologi
yang terdedah kepada penyalahgunaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Penyalahgunaan
inilah yang mewujudkan satu bentuk jenayah iaitu jenayah siber.
Jenayah siber telah menjadi penyumbang tertinggi
dalam kes-kes jenayah di Negara- negara maju seperti Negara-Negara Eropah,
Amerika Dan Jepun[1]. Jenayah siber
tidak seperti jenayah-jenayah lain yang mempunyai bukti-bukti fizikal bagi
memudahkan analisis mencari penjenayah. Biasanya jenayah siber melibatkan
jenayah komersial seperti “rompakan” atau pemindahan wang yang banyak kepada
akaun penjenayah[2]. Jenayah siber merupakan suatu bentuk perlakuan jenayah
yang menggunakan sebarang jenis peranti elektronik melalui sambungan
perkhidmatan internet yang membolehkan sesebuah perlakuan jenayah dilakukan
sama ada ia melibatkan seseorang individu atau sekumpulan orang serta mampu
menjangkaui batasan dari sesebuah negara ke negara yang lain dalam tempoh masa
yang singkat dan tidak terhad batasan. Jenayah siber menyebabkan berlakunya
kepada kehilangan atau kerosakan kepada peralatan, data dan maklumat yang
melibatkan sesebuah perisian mahupun pemprosesan komputer sama ada serangan
virus, pencerobohan (unauthorized access and use) serta kecurian maklumat
terhadap sesebuah komputer atau peranti elektronik yang dijadikan sasaran[3].
Jenayah siber
merupakan suatu bentuk jenayah moden yang wujud pada zaman ini di mana ia tidak
lagi seperti jenayah pada zaman dahulu yang hanya terhad kepada persekitaran
fizikal sahaja, namun kini ia telah menjangkau kepada perlakuan jenayah melalui
alam siber dengan menggunakan teknologi komputer. Lapangan jenayah siber adalah
lebih luas berbanding jenayah konvensional kerana ruang lingkup yang mampu
dicapai dengan sebuah jenayah siber adalah sangat luas di samping dengan proses
pendakwaan yang agak sukar. Jenayah siber yang wujud pada hari ini tidak lagi
terbatas hanya dengan menggunakan komputer sebagai alat dalam melakukan jenayah,
sebaliknya jenayah siber pada hari ini juga boleh ditakrifkan dengan jenayah
yang berlaku di internet mahupun alam siber yang melibatkan penipuan dan helah
tipu daya.
Tahap keseriusan berkenaan ancaman siber ini dapat
dilihat apabila wujudnya pelbagai akta serta undang-undang yang melibatkan
siber dan komputer yang digubal dan sering dibahaskan dalam menyesuaikan dengan
peredaran kemajuan teknologi dan komunikasi yang kian membangun dengan pesat
yang turut mengundang pelbagai ancaman di sebalik kemudahan yang dibawa. Di
samping mewujudkan sebuah Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT)
yang berperanan dalam memberikan khidmat rujukan dan informasi kepada masyarakat
Malaysia dalam mendepani kes-kes berkaitan dengan keselamatan komputer.
Jenayah siber berbeza dengan jenayah fizikal yang
lain seperti membunuh, merompak dan mencuri di mana ia kadangkala masih boleh
dilihat dan dikesan dengan nyata penjenayah serta perbuatan jenayah yang
dilakukan dan lebih buruk lagi untuk mengesan lokasi operasi penjenayah
terutamanya jika penjenayah berada di luar Malaysia dan ia dilihat sebagai satu
cabaran dan masalah penipuan siber sukar diatasi. Jenayah siber memberi ancaman
yang sangat besar kepada pengguna dan turut dilihat sebagai satu bentuk cabaran
dan jenayah alaf baru yang tidak seperti mana jenayah pembunuhan yang boleh
dikemukakan senjata sebagai bukti sebaliknya jenayah siber hanya menggunakan
komputer mahupun peranti electron dan melibatkan banyak pihak dalam pendakwaan
di samping pakar-pakar yang terlibat dalam pendakwaan.
Realiti
jenayah siber di Malaysia.
Jenayah siber merupakan antara jenayah-jenayah yang
berlaku di Malaysia. Berikut adalah berberapa bentuk jenayah siber dalam skop
kehartaan berdasarkan realiti jenayah siber di Malaysia:
1.
Hacking
Hacking atau penggodaman merupakan suatu tindakan
mengakses sesebuah komputer tanpa mendapat sebarang kebenaran atau izin dari
pihak bertanggungjawab yang ditugaskan mahupun kebenaran daripada pemilik
sesebuah komputer. Penggodaman kebiasaannya dilakukan oleh individu yang
mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi berkenaan dengan ilmu
pengaturcaraan komputer yang membolehkan mereka untuk melakukan penggodaman
dengan mencari di manakah titik kelemahan sesebuah komputer mahupun perisian
yang membolehkan baginya untuk menceroboh sistem keselamatan serta mengakses sistem
tersebut. Apabila seseorang penggodam (hackers) berjaya menceroboh mahupun melumpuhkan
sesebuah sistem komputer, kebiasaannya mereka akan menyalin maklumatmaklumat
sulit dan penting, memadam atau mengubahsuai mana-mana kandungan maklumat atau
sistem program yang tersimpan di dalam sesebuah komputer mahupun yang lebih
parah lagi apabila mereka mencuri wang atau membuat pesanan barang melalui
sistem computer yang dicerobohi dan barang tersebut dihantar kepada mereka
sendiri. Kesan yang buruk jelas kelihatan daripada penggodaman ini apabila
ia menyebabkan kerugian besar dari segi kewangan dan kehilangan harta benda
yang besar yang terpaksa ditanggung oleh mangsa apabila penggodaman tersebut
turut melibatkan pengalihan wang atau harta benda dari sesebuah institusi
kewangan atau perbankan elektronik mahupun pasaran dalam talian (online
shop). Namun, tidak semua penggodam
melakukan penggodaman dengan hanya kerana ingin menguji “kehandalan” mereka
dalam menembusi sistem keselamatan sesebuah komputer mahupun perisian tanpa
mencuri sebarang maklumat mahupun wang[4].
2.
Pemindahan wang secara haram
Pemindahan wang secara haram adalah pengalihan wang
daripada sesebuah akaun simpanan individu atau sesebuah organisasi ke dalam
akaun bank pihak lain mahupun diri individu yang melakukan tindakan tersebut.
Jenayah ini lebih bersifat kepada jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa
yang diberikan kepada seseorang individu yang telah diamanahkan untuk menjaga
harta atau kerahsiaan yang sepatutnya.
3.
Phishing
Phishing bermula pada tahun 1996 oleh
penggodam-penggodam yang mencuri kata laluan dan akaun America Onlines. Phishing
merupakan suatu cubaan bersifat jenayah yang melibatkan penipuan bagi
mendapatkan maklumat-maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan dan
butiran kad kredit dengan menyamar sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai bagi
tujuan aktiviti jenayah. Phishing kebiasaannya dilakukan melalui aplikasi seperti
email, dengan menghantar email palsu yang hampir menyerupai daripada organisasi-organisasi
perbankan elektronik yang sah secara rawak kepada mangsa dengan menyamar
sebagai wakil sah daripada pihak perbankan elektronik melalui penghantaran
notis yang meminta mangsa untuk mengisi butiran diri yang bersifat sensitif dan
sulit seperti nombor akaun pemilik, nama pengguna mahupun kata laluan di bagi
tujuan pengemaskinian akaun mahupun penyelenggaraan laman web pihak bank institusi
kewangan terbabit. Kebiasaannya bersama-sama email mahupun notis elektronik
yang diberi, penjenayah siber akan memberikan sebuah hyperlink(pautan) yang
akan membawa mangsa kepada laman web palsu yang direka khas seolah-olah laman
web perbankan elektronik dalam talian yang sah tanpa disedari oleh mangsa dan
akhirnya berlaku kecurian identiti (identity theft) yang akhirnya menyebabkan
pelbagai masalah bakal berlaku terhadap mangsa seperti kerugian besar dalam
bentuk kewangan, kecurian identiti mahupun halangan dalam melakukan capaian
(akses) kepada akaun email atau perbankan elektronik mereka[5].
4.
Penipuan Siber (Internet Fraud)
Penipuan siber merujuk kepada penipuan yang berlaku
dengan menggunakan instrumen komputer mahupun menjadikan lama siber dalam
menjalankan aktiviti jenayah dan berbeza dengan jenayah penipuan yang tidak
menggunakan komputer. Seiring dengan kemajuan internet, pelbagai urusan
perniagaan dan perdagangan mula beroperasi dengan kemunculan pelbagai
laman-laman jualan atas talian serta pasar elektronik sama ada di laman web
mahupun laman media sosial seperti Facebook. Pelbagai barangan diperdagangkan
sama ada yang melibatkan nilai yang rendah sehingga yang melibatkan jutaan
ringgit dan urusan perdagangan dijalankan sama ada pembeli melakukan pembayaran
penuh mahupun membayar deposit kepada penjual dan setelah itu pesanan mereka
akan diproses dan dihantar mahupun dengan cara cash on delivery. Namun begitu
tidak semua urus niaga secara dalam talian dilakukan dengan jujur kerana
terdapat banyak kes berkenaan penipuan dalam perdagangan dalam talian yang
dilaporkan yang melibatkan kerugian yang amat besar. Kebanyakan mangsa
melaporkan bahawa mereka ditipu oleh penjual sama ada barangan yang dipesan
mereka tidak sampai mahupun mereka menerima barangan yang tidak sama seperti
yang dipesan oleh mereka dan penjual gagal dihubungi dan terus lesap bersama
wang mereka dan kebanyakan penipuan dilaporkan berlaku menerusi jualan di laman
media sosial.
2.0
Peruntukan
Undang-Undang Di Malaysia Berkenaan Jenayah Siber.
Melihat
kepada ancaman yang dibawa hasil daripada kemajuan teknologi dan maklumat yang
sedang melanda seluruh dunia maka pelbagai negara telah menggubal akta-akta
serta undangundang siber bagi negara masing-masing dalam memastikan wujudnya
kawalan dan perlindungan bagi pengguna-pengguna daripada menjadi mangsa
penjenayah siber yang sentiasa memberi ancaman keselamatan menerusi
medium-medium siber. Malaysia juga antara negara yang tidak terkecuali dalam
menggubal akta yang berkaitan dengan siber sejak awal perkembangan teknologi
dan maklumat di negara ini dalam memastikan kedaulatan undang-undang serta
keharmonian di kalangan masyarakat khususnya bagi menangani jenayah siber serta
penyalahgunaan yang berlaku menerusi medan siber.
Antara
akta-akta khas berkaitan yang diwujudkan adalah: I. Akta Jenayah Komputer
(1997)23 II. Akta Komunikasi dan Multimedia (1998)24 III. Peraturan-Peraturan
Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 201225. Kesemua akta
tersebut digubal seiring dengan perkembangan teknologi dan komunikasi dalam
menangani salah laku dan penyalahgunaan turut semakin mencabar dan
membimbangkan terutamanya berkaitan keselamatan komputer dan terhadap pengguna-pengguna
komputer. Akta-akta dan peraturan tersebut digubal bersesuaian dengan perubahan
masa dan zaman dan ia menjadi rujukan bagi kes-kes jenayah siber yang berlaku
di Malaysia di mana kebiasaannya ia dibaca bersama dengan kanun-kanun jenayah
yang lain di mahkamah dalam pensabitan jenayah.
Akta Jenayah Komputer 1997
Menurut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer
1997,
“Seseorang
adalah melakukan suatu kesalahan jika:
(a)
dia menyebabkan suatu komputer melaksanakan apa- apa fungsi dengan niat untuk
mendapat capaian kepada mana-mana atur cara atau data yang disimpan dalam
mana-mana komputer;
(b)
capaian yang dia berniat untuk didapati adalah tanpa kuasa; dan
(c)
dia tahu semasa dia menyebabkan komputer itu melaksanakan fungsi itu, demikian
berlakunya.”
Mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer
1997, kesalahan capaian tanpa kuasa ialah suatu kesalahan di mana seseorang
telah melakukan capaian kepada mana- mana atur cara atau data yang bukan
miliknya kepada mana- mana komputer dan dia berniat dan tahu perbuatannya itu
ialah untuk melakukan capaian tersebut.
Niat telah ditafsirkan di dalam Seksyen 3(2)
Akta Jenayah Komputer,
“Niat
seseorang itu untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini tidak perlu
ditujukan:
(a)
mana- mana atur cara atau data yang tertentu;
(b)
apa- apa bentuk atur cara atau data yang tertentu; atau
(c)
suatu atur cara atau data yang disimpan dalam mana- mana komputer yang
tertentu.”
Seksyen 3(2) Akta Jenayah Komputer 1997 telah
menjelaskan bahawa walaupun seseorang itu tidak berniat melakukan capaian tanpa
kuasa terhadap sesuatu atur cara atau data, niat itu ialah tidak material.
Hanya niat melakukan capaian tanpa kuasa diambil kira di bawah peruntukan
tersebut. Hal ini menunjukkan walaupun sesorang itu hanya berniat melakukan
capaian tanpa kuasa kepada data milik A, tetapi telah melakukan capaian tanpa
kuasa pada data milik B, seseorang itu masih boleh didakwa di bawah peruntukan
ini kerana dia masih telah melakukan capaian tanpa kuasa, Peruntukan di bawah
Seksyen 3(2) ini telah diadakan untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan
capaian tanpa kuasa walaupun kepada mana- mana komputer. Peruntukan ini boleh
dianggap sebagai suatu perisai untuk menyekat pencerobohan privasi mana- mana
orang daripada dicabuli dengan cara capaian tanpa kuasa.
Selain
itu, perbuatan melakukan jenayah capaian tanpa kuasa telah didefinasikan
menurut Seksyen 2(2) Akta Jenayah Komputer 1997, iaitu
“Bagi
maksud Akta ini, seseorang mendapat capaian kepada mana- mana atur cara atau
data yang disimpan dalam komputer jika, dengan menyebabkan komputer itu
melaksanakan apa- apa fungsi, dia:
(a)
mengubah atau memadamkan atur cara data;
(b)
menyalin atau mengalihnya ke mana- mana bahantara storan selain dari di mana ia
disimpan atau ke tempat lain dalam bahantara storan di mana ia disimpan;
(c)
menggunakannya; atau
(d)
menyebabkan ia dioutput daripada komputer di mana ia disimpan sama ada dengan
mengakibatkan ia dipaparkan atau mengikut apa- apa cara lain,
dan
rujukan kepada capaian kepada suatu atur cara atau data dan kepada suatu niat
untuk mendapat capaian sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.”
Peruntukan ini juga memberi kuasa kepada
mahkamah untuk menentukan dan memberi definisi sama ada perbuatan tersebut
ialah capaian tanpa kuasa atau tidak. Selain itu, Seksyen 2(5) Akta
Jenayah Komputer 1997 juga telah menjelaskan dengan lebih lanjut apakah itu
capaian tanpa kuasa iaitu,
“Bagi
maksud Akta ini, capaian dalam apa- apa bentuk oleh mana-mana orang kepada
apa-apa atur cara atau data yang disimpan dalam komputer adalah tanpa kuasa
jika :
(a)
dia sendirinya tidak berhak untuk mengawal capaian dalam bentuk yang berkenaan
kepada atur cara atau data itu; dan
(b)
dia tidak mempunyai keizinan atau melebihi apa-apa hak atau kebenaran untuk
mencapai olehnya dalam bentuk yang berkenaan kepada ataur cara data itu
daripada mana-mana orang yang berhak[6].”
3.0
Penerangan
Kes
Antara
kes terawal yang berlaku di dalam negara ini yang pernah dilaporkan adalah
apabila seorang lepasan institusi pengajian tinggi tempatan yang bernama Aman
Syah telah berjaya memperoleh jutaan ringgit dengan hanya melakukan pemindahan
dividen bagi setiap pemegang akaun salah sebuah bank ke dalam akaun dirinya dan
dia mampu menikmati kehidupan yang mewah hasil daripada kegiatan jenayah yang
dilakukannya. Pemindahan wang secara haram ini
bermaksud berlakunya pemindahan wang oleh orang yang tidak mempunyai kebenaran
atau kuasa untuk mengakses ke dalam akaun milik perseorangan mahupun individu
dan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun dirinya mahupun akaun individu
yang lain dengan niat untuk memiliki wang tersebut. Pemindahan wang secara
haram ini sering berlaku kepada pengguna-pengguna sistem perbankan elektronik
dan ia berlaku sama ada berlakunya pencerobohan ke atas akaun mereka atau
berlakunya pecah amanah atau khianat yang dilakukan oleh pihak yang
bertanggungjawab[7].
4.0
Penyelesaian
Mahkamah
Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Adzam Abdul Ghani,
menyifatkan Aman Shah sebagai seorang yang merancang perbuatan jenayah itu
dengan teliti dan menggunakan kaedah penipuan yang canggih dan unik. Hakim Abdul Rahman Abdol menetapkan ikat
jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin. Namun Aman Shah tidak mampu
membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Pudu sehingga perbicaraan
selesai. Mahkamah kemudian mendapati Aman Shah bersalah dan dihukum penjara
selama lima tahun atas dakwaan pecah amanah.
5.0
Pandangan Peribadi Terhadap Kes
Saya berpendapat di sini bahawa Jenayah Komputer
merupakan satu jenayah yang agak kompleks kerana individu yang mempunyai
kemahiran ICT yang tinggi mampu membuat pelbagai jenayah komputer seperti dalam
kes tersebut dimana si pelaku yang menyalahgunakan ilmu yang dipelajarinya telah
melakukan pemindahan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya
memecah kod keselamatan. Tindakan
ini menggunakan komputer yang merupakan salah satu alat komunikasi utama untuk
manusia berkomunimukasi tidak kira melalui emel, facebook dan sebagainnya
tetapi disalahgunakan untuk mencuri wang. Islam juga mensyaratkan barang yang dicuri
itu dianggapharta. Kaedah umum yangdigunakan ialah sebarang harta yang dijual
belimaka boleh dianggap berlaku jenayah curi tetapi dengan syarat-syarat tertentu.
Dalam
Islam, syarat pertama pada harta itu mestilah boleh dipindahkan iaitu mengambil
harta tersebut. Maksud mengambil ialah dengan mengeluarkan harta yang dicuri dari
hiyaz (milik dan pengawasan) mangsa dan memasukkan ke dalam hiyaz pencuri. Benda yang tidak berjisim yang boleh dimiliki atau
dikawal (ihtiyaz) secara mengerakkan atau menggunakan alat, seperti suara di
dalam pita rakaman dan sebagainya adalah dianggap perkara-perkara yang boleh
berlaku jenayah curi juga. Syarat kedua mengenai harta ialah mestilah harta
itubernilai disisi undang-undang Islam. Jika harta-harta itu tidak bernilai
di sisi undang-undang Islam seperti mencuri anjing, babi atau arak maka hukuman
potong tangan tidak boleh dikenakan tetapi dilaksanakan hukuman takzir. Syarat
ketiga, harta tersebut mestilah berada pada tempat simpanannya yang sesuai
(hirz mithlih) ketika harta tersebut dicuri. Ciri ini membezakan jenayah
mencuri antara undang-undang Islam dengan Kanun Keseksaan mengenai harta yang dicuri
itu. Kanun Keseksaan tidak mensyaratkan harta yang dicuri itu berada di tempat
simpanannya yang sesuai atau tertentu, walaupun Kanun Keseksaan itu memerlukan
harta itu dimiliki oleh orang tersebut.
6.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan- peruntukan
yang telah diberikan Akta Jenayah Komputer 1997, jenayah capaian tanpa kuasa
ialah suatu jenayah di mana seseorang itu telah berniat memasuki data atau atur
cara yang mana ia tidak mempunyai kuasa terhadapnya dan capaian itu adalah
dengan pengetahuannya. Jika seseorang itu melakukan jenayah capaian tanpa
kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan lain, maka dia juga boleh
betanggungan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu capaian tanpa
kuasa bagi melakukan kesalahan lanjut.
“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan di
bawah seksyen ini jika dia melakukan suatu kesalahan yang disebut dalam seksyen
3 dengan niat
(a) untuk melakukan suatu kesalahan yang melibatkan
fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederan sebagaimana yang
ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan; atau
(b) untuk memudahkan berlakunya suatu kesalahan itu
sama ada olehnya sendiri atau oleh mana-
mana orang lain.”
Selain
itu juga, mengikut Seksyen 4(2) 4 Akta Jenayah Komputer 1997, adalah tidak
material sama ada kesalahan itu dilakukan pada masa yang sama ataupun pada masa
yang lain. Tertuduh akan bertanggungan di bawah peruntukan ini walaupun
jenayah- jenayah tersebut tidak dilakukan pada suatu masa yang sama.
Jenayah siber merupakan suatu bentuk jenayah yang
berlaku pada alaf baru ini dan merupakan suatu bentuk cabaran baru dalam dunia
Islam secara khususnya dalam menangani jenayah dalam talian ini yang agak sukar
dan rumit dalam pensabitan jenayah di samping memerlukan khidmat pakar dalam
bidang teknologi dan maklumat dalam bekerjasama mengesan penjenayah-penjenayah
siber. Islam meraikan segala bentuk kemajuan yang datang dalam kehidupan
manusia serta kebebasan dalam kehidupan namun ia mementingkan elemen
tanggungjawab dalam setiap perbuatan yang dilakukan di samping tidak bercanggah
dengan syarak. Ketika mana slogan “Dunia tanpa sempadan” yang digunakan
bagi dunia siber dan internet, maka ia tidak bermakna kebebasan mutlak
diberikan tanpa sebarang garis panduan serta etika yang perlu dipatuhi oleh
pengguna siber.
7. 0 Rujukan
[1] Takato
Natsui (2003), Cybercrimes in Japan: Legislations, Problems and Perspectives
(Kertas kerja, NetSafe II Conference, Auckland, Newzealand, Julai 2003), h. 3
[2] Ashriq Fahmy Ahmad & Khairunnisa Sulaiman
(16 April 2012), Ancaman Jenayah Siber, Utusan Malaysia .
[3] Rusli Haji Abdullah et al. (2003), Teknologi
Maklumat dan Penggunaannya, Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn.
Bhd, h. 116.
[4] Donn
B. Parker (1998), Fighting Computer Crime: A New Framework For Protecting
Information, United
States of
America: John Wiley &Sons,Inc, h. 160.
[5] Jabatan
Perdana Menteri (2010), “Panduan Perlindungan Terhadap Jenayah Penyamaran” (Web
Phishing
Scams),Unit
Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana
Menteri,
h. 2.
[6] Akta
Jenayah Komputer 1997
[7] Umi
KalsomRoslan (1997), Dewan Masyarakat, h. 48
Comments