SCCA 2083 UNDANG – UNDANG DALAM KOMUNIKASI

 

1.0         Pengenalan

 

Dalam era globalisasi dengan kemajuan sains dan teknologi telah mendatangkan kemudahan dan kesenangan dalam melakukan urusan seharian mahupun urusan kerja. Namun begitu keburukan dan bahaya juga tidak dapat dielakkan. Ini berlaku apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan kemajuan sains dan teknologi demi memenuhi kepentingan diri dan keuntungan. Kemudahan siber merupakan antara kemajuan sains dan teknologi yang terdedah kepada penyalahgunaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Penyalahgunaan inilah yang mewujudkan satu bentuk jenayah iaitu jenayah siber.

 

Jenayah siber telah menjadi penyumbang tertinggi dalam kes-kes jenayah di Negara- negara maju seperti Negara-Negara Eropah, Amerika Dan Jepun[1].  Jenayah siber tidak seperti jenayah-jenayah lain yang mempunyai bukti-bukti fizikal bagi memudahkan analisis mencari penjenayah. Biasanya jenayah siber melibatkan jenayah komersial seperti “rompakan” atau pemindahan wang yang banyak kepada akaun penjenayah[2]. Jenayah siber merupakan suatu bentuk perlakuan jenayah yang menggunakan sebarang jenis peranti elektronik melalui sambungan perkhidmatan internet yang membolehkan sesebuah perlakuan jenayah dilakukan sama ada ia melibatkan seseorang individu atau sekumpulan orang serta mampu menjangkaui batasan dari sesebuah negara ke negara yang lain dalam tempoh masa yang singkat dan tidak terhad batasan. Jenayah siber menyebabkan berlakunya kepada kehilangan atau kerosakan kepada peralatan, data dan maklumat yang melibatkan sesebuah perisian mahupun pemprosesan komputer sama ada serangan virus, pencerobohan (unauthorized access and use) serta kecurian maklumat terhadap sesebuah komputer atau peranti elektronik yang dijadikan sasaran[3].

 

 

 

 

 Jenayah siber merupakan suatu bentuk jenayah moden yang wujud pada zaman ini di mana ia tidak lagi seperti jenayah pada zaman dahulu yang hanya terhad kepada persekitaran fizikal sahaja, namun kini ia telah menjangkau kepada perlakuan jenayah melalui alam siber dengan menggunakan teknologi komputer. Lapangan jenayah siber adalah lebih luas berbanding jenayah konvensional kerana ruang lingkup yang mampu dicapai dengan sebuah jenayah siber adalah sangat luas di samping dengan proses pendakwaan yang agak sukar. Jenayah siber yang wujud pada hari ini tidak lagi terbatas hanya dengan menggunakan komputer sebagai alat dalam melakukan jenayah, sebaliknya jenayah siber pada hari ini juga boleh ditakrifkan dengan jenayah yang berlaku di internet mahupun alam siber yang melibatkan penipuan dan helah tipu daya.

 

Tahap keseriusan berkenaan ancaman siber ini dapat dilihat apabila wujudnya pelbagai akta serta undang-undang yang melibatkan siber dan komputer yang digubal dan sering dibahaskan dalam menyesuaikan dengan peredaran kemajuan teknologi dan komunikasi yang kian membangun dengan pesat yang turut mengundang pelbagai ancaman di sebalik kemudahan yang dibawa. Di samping mewujudkan sebuah Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) yang berperanan dalam memberikan khidmat rujukan dan informasi kepada masyarakat Malaysia dalam mendepani kes-kes berkaitan dengan keselamatan komputer.

 

Jenayah siber berbeza dengan jenayah fizikal yang lain seperti membunuh, merompak dan mencuri di mana ia kadangkala masih boleh dilihat dan dikesan dengan nyata penjenayah serta perbuatan jenayah yang dilakukan dan lebih buruk lagi untuk mengesan lokasi operasi penjenayah terutamanya jika penjenayah berada di luar Malaysia dan ia dilihat sebagai satu cabaran dan masalah penipuan siber sukar diatasi. Jenayah siber memberi ancaman yang sangat besar kepada pengguna dan turut dilihat sebagai satu bentuk cabaran dan jenayah alaf baru yang tidak seperti mana jenayah pembunuhan yang boleh dikemukakan senjata sebagai bukti sebaliknya jenayah siber hanya menggunakan komputer mahupun peranti electron dan melibatkan banyak pihak dalam pendakwaan di samping pakar-pakar yang terlibat dalam pendakwaan.

 

Realiti jenayah siber di Malaysia.

Jenayah siber merupakan antara jenayah-jenayah yang berlaku di Malaysia. Berikut adalah berberapa bentuk jenayah siber dalam skop kehartaan berdasarkan realiti jenayah siber di Malaysia:

 1. Hacking

Hacking atau penggodaman merupakan suatu tindakan mengakses sesebuah komputer tanpa mendapat sebarang kebenaran atau izin dari pihak bertanggungjawab yang ditugaskan mahupun kebenaran daripada pemilik sesebuah komputer. Penggodaman kebiasaannya dilakukan oleh individu yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi berkenaan dengan ilmu pengaturcaraan komputer yang membolehkan mereka untuk melakukan penggodaman dengan mencari di manakah titik kelemahan sesebuah komputer mahupun perisian yang membolehkan baginya untuk menceroboh sistem keselamatan serta mengakses sistem tersebut. Apabila seseorang penggodam (hackers) berjaya menceroboh mahupun melumpuhkan sesebuah sistem komputer, kebiasaannya mereka akan menyalin maklumatmaklumat sulit dan penting, memadam atau mengubahsuai mana-mana kandungan maklumat atau sistem program yang tersimpan di dalam sesebuah komputer mahupun yang lebih parah lagi apabila mereka mencuri wang atau membuat pesanan barang melalui sistem computer yang dicerobohi dan barang tersebut dihantar kepada mereka sendiri. Kesan yang buruk jelas kelihatan daripada penggodaman ini apabila ia menyebabkan kerugian besar dari segi kewangan dan kehilangan harta benda yang besar yang terpaksa ditanggung oleh mangsa apabila penggodaman tersebut turut melibatkan pengalihan wang atau harta benda dari sesebuah institusi kewangan atau perbankan elektronik mahupun pasaran dalam talian (online shop).  Namun, tidak semua penggodam melakukan penggodaman dengan hanya kerana ingin menguji “kehandalan” mereka dalam menembusi sistem keselamatan sesebuah komputer mahupun perisian tanpa mencuri sebarang maklumat mahupun wang[4].

 

2. Pemindahan wang secara haram

Pemindahan wang secara haram adalah pengalihan wang daripada sesebuah akaun simpanan individu atau sesebuah organisasi ke dalam akaun bank pihak lain mahupun diri individu yang melakukan tindakan tersebut. Jenayah ini lebih bersifat kepada jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa yang diberikan kepada seseorang individu yang telah diamanahkan untuk menjaga harta atau kerahsiaan yang sepatutnya.

 

3. Phishing

Phishing bermula pada tahun 1996 oleh penggodam-penggodam yang mencuri kata laluan dan akaun America Onlines. Phishing merupakan suatu cubaan bersifat jenayah yang melibatkan penipuan bagi mendapatkan maklumat-maklumat sensitif seperti nama pengguna, kata laluan dan butiran kad kredit dengan menyamar sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai bagi tujuan aktiviti jenayah. Phishing kebiasaannya dilakukan melalui aplikasi seperti email, dengan menghantar email palsu yang hampir menyerupai daripada organisasi-organisasi perbankan elektronik yang sah secara rawak kepada mangsa dengan menyamar sebagai wakil sah daripada pihak perbankan elektronik melalui penghantaran notis yang meminta mangsa untuk mengisi butiran diri yang bersifat sensitif dan sulit seperti nombor akaun pemilik, nama pengguna mahupun kata laluan di bagi tujuan pengemaskinian akaun mahupun penyelenggaraan laman web pihak bank institusi kewangan terbabit. Kebiasaannya bersama-sama email mahupun notis elektronik yang diberi, penjenayah siber akan memberikan sebuah hyperlink(pautan) yang akan membawa mangsa kepada laman web palsu yang direka khas seolah-olah laman web perbankan elektronik dalam talian yang sah tanpa disedari oleh mangsa dan akhirnya berlaku kecurian identiti (identity theft) yang akhirnya menyebabkan pelbagai masalah bakal berlaku terhadap mangsa seperti kerugian besar dalam bentuk kewangan, kecurian identiti mahupun halangan dalam melakukan capaian (akses) kepada akaun email atau perbankan elektronik mereka[5].

 

 4. Penipuan Siber (Internet Fraud)

Penipuan siber merujuk kepada penipuan yang berlaku dengan menggunakan instrumen komputer mahupun menjadikan lama siber dalam menjalankan aktiviti jenayah dan berbeza dengan jenayah penipuan yang tidak menggunakan komputer. Seiring dengan kemajuan internet, pelbagai urusan perniagaan dan perdagangan mula beroperasi dengan kemunculan pelbagai laman-laman jualan atas talian serta pasar elektronik sama ada di laman web mahupun laman media sosial seperti Facebook. Pelbagai barangan diperdagangkan sama ada yang melibatkan nilai yang rendah sehingga yang melibatkan jutaan ringgit dan urusan perdagangan dijalankan sama ada pembeli melakukan pembayaran penuh mahupun membayar deposit kepada penjual dan setelah itu pesanan mereka akan diproses dan dihantar mahupun dengan cara cash on delivery. Namun begitu tidak semua urus niaga secara dalam talian dilakukan dengan jujur kerana terdapat banyak kes berkenaan penipuan dalam perdagangan dalam talian yang dilaporkan yang melibatkan kerugian yang amat besar. Kebanyakan mangsa melaporkan bahawa mereka ditipu oleh penjual sama ada barangan yang dipesan mereka tidak sampai mahupun mereka menerima barangan yang tidak sama seperti yang dipesan oleh mereka dan penjual gagal dihubungi dan terus lesap bersama wang mereka dan kebanyakan penipuan dilaporkan berlaku menerusi jualan di laman media sosial.

 

2.0         Peruntukan Undang-Undang Di Malaysia Berkenaan Jenayah Siber.

Melihat kepada ancaman yang dibawa hasil daripada kemajuan teknologi dan maklumat yang sedang melanda seluruh dunia maka pelbagai negara telah menggubal akta-akta serta undangundang siber bagi negara masing-masing dalam memastikan wujudnya kawalan dan perlindungan bagi pengguna-pengguna daripada menjadi mangsa penjenayah siber yang sentiasa memberi ancaman keselamatan menerusi medium-medium siber. Malaysia juga antara negara yang tidak terkecuali dalam menggubal akta yang berkaitan dengan siber sejak awal perkembangan teknologi dan maklumat di negara ini dalam memastikan kedaulatan undang-undang serta keharmonian di kalangan masyarakat khususnya bagi menangani jenayah siber serta penyalahgunaan yang berlaku menerusi medan siber.

 

Antara akta-akta khas berkaitan yang diwujudkan adalah: I. Akta Jenayah Komputer (1997)23 II. Akta Komunikasi dan Multimedia (1998)24 III. Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 201225. Kesemua akta tersebut digubal seiring dengan perkembangan teknologi dan komunikasi dalam menangani salah laku dan penyalahgunaan turut semakin mencabar dan membimbangkan terutamanya berkaitan keselamatan komputer dan terhadap pengguna-pengguna komputer. Akta-akta dan peraturan tersebut digubal bersesuaian dengan perubahan masa dan zaman dan ia menjadi rujukan bagi kes-kes jenayah siber yang berlaku di Malaysia di mana kebiasaannya ia dibaca bersama dengan kanun-kanun jenayah yang lain di mahkamah dalam pensabitan jenayah.

 

Akta Jenayah Komputer 1997

Menurut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997,

“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan jika:

(a) dia menyebabkan suatu komputer melaksanakan apa- apa fungsi dengan niat untuk mendapat capaian kepada mana-mana atur cara atau data yang disimpan dalam mana-mana komputer;

(b) capaian yang dia berniat untuk didapati adalah tanpa kuasa; dan

(c) dia tahu semasa dia menyebabkan komputer itu melaksanakan fungsi itu, demikian berlakunya.”

 

Mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997, kesalahan capaian tanpa kuasa ialah suatu kesalahan di mana seseorang telah melakukan capaian kepada mana- mana atur cara atau data yang bukan miliknya kepada mana- mana komputer dan dia berniat dan tahu perbuatannya itu ialah untuk melakukan capaian tersebut.

 

Niat telah ditafsirkan di dalam Seksyen 3(2) Akta Jenayah Komputer,

“Niat seseorang itu untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini tidak perlu ditujukan:

(a) mana- mana atur cara atau data yang tertentu;

(b) apa- apa bentuk atur cara atau data yang tertentu; atau

(c) suatu atur cara atau data yang disimpan dalam mana- mana komputer yang tertentu.”

 

Seksyen 3(2) Akta Jenayah Komputer 1997 telah menjelaskan bahawa walaupun seseorang itu tidak berniat melakukan capaian tanpa kuasa terhadap sesuatu atur cara atau data, niat itu ialah tidak material. Hanya niat melakukan capaian tanpa kuasa diambil kira di bawah peruntukan tersebut. Hal ini menunjukkan walaupun sesorang itu hanya berniat melakukan capaian tanpa kuasa kepada data milik A, tetapi telah melakukan capaian tanpa kuasa pada data milik B, seseorang itu masih boleh didakwa di bawah peruntukan ini kerana dia masih telah melakukan capaian tanpa kuasa, Peruntukan di bawah Seksyen 3(2) ini telah diadakan untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan capaian tanpa kuasa walaupun kepada mana- mana komputer. Peruntukan ini boleh dianggap sebagai suatu perisai untuk menyekat pencerobohan privasi mana- mana orang daripada dicabuli dengan cara capaian tanpa kuasa.

 

Selain itu, perbuatan melakukan jenayah capaian tanpa kuasa telah didefinasikan menurut Seksyen 2(2) Akta Jenayah Komputer 1997, iaitu

 

“Bagi maksud Akta ini, seseorang mendapat capaian kepada mana- mana atur cara atau data yang disimpan dalam komputer jika, dengan menyebabkan komputer itu melaksanakan apa- apa fungsi, dia:

(a) mengubah atau memadamkan atur cara data;

(b) menyalin atau mengalihnya ke mana- mana bahantara storan selain dari di mana ia disimpan atau ke tempat lain dalam bahantara storan di mana ia disimpan;

(c) menggunakannya; atau

(d) menyebabkan ia dioutput daripada komputer di mana ia disimpan sama ada dengan mengakibatkan ia dipaparkan atau mengikut apa- apa cara lain,

dan rujukan kepada capaian kepada suatu atur cara atau data dan kepada suatu niat untuk mendapat capaian sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.”

 

Peruntukan ini juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk menentukan dan memberi definisi sama ada perbuatan tersebut ialah capaian tanpa kuasa atau tidak. Selain itu, Seksyen 2(5)  Akta Jenayah Komputer 1997 juga telah menjelaskan dengan lebih lanjut apakah itu capaian tanpa kuasa iaitu,

“Bagi maksud Akta ini, capaian dalam apa- apa bentuk oleh mana-mana orang kepada apa-apa atur cara atau data yang disimpan dalam komputer adalah tanpa kuasa jika :

(a) dia sendirinya tidak berhak untuk mengawal capaian dalam bentuk yang berkenaan kepada atur cara atau data itu; dan

(b) dia tidak mempunyai keizinan atau melebihi apa-apa hak atau kebenaran untuk mencapai olehnya dalam bentuk yang berkenaan kepada ataur cara data itu daripada mana-mana orang yang berhak[6].”

 

3.0         Penerangan Kes

Antara kes terawal yang berlaku di dalam negara ini yang pernah dilaporkan adalah apabila seorang lepasan institusi pengajian tinggi tempatan yang bernama Aman Syah telah berjaya memperoleh jutaan ringgit dengan hanya melakukan pemindahan dividen bagi setiap pemegang akaun salah sebuah bank ke dalam akaun dirinya dan dia mampu menikmati kehidupan yang mewah hasil daripada kegiatan jenayah yang dilakukannya. Pemindahan wang secara haram ini bermaksud berlakunya pemindahan wang oleh orang yang tidak mempunyai kebenaran atau kuasa untuk mengakses ke dalam akaun milik perseorangan mahupun individu dan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun dirinya mahupun akaun individu yang lain dengan niat untuk memiliki wang tersebut. Pemindahan wang secara haram ini sering berlaku kepada pengguna-pengguna sistem perbankan elektronik dan ia berlaku sama ada berlakunya pencerobohan ke atas akaun mereka atau berlakunya pecah amanah atau khianat yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab[7].

 

4.0         Penyelesaian Mahkamah

Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Adzam Abdul Ghani, menyifatkan Aman Shah sebagai seorang yang merancang perbuatan jenayah itu dengan teliti dan menggunakan kaedah penipuan yang canggih dan unik.  Hakim Abdul Rahman Abdol menetapkan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan dua penjamin. Namun Aman Shah tidak mampu membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Pudu sehingga perbicaraan selesai. Mahkamah kemudian mendapati Aman Shah bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun atas dakwaan pecah amanah.

 

5.0         Pandangan Peribadi Terhadap Kes

Saya berpendapat di sini bahawa Jenayah Komputer merupakan satu jenayah yang agak kompleks kerana individu yang mempunyai kemahiran ICT yang tinggi mampu membuat pelbagai jenayah komputer seperti dalam kes tersebut dimana si pelaku yang menyalahgunakan ilmu yang dipelajarinya telah melakukan pemindahan wang pelanggan bank ke dalam akaunnya selepas berjaya memecah kod keselamatan.  Tindakan ini menggunakan komputer yang merupakan salah satu alat komunikasi utama untuk manusia berkomunimukasi tidak kira melalui emel, facebook dan sebagainnya tetapi disalahgunakan untuk mencuri wang. Islam juga mensyaratkan barang yang dicuri itu dianggapharta. Kaedah umum yangdigunakan ialah sebarang harta yang dijual belimaka boleh dianggap berlaku jenayah curi tetapi dengan syarat-syarat tertentu.

 

 

Dalam Islam, syarat pertama pada harta itu mestilah boleh dipindahkan iaitu mengambil harta tersebut. Maksud mengambil ialah dengan mengeluarkan harta yang dicuri dari hiyaz (milik dan pengawasan) mangsa dan memasukkan ke dalam hiyaz pencuri. Benda yang tidak berjisim yang boleh dimiliki atau dikawal (ihtiyaz) secara mengerakkan atau menggunakan alat, seperti suara di dalam pita rakaman dan sebagainya adalah dianggap perkara-perkara yang boleh berlaku jenayah curi juga. Syarat kedua mengenai harta ialah mestilah harta itubernilai disisi undang-undang Islam. Jika harta-harta itu tidak bernilai di sisi undang-undang Islam seperti mencuri anjing, babi atau arak maka hukuman potong tangan tidak boleh dikenakan tetapi dilaksanakan hukuman takzir. Syarat ketiga, harta tersebut mestilah berada pada tempat simpanannya yang sesuai (hirz mithlih) ketika harta tersebut dicuri. Ciri ini membezakan jenayah mencuri antara undang-undang Islam dengan Kanun Keseksaan mengenai harta yang dicuri itu. Kanun Keseksaan tidak mensyaratkan harta yang dicuri itu berada di tempat simpanannya yang sesuai atau tertentu, walaupun Kanun Keseksaan itu memerlukan harta itu dimiliki oleh orang tersebut.

 

6.0         Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan- peruntukan yang telah diberikan Akta Jenayah Komputer 1997, jenayah capaian tanpa kuasa ialah suatu jenayah di mana seseorang itu telah berniat memasuki data atau atur cara yang mana ia tidak mempunyai kuasa terhadapnya dan capaian itu adalah dengan pengetahuannya. Jika seseorang itu melakukan jenayah capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan lain, maka dia juga boleh betanggungan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu capaian tanpa kuasa bagi melakukan kesalahan lanjut.

 

“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini jika dia melakukan suatu kesalahan yang disebut dalam seksyen 3 dengan niat

(a) untuk melakukan suatu kesalahan yang melibatkan fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan; atau

(b) untuk memudahkan berlakunya suatu kesalahan itu sama ada olehnya sendiri atau oleh mana-

mana orang lain.”

 

Selain itu juga, mengikut Seksyen 4(2) 4 Akta Jenayah Komputer 1997, adalah tidak material sama ada kesalahan itu dilakukan pada masa yang sama ataupun pada masa yang lain. Tertuduh akan bertanggungan di bawah peruntukan ini walaupun jenayah- jenayah tersebut tidak dilakukan pada suatu masa yang sama.

 

Jenayah siber merupakan suatu bentuk jenayah yang berlaku pada alaf baru ini dan merupakan suatu bentuk cabaran baru dalam dunia Islam secara khususnya dalam menangani jenayah dalam talian ini yang agak sukar dan rumit dalam pensabitan jenayah di samping memerlukan khidmat pakar dalam bidang teknologi dan maklumat dalam bekerjasama mengesan penjenayah-penjenayah siber. Islam meraikan segala bentuk kemajuan yang datang dalam kehidupan manusia serta kebebasan dalam kehidupan namun ia mementingkan elemen tanggungjawab dalam setiap perbuatan yang dilakukan di samping tidak bercanggah dengan syarak. Ketika mana slogan “Dunia tanpa sempadan” yang digunakan bagi dunia siber dan internet, maka ia tidak bermakna kebebasan mutlak diberikan tanpa sebarang garis panduan serta etika yang perlu dipatuhi oleh pengguna siber.

 

 

 

 

 

 

 

 

7. 0     Rujukan

[1] Takato Natsui (2003), Cybercrimes in Japan: Legislations, Problems and Perspectives (Kertas kerja, NetSafe II Conference, Auckland, Newzealand, Julai 2003), h. 3

 

[2]  Ashriq Fahmy Ahmad & Khairunnisa Sulaiman (16 April 2012), Ancaman Jenayah Siber, Utusan Malaysia .

[3]  Rusli Haji Abdullah et al. (2003), Teknologi Maklumat dan Penggunaannya, Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd, h. 116.

 

[4] Donn B. Parker (1998), Fighting Computer Crime: A New Framework For Protecting Information, United

States of America: John Wiley &Sons,Inc, h. 160.

 

[5] Jabatan Perdana Menteri (2010), “Panduan Perlindungan Terhadap Jenayah Penyamaran” (Web Phishing

Scams),Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana

Menteri, h. 2.

 

[6] Akta Jenayah Komputer 1997

 

[7] Umi KalsomRoslan (1997), Dewan Masyarakat, h. 48

 

 

 

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA