BEEB 1013 PRINSIP EKONOMI


1.0      Pengenalan
           Pengangguran ialah satu fenomena dimana seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara, iaitu mereka yang berumur 16 ke 64 tahun dan sanggup bekerja. Isu pengangguran telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah. Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah tetapi golongan lain juga.
Dalam masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja dengan orang lain, pengangguran adalah masalah serius. Kesan negatifnya termasuk kehilangan, perasaan ditolak dan kegagalan peribadi, dan kerana itu pengangguran digunakan secara secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja. Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi.
Menurut perangkaan utama tenaga buruh negara  yang dikeluarkan bagi bulan Ogos 2015 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan peningkatan 0.3 mata peratus kepada 67.8 peratus berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan penduduk bekerja dalam pasaran buruh sebanyak 0.7 peratus kepada 13.9 juta orang. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.7 mata peratus berbanding 67.1 peratus pada Ogos 2014. Kadar pengangguran kekal 3.2 peratus seperti bulan sebelumnya. Perbandingan tahun ke tahun pula, kadar pengangguran bulan semasa meningkat 0.5 mata peratus. Kadar pengangguran pelarasan bermusim adalah 3.3 peratus, kekal pada kadar sama seperti bulan sebelumnya[1].

Pengangguran dalam kalangan siswazah merupakan salah satu isu yang sering dibincangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Penubuhan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) oleh kerajaan dan penyertaan pihak swasta dalam sector pendidikan memberi impak yang sangat besar ke atas pembangunan dan perubahan negara. Perkembangan yang berlaku menyebabkan wujudnya peningkatan jumlah tenaga kerja negara dalam pasaran pekerjaan walhal permintaan terhadap tenaga kerja tidak tumbuh seiring penawarannya. Berdasarkan statistik sehingga Disember 2010, didapati jumlah tenaga buruh negara adalah seramai 12,059,000 orang. Daripada jumlah tersebut, terdapat seramai 391,400 orang atau 3.25 peratus daripada jumlah tenaga buruh yang menganggur di Malaysia. Seramai 32,000 orang atau 8.2 peratus daripada jumlah penganggur berkenaan terdiri daripada siswazah yang telah menamatkan pengajian iaitu sebanyak 21,760 orang atau 68 peratus terdiri daripada perempuan dan 10,240 orang atau 32 peratus adalah lelaki yang sedang aktif mencari pekerjaan (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010)[2].

2.0 Definisi pengangguran
Penganggur didefinisikan sebagai seorang individu (tenaga buruh) yang berumur dalam likungan 16 tahun hingga 64 tahun yang tiada pekerjaan tetapi mampu bekerja dan mahukan pekerjaan. Terkecuali mereka yang berumur dibawah 16 tahun dan diatas 64 tahun termasuk pelajar, surirumah, orang cacat dan sebagainya yang merupakan penduduk yang tidak sanggup bekerja.
 Pengangguran pula didefinisikan sebagai satu permasalahan yang kepada tenaga buruh tetapi tidak menyumbang kepada keluaran negara. Oleh itu pengangguran boleh di definisikan sebagai masalah tenaga buruh yang tidak melakukan sebarang aktiviti ekonomi tetapi sedang giat mencari pekerjaan dalam ekonomi. 
Pengangguran merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini. Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan.
Kajian Okun’s (1970), telah mendapati wujud hubungan yang songsang antara pengangguran dan keluaran negara kasar (KNK). Dalam kajiannya mendapati penurunan 1% dalam pengangguran akan meningkatkan (KNK) potensi sebanyak 2-3%. Susulan itu banyak kajian-kajian serupa turut dilakukan bagi membuktikan kebenaran peraturan Okun’s. Antaranya ialah Dornbusch, Fischer dan Startz(2001) dan Downes (1998)[3] . Kesimpulan mudah yang dinyatakan ialah orang yang tidak bekerja tidak menyumbang kepada pengeluaran dan seterusnya tidak menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran dalam negara. Kajian empirikal yang dijalankan oleh Farzad Farsio(2003) turut menyokong peraturan Okun’s[4]. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa kajian yang bercanggah dengan peraturan Okun’s. Antaranya ialah Prachowny (1993), Blinder’s (1997) dan Altig,Fitzgerald dan Rupert’s (1997)[5]. Kajian mereka mendapati wujud hubungan yang positif antara pengangguran dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Mereka mendapati bahawa perubahan dalam output mempunyai hubungan dengan produktiviti buruh.

3.0 Jenis-jenis pengangguran
Pengangguran boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah pengangguran geseran atau normal. Pengangguran ini berlaku untuk sementara waktu sahaja. Pekerja tidak puas hati dengan pekerjaan sekarang dan sedang berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang lebih baik.
 Pengangguran kedua ialah pengangguran struktur. Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah pengangguran.
 Perubahan sektor ini juga berlaku kerana kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam pasaran dan sebagainya. Yang ketiga pula ialah pengangguran kitaran atau edaran. Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh pengeluar. Kemerosotan permintaan agregat yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dan berlakunya inflasi akan menyebabkan kuasa beli isi rumah merosot.

Keempat pula ialah Pengangguran teknologi. Pengangguran teknologi berlaku apabila penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan robot. Ini disebabkan berlakunya perkembangan teknologi yang telah berjaya mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos pengeluaran yang semakin berkurangan.
Jenis pengangguran yang kelima ialah pengangguran tersembunyi atau tidak ketara. Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya lebihan penggunaan tenaga buruh dalam sesuatu ekonomi. Pengangguran ini kebanyakkannya berlaku dalam sektor pertanian. Kehadiran tenaga buruh yang berlebihan ini tidak akan menambahkan pengeluaran dan ketiadaan tenaga buruh ini juga tidak akan menjejaskan pengeluaran. 
Seterusnya yang keenam ialah pengangguran bermusim. Pengangguran bermusim berlaku apabila berlakunya perubahan musim yang menghalang tenaga buruh melakukan kegiatan ekonomi. Misalnya, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim menuai dan terpaksa tunggu hingga musim menanam semula. Nelayan pula tidak turun ke laut untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh.
 Jenis pengangguran yang ketujuh ialah pengangguran sukarela atau terbuka. Pengangguran ini berlaku apabila tenaga buruh secara sukarela enggan bekerja apabila ditawarkan pekerjaan. Ini disebabkan oleh pekerjaan yang ditawarkan tidak sesuai dengan kelulusan, kemahiran, pengalaman dan sebagainya dengan tenaga buruh.
Justeru, belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka sebagai ahli perniagaan.Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

4.0 Cara pengiraan kadar pengangguran
Kadar pengangguran boleh dikira dengan menggunakan satu kaedah yang direka khas. Seseorang yang melakukan apa saja kerja bagi minggu itu dan mendapat bayaran atau keuntungan, bekerja 15 jam atau lebih sebagai pekerja tak berbayar dalam perniagaan keluarga, atau mempunyai kerja di mana dia tidak hadir sementara, dikira sebagai mempunyai pekerjaan.
Pengangguran boleh dihitung dengan cara:
Pengangguran = tenaga buruh – guna tenaga
Guna tenaga adalah tenaga buruh yang bekerja dalam sesebuah ekonomi. Oleh itu beza antara jumlah tenaga buruh dengan guna tenaga adalah pengangguran. Jumlah pengangguran dalam sesebuah negara biasanya dinyatakan dalam bentuk kadar. Pengiraan kadar pengangguran dikira dengan jumlah mereka yang menganggur kemudian dibahagikan dengan jumlah orang dalam tenaga buruh (iaitu jumlah mereka yang bekerja dan tidak bekerja).

5.0    Faktor berlakunya pengangguran
           Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya pengangguran dikalangan penduduk di muka bumi ini. Antaranya ialah keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada akhir dekad 90-an. Ini menyebabkan peluang pekerjaan kepada siswazah menjadi terhad.
Mungkin juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat. Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka pekerjaan selepas tamat belajar. Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh sebuah syarikat Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd melalui pengurusnya Sam Haggang mendapati [6] :
Ø  3 daripada 5 graduan universiti akan mengambil masa lebih daripada 6 bulan bagi mengisi jawatan kosong yang ada di Malaysia.
Ø  Manakala 40% yang lain, mengambil masa lebih lama untuk mengisi jawatan kosong yang ada.
Selain itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer
           Selain itu, sebahagian besar faktor pengangguran  itu membabitkan graduan sendiri seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian dimiliki graduan, kekurangan kemahiran berkomunikasi, kelemahan menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Hasil kajian yang dihasilkan oleh Jobstreet menunjukkan di sini terdapat beberapa faktor menyebabkan ramai graduan universiti di luar yang masih menganggur. Antara puncanya ialah [7] :
Masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%
Masalah sikap dalam diri yang teruk : 37%
Mengharapkan gaji yang tidak realistik : 33%
Kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran : 30%
Terlalu memilih kerja dan syarikat : 28%
Tiada kemahiran menyelesaikan masalah : 26%
Tahap pengetahuan yang lemah : 24%
Melihatkan kepada faktor masalah graduan universiti menganggur yang semakin bertambah saban tahun ditambah dengan kehendak majikan hari ini, terdapat “masalah yang terus bernanah” yang masih belum mampu dirawati sehingga ke hari ini kepada kalangan anak muda. Melihat kepada laporan International Student Assessment (PISA) yang menilai kepada kemahiran dan kekreatifan menyelesaikan sesuatu masalah pada tahun 2012 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 39 daripada 44 negara [8] :
Ø  Anak muda di Malaysia dilihat tidak disediakan persekitaran yang kondusif dan juga tidak dilatih kemahiran yang benar-benar diperlukan di tempat kerja kelak
Ø  Daripada 100 anak muda di Malaysia, hanya 1 orang sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang paling kompleks berbanding 1 daripada 5 anak muda dari Singapore. Jepun dan juga Korea Selatan
Selain itu ada graduan enggan berhijrah dari kampung halaman dan terlalu memilih tempat bekerja manakala sebahagian lagi mengharapkan gaji tinggi. Pada masa sama, kebanyakan majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai satu syarat pengambilan.
Seterusnya kurang penguasaan bahasa inggeris. Apabila penguasaan terhadap bahasa inggeris ini berkurangan ,maka ini adalah kelemahan bagi para siswa dan siswazah melayu terutamanya untuk bersaing di bahagian penswastaan. Oleh itu, ramai yang merebut peluang  untuk memasuki masuk sektor kerajaan. Jika bahasa inggeris sudah berada didalam tangan, maka kita boleh mencuba nasib di sektor swasta dan mula bersaing dengan bangsa-bangsa yang lain seperti kaum cina dan india. Bahasa inggeris juga sama pentingnya seperti bahasa tambahan yang lain iaitu bahasa mandarin dan bahasa arab.
Faktor gaji yang rendah dan kurang menarik juga menyebabkan siswazah terlalu memilih pekerjaan. Contohnya dalam industri ICT, hasilnya amat menyedihkan merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh PIKOM dan juta Portal Jobstreet pada Jun 2014 mendedahkan berlakunya jurang gaji dan pendapatan yang besar melibatkan profesional ICT di Malaysia berbanding negara-negara lain seperti China, Hong Kong, Vietnam, Singapore, Thailand.
Hakikatnya, profesional Malaysia dibayar pada gaji dan pendapatan yang rendah dibandingkan negar-negara Asia Pasifik yang lain pada paras antara 10% – 30% lebih rendah berbanding negara-negara jiran serantau kita[ 9].
Pihak institusi pengajian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan para graduan mudah mendapat pekerjaan. Namun begitu,terdapat kelemahan pihak institusi pengajian yang menyebabkan para graduan menganggur selepas tamat pengajian. Kekurangan latihan industri yang disediakan oleh pihak institusi pengajian dengan kerjasama syarikat-syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan tidak membantu graduan mengharungi cabaran-cabaran industri. Oleh itu siswazah tidak mendapat pendedahan awal berkaitan dengan prospek pekerjaan dan tidak dapat memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh dunia luar. Kesannya tahap saing siswazah adalah rendah dan tidak dapat menandangi persaing daripada institusi yang lain yang banyak memberi latihan industri.
6.0 Kesan-kesan pengangguran
Pengangguran yang berlaku dalam sesebuah   negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial. Kesan ekonomi termasuk mengurangkan keluaran negara, menurunkan taraf hidup dan sekaligus melambatkan pembangunan negara. Dengan pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.
Selain itu, pengangguran boleh menyebabkan manusia didalam belenggu kesempitan. Walaupun ada diantara mereka yang mempunyai kemahiran yang baik tetapi tiada pekerjaan, mereka sukar untuk menjalani hidup seperti biasa. Ini kerana mereka harus pandai menggunakan wang yang ada untuk perkara keperluan sahaja. Ini mungkin akan memberi kesan kepada diri mereka yang tidak dapat memuaskan diri dari segi memiliki  sesuatu yang mereka ingini. Tambahan pula, barangan keperluan semakin hari semakin naik harga. Jumlah orang yang bekerja dalam sesebuah keluarga yang besar mungkin sedikit. Oleh itu, masalah ekonomi mereka jelas dapat kita lihat.
Seterusnya kesan kepada sosial. Kesan pengangguran terhadap sosial termsuk pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan diri. Tambahan pula, Peningkatan kejadian anti sosial dalam masyarakat. Akibat dari masalah kewangan yang dihadapi oleh pengangguran, maka mereka sanggup melakukan rompakan, pembunuhan dan lain-lain kegiatan anti sosial untuk mendapatkan wang.
7.0 Langkah-langkah mengatasi pengangguran
Seorang rakyant yang prihatin terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling, kta haruslah memikirkan cara untuk mengatasi bagaimana untuk mengurangkan kadar pengngguran dikalangan masyarakat pada zaman ini. Antara cara mengatasinya ialah ibubapa haruslah memberi semangat yang padu kepada seseorang individu agar tidak berputus asa untuk mencari pekerjaan. Juga, masyarakat sekeliling haruslah peka sekiranya terdapat anak remaja atau sesiapa sahaja yang tiada pekerjaan, bolehlah membantu mereka dangan hati yang terbuka.
Selain itu, kementerian haruslah mengkaji semula penawaran kursus di universiti terutamanya sukatan pelajaran kursus universiti dikaji dari semasa ke semasa. Tambahan lagi, kursus yang ditawarkan mestilah diselaraskan dengan keperluan pasaran kerja. Penekanan haruslah diberikan kepada kemahiran dan amali supaya kursus universiti menjadi lebih praktikal.
 Era globalisasi ini, kita haruslah mengubah sikap iaitu sikap memilih pekerjaan haruslah dikikis. Kita juga harus pandai menceburi bidang mengikut permintaan pasaran pekerjaan. Untuk memantapkan kemahiran kita, kita wajar mengikuti latihan semula siswazah dalam pelbagai kemahiran seperti kemahiran berbahasa, latihan pengurusan dan sebagainya untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. Sebaiknya, kita haruslah mengubah amalan paradigma lama, iaitu mahu sanggup berdikari dalam menjalankan pekerjaan.
Pihak kerajaan juga memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik dalam tempoh terdekat ini.
Oleh itu, bagi mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia, program latihan Skim Latihan Graduan (SLG) telah dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, apa yang menarik perhatian pengkaji adalah berkenaan pelaksanaan program tersebut. Adakah program latihan berkenaan dapat mengurangkan kadar pengangguran yang wujud dengan kesesuaian program latihan yang disediakan dan adakah pelaksanaannya memenuhi keperluan majikan pada masa kini atau sebaliknya. Tambahan pula, pelaksanaan program latihan SLG adalah berteraskan kepada modul yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Tempoh masa latihan yang perlu diikuti oleh pelatih yang berdaftar adalah selama enam bulan dengan jumlah elaun yang diterima adalah sebanyak RM600 bagi graduan sarjana muda dan RM500 bagi lepasan diploma. Keberkesanan program latihan yang disediakan kepada graduan sama ada lepasan sarjana muda mahupun diploma yang mengikuti SLG berkenaan mengambil kira petunjuk kepasaran graduan iaitu dalam tempoh enam bulan setelah tamat menjalani latihan (Mohd Yahya & Roseliza 2002)[10].
Dalam masa yang sama ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high order thinking) dan kreatif. Menyedari hakikat bahawa pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana untuk membangunkan generasi alaf baru, sistem pendidikan negara memerlukan usahausaha strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang tinggi dan cemerlang serta memerlukan perubahan sejajar dengan perubahan ekonomi, budaya dan politik. Sikap leka dan alpa juga boleh menyebabkan seseorang individu terpinggir dan disingkirkan. Oleh itu, sumber manusia yang merupakan aset negara utama perlu digilap dan dilatih untuk memaksimumkan tahap pengetahuan dan kemahiran mereka. Transformasi pendidikan harus diteruskan untuk melahirkan masyarakat yang mendokong wawasan negara dalam menuju wawasan 2020 iaitu negara perindustrian yang berteknologi tinggi (Mohd Yusof & Ishak 2002)[11].
 Peranan kaunseling kerjaya dalam mengatasi masalah pengangguran. Kaunselor sentiasa bersedia bagi memikul pelbagai peranan meliputi kepelbagaian perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dan orang awam. Tugas utama seorang kaunselor adalah mengendalikan sesi individu, kelompok ataupun keluarga berkaitan masalah peribadi, interpersonal ataupun kerjaya. Tugas-tugas sampingan mereka agak berbeza daripada tugas utama pula adalah penglibatan mereka dalam program-program pendidikan, membuat penilaian dan diagnosis serta menangani krisis intervensi. Bagi memastikan matlamat dan objektif perkhidmatan bimbingan dan kaunseling tercapai, kaedah penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasaran adalah penting. Keberkesanan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran adalah penting. Keberkesanan perkhidmatan dapat mewujudkan pelajar yang seimbang, berjiwa besar dan waja, berwawasan serta keterampilan. Usaha-usaha membina insan yang terus maju ke arah hidup yang bermakna bagi kesejahteraan diri, masyarakat dan negara perlu dilaksanakandengan secara seimbang dalam semua bidang..
Terdapat pelbagai teori kerjaya yang telah dibangunkan yang menjadi asas pengkaji dalam kajian mereka terhadap bidang kerjaya. Antara teori tersebut ialah teori kerjaya Islam, teori pemilihan kerjaya yang menggunakan pendekatan struktur yang memberikan penekanan kepada proses yang terlibat dalam pemilihan kerjaya yang mempunyai struktur yang amat jelas seperti teori Tret dan Faktor, teori Holland, teori Anne Roe dan teori Psikonalitik Bordin (Sidek Mohd Noah, 2002)[12]. Manakala teori Super yang diasaskan oleh Donald E.Super pula lebih dikenali menggunakan pendekatan proses.
Contohnya, Teori kerjaya Islam. Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan terganggu. Allah disamping menyuruh manusia beribadah kepada-Nya dengan tekun dalam masa yang sama menyeru manusia berusaha mencari rezeki yang halal. Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal.


 8.0    Kesimpulan
 Kesemua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah pengangguran terutamanyadi kalangan siswazah.Tabungan Usahawan Siswazah haruslah ditubuhkan untuk melatih semula dam memberi khidmat nasihat termasuk pinjaman bagi membolehkan para siswazah memulakan perniagaan dan mengisi kekosongan mengikut pasaran pekerjaan. Kesimpulannya bagi mengatasi masalah ini, kita harus mengharunginya dengan sahsiah yang positif dan berusaha mencari jalan untuk menanganinya.
Usah berada ditangkuk yang lama dan mengadu akan nasib kita yang malang, tetapi sebaliknya hadapi rintangan itu dengan berani.Mendapatkan ilmu yang lebih tidak akan membebankan kita, malah ia boleh memanfaatkan kita, terutama sekali dalam mendapatkan pekerjaan baru kerana pilihan pekerjaan kita tidak akan terkongkong.
Justeru, kita harus berusaha untuk mengatasi masalah.Jikalau kita tidak menyelenggarakan hidup kita, siapa pula akan melakukannya? Pokoknya, kita harus sentiasa ingat yang kita sendiri yang boleh mengubah nasib kita kerana kitalah pengelola dan pengendali hidup kita sendiri. Dalam masa yang sama, janganlah berputus asa. Gagal itu merupakat langkah kepada kejayaan.  Secara amnya, mereka yang menganggur harus mengorak langkah menuju ke mercu kejayaan dengan mempertingkatkan nilai diri mereka dengan mempraktikkan budaya pembelajaran seumur hidup, terutama sekali mempelajari kemahiran baru yang boleh menjadi aset negara.



Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA