SADN 1043 HUBUNGAN ETNIK : KEMERDEKAAN


KEMERDEKAAN
1.0              Pengenalan
Description: merdeka-800px
Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang pertama telah dibuat oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Pengisytiharan itu telah diiringi dengan laungan ‘MERDEKA’ yang bergema dengan penuh bersemangat dan menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat dan merdeka. Upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sepenuhnya telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel. Di akhir pengisytiharan tersebut Tunku telah meneriakkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir.
Serentak dengan itu, lambang perpaduan, keutuhan dan kedaulatan bangsa iaitu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan diiringi oleh lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Ini diikuti pula dengan seruan azan dan tembakan meriam seratus satu das. Dengan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari ini juga Pesuruhjaya Tinggi British terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England. Pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1957 telah membuka satu lembaran baru Tanah Melayu mara ke hadapan mengambil tempat yang hak baginya sebagai anggota yang bebas dan merdeka dalam lingkungan negara-negara di dunia [1].
Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Masyarakat hidup bersama dan bergaul antara satu sama lain. Selepas kemerdekaan, pergaulan di antara setiap anggota masyarakat ini semakin meningkat, tambahan pula dengan proses perbandaran dan migrasi yang semakin pesat berlaku setiap masa[2]. Selain etnik terbesar Melayu, Cina dan India, Malaysia juga terdiri daripada pelbagai kaum lain seperti Orang Asli, Iban, Bidayuh, Kadazan, Dusun serta suku bumiputera lainnya yang mendiami Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian ini yang telah berjaya memerdekakan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia merupakan hasil perjuangan semua kaum yang berpegang pada prinsip perpaduan, permuafakatan dan persefahaman antara satu sama lain sekalipun menjadi sebuah negara yang baru lahir dan bercirikan kepelbagaian. Sebagai sebuah negara baharu, masalah berasaskan  kepelbagaian juga pastinya akan wujud. Peristiwa 13 Mei, misalnya telah memberikan gambaran betapa rapuhnya persefahaman serta permuafakatan di antara kaum, sekali gus turut menyedarkan kepada semua kaum kepada betapa pentingnya perpaduan bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi agar peristiwa seperti ini tidak berulang lagi.
Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk. J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.
2.0              Sejarah
Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4). Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.
Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.
Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar. Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.
Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).
Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.
Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain. Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.Ketiga-tiga etnik terbesar di Tanah Melayu, iaitu Melayu, Cina dan India masing-masing telah dipisahkan mengikut pekerjaan dan kawasan sebelum memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada tahun 1957.
Bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar, peluang mempelajari bahasa Inggeris, perniagaan, industri dan pendedahan terhadap pentadbiran kolonial British adalah lebih baik berbanding di kawasan luar bandar. Oleh hal yang demikian, keadaan ini telah memberikan peluang terhadap masyarakat Cina dan India khususnya bagi mendominasi bidang-bidang pekerjaan apabila British keluar dari Tanah Melayu. Bagi masyarakat luar bandar, mereka kekal miskin dan pengangguran semakin bertambah terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Seterusnya ialah semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu yang melahirkan ketegangan kaum. Hal ini disebabkan pentadbiran Jepun menggariskan pembahagian yang jelas dalam bentuk layanan mereka terhadap kaum-kaum ini, terutamanya kepada orang Melayu dan bukan Melayu. Orang Melayu dan India lebih disukai oleh Jepun berbanding dengan kaum Cina yang kerap diberi layanan buruk dan dianiaya[3]. Kekalahan Jepun pada 1945 telah menimbulkan semangat dendam orang Cina kepada orang Melayu kerana membantu Jepun menjadi tali barut dan menentang Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang didominasi oleh orang Cina. Hal ini telah menimbulkan konflik, khususnya antara orang Melayu dan Cina apabila Komunis yang didominasi oleh kaum Cina keluar dan menyerang kampung-kampung Melayu. Keadaan ini telah menyebabkan Kerajaan British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu. Selain itu, keadaan ini telah menyemai dan menimbulkan perasaan curiga dan dendam antara kaum di Tanah Melayu.
Selepas Perang Dunia Kedua tamat dan sekembalinya British ke Tanah Melayu, hubungan kaum disulitkan lagi dengan rancangan Malayan Union pada 1 April 1946.13 Rancangan itu diterima oleh kebanyakan orang bukan Melayu terutamanya orang Cina dan India kerana menjanjikan persamaan taraf dengan orang Melayu. Malayan Union ini juga membuka kerakyatan kepada orang bukan Melayu menerusi prinsip Jus Soli yang memberikan mereka hak untuk mendapatkan kerakyatan dengan mudah. Sebaliknya bagi orang Melayu pula, rancangan ini membawa implikasi buruk misalnya dalam hal kewarganegaraan yang boleh menjejaskan kedudukan dan hak istimewa mereka. Walau bagaimanapun, Malayan Union ini tidak dapat berlangsung lama kerana mendapat tentangan kuat daripada masyarakat Melayu dan akhirnya dibubarkan dan digantikan dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEirM_UFAYVHcElf9plNcHH6jyG1AJ2xR0f8JnrW9BP-OFr6K1Yv3_fmNLV2OHVM5ruVWjmaQBTnyD85s2AXoO9NFFcll-ZJ0p-TKwNTYrrln7U0v1hPFwHBXZ8KL2LV5V8VAtHxYlTp32c/s1600/no7.jpg
Sumber : Arkib Negara

Pada 18 Januari 1956, bermulanya Persidangan Meja Bulat di antara wakil-wakil Kerajaan Perikatan UMNO-MCA-MIC, dan wakil-wakil Raja-raja Melayu, bersama pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British di Lancaster House, London untuk menuntut kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Delegasi menuntut kemerdekaan ini diketuai oleh Ketua Menteri YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Dato' Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S. Lee, Encik T.H. Tan, dan Encik Bahaman Shamsuddin selaku Setiausaha Bersama. Manakala empat wakil bagi Raja-raja Melayu ialah Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Dato' Nik Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid, dan Dato' Mohd Seth Mohd Said.
Persidangan yang berlangsung selama tiga minggu ini merundingkan beberapa perkara berkaitan kemerdekaan Tanah Melayu, hal-hal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri serta penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan bagi mengkaji semula perlembagaan terutamanya mengenai kedudukan istimewa Raja-raja Melayu yang perlu dikekalkan. Misi Rombongan Merdeka menuntut kemerdekaan ini telah berjaya mendapatkan persetujuan Kerajaan British untuk memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu[4].
Rombongan Tunku sampai di London pada 14hb Januari 1956. Mereka kemudiannya berunding dengan perwakilan kerajaan British, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Pesuruhjaya Tinggi British di Persekutuan Tanah Melayu dan lain-lain. Rundingan berjalan dari 16hb Januari hingga 6hb Februari 1956. Akhirnya kerajaan British akur memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu dan satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian London telah ditandatangani pada 8hb Februari 1956. Mereka menetapkan tarikh 31hb Ogos 1957 bagi Persekutuan Tamah Melayu mencapai       kemerdekaan mutlak. Inilah tarikh keramat yang kita sambut setiap tahun sebagai tarikh pembebasan Tanah Melayu dari belenggu penjajah.
Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhdrZPxWyFTnPjEIhGB80ixw9HfkhdOtVIw3T5Mr1OLtWIfmZLi2FNc2qe9bRBfLnuU1QTBz7QGMvZPmeL1w3czLQRt6nIsV5hm6Fds0niU0pbvyPBDwBmlSHFWMQkYNWvUeWavuvvOrUE/s1600/no8.jpg
Sumber : Arkib Negara
Rombongan Tunku dari London sampai ke Singapura dan kemudiannya ke Melaka. Satu sambutan besar-besaran diadakan membabitkan kira-kira 100,000 orang orang yang menunggu di Padang Bandar Hilir yang kini dikenali sebagai Dataran Pahlawan. Sesungguhnya laungan MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA ! telah berkumandang di sini buat pertama kalinya  pada 20hb Februari 1956.
Sumber : Arkib Negara
Penggubalan perlembagaan bukanlah satu kerja yang mudah dan memerlukan banyak siri perbincangan dan tolak-ansur antara orang-orang Melayu dengan kaum-kaum Cina dan India. Ini kerana kemerdekaan mutlak yang bakal diperolehi adalah juga kerana persefahaman antara kaum-kaum ini dalam Pilihanraya Persekutuan yang pertama dan kerja keras mereka merundingkan perjanjian kemerdekaan Tanah Melayu. Sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi menggubal perlembagaan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Terdapat pelbagai bantahan dan penerimaan dari pelbagai golongan bagi draf perlembagaan sebelum ianya diluluskan.
Antara perkara penting yang dimasukkan dalam perlembagaan ialah mengenai tuntutan keistimewaan orang-orang Melayu dalam Perkara 153  adalah menepati kehendak Memorandum Perikatan. Disamping agama Islam dijadikan ugama rasmi negara. Draf Perlembagaan kemudiannya telah dibincangkan di London dengan kunjungan ini di ketuai oleh Tunku pada 10hb Mei 1957.   Dalam mesyuarat dengan kerajaan British, beberapa persetujuan telah dicapai. Kertas Putih Kerajaan yang mengandungi pindaan-pindaan ke atas Penyata Reid telah dikeluarkan. Bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa  kebangsaan. Yang Dipertuan Agong telah diberi tanggungjawab oleh perlembagaan untuk menjaga kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang halal bagi kaum-kaum yang lain. Rang undang-undang itu kemudiannya telah dibawa ke Majlis Perundangan Persekutuan pada 10hb Jun 1957 dan diluluskan.
Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiRsNba-vozdIpcnC4WyWCJHGDoDGYhfnbFaEKFmY9SBmEwd7f3RO-FX77wV1OyAgVUnxQZqL1ZYNtUgI8LQgRju3Ufw2cVaLMNJQwXpbR0wG42zGgyA9BaQ3aAlioUfE5kfRP5GGr_FcU/s1600/no10.jpg
Sumber : Arkib Negara
Menjelang 30 Ogos, sekitar jalan-jalan bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan dan orang ramai berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-lampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling. Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri.  Detik 10 malam, wakil-wakil yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Tanah Melayu dan Singapura mengambil tempat di sekeliling tiga bahagian padang. Diikuti dengan pembentukan 300 Pemuda Perikatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap menara jam.
Tunku Abdul Rahman diiringi masuk pada pukul 11.55 malam bersama 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal dengan pengiring polis. Tunku disambut oleh Dato’ Abdul Razak Hussein, Encik Saadon Jubir, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambantan. Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas mengadap ke tiga-tiga tiang bendera. Pukul 11.58 semua lampu di padang dan di sekeliling dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita. Detik 12 tengah malam lampu dipasangkan apabila jam besar berbunyi menandakan bermulanya era Tanah Melayu yang merdeka. Ini diikuti pula dengan laungan  ”Merdeka” oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang secara spontan. Bendera Union Jack mula diturunkan dengan diiringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai menandakan berakhirnya pentadbiran Britih di Tanah Melayu. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan Negaraku  yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum. Setelah bendera berada di puncak tiang, sorakan ”Merdeka” telah dilaungkan oleh Tunku sebanyak tujuh kali. Merdekalah sudah tanahairku.
  Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjd0KxmKFPLkOk6aMyi0XeBwZwlVKSQ1tkflI_nBmTny18BbLgicrXGDR3aEa27wHI8lD67nC8C1sRe2qhIx1cEoRCt38qcBExnVZGD-UT0ta0PyF27xnwP24zWX9EXUzehHCPuB0L-wWY/s1600/no11.jpg
Sumber : Arkib Negara
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31hb Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada upacara bersejarah itu wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.
Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEidL6HQQA7qnnTcK55efADdh-u6UzFwB5D8Tf_o-Kg48OV-caEi_hd_IbXCymYKF4tImyaywCoMsBrBof-581PCpRDZs-c3H0atpVQff3bp59vZ7_tra45lcPLAb_Lq0MU9anpC-D8AZyc/s1600/no12.jpg
Sumber : Arkib Negara
Description: E:\tugasan nizam HUBUNGAN ETNIK\merdeka.jpgDescription: E:\tugasan nizam HUBUNGAN ETNIK\merdeka-e1472463835461.jpg
Sumber : Arkib Negara

3.0              Faktor – faktor menyebabkan berlakunya Kemerdekaan
Ø  Bantahan Penduduk Tempatan Terhadap Malayan Union
Bantahan penduduk tempatan terhadap Malayan Union merupakan salah satu impak yang menyumbang kepada faktor British memberikan kemerdekaan Tanah Melayu. Melalui kebimbangan mereka akan kehapusan negeri, bangsa dan kebudayaan   mereka, penyatuan orang Melayu menjadi begitu jelas dan bermakna sekali. Ia boleh dianggap sebagai kemuncak nasionalisme itu sendiri. Rakyat telah menentang perkara yang terkandung dalam Gagasan Malayan Union, antaranya ialah mereka tidak   berpuas hati dengan cara tandatangan raja-raja Melayu diambil, hal ini kerana raja-raja tidak dibenarkan untuk mendapatkan nasihat sebelum membuat keputusan.
Seterusnya, syarat kewarganegaraan yang longgar juga telah mengancam status quo orang Melayu sebagai penduduk asal, malah, mereka juga melihatnya sebagai satu   penjajahan ke atas Tanah Melayu. Syarat kewarganegaraan yang longgar dan penghapusan hak-hak istimewa orang-orang Melayu adalah ditafsirkan oleh pemimpin - pemimpin  Melayu  sebagai amat  membahayakan  kedudukan  politik, ekonomi dan masa depan orang Melayu[5]. Oleh yang demikian, orang Melayu mula bertindak dalam pelbagai bentuk bagi menentang Malayan Union dengan cara menghebahkan keburukan Malayan Union melalui akhbar-akhbar Melayu, contohnya Utusan Melayu, Majlis danWarta Negara. Surat-surat pembaca yang mengkritik Malayan Union turut dimuatkan dalam akhbar-akhbar tersebut. Persatuan-persatuan negeri-negeri Melayu   yang   tumbuh   sebelum   perang   dan   selepasperang, menghantar nota-nota bantahan kepada Pejabat Tanah Jajahan(Colonial Office)[6]. Hal ini telah memperlihatkan kebangkitan persatuan-persatuan politik untuk menentang gagasan Malayan Union. Pada 23 Januari 1946,  Dato  Onn   Jaafar telah  menyeru   orang  Melayu untuk berkongres dan menubuhkan United Malays Organization (U.M.O) sebagai benteng bagi menentang penubuhan Malayan Union. Pada 1Mac 1946, sebanyak 41 buah persatuan negeri Melayu menghantar wakil termasuk Parti Kebangsaan Melayu (PKMM) yang menghantar wakil dan 14 orang pemerhati  menghadiri   kongres   itu.   Dalam kongres   tersebut, Dato’ Onn mencadangkan   untuk   menubuhkanpertubuhan kebangsaan orang Melayu yang diberi nama United Malays National Organization (UMNO). Pada 30 Mac 1946, Kongres 1946 II diadakan secara tergempar kerana British tetap akan meneruskan Malayan Union   pada 1 April 1946.
Bagi menentang perkara ini daripada berlaku, beberapa langkah telah dibincangkan selama dua hari berturut-turut. Hasilnya   mereka   bersetuju   untuk   meminta Raja – raja Melayu   untuk   memulaukan perlantikan   Sir   Edward   Gent   sebagai Gabenor Malayan Union, sementara orang Melayu diminta untuk berkabung selama 7 hari sebagai tanda kematian hak mereka. Kongres yang diadakan pada 11 Mei 1946 memperlihatkan penentangan orang Melayu   terhadap   Malayan   Union   melalui   parti   politik,   iaitu UMNO. Gerakan UMNO diperkuatkan lagi dengan sokongan daripada bekas Pegawai British, antaranya R.O Winstedt dan Frank Sweteenham yang jelas menolak gagasan Malayan Union. Parti Konservatif Britain turu tmeminta  untuk   mengkaji  bantahan   orang   Melayu.   Pada   20  Januari 1948,   Dato’ Onn sebagai wakil UMNO telah menghadiri Plenary Conference dan   mendesak   peraturan   dan   arahan   Majlis   Mesyuarat Negeri dan Persekutuan dibuat dengan pengetahuan negeri Melayu. Pada 21 Januari 1948, Perjanjian   Persekutuan 1948 telah ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dan British , maka Malayan Union dimansuhkan secara keseluruhan.

Ø  Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 menandakan bermulanya proses   untuk mencapai kemerdekaan. Hal ini kerana dalam preamble perjanjian telah dinyatakan bahawa pilihan raya akan diadakan dalam masa yang terdekat menandakan proses menuju  kearah penubuhan kerajaan sendiri telah pun diiktiraf. Namun begitu, British memberikan alasan bahawa Tanah Melayu boleh diberikan hak untuk memerintah kerajaan sendiri dalam masa 25 tahun lagi. Hal ini jelas menunjukkan   British masih lagi tidak bersedia untuk memperkenalkan pilihan raya di Persekutuan.   Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan kerana semasa perbincangan pada 28 Mei 1946, raja-raja Melayu mendesak perkara  baru diadakan dalam sebuah kerajaan   baru. Ini termasuklah pembentukan sebuah persekutuan, pengiktirafan kedaulatan Raja-raja Melayu, kerakyatan yang ketat dan pelantikan seorang Pesuruhjaya Tinggi dan naungan bagi negeri-negeri Melayu. Perkara   ini  telah   disokong   oleh   pegawai  British iaitu Sir Edward Gen.

Ø  Parti Perikatan
British ingin menubuhkan parti gabungan pelbagai bangsa di Tanah Melayu   supaya kepentingan bangsa masing-masing dapat dijaga, namun kepentingan   bersama akan dibincangkan secara gabungan. Oleh yang demikian, National Conference telah ditubuhkan pada awal tahun 1953. Kesemua parti politik sama ada kecil mahupun besar telah dijemput oleh Malcom Mac Donald, Gabenor General   Asia Tenggara ke King’s House. Parti-parti yang terlibat ialah UMNO, MCA, MIC, IMP dan MTUC. Hasil daripada persidangan itu, satu keputusaan telah dicapai, iaitu penubuhan paarti politik gabungan yang dinamakan National Conference. Namun, pada 21 Ogos 1953,  Tunku Abdul Rahman telah mengadakan  National Covention  sebagai memenuhi janjinya kepada British untuk menubuhkan organisasi yang baru, namun beliau sanggup membahagikan Tanah Melayu kepada dua sekiranya tidak dapat menyelesaikan masalah politik perkauman. Namun begitu, hal itu tidak terjadi  kerana National Convention telah menjadi Perikatan kemudiannya.  Pada awal tahun 1953, Parti Perikatan telah mendesak pihak British supaya mempercepatkan proses   devolusi kuasa politik kepada elit politik tempatan.
 Dalam pilihanraya majlis perbandaran yang diadakan pada tahun 1952 danawal 1953, perikatan UMNO-MCA telah menang, oleh yang demikian,mereka bertindak untuk mendesak British supaya mengadakan pilihanraya di peringkat Persekutuan pula. Desakan ini dilakukan bertujuan untuk mempercepatkan proses penubuhan kerajaan sendiri. Pemimpin Perikatan merasa oleh kerana tempoh Majlis Perudangan Persekutuanyang dilantik akan berakhir pada Januari 1954, ketika itu masa yang sesuai untuk mendesak British memperkenalkan pilihan raya untuk perwakilan dalam Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council). Desakan ini juga berpunca daripada kemerdekaan yang dikecapi oleh beberapa  negara Asia serta Singapura dan Gold Coast di Afrika kerana mereka telah diperkenalkan   dengan pilihan raya. Walaupun  Parti Perikatan telah menang besar dalam pilihan raya diperingkat persekutuan, namun mereka masih tidak merasa puas kerana dominasi   pemimpin Pro-IMP dalam  Majlis Perundangan Persekutuan.
Pada 17 Mac 1953, Parti Perikatan telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan satu konvensyen kebangsaan untuk semua parti politik bagi mengkaji langkah-langkah yang wajar diambil untuk mempercepatkan proses menuju ke arah kemerdekaan. Parti Perikatan telah menuntut 44 daripada 75 ahli Majlis Perundangan Persekutuan dipilih   melalui pilihan raya umum dengan 31 orang dilantik. Mereka juga ingin 60 peratus daripada ahli Majlis Perundangan Persekutuan dipilih melalui pilihan raya. Berikutan kemenangan majoriti dalam pilihan raya majlis pembandaran, Parti Perikatan mahu pengiktirafan dengan mengagihkan kuasa mengundi dalam persidangan, namun cadangan ini tidak diterima. Semasa pembukaan konvensyen nasional pada 23 Ogos 1953, Parti Perikatan membuat tuntutan kemerdekaan secara lebih agresif  dan terbuka dibandingkan Joseph M. Fernando, “Parti Perikatan dan Peranannya dalam Menuntut Kemerdekaan”, tuntutan sebelumnya yang lebih terfokus kepada isu kerajaan sendiri. Mereka bertegas untuk mengadakan pilihan raya peringkat Persekutuan selewat-lewatnya pada tahun 1954. Mereka juga menetapkan bahawa sekurang-kurangnya 3/5 majoriti haruslah dipilih secara langsung melalui pilihan raya. Namun begitu, Templer tidak bersetuju dengan rancangan ini. Dapat dilihat bahawa Parti Perikatan tetap tegas dalam tindakan menuntut pilihanraya peringkat Persekutuan supaya dapat   mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melayu.

Ø  Rundingan Tunku Abdul Rahman Dengan Pegawai British
Faktor lain yang menyumbang British memberi kemerdekaan kepadaTanah  Melayu ialah tindakan  Tunku Abdul Rahman yang berunding dengan Pegawai British untuk menuntut kemerdekaan. Parti Perikatan tidak berstuju dengan majoriti tipis yang  yang diluluskan oleh Templer dan Majlis Raja-raja dan memutuskan untuk merayu secara langsung kepada Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan Oliver Lyttelton di London. Walaupun pada mulanya delegasi itu enggan diterima oleh Pejabat Tanah Jajahan,   atas bantuan   Lord   Ogmore,   delegasi itu diterima. Namun begitu, delegasi ini hanya sia-sia kerana Lyttelton tetap dengan pendiriannya. Tindakan yang dilakukan  oleh   Tunku setelah mengadakan mesyuarat pada 24 Mei 1954 ialah menghantar telegram kepada Lyttelton bagi menyuarakan ketidakpuasan hatinya. Perkara yang dicadangkan oleh Tunku ialah menubuhkan suruhanjaya bebas yang terdiri daripada pakar perundangan luar negara  untuk mengkaji Perlembagaan Persekutuan 1948.  Cadangan   itu ditolak, lalu Parti Perikatan telah mengadakan tindakan boikot Kertas Putih kerajaan. Perikatan menganjurkan perarakan di seluruh negara untuk menyokong tuntutan mereka. Mesyuarat yang diadakan bersama Mac Gillivray mendatangkan hasil apabila parti majoriti akan dijemput melantik lima ahli dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Hal ini menunjukkan usaha yang selama ini dilakukan oleh Parti Perikatan membuahkan hasil.

Ø  Pilihanraya 1955
Faktor penting yang membawa perubahan status Tanah Melayu kepad anegara yang merdeka ialah Pilihanraya 1955, iaitu dalam pilihanraya tersebut memihak kepada kemenangan Parti Perikatan yang menyebabkan mereka mampu untuk menubuhkan kerajaan sendiri. Kemenangan yang diperolehi sebanyak 51 daripada 52 buah kerusi menyebabkan elit politik tempatan mampu unuk menjawat jawatan dalam kerajaan sendiri. Menurut Tunku Abdul Rahman, kemenangan yang diperolehi ini   tidak mungkin  diraih tanpa sokongan  para pengundi. Sehubungan dengan itu, pada 22 Ogos 1955, iaitu sebulan selepas kemenangan dalam pilihanraya Persekutuan   Tunku Abdul Rahman telah bertemu dengan Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan Alan Lennox-Boyd. Antara salah satu daripada tujuh perkara penting yang diutarakan dalam Manifesto Parti Perikatan yang dikemukakan semasa Pilihanraya 1955 ialah kemerdekaan dalam masa empat tahun.
Namun begitu,   Parti   Perikatan   mendapati   bahawa  proses untuk menuju kemerdekaan itu sangat perlahan. Oleh yang demikian, dalam bulan Januari, 1956, rombongan dari Tanah Melayu yang terdiri daripada wakil-wakil para Raja dan menteri-Menteri Perikatan telah pergi ke London bagi   mengadakan rundingan  kemerdekaan Tanah Melayu. Sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu pada waktu itu,  Tunku Abdul Rahman telah mengetuai rombongan itu. Tarikh kemerdekaan telah diputuskan setelah persetujuan mengenai tarikh kerajaan dicapai, iaitu pada 31 0gos 1957.   Walaupun pada mulanya British hanya ingin memberi tahap kerajaan sendiri penuh sahaja, Tunku Abdul Rahman tetap tegas  dengan  pendiriannya  bahawa Tanah  Melayu  harus dimerdekakan pada 31 0gos 1957. Parti Perikatan tidak akan pulang ke Kuala   Lumpur   selagi   British   tidak   memberi   persetujuan   berkenaantarikh kemerdekaan.

4.0              Implikasi Kemerdekaan kepada Hubungan Etnik pada masa itu dan pada masa sekarang
Menelusuri sejarah negara, asas permulaan pembinaan perpaduan di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan negara adalah melalui persetujuan bersama Kontrak Sosial dalam kalangan pemimpin Melayu dan bukan Melayu.Persetujuan ini dicapai setelah rundingan dan tolak ansur dilakukan hasil permuafakatan parti-parti politik berasaskan kaum yang diwakili iaitu Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Kongres India Malaya (MIC). Kontrak Sosial tidak harus dianggap sebagai persetujuan pemimpin atau kelas elit kaum-kaum berkenaan sahaja tetapi merupakan simbolik kepada peretujuan pemimpin yang mewakili kaum masing-masing. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat yang dibuktikan dengan kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya umum pertama negara pada 1955 (Abdul Manaf Ahmad 2009). Persetujuan dan penerimaan telah dicapai oleh generasi terdahulu yang telahpun merintis jalan perpaduan untuk generasi berikutnya. Faktanya ialah, Kontrak Sosial adalah persetujuan atau janji dua belah pihak yang dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah demi pembentukan sebuah negara merdeka yang perlu bertunjangkan perpaduan penduduk berbilang kaum pada ketika itu. Walaubagaimanapun, Kontrak Sosial kini tidak lagi dianggap perintis perpaduan yang perlu diteruskan oleh sesetengah pihak yang enggan mengenang sejarah negara khususnya berkaitan Kontrak Sosial.
Masyarakat majmuk menurut pandangan Furnivall (1948)[7], merujuk kepada masyarakat yang dicirikan dengan perpecahan akibat wujud perbezaan dari segi ras dan etnik. Selain itu pengasingan kegiatan ekonomi dan sosial akibat Dasar Pecah dan Perintah British menyumbang kepada isolasi keetnikan daripada etnik yang lain sehingga memudahkan berlakunya ketegangan dan ketidakstabilan hubungan etnik. Kemajmukan di Malaysia adalah impak era kolonial British yang telah menjalankan dasar campur tangan dalam struktur sosio-politik masyarakat Melayu tradisi.Selain itu faktor migrasi masyarakat asing khususnya dari Tanah Besar China dan India turut membentuk kemajmukan kaum.Kehadiran imigran tersebut menjadi sumber bekalan buruh kepada British untuk mengerjakan kegiatan perlombongan bijih timah dan pengeluaran getah di Tanah Melayu (Shamsul Amri 1997)[8].
Menjelang detik menghampiri era kemerdekaan, Kontrak Sosial secara tersirat merupakan jalan menyelesaikan perbezaan kepentingan etnik masing-masing.Selain itu, untuk memastikan kepentingan majoriti dan minoriti diambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan, persetujuan yang dicapai perlulah kekal dan diwarisi turun-temurun demi memelihara perpaduan yang telah dibina suatu masa dahulu. Persetujuan dan penerimaan tersebut adalah janji yang diwariskan kepada generasi seterusnya untuk dipelihara agar tidak bercanggah atau dikhianati pada masa depan. Berdasarkan persetujuan Kontrak Sosial, orang Melayu menerima dan mengiktiraf orang Cina dan India sebagai warganegara yang sebenarnya beracuankan konsep Jus Soli British tetapi telah diperkemas. Sebagai balasan dan penghargaan tersebut, orang Cina dan India mengiktiraf kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dari segi bahasa, agama Islam, kedaulatan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa lain yang diperuntukkan kepada orang Melayu (Abdul Manaf Ahmad 2009).
Kemerdekaan yang dikecapi secara tidak langsung telah melahirkan sebuah negara yang bebas daripada penjajahan dan rakyat yang perlu mempunyai satu identiti kebangsaan.Pembentukan sebuah negara merdeka harus seiring dengan pembentukan bangsa negara tersebut agar menepati konsep negara-bangsa yang diidamkan.Negara-bangsa ditakrifkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)[9] sebagai negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Konsep negara-bangsa Malaysia yang diimpikan ialah negara berdaulat dan rakyat yang mempunyai satu identiti atau pengenalan yang sama. Kehidupan yang aman, bersatu padu dan berpegang kepada kepelbagaian tradisi sosiobudaya menunjukkan bahawa impian pembentukan negara-bangsa tidak menghadkan ras, suku kaum, agama ataupun kepercayaan (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010). Mok Soon Sang (2009)[10] berpandangan, membina negara-bangsa ialah untuk melahirkan warganegara yang berciri global dan patriotik. Pembentukan negara-bangsa juga pernah disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha mengejar sasaran negara maju pada tahun 2020. Gagasan Wawasan 2020 menyenaraikan pembinaan negara-bangsa sebagai cabaran pertama yang perlu diwujudkan seperti pernyataan berikut:
“Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, mempunyai matlamat serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan”.
Realiti Cabaran Pembinaan Negara-Bangsa dan Merintis Perpaduan Nasional
Malaysia selepas setengah abad menyambut kemerdekaannya masih bergelut dengan pencarian identiti kebangsaan dan pembentukan perpaduan nasional yang sewajarnya.Tempoh setengah abad bukanlah satu masa yang panjang sekiranya dibandingkan dengan pembinaan dan perkembangan sesebuah tamadun masa lalu. Sebagai negara yang dikira masih baru, yang diasaskan pada 1963 selepas membentuk Persekutuan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, tempoh ini masih terlalu muda untuk mencapai satu tahap perpaduan nasional ideal yang dicita-citakan. Abdul Rahman Embong (2000) menyatakan dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baru bagi rakyat berbilang kaum di negara ini walaupun pembentukan negara Malaysia sudah berlaku.Begitu juga apabila Malaya diisytiharkan merdeka, sebuah negara baru telah terbentuk tetapi bukannya bangsa Malaya dan konsep negara bangsa sebenarnya dilihat masih jauh untuk dicapai.Kenyataan sarjana ini menjelaskan bahawa pembentukan negara ini sekadar pembentukan wilayah geografi namun tidak membawa aspirasi perpaduan bangsa wilayah tersebut.Malahan polarisasi perkauman dalam kalangan penduduk Tanah Melayu menyebabkan perpaduan nasional perlu dibangunkan secara agresif ke arah pembinaan negara bangsa yang sebenar.Sekiranya wujud sekalipun perpaduan pada masa ini, ianya bersifat sementara, tidak holistik, malahan mungkin palsu kerana dinamikanya yang sentiasa mengalami perubahan mengikut peredaran dan perkembangan semasa.
Situasi ini bukan bersifat domestik kerana di kebanyakan negara lain yang juga sifatnya majmuk seperti Malaysia sentiasa memikirkan kaedah mengekalkan perpaduan nasional dalam kalangan masyarakatnya. Dengan kata lain isu pembentukan perpaduan nasional bukan satu isu statik yang dapat dicapai secara mutlak pada sesuatu masa tetapi bagaimana untuk mengekalkannya adalah satu usaha yang memerlukan pemantauan dan perundingan di peringkat tertinggi negara khususnya yang berkaitan sensitiviti dan diversiti masyarakat. Perpaduan nasional juga tidak dapat lari daripada konsep pembentukan negara bangsa. Manakala kedua-dua isu ini pula saling bersangkut-paut dengan isu perbezaan kaum atau diversiti dalam kalangan masyarakat. Kerencaman dari segi bahasa, agama, kepercayaan, tradisi, budaya dan sebagainya adalah satu isu besar yang menuntut penerimaan secara total untuk mencapai perpaduan nasional yang diharapkan. Walaubagaimanapun, perbezaan inilah yang menjadi halangan utama dan cabaran besar kepada kepimpinan negara untuk merealisisasikan kesepaduan dalam kepelbagaian. Maka pemaknaan dan pentafsiran istilah-istilah seperti „perpaduan nasional, „kesetiaan kepada negara‟, „keharmonian‟ dan „tolak ansur‟ perlu difahami dan diterapkan dalam amalan dan kehidupan rakyat (Ruslan Zainuddin et.al 2005)[11].
 Dalam konteks Malaysia, salah satu langkah yang diambil untuk menyatupadukan kepelbagaian masyarakat ialah dengan memelihara dan mengekalkan tradisi budaya setiap kaum sejak era kemerdekaan negara.Dasar kerajaan yang menginginkan citra identiti setiap kaum di Malaysia dikekalkan agar dapat diterjemah sebagai identiti kebangsaan inilah yang dimaksudkan sebagai cabaran besar kepada negara. Hal ini kerana setiap dasar yang digubal perlu mengambil kira faktor „identiti kebangsaan‟ di samping mengangkat dasar afirmatif yang meletakkan kepentingan kaum Bumiputera sebagai keutamaan.


5.0              Analisis item pembinaan kerangka kesepaduan sosial di Malaysia berdasarkan kepada Kemerdekaan.

Polarisasi Kaum dan Agama
Seperti masyarakat Indonesia, Malaysia juga dikategorikan sebagai negara yang mempunyai masyarakat berasaskan budaya (culture-based) namun dari segi pembentukan masyarakat berasaskan negara bangsa (nation state-based), Malaysia ketinggalan jika dibandingkan dengan Indonesia yang berjaya melaksanakan indoktrinasi “pengIndonesiaan” dalam kalangan rakyatnya yang berbilang etnik. Di Malaysia, migrasi masyarakat bukan Melayu ke negara ini sama ada disebabkan oleh penjajahan kuasa asing ataupun kerana faktor pergolakan politik di negara asal mereka telah mewujudkan masyarakat majmuk (Wan Norhasniah 2011). Dasar Pecah dan Perintah yang dilaksanakan oleh British telah meninggalkan kesan mendalam dan sukar untuk diubah. Masyarakat Melayu, Cina dan India kebiasaannya dibesarkan dalam persekitaran yang spesifik berdasarkan sosio-budaya keetnikan masing-masing. Perbezaan bahasa, amalan agama dan budaya kaum seakan sudah menjadi „alat‟ yang membeza-bezakan kaum sehingga tidak kelihatan identiti Bangsa Malaysia atau nation-state based community. Seperti yang telah disebutkan, permasalahan ini berlaku disebabkan pemisahan fizikal tempat tinggal akibat faktor penjajahan, perbezaan aliran sekolah dan pengasingan diri mengikut kaum masing-masing disebabkan sifat perkauman yang masih menebal. Perpaduan yang wujud pada hari ini belum boleh dikatakan sebagai perpaduan nasional kerana perpaduan yang ada hanyalah perpaduan yang terbentuk dalam kalangan etnik yang sama (Shamsul Amri 2009)[12].
Hakikatnya kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan menggerakkan inisiatif untuk membawa perubahan ke arah semangat pembinaan perpaduan nasional serta pengintegrasian kaum dari semasa ke semasa. Walaubagaimanapun proses tersebut dan keberkesanannya tidak mengambil masa yang singkat untuk dilihat.
Corak perhubungan masyarakat di negara ini cenderung kepada dikotomi Melayu-Islam dengan Bukan Melayu-Bukan Islam. Kedua-dua kumpulan ini saling menegakkan status quo masing-masing dan faktor inilah yang dilihat oleh Shamsul Amri sebagai perpaduan dalam kalangan etnik atau kumpulan yang sama. Sebahagian yang lain pula bersifat liberal yang mahukan kesamarataan apabila membicarakan perkara-perkara yang menyentuh hak dan peruntukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan. Dikotomi ini akan sentiasa wujud selagi mana tidak terbentuk Bangsa Malaysia sebenar memandangkan kumpulan-kumpulan ini saling membawa aspirasi dan kepentingan berorientasikan kaum atau agama masing-masing. Sifat perkauman atau apa jua bentuk polarisasi merupakan penghalang terbesar dalam usaha pembentukan perpaduan nasional (Lee Lam Thye 2017)[13]. Isu-isu yang dibincangkan bukan bersifat fiksyen atau teori semata-mata, akan tetapi merupakan realiti kerencaman budaya di Malaysia yang sebenarnya memerlukan campur tangan kerajaan agar pembuatan dasar dan keputusan dilakuan secara berhemah dan diterima pelbagai pihak secara amnya.

Asimilasi
Umumnya, di Malaysia, pemerintah dan masyarakat sedaya upaya untuk tidak mengubah atau menghilangkan kebudayaan masing-masing. Justeru negara bangsa perlu penilaian yang teliti dan kajian yang mendalam bagi mencadangkan proses asimilasi dan mewujudkan integrasi kepada seluruh etnik di Malaysia. Walau bagaimanapun, asimilasi boleh berlaku dalam pelbagai aspek tanpa menghilangkan kesemuanya memandangkan kebudayaan mempunyai beberapa ciri.Perlu difahami konsep kebudayaan dalam antropologi adalah sebagai sistem iaitu sistem pelambangan vokal iaitu bahasa, sistem pengetahuan, sistem organisasi sosial, sistem peralatan hidup dan teknologi, sistem mata pencarian hidup, sistem agama dan kesenian (Koentjaraningrat 2003). Asimilasi boleh juga berlaku dalam perkongsian nilai yang sama. Proses pembinaan suatu sistem nilai sepunya perlu menimbangkan kemajmukan budaya (cultural plurality) serta eleman „hak‟ dan „kepentingan‟ setiap komponan masyarakat semasa mencadangkan, mengenalpasti dan merumus tatacara yang „betul‟ dan „salah‟ (Zurina Mahadi & Hukil Sino 2006)[14]. Proses reproduksi kebudayaan merupakan proses aktif yang menegaskan keberadaannya dalam kehidupan sosial sehingga mengharuskan adanya adaptasi bagi kelompok yang memiliki latar belakang kebudayaan yang berbeza.
Asimilasi dianggap suatu perkara yang baik dalam aspek politik bagi penubuhan negara-bangsa, namun tidak bagus pada mereka yang mempunyai dogmatik pada nilai adat sendiri kerana mengangkat superior. Begitu juga pada kelompok yang satu lagi akan beranggapan sebagai nilai rasisme kerana tidak suka kepada nilai budaya atau adat yang mereka bawa dari negara asal. Situasi ini merupakan cabaran dan halangan sejak sekian lama di Malaysia sehingga membantutkan usaha pembinaan Bangsa Malaysia dan negara-bangsa yang bersatu padu dalam identitinya yang satu. Disebabkan wujudnya sifat superior dan anggapan berlakunya rasisme di Malaysia, ditambah pula dengan pendekatan pemimpin Malaysia sejak dahulu yang banyak bertoleransi dan berkompromi dengan kaum-kaum utama, maka proses membina negara-bangsa Malaysia memerlukan kaedah lain yang berbeza berbanding pelaksanaan di Indonesia. Proses ideal yang dianggap oleh pandangan pemerintah tentu sahaja mengambil masa yang lama bagi berlakunya integrasi dalam masyarakat pelbagai etnik.
Melihat dari sudut pandang yang lain, polarisasi hubungan etnik di Malaysia masih wujud dan perlu ada elemen kawalan yang berterusan agar tidak mencetuskan kekacauan sosial. Kaedah mengawal dan menangani isu-isu sensitif dilakukan secara bottom up dan top down bagi memperlihatkan realiti kemajmukan di negara ini yang bersifat fleksibel .Perpaduan ialah kesamaan atau kesatuan, hakikatnya perpaduan yang diidamkan masih belum wujud dan berkemungkinan bersifat utopia yang tidak dapat dilaksanakan (Shamsul Amri 2016).Kerangka konseptual yang diutarakan dalam menggambarkan hubungan etnik di Malaysia ialah suatu bentuk hubungan yang rapuh, retak dan penuh dengan pertentangan dan persengketaan.Gambaran ini boleh disimpulkan sebagai suatu kerangka konseptual yang berorientasikan paradigma konflik.Oleh itu, konsep yang berhubung kait dengannya seperti konsep polarisasi, segregasi, ketegangan, persaingan, persengketaan, pertentangan, perbezaan atau perpecahan digunakan sebagai alat analisis dan pengukur untuk memahami permasalahan tersebut di Malaysia.
Shamsul Amri (2016) seterusnya mengatakan dalam keghairahan mengangkat paradigma konflik sebagai teras dan orientasi memahami permasalahan yang wujud di Malaysia, realitinya tahap kehidupan harian masyarakat awam berada dalam kesepaduan sosial yang relatifnya adalah bersifat aman dan stabil.Dalam tempoh lebih daripada empat dekad yang lalu Malaysia secara relatifnya masih belum goyah dengan konflik etnik mahupun konflik agama namun kadang-kadang kesannya boleh mengancam perpaduan sedia ada.Keadaan ini adalah realiti kehidupan sosial yang wujud di Malaysia dan jarang diungkapkan para sarjana kajian etnik.Realiti yang lebih positif, dominan serta lebih terserlah secara umumnya terlepas pandang daripada penghujahan para sarjana kajian etnik.Keadaan ini adalah kerana sudut pandang melalui paradigma konflik dan situasi negatif terlalu lama mendominasi wacana etnik di Malaysia sehingga ianya seolah-olah diterima sebagai sesuatu yang masih berlarutan dan sukar diatasi.

6.0              Kesimpulan dan Cadangan
Kemajmukan memperlihatkan kepelbagaian berasaskan identiti setiap etnik.Kepelbagaian menjurus kepada perbezaan yang wujud dalam sesebuah masyarakat yang kemudiannya menjadi cabaran kepada pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan nasional.Matlamat membina sebuah masyarakat yang berasaskan negara-bangsa perlu seiring dengan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik.Pemimpin Tanah Melayu yang kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia sejak sebelum kemerdekaannya telah merintis jalan perpaduan pelbagai kaum melalui Kontrak Sosial.Permuafakatan tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan kekal hingga kini. Tidak seperti Indonesia dan Thailand, Malaysia mempraktikkan cara dan acuannya yang tersendiri untuk membina perpaduan nasional dan membentuk identiti kebangsaan di samping memastikan hubungan antara kaum sentiasa terpelihara.
Acuan besar dalam konteks masyarakat pelbagai etnik tidak bersifat statik, tetapi sentiasa dinamik dalam proses pengukuhan berterusan yang didukung oleh struktur sosial, ekonomi, politik dan budaya. Dalam konteks Malaysia, proses transformasi hubungan etnik tersebut berlaku secara umumnya melalui rundingan sosial yang berterusan antara faktor sosial dalam masyarakat awam untuk memenuhi kepentingan masing-masing. Hakikatnya dalam mengekalkan perpaduan ianya merupakan satu proses yang rumit dan hanya akan dapat dijayakan jika rakyat memahami kepentingan negara dalam menyemai rasa toleransi tanpa sifat prasangka, stereotaip dan etnosentrisme dalam diri masing-masing.
Kita harus sedar bahawa nikmat kemerdekaan ini tidak mungkin dapat dirasai tanpa kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat. Justeru, saya melihat kepada keamanan dan komitmen penuh setiap seorang daripada kita adalah dua prasyarat utama untuk sesebuah negara itu berkembang maju dan progresif. Ia berkait rapat dengan sifat serta amalan toleransi, hormat-menghormati dan saling bantu-membantu yang mesti terus disuburkan. Malah, ia mesti sentiasa dipupuk, agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Maka atas sebab itu, kita mesti berjiwa patriotik. Patrio­tik dalam menterjemahkan erti kemerdekaan itu demi kelangsungan Malaysia yang lebih gemilang. Biar ribut melanda tanah air tercinta. Jatuh bangunnya, kitalah penentu. Kemakmurannya dan kerukunan rak­yatnya, kita jualah menjadi pagar yang menghalang setiap tombak-tombak petualang.
Bersempena tarikh keramat 31 Ogos yang bakal tiba, marilah kita semarakkan rasa cinta dan perbaharui tekad serta iltizam untuk mempertahankan negara ini, walau apa jua halangan dan dugaan menimpa. Jika dahulu onak berduri, cabaran peluru dan letusan meriam menanti sepanjang laluan para pejuang negara.Hari ini, cabaran yang kita tempuhi mengancam kita dalam bentuk digital, penjajahan minda dan kekangan ekonomi serta persepsi. Malah, ledakan maklumat yang bergerak sepantas kerlipan mata, memungkinkan kita terjajah dek kepalsuan berita. Ketirisan ilmu kita menilai buruk baik dan padah sesuatu, memungkinkan kita dijajah semula dalam bentuk tindakan dan pemikiran. Ia umpama kitalah hamba setia kepada penjajah. Justeru, kita perlu merungkai semua ini dengan penuh keilmuan, dengan mengisi kemerdekaan itu bersama sikap yang sarat dengan erti merdeka, dengan ilmu yang penuh di dada, minda berkelas dunia dan dengan acuan merdeka yang kita sendiri arcakan.
Kita perlu meraikan kerencaman dalam kalangan kita, pada setiap sudut pandang kita yang berbeza. Tidak kira bangsa dan pegangan agama kerana itulah bangsa Malaysia yang berjiwa merdeka. Kempen yang saban tahun kita laksanakan iaitu mengajak seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang, sebagai satu cara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan, kembali lagi. Sebahagian daripada kita, mungkin menganggap ini adalah cara paling mudah untuk mempamerkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, rakyat sebuah negara yang bukan sekadar merdeka, tetapi berjaya dan membangun. Ada juga yang merasakan mengibarkan Jalur Gemilang adalah aksi patriotik, penzahiran rasa betapa kasih dan cintanya kita kepada tanah air. Sementara, bagi sebahagian pula, ia mungkin tidak mengundang apa-apa rasa dan makna. Ia tidak lebih dari kibaran kosong yang tiada fungsi dan tiada sebarang erti.
Mereka dari kelompok ini hanya melihat kibaran jutaan Jalur Gemilang sekadar pemandangan biasa-biasa dan tidak langsung terbit apa jua perasaan. Kerana alasan itulah, maka saya menyarankan kepada mereka dari kelompok yang tiada perasaan, tiada rasa patriotik dan tiada rasa bangga ini agar di setiap hati dan jiwa nurani mereka, ditiupkan nilai dan kesedaran, disuntik rasa bangga, dijentik rasa cinta pada negara. Janganlah rasa itu dibiarkan mati, tanpa nilai dan tanpa punya apa-apa getaran kerana Jalur Gemilang itu bukan hanya kain yang dikibar-kibarkan kosong. Ia adalah simbol paling penting untuk negara kita. Ia adalah ‘jiwa nurani’ Malaysia dan tanpanya, apalah makna kehidupan bernegara.
Tiada simbol lain sepenting dan sehebat Jalur Gemilang. Biar berapa kali pun lautan dalam kita terokai, biar berapa kali pun puncak Everest kita mendaki. Namun, tidak sama nilainya dengan selembar Jalur Gemilang. Sebagai mengenang jasa, sebagai tanda bangsa berterima kasih yang tidak terhingga, marilah kita semarakkan pe­rasaan bahawa kita bukan mengibarnya kerana kita sekadar meraikan pesta kemerdekaan. Kita mengibarkannya, di seluruh pelosok tanah air kerana kita ingin mengajak semua rakyat mengenang tanah air, mengenang pendiri bangsa, mengenang kejayaan kita selama enam dekad, mengenang perjalanan luar biasa Malaysia dan mengenang betapa beruntung­nya kita hidup di Malaysia yang sejahtera. Mudah-mudahan kita semua terus diberi kekuatan dengan iltizam dan istiqamah untuk Malaysia yang damai sejahtera, maju dan tenteram selamanya. Mudah-mudahan Malaysia terus kekal berdaulat dan merdeka, kekal kukuh selamanya, maju dan makmur rakyatnya. Inilah nikmat KEMERDEKAAN yang sebenarnya.














7.0                                                                          Rujukan

[1] Arkib Negara Malaysia (www.arkib.gov.my)

[2] Nota Abdul Rahman Embong, Negara-bangsa: Proses dan Perbahasan, Edisi Kedua, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi, hlm. 17.

[3] Ho Hui Ling. 2004. Darurat 1948–1960: Keadaan sosial di Tanah Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia: Kuala Lumpur, hlm. 128.


[5]Lotfi Ismail, Sejarah Malaysia 1400-1963, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors, 1974, hlm. 274.

[6] Ramlah Adam, “Kemelut Politik semenanjung Tanah Melayu”, hlm. 2.5Ibid; hlm. 6.

[7] Furnivall, John. 1948. Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India. New York: New York University Press

[8] Shamsul Amri Baharudin. 1997. The making of a 'plural' Malaysia: a brief survey. Dlm. D.Y.U. Wu, H.MacQueen & Yamamoto Y (pnyt.) Emerging pluralism in 50 Asia and the Pacific, pg 67-83.Hong Kong: The Chinese University of Hong Kong.

[9] Kamus Dewan (Edisi Keempat). 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[10] Mok Soon Sang. 2009. Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong: Penerbitan Multimedia.

[11] Ruslan Zainuddin, Mohd Mahadee Ismail, Zaini Othman. 2005. Kenegaraan Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti.

[12] Shamsul Amri Baharudin. 2009. Managing A “Stable Tension”, Ethnic Relations

[13] Lee Lam Thye. 2017. Uniting Anak-anak Malaysia. Yayasan1Malaysia Official Website.http://yayasan1malaysia.org/2017/01/01/uniting-anak-anak

[14] Zurina Mahadi & Hukil Sino. 2006. Hubungan nilai masyarakat dan pembangunan: satu analisa. Jurnal Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia, bil. 8, pp. 77-94.



Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA