SADE 1013 KEUSAHAWANAN


1.0      Pengenalan
Bermula dengan populariti Facebook yang pada asalnya dilancarkan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media untuk saling mengenal dan berkomunikasi serta berkongsi maklumat bagi mahasiswa Harvard pada sebuah tapak rangkaian sosial, justeru kini telah popular di seluruh dunia. Malah dikatakan bahawa seandainya Facebook adalah sebuah negara ia akan menjadi negara terbesar nombor tiga di dunia (Mohd. Hamdan 2011)[1]. Manakala Twitter yang awalnya dirancang untuk digunakan sebagai aplikasi pendukung dalam pekerjaan dan berkomunikasi dalam kumpulan kecil, sekarang ini justeru menjadi microblogging perkongsian maklumat terbesar di dunia (Hughes & Palen 2009) dengan kebolehannya menyampaikan 350 juta Tweets per hari yang didominasi oleh pengguna generasi muda[2].
Tidak kira sama ada dari segi teknologi, politik, ekonomi, hiburan, sukan, Penerimaan Media Sosial: isu semasa, segala maklumat sangat mudah & cepat didapati dari media sosial. Kadang kala maklumat yang ada di media sosial tidak tertulis dalam surat khabar ataupun tersiar di kaca televisyen malah media sosial juga turut membantu menyebarkan budaya popular. Kemudahan yang disediakan dalam mengakses akaun media sosial telah menyebabkan meledaknya jumlah penggunanya dari tahun ke tahun.
Di samping itu, kehadiran media sosial telah membawa kepada perubahan ke arah penyertaan masyarakat secara online. Penyertaan masyarakat bukan hanya terjadi di dunia nyata tetapi juga di dunia maya (Ali & Samsudin 2012)[3]. Malah, media sosial telah memberikan impak terhadap penglibatan masyarakat dalam isu semasa. Penglibatan ini meliputi aktif mengikuti perkembangan isu semasa menerusi blog, membentuk online group untuk menyampaikan aspirasi, membuat blog tentang isu semasa, memberi komen dalam berita online, artikel/ blog, mengambil bahagian dalam online discussion, memuat turun ataupun menyebar luaskan berita yang berkaitan dengan isu semasa (PewInternet 2009; Ali & Samsudin 2012)[4].


2.0 Sejarah dan evolusi media social
Pada era kemodenan sekarang, media massa atau media sosial tidak asing bagi kita memandangkan penggunaannya yang meluas dalam kehidupan seharian kita. Media sosial menjadi pilihan utama semua golongan masyarakat tanpa mengenal usia, latar belakang dan sebagainya menggantikan media bercetak. Sebelum wujudnya media sosial, media bercetak seperti surat khabar, majalah dan buku telah digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada pembaca. Tidak dinafikan media bercetak masih lagi digunakan pada masa sekarang tetapi media sosial tetap menjadi pilihan utama kita dalam mendapatkan pelbagai maklumat memandangkan kita boleh mendapat semua maklumat yang kita perlukan tanpa mengira tempat dan masa dalam media sosial.
 Menurut Andreas Kaplan dan Michael Haenlein, media sosial didefinisikan sebagai sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0 dan yang membolehkan penciptaan dan pertukaran. Sejajar dengan definisi ini, kita dapat tafsirkan media sosial merupakan satu platform yang digunakan bersama dengan sambungan internet untuk mengakses sebarang maklumat. Kita masih lagi boleh menggunakan media sosial tanpa internet tetapi kita akan mendapat akses yang terbatas dan ini akan menyukarkan proses mencari maklumat . Dengan adanya internet, kita dapat mengakses sebarang maklumat yang kita hendaki dari seluruh pelosok dunia tanpa had. Selari dengan kemajuan teknologi, media sosial telah mempermudahkan lagi segala urusan harian manusia. Oleh itu, pelbagai langkah dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan lagi kualiti dan mutu media sosial untuk kebaikan sejagat.
Di antara media sosial yang digunakan secara meluas pada masa sekarang ialah Facebook, Twitter, Instagram dan blog. Sebagai contoh dalam Facebook, setiap daripada kita bebas untuk menulis pendapat kita, berkongsi maklumat dan memberi maklum balas untuk bacaan umum tanpa batasan waktu dan tempat. Diringkaskan media sosial mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad. Sama juga seperti penggunaan blog yang semakin bertambah saban hari umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Di dalam blog, blogger akan berkongsi pelbagai maklumat seperti resepi untuk orang yang suka memasak, pengalaman ketika bercuti yang boleh dijadikan sebagai rujukan orang lain sebelum keluar melancong, perkongsian maklumat tentang gajet untuk masyarakat yang meminati gajet dan tips-tips kecantikan dan fesyen bagi golongan yang mementingkan kecantikan. Namun tidak kurang juga blogger telah menyalahgunakan blog sebagai tempat yang boleh merosakkan minda masyarakat yang masih tidak mampu membezakan benda baik dan benda tidak baik seperti golongan remaja yang masih berada di bangku sekolah. Oleh itu pemantauan dari orang dewasa diperlukan untuk mereka menggunakan media sosial.
Ketika teknologi internet dan penciptaan gajet semakin maju, media sosial juga turut membangun dengan pesat. Kini untuk mengakses Facebook atau Twitter misalnya, ianya boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa dengan hanya menggunakan sebuah telefon bimbit sahaja. Namun media sosial tidak dapat diakses jika tiadanya langganan internet untuk telefon bimbit tersebut. Penggunaan telefon pintar memudahkan lagi para pengguna untuk berkongsi sebarang maklumat tanpa batasan waktu dan tempat. Sebagai contoh, setiap telefon pintar pada masa sekarang telah dilengkapi dengan kamera untuk mengambil gambar dan video. Pengguna media sosial kemudiannya boleh menyunting, menambah, mengubahsuai sebarang tulisan, gambar, video, grafik, dan pelbagai model kandungan lain mengikut kehendak mereka.
Selain itu, telefon bimbit ini juga dilengkapi dengan Microsoft Word dan Excel sesuai untuk golongan pekerja yang memerlukan akses kepada maklumat yang dikehendaki. Perkembangan media sosial membangun dengan pesat kerana untuk memenuhi kehendak semua orang seperti memiliki bahan media sendiri. Jika untuk memiliki media tradisional seperti televisyen, radio, atau akhbar memerlukan modal yang besar dan akses kepada sumber maklumat yang terbatas, media massa pula sebaliknya dimana seseorang pengguna media sosial masih boleh mengakses dan menggunakan media sosial dengan rangkaian internet walaupun kadang-kadang tidak dinafikan akan menghadapi masalah dengan akses internet yang lambat atau menghadapi liputan talian yang tidak memuaskan, tanpa bayaran besar, tanpa peralatan mahal dan ianya boleh dilakukan sendiri tanpa tenaga pekerja selagi mereka mempunyai inisiatif untuk mempelbagaikan penggunaan media massa untuk kebaikan sejagat. Sebagai contoh, blogger hendaklah selalu rajin melakukan penyelidikan sebelum memuat turun ke dalam blog supaya berita yang disampaikan itu sahih. Usahawan juga boleh mempelajari cara-cara untuk menjadikan laman webnya kreatif untuk menarik minat dan perhatian daripada pelanggannya.
Begitu pantasnya seseorang boleh mengakses media sosial mengakibatkan terjadinya fenomena besar terhadap arus maklumat yang bukan sahaja hanya terdapat di negara-negara maju, bahkan juga berlaku di Malaysia. Kerana penggunaannya yang pesat, media sosial sudah mula tampak menggantikan peranan media massa bercetak dalam menyebarkan berita-berita. Usahawan juga tidak ketinggalan dalam menggunakan media sosial sebagai satu platform penggerak perniagaan di seluruh negara dan pelosok dunia. Malaysia yang juga sebagai sebuah negara yang amat menekankan perniagaan digital mengalakkan usahawan untuk menggunakan kaedah media sosial sebagai pemangkin perniagaan. Menurut tinjauan socialmediaexaminer.com, ramai usahawan bersetuju bahawa media sosial telah memainkan peranan yang amat penting dalam memasarkan produk mereka kepada para pelanggan yang dikenali mahupun yang tidak dikenali.
Alexa (2012) mencatat lima media sosial teratas di dunia iaitu Facebook, diikuti oleh Twitter, Linkedln, Google+ dan Pinterest[5]. Facebook yang pada awalnya diasaskan oleh Mark Zuckerberg sebagai medium untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat bagi mahasiswa Harvard sahaja kini menjadi media sosial paling fenomena di dunia. Pada Jun 2011 Facebook melaporkan telah pun mencapai 750 juta pengguna. Manakala Twitter yang diasaskan oleh Jack Dorsey pada tahun 2006 melaporkan telahpun mempunyai 200 juta pengguna aktif pada tahun 2011.
Apabila Internet dan teknologi telefon bimbit menjadi semakin maju maka media sosial berkembang pesat juga. Kini, untuk mengakses Facebook, YouTube ataupun Twitter boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan telefon bimbit (Luik 2010)[6]. Kemampuan untuk mengakses media sosial melalui aplikasi mudah alih (mobile web) merupakan faktor pendorong dalam kejayaan media sosial. Hal ini kerana ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum walaupun diakses melalui telefon pintar sehingga telefon bimbit biasa. Perkembangan media sosial yang semakin pesat dengan ragam aplikasi seperti mengirim mesej, muat naik ataupun muat turun gambar, permainan, chat, muzik, tayangan video menyebabkan penggunanya sentiasa menghabiskan masa di hadapan skrin gadget miliknya.
Sebahagian besar pengguna media sosial di dunia ialah golongan generasi muda yang dilahirkan pada tahun akhir 80-an atau awal 90-an. Nielsen (2011) melaporkan bahawa pengguna didominasi oleh wanita dan berusia 18-34 tahun adalah yang paling aktif dalam media sosia[7]. Mereka menggunakan dengan pesat media baru dan teknologi terkini. Mereka berminat dan lebih tertarik dengan segala sesuatu yang berkaitan dengan Internet dan aplikasinya. Mereka sangat aktif dan cenderung untuk melibatkan diri dengan laman rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter, Google+ ataupun YouTube. Bagaimanapun, perkembangan media sosial tidak dapat terlepas daripada perkembangan Internet itu sendiri. Internet dan media sosial erat kaitannya. Hal ini kerana untuk mengakses media sosial tentunya memerlukan capaian Internet.

3.0 Kepentingan Media Sosial Dalam Perniagaan
(i)            Kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini
Seperti yang kita sedia maklum, setiap usahawan sentiasa inginkan kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga dikalangan mereka yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi dan bukannya hanya sembarangan sahaja melakukan sebarang aktiviti perniagaan tanpa memikirkan segala risiko yang akan dihadapi. Ilmu pengetahuan tersebut diperolehi samada daripada pengalaman sendiri, ilmu yang dipelajari, pembacaan ataupun daripada pemerhatian daripada pengalaman orang lain. Dengan ini mereka sentiasa mencari dan peka dengan maklumat terkini daripada media sosial. Dengan penggunaan media sosial, kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini. Pada masa kini, kita dapat lihat pelbagai laman web telah dicipta untuk memberi penerangan tentang sesuatu perniagaan, apa yang perlu dilakukan dan larangan dalam menjalankan perniagaan. Usahawan juga boleh berkongsi pengalaman mereka bersama dengan usahawan lain dan ini dapat memberi gambaran dan teladan usahawan lain yang ingin menceburi bidang yang sama dan pada masa yang sama dapat memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk melakukan perniagaan tersebut. Malahan dalam Facebook juga kita dapat melihat usahawan yang berjaya seperti Dr. Azizan Osman yang pada mulanya seorang ahli perniagaan yang kecundang dalam bisnes yang dijalani sehingga menyebabkan beliau kerugian wang berjuta-juta. Namun beliau tidak pernah putus asa dan bangkit semula dan berkongsi pengalamannya kepada usahawan yang lain tidak kira yang sudah lama atau baru berkecimpung dalam perniagaan. Dari sini kita dapat melihat peranan media sosial dalam membangkitkan semangat usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

(ii)          Untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian prestasi usahawan dan syarikat
Dengan maklumat yang diperolehi, usahawan juga dapat menggunakannya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi pencapaian prestasi usahawan itu sendiri dan syarikat mereka. Usahawan juga dapat bertukar-tukar pendapat, maklumat, dan produk sesama usahawan atau pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, usahawan juga boleh menghubungi sesiapa sahaja seperti kenalan, pembekal, pengedar, pelanggan dan lain-lain untuk bertanya atau mendapatkan maklumat mengenai perniagaan, peluang-peluang perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh penggunaan Internet Explorer dan Google untuk menghantar e-mail dengan pantas, jimat dan boleh dilakukan dimana sahaja selagi terdapat akses internet. Penggunaan Skype yang merupakan sebuah perisian komunikasi percuma yang membolehkan pengguna membuat panggilan, menghantar mesej secara segera dan melakukan panggilan video dalam talian walaupun mereka berada pada jarak beribu batu. Selain untuk panggilan, Skype juga dapat digunakan untuk berbual (chatting), kirim SMS, persidangan, pemindahan maklumat, panggilan suara hingga Call Forward.


(iii) Mempermudahkan urusan yang penting
Penggunaan media sosial dalam perniagaan juga mempermudahkan lagi segala urusan yang penting seperti untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada pelbagai perniagaan, urusan perbankan yang melibatkan jumlah wang yang besar dan pencarian pembekal yang boleh menawarkan produk atau perkhidmatan yang paling rendah. Ada di sesetengah organisasi kerajaan dan swasta akan melambatkan lagi sesuatu proses yang penting. Sebagai contoh, jika kita hendak membuat panggilan untuk bertanyakan sebarang maklumat, kadang-kadang panggilan kita tidak dijawab atau talian sibuk kerana banyak panggilan masuk. Sama juga seperti kita pergi ke organisasi tersebut, ianya akan memerlukan perbelanjaan untuk minyak dan tol selain membazir masa. Bagaimana pula jika organisasi atau pusat perniagaan itu jauh dari tempat kita? Dengan penciptaan media sosial, segala maklumat akan dimuat turun ke dalam laman web dan pelanggan atau pengguna dapat mengakses maklumat tersebut dalam masa yang singkat. Begitu juga jika pembelian atau penjualan dalam sesebuah perniagaan melibatkan kos yang tinggi, mereka hanya melakukan transaksi bank dalam talian seperti CimbClicks, Maybank2U dan PayPal yang boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika dahulu kita perlu beratur panjang untuk membeli barang, sekarang dengan beberapa klik sahaja barang tersebut akan sampai di tempat kita tanpa perlu kita beratur panjang, bersesak mencari barang, mencari kawasan letak kereta dan kepenatan berjalan. Semuanya berada di hujung jari kita. Ini akan menyebabkan perniagaan dan perkhidmatan usahawan akan melonjak naik kerana penggunaan media sosial yang memudahkan segala urusan perniagaan mereka.
(iv)         Untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan
  Selain daripada itu, usahawan juga memerlukan media sosial dalam perniagaan mereka untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mereka. Dengan mencari maklum balas daripada pelanggan atau pengguna, usahawan dapat mengetahui prestasi dan pencapaian usaha mereka dalam mengendalikan perniagaan mereka. Setiap laman web mahupun Facebook dapat dilihat pelbagai testimoni daripada pelanggan yang telah mengguna produk usahawan mereka. Maklum balas dalam media sosial memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca lain maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula menyebabkan kehilangan pelanggan yang sedia ada. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Dengan ini, usahawan yang berjaya diibaratkan sebagai pendengar yang baik kerana mengambil tindakan pantas daripada maklum balas pelanggan mereka. Dengan maklum balas ini juga, usahawan dapat belajar dari kegagalan dan kesilapan mereka. Tanpa pelanggan, usahawan itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya dalam mengembangkan perniagaannya dalam setiap bidang yang diceburi.

4.0 Penggunaan Media Sosial dalam Perniagaan Secara Global
Penggunaan media sosial dalam perniagaan secara global telah mendatangkan hasil jualan yang lebih memberansangkan dan menguntungkan kepada usahawan sekaligus dapat mempengaruhi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya tidak dinafikan media sosial tanpa dunia internet tidak boleh disama-bandingkan dengan dunia “offline” iaitu dunia yang tanpa Internet. Apabila tiadanya Internet, maka para usahawan akan menghadapi masalah untuk mengakses media sosial memandangkan penggunaan media sosial yang memerlukan talian Internet. Namun perkara sebaliknya akan berlaku ketika kita memasuki atau mengakses Internet di mana kita telah berjaya memasuki sebuah pasaran global tanpa sempadan. Sebagai contoh, penciptaan laman web yang dilakukan dalam bahasa Melayu tidak semestinya hanya dapat dilayari di dalam Malaysia sahaja. Sesetengah pihak juga mendakwa bahawa terdapatnya halangan dari segi budaya, bahasa dan kepercayaan kepada pengglobalan menyebabkan perniagaan ini lebih dominan bagi syarikat berskala kecil dalam rangkaian perdagangan setempat sahaja. Namun dengan adanya Internet, laman web ini dapat dilayari di merata dunia kerana sesebuah laman web bukanlah hanya untuk sebuah negara sahaja. Jadi adalah tidak mustahil jika perniagaan melalui media sosial dapat sambutan dan perhatian yang mengalakkan dari pelanggan dari serata dunia. Sesungguhnya penggunaan media sosial mempermudahkan segala usahawan untuk melakukan, memperkenalkan dan mempergiatkan aktiviti perniagaan atau perkhidmatan ke seluruh negara dan dunia.
 Perniagaan menggunakan media sosial telah membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk atau perkhidmatan secara meluas samada di dalam atau luar negara. Pemasaran menggunakan media sosial merupakan salah satu teknik yang sangat membantu untuk usahawan-usahawan yang ingin memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi. Dengan menggunakan media sosial sebagai aktiviti pemasaran, usahawan boleh mendapat pelanggan baru yang berpotensi dengan lebih mudah dan mereka juga akan dapat meningkatkan jualan kerana lebih ramai lagi orang akan tahu mengenai produk mereka. Bukan untuk pasaran tempatan sahaja, malah pasaran antarabangsa juga boleh didapati dengan adanya media sosial ini. Dengan kebolehan media sosial yang boleh diakses di mana sahaja tanpa batasan waktu dan tempat menyebabkan hampir semua industri dengan berbagai jenama besar telah menggunakan media sosial sebagai pemasaran mereka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa media sosial adalah antara cara pemasaran yang terbaik pada zaman ini. Sebagai contoh, usahawan akan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui aplikasi Instagram di mana pengguna atau pelanggan hanya menggunakan “hashtag” produk yang mereka yang kehendaki dan dalam masa satu saat pelbagai pilihan akan keluar dan pelanggan boleh mencari dan memilih produk yang dikehendaki.
Dalam era globalisasi dan perniagaan tanpa sempadan, seseorang usahawan memerlukan pemikiran kontemporari. Ini kerana dengan teknologi yang cangggih, pengguna kini boleh memilih produk, idea dan perkhidmatan dari seluruh dunia. Dengan adanya media sosial, pengguna kini dapat mencari maklumat tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di seluruh dunia dan dapat membuat pemilihan berdasarkan kepada jenis dan kualiti produk, harga yang lebih berpatutan, tahap servis penjual dan lain-lain aspek. Sebelum kewujudan media sosial, aktiviti perniagaan hanya mampu dijalankan oleh usahawan yang mempunyai perniagaan besar yang berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran namun dengan terciptanya media sosial, usahawan yang mempunyai perniagaan kecil juga mampu mempromosikan dan mengiklankan produk serta perkhidmatan mereka ke seluruh pelosok dunia seperti melalui Facebook, Twitter, Instagram dan blog.
5.0 Tahap Penggunaan Media Sosial dalam Perniagaan di Malysia
Kerancakan penggunaan media sosial bukan sahaja berlaku di negara-negara luar malahan juga berlaku di dalam Malaysia. Sektor kerajaan dan sektor swasta sentiasa bermatlamat untuk mempertingkatkan kadar akses media sosial dengan meningkatkan kadar pemilikan talian internet, pemilikan komputer peribadi dan sebagainya. Kemudahan ini secara tidak langsung akan membantu golongan usahawan untuk melibatkan diri dengan aktif dan mengembangkan perniagaan mereka. Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia merupakan di antara jabatan kerajaan yang merancang pelbagai program dan latihan untuk menarik lebih ramai usahawan tempatan untuk menceburi perniagaan. Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang juga dikenali sebagai "MSC" di Malaysia bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 dimana pengaliran maklumat terkini dari seluruh kawasan tanpa batasan dan menjadi teras utama kepada syarikat multinasional untuk mengeluarkan produk multimedia dan komunikasi serta penyelidikan yang berkaitan dengan ICT dan seterusnya menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan maklumat dan mempunyai pengetahuan yang intensif. Ini akan menarik minat lebih banyak syarikat-syarikat pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia. Ianya secara tidak langsung akan memberi peluang perniagaan kepada usahawan di Malaysia.

6.0 Cabaran / Halangan Penggunaan Media Sosial Di Malaysia
Ø  Kesahihan maklumat
Namun masih terdapat cabaran dan halangan penggunaan media sosial di Malaysia. Antaranya ialah kesahihan sesuatu maklumat. Maklumat yang tepat dan sahih adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan maklumat dan sekaligus mengelakkan penganiayaan pelanggan. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi maklumat palsu semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan tetapi maklumat yang diberi tidak sama seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial. Saban hari terdapat ramai pelanggan yang tertipu apabila mendapat produk tiruan setelah membayar dengan harga yang tinggi atau mendapat barangan yang lain seperti yang dilihat dalam media sosial. Ini menyebabkan ramai pelanggan berasa was-was untuk membeli dan ini sekaligus akan memberi kesan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan dengan jujur. Keadaan ini umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Ø  Kes-kes penipuan berbentuk kewangan
Selain daripada kesahihah maklumat, kita juga seringkali membaca dan mendengar kes-kes penipuan berbentuk kewangan. Penipuan ini telah semakin merebak dan semakin ramai yang menjadi mangsa penipuan. Pada masa sekarang, kita jarang mendapat perkhidmatan “cash delivery” yang menuntut pembayaran apabila barang sampai ke destinasi kita. Kebanyakkan perniagaan yang dilakukan sekarang melakukan transaksi pemindahan wang secara talian dan apabila mereka mendapat barangan yang tidak berkualiti adalah sukar bagi mereka untuk menuntut ganti rugi atau mengambil balik wang mereka. Malahan ada di kalangan mereka yang melarikan diri apabila mendapat wang dan meninggalkan pelanggan terkapai-kapai tanpa sebarang jawapan. Sekurang-kurangnya jika pelanggan datang sendiri ke premis perniagaan dan memilih sendiri barangan yang berkualiti dan memuaskan, kes-kes penipuan ini dapat dielakkan. 

Ø  Masalah Keselamatan
 Masalah keselamatan juga menjadi isu dalam penggunaan media sosial. Ini kerana orang lain dapat mengakses masuk ke dalam data kita tanpa kebenaran kita. Kita seringkali mendengar Facebook dipecah masuk oleh penggodam yang tidak berpuas hati atau yang mempunyai niat yang tidak baik. Usahawan seharusnya sentiasa dalam keadaan peka dengan maklumat syarikatnya lebih-lebih lagi jika menggunakan media sosial sebagai pemasaran produk dan perkhidmatan mereka. Serangan mungkin akan berlaku akibat suka-suka ataupun sabotaj daripada pesaing mereka. Malahan gosip dan fitnah juga akan tersebar tanpa kawalan dan sekaligus akan memberi imej buruk kepada usahawan dan perniagaan. Sekarang dengan jari sahaja, pelbagai anasir buruk dan kritikan yang mampu menjatuhkan kredibiliti sesorang usahawan akan disebarkan dalam media sosial. Kerana kecanggihan media sosial yang boleh diakses pada bila-bila masa, maklumat salah akan disebarkan dan tersebar dalam tempoh yang singkat dan adalah sukar untuk mengawalnya jika sudah tersebar.
Ø  Gaya Pengiklanan
Kita juga berfikir bahawa proses perniagaan adalah mudah untuk dilakukan melalui media sosial adalah mudah dimana mereka hanya meninggalkan pautan atau “link” untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. Namun mereka bukan sahaja akan digelar spammer malah akan kehilangan pengikut mereka. Sesetengah usahawan dan ahli perniagaan juga akan dinasihatkan oleh pakar IT untuk mendapatkan alat pengurusan media sosial yang melibatkan kos yang tinggi tetapi gagal untuk menggunakannya untuk mendapatkan hasil keuntungan yang memberansangkan ke atas pelaburan mereka. Usahawan juga perlu mengupah sekumpulan pekerja yang mahir dalam proses penggunaan media sosial. Ini akan menyebabkan perbelanjaan yang tinggi. Malahan usahawan juga akan membelanjakan keuntungan untuk mendapatkan lebih banyak sambutan daripada pelanggan. 90% kejayaan perniagaan adalah adalah bergantung kepada kepada gaya pengiklanan yang berkesan dan berterusan.

Ø  Masa yang diluangkan
Para usahawan juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayari media sosial. Menurut Perniagaan Insider, Amerika menghabiskan sekurang-kurangnya 37 minit pada media sosial setiap hari dan tempoh jangkamasa tersebut akan sentiasa berubah mengikut bidang industri yang diceburi. Untuk perniagaan yang baru berkembang, kekangan masa adalah antara cabaran yang akan dihadapi oleh usahawan. Mereka akan menghabiskan masa di antara 8 sehingga 14 jam sehari di media sosial untuk mempromosi dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagan dalam media sossal dan menguruskan pelbagai bidang platform.



Ø  Keperluan untuk menganalisis strategi setiap masa
 Sesungguhnya untuk melakukan pemasaran yang berkesan melalui media sosial memerlukan memerlukan penyediaan, pelan, dengan jadual yang betul dan kandungan yang baik untuk dikongsikan bersama. Jika seseorang usahawan itu tidak mempunyai pelan dan strategi yang berkesan untuk memperkembangkan perniagaannya, dia akan mendapat pulangan atau hasil yang kurang memuaskan. Seseorang usahawan juga perlu menganalisis strategi media sosial mereka pada setiap bulan dan meminda dan mengubah suai strategi untuk memenuhi permintaan pasaran terkini. Ini bukan tugas yang mudah apabila perubahan teknologi  yang berlaku sangat pantas. Mereka juga harus mempertimbangkan waktu mereka membuat pengiklanan dan promosi jika pelanggan mereka dari zon waktu yang berlainan. Untuk itu, setiap usahawan perlu menghadiri seminar atau kursus usahawan internet yang sentiasa dianjurkan oleh pakar-pakar internet.

7.0 Faktor-Faktor Pendorong Penggunaan Media Sosial

Ø  Meminimakan kos pengiklanan
Meminimakan kos pengiklanan merupakan di antara faktor-faktor pendorong penggunaan media sosial. Jika dulu syarikat-syarikat besar sahaja yang berkemampuan menggunakan media sosial sebagai strategi pemasaran namun pada hari ini, iklan dan promosi dari peniaga-peniaga kecil juga turut menghiasi laman media sosial sekarang. Tidak dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial. Banyak perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk memperkenalkan produk mereka. Contohnya melalui penggunaan Facebook kerana usahawan sedar akan pengguna Facebook yang sangat ramai dan ini memudahkan lagi aktiviti pemasaran.


Ø  Interaksi secara langsung dengan pelanggan
Terdapat juga perniagaan yang menggunakan media sosial yang menyediakan ruangan khidmat pelanggan mereka. Interaksi dengan pelanggan adalah perkara yang penting dalam apa jua perniagaan dan setiap maklumbalas daripada mereka akan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan lain dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan cara ini, mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Pelanggan akan memberi maklum balas yang positif untuk perkhidmatan yang memuaskan dan begitu juga sebaiknya. Seperti yang kita sedia maklum, maklum balas dalam media massa memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula sebaliknya. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.

Ø  Tempat untuk meluaskan pemasaran
Media Sosial juga menjadi tempat untuk meluaskan pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Sebagai contoh, apabila kita membuka tapak jualan ataupun kedai, pelanggan akan tertarik kepada orang ramai yang berkumpul di kawasan kita berniaga. Ini juga sama berlaku kepada perniagaan di media sosial di mana pembaca akan tertarik kepada “page” yang mendapat sambutan yang mengalakkan malah mereka akan terus memberi perhatian sepenuhnya apabila terdapat pelanggan yang membeli produk yang sama berulang-kali dari peniaga yang sama.

Ø  Proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih mudah
Dengan kemudahan media sosial, proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih mudah kerana pemilik media massa tersebut hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video, atau apa jua bentuk informasi dan meletakkannya di media sosial tertentu seperti forum online yang dapat mewujudkan medium komunikasi di antara ahli forum yang lain.

8.0    Kesimpulan
Penggunaan Media Sosial secara meluas dan berpengaruh telah membawa faedah tetapi ia juga ada buruknya di Malaysia. Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata walaupun ia telah menjadi alat yang berkesan untuk berkongsi maklumat, media sosial  juga telah disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah dan maklumat salah. Pembangunan media sosial sejak kebelakangan ini telah memberi kesan kurang sihat terhadap perpaduan negara. Dengan perkembangan dan kemajuan media sosial di Malaysia, kita perlu sedar bahawa keselamatan negara telah terbuka dengan pelbagai ancaman, meningkatkan ketelusan (transparency) tentang pemerintah dan ia turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia bagi membincangkan isu-isu politik sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang.  Walaupun media sosial turut menjadi saluran alternatif maklumat dalam mempromosikan nilai demokratik, ramai pengguna kurang berhati-hati apabila melemparkan tuduhan[8]
.
Jika kita perhatikan, kita dapat melihat melalui perkembangan media sosial di Malaysia, kadar celik politik masih rendah kerana perbincangan di laman sesawang itu hanya tertumpu pada hal-hal peribadi, fitnah antara satu pihak dan pihak yang lain serta memanipulasi fakta yang betul. Kita juga dapat melihat bahawa pelayar media sosial turut mempunyai pengetahuan sejarah yang minima kerana kita jarang melihat perbincangan yang agak rasional di media sosial. Namun demikian media sosial adalah wahana yang boleh membincangkan bermacam-macam perkara melalui alam maya, dan ramai rakyat Malaysia  tidak ketinggalan ketika negara menghampiri status negara maju menjelang tahun 2020.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA