GMGF 2014 EKONOMI & PEMBANGUNAN


1.0 Pengenalan
Di Malaysia, nanas yang menjadi tumpuan terdapat empat jenis iaitu N36, MORRIS, SARAWAK dan JOSAPINE. Varieti N36 lebih tertumpu bagi pasaran tempatan manakala Varieti MORRIS, SARAWAK dan JOSAPINE pula mendapat sambutan yang mengalakkan di pasaran antarabangsa. Buah nanas boleh dimakan segar samada sebagai pencuci mulut, atau dibuat salad atau rojak. Selain itu, nanas boleh diawet dan ditinkan bagi tujuan eksport. Ia juga ditinkan sebagai koktail bersama dengan buah-buahan lain. Nanas juga diproses menjadi jem, jus, kordial, cuka, minuman keras dan bahan perasa makanan seperti tat, kek, dan pizza. Disamping itu juga, kulit nanas sesuai digunakan sebagai bahan campuran untuk makanan lembu.
Perusahaan nanas Malaysia berupaya dibangunkan sebagai satu pelaburan yang memberi pulangan tinggi. Komoditi berbagai guna ini dipakai di dalam industri pengetinan, jus minuman, asas makanan snek dan untuk dimakan segar. Pasaran antarabangsa bagi nanas Malaysia pula telah lama wujud. Peluang untuk membesarkan lagi syer pasaran yang sedia ada masih terbuka luas, selaras dengan perkembangan perdagangan buah-buahan segar, buah-buahan proses dan jus dunia.
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1957 di bawah Pineapple Industri Ordinance 1957 dan berfungsi untuk mentadbir, memaju, mengawal dan menyelia industri nanas negara agar berkembang dengan sempurna dan teratur. Pada tahun 1990, Pineapple Industry Ordinance 1957 telah disemak semula dan dikenali sebagai Akta Perindustrian Nanas 1957 (semakan 1990). Namun begitu, Akta ini hanya meliputi negeri-negeri di Semenanjung dan tidak merangkumi negeri Sabah dan Sarawak. Susulan daripada itu, nama Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) telah ditukarkan kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Pada 29 Mei 1996, Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membubarkan LPNM. Keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan bahawa industri nanas tidak berdaya saing dan dalam masa yang sama penekanan kerajaan adalah kepada sektor perindustrian, manakala fungsi-fungsi LPNM boleh dijalankan oleh agensi-agensi lain. Ini adalah selaras dengan penetapan Dasar Pengecilan Saiz Perkhidmatan Awam ketika itu. Sejak itu, langkah-langkah ke arah pembubaran telah dibuat. Antaranya ialah meletakkan LPNM di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Namun begitu, pada 07 Jun 2000 Jemaah Menteri semasa mempertimbangkan Laporan Tahunan LPNM 1999 telah bersetuju atas cadangan Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani supaya pembubaran LPNM dikaji semula memandangkan nanas merupakan salah satu daripada 10 buah-buahan yang diberi keutamaan untuk dieksport.
Selain itu, terdapat banyak lagi tanah-tanah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan dengan tanaman nanas dan LPNM mempunyai peranan besar yang boleh dimainkan dalam pembangunan industri nanas Malaysia. Pada 15 September 2004, Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan LPNM sebagai peneraju pembangunan industri nanas negara. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan sub-sektor pengeluaran makanan sepertimana penekanan kepada Dasar Pertanian iaitu sektor pertanian sebagai salah satu enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan skop, peranan serta fungsi-fungsinya diperluaskan dengan halatuju yang lebih mantap dan skop fungsi diperluaskan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

2.0 Metodologi
Data yang digunakan untuk kajian diperolehi daripada sumber sekunder. Data keluasan tanaman, pengeluaran nanas segar, pengeluaran nanas dalam tin (nanas kaleng) diperolehi daripada agensi kerajaan termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Bagi data perdagangan nanas dan produk nanas pula diperolehi daripada LPNM dan Food and Ariculture Organization (FAO). Sementara itu bagi maklumat Inovasi teknologi penanaman nanas saya perolehi dari Jurnal dari kajian Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI) dan pemasaran nanas pula diambil daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
3.0 Pengeluaran & pemasaran
3.1 Pengeluaran
Malaysia berada di kedudukan ke-20 daripada 87 negara yang terlibat dalam pengeluaran Nanas Dunia pada tahun 2013 dengan pengeluaran sebanyak 315,977 tan metric dan syer pasaran yang dimiliki sebanyak 1.18%. Manakala China merupakan pengeluar Nanas Dunia yang paling besar pada tahun 2013 dengan pengeluaran sebanyak 3,162,722 tan metrik dan penguasaan syer pasaran sebanyak 11.90% seperti di Jadual 1[1]. Keluasan bertanam nanas Malaysia dari 2010-2013 semakin menurun namun menaik semula pada tahun 2014 dengan keluasan tanaman sebanyak 10,000 hektar dan pengeluaran juga meningkat dari tahun 2010 hingga tahun 2014 dengan catatan pengeluaran sebanyak 400,000 tan metrik pada tahun 2014 seperti di Graf 1[2]. Selain itu berdasarkan Jadual 2, Johor merupakan negeri yang paling banyak mengeluarkan nanas di Malaysia pada tahun 2015 dengan hasil pengeluaran sebanyak 329,954.15 tan metrik dengan keluasan bertanam sebanyak 9,675.85 hektar.
Jadual 1 : Pengeluaran Nanas Dunia 2013
(sumber : FAO, Food and Ariculture Organization)
Graf 1 : Keluasan Bertanam & Pengeluaran Nanas Malaysia 2010-2014
Sumber : Laporan Tahunan LPNM 2014


Jadual 2 : Keluasan & Pengeluaran Nanas 2015

3.2 Pemasaran
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, sektor pertanian diberi tumpuan yang khusus terutamanya aktiviti-aktiviti pengeluaran dan nilai tambah yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan sektor pertanian sebagai penjana pertumbuhan ekonomi ketiga negara. Penekanan diberikan kepada beberapa aspek pembangunan pertanian termasuk pengeluaran berkualiti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi menerusi aktiviti seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan.
Program Ladang Kontrak adalah salah satu projek berimpak tinggi yang di perkenalkan sebagai salah satu mekanisma untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mereka mendapat pulangan yang setimpal. Program ini di jalankan secara integrasi di bawah konsep MOA Inc. melibatkan Jabatan/Agensi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
Skop Program Ladang Kontrak melibatkan petani di bawah pengelolaan Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak sebagai pengeluar dan FAMA/Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia bertindak sebagai pembeli dan bersetuju menjamin pasaran hasil tanaman di mana petani mengeluarkan hasil tanaman mengikut jenis, varieti, kualiti, gred, pembungkusan dan jadual pengeluaran yang ditetapkan.
Bagi pengeluaran buah-buahan, Program Ladang Kontrak memberi tumpuan kepada ladang kelompok di samping usahawan dan pengeluaran individu di bawah Jabatan/Agensi dan pengeluaran individu swasta. Bagi komoditi nanas pula, pelaksanaannya adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Kaedah pemasaran bagi program ladang kontrak dilaksanakan melalui 2 cara iaitu Pengaturan Pasaran dan Belian Terus Oleh Fama[3].


4.0 Eksport & Import
Berdasarkan Jadual 3 seperti dibawah, jumlah eksport nanas segar Malaysia telah menurun pada tahun 2011-2013 namun semakin meningkat pada tahun 2014 dengan jumlah eksport bernilai RM24,352,689 dengan kuantiti sebanyak 23,584 tan metrik. Bagi import Nanas Segar Malaysia pula menunjukkan kuantiti dan nilai yang tidak konsisten di mana pada tahun 2011 dan 2012 ia meningkat namun menurun pada tahun 2013 dan meningkat semula pada tahun 2014 dengan nilai import 3,635,623 dengan kuantiti import sebanyak 2,536 tan metrik. Bagi perdagangan Nanas Kelang Malaysia pula menunjukkan penurunan pada tahun 2011-2013 namun ia meningkat semula dengan jumlah eksport bermilai 37,075,565 dengan kuantiti eksport 8,474 tan metrik. Bagi import nanas kaleng pula menunjukkan peningkatan pada tahun 2010- 2013 namun menurun semula pada tahun 2014 dengan nilai import 9,091,321 dengan jumlah 1,643 tan metrik.
Jadual 3 : Sumbangan Eksport & Import Industri Nanas
China merupakan pengeksport nanas kaleng paling banyak di dunia pada tahun 2005 dan 2006 dengan nilai eksport sebanyak RM 30,438,498 dan 33,737,838 manakala Malaysia berada di kumpulan pertengahan dengan nilai eksport bernilai RM 8,471,456 pada tahun 2005 dan RM 9,515,471 pada tahun 2006[4].
Jadual 4 : Eksport nanas Kaleng Dunia Mengikut Negara
5.0 Pelaburan & Stok Simpanan
Nanas dari varieti N36 mendapat tempat dalam pasaran tempatan bagi kegunaan segar, walaupun dari segi proses ia kurang digunakan. Bagi pasaran antarabangsa pula, varieti MORRIS, SARAWAK dan JOSAPINE lebih mendapat perhatian, samada dalam bentuk segar atau diproses. Sistem rangkaian pemasaran yang lancar di daratan, laut dan udara, serta kemudahan infrastruktur lain seperti bilik sejuk, menjamin pemasaran nanas yang mudah dan cepat. Kerajaan Malaysia menyediakan banyak kemudahan dan faedah untuk memajukan kegiatan pertanian. Antaranya ialah Bank Pertanian yang menyediakan program pinjaman untuk kemudahan petani. Di samping itu juga, Skim Akreditasi Tanaman Ladang dilaksanakan bagi memberi pengiktirafan kepada petani yang mengeluarkan hasil yang selamat dan berkualiti.
Peluang Pelaburan di Malaysia
Khidmat Sokongan
a. Pengangkutan
Penyediaan lori-lori sejuk, kontena, cold-chain dan sebagainya di ladang-ladang nanas diperlukan untuk meningkatkan jangkahayat komoditi.
b. Kemudahan lepas tuai
Kemudahan-kemudahan seperti bilik sejuk dan pembungkusan yang memenuhi kehendak pasaran luar negara juga penting bagi menawan pasaran antarabangsa.
Pengeluaran
a. Pengeluar/pengusaha ladang
Permintaan bagi nanas yang kian bertambah, kos pelaburan yang rendah, serta pulangan yang tinggi, merupakan peluang yang patut disambut oleh pengeluar atau petani baru.
b. Penghasilan biji benih yang bermutu
Penyelidik yang berjaya menghasilkan benih yang bermutu amat diharapkan supaya dapat menghasilkan nanas yang berkualiti tinggi.
c. Sistem kawalan serangga
Sistem kawalan serangga diperlukan untuk mengawal sebarang penyakit kepada nanas.

6.0 Harga, Permintaan & Penawaran
Data sekunder digunakan bagi mengumpulkan data dari sumber yang disediakan oleh LPNM serta pengumpulan maklumat melalui model relatif dimana ia merupakan satu kaedah melibatkan pembolehubah bersandar iaitu pembolehubah yang boleh mempengaruhi pembolehubah yang lain manakala pembolehubah bebas adalah pembolehubah yang memberi kesan pembolehubah lain. Hipotesis yang dibuat adalah merangkumi harga semasa nanas segar (HN) adalah dipengaruhi oleh nilai eksport nanas segar (EN) dan pengeluaran nanas segar (PN). Pembolehubah bebas adalah pengeluaran nanas segar (PN) dan eksport nanas segar (EN). Pembolehubah bersandar adalah harga nanas segar (HN).
Model ini menunjukkan relatif di antara pembolehubah bersandar dan tak bersandar. Oleh yang demikian untuk analisis hubungan antara pemboleh ubah dalam model ini, penggunaan kaedah regresi model yang boleh menjadi bentuk ialah:
HN = f (EN, PN) atau HN = a0 + a1EN + a2PN
Jika perubahan EN (Pertambahan atau pengurangan) 1 unit, HN akan perubahan unit a1 (Pertambahan atau pengurangan) dan tanda relatif adalah positif. Dan, jika PN perubahan (Pertambahan atau pengurangan) 1 unit, HN akan berubah unit a2 (Pertambahan atau pengurangan) dan tanda relatif juga positif.


 Jangkaan model yang diperolehi adalah seperti berikut:
Relatif antara EN dan PN dijangka sebagai positif kerana jika harga pasaran semasa nanas segar meningkat, pengeluar atau kerajaan akan mengeksport nanas segar dengan cara yang banyak, Dalam masa yang sama peningkatan akan berlaku terhadap tenaga buruh (kesan jangka pendek) atau penggunaan operasi kilang (kesan jangka panjang) untuk mendapatkan hasil keluaran yang tinggi .
Hasil pengeluaran nanas segar (PN) mempunyai hubungan yang positif dengan eksport nanas (EN). Ia berlaku apabila permintaan yang tinggi terhadap nanas segar maka hasil keluaran nanas segar perlu ditingkatkan bagi memenuhi permintaan.
Contoh harga buah nanas pekebun kecil yang dijual di kilang berdaftar dari tahun 1980 – 2008 seperti di Jadual 5. Pada tahun 1980, harga nanas ialah RM 39/kg dan RM 390/tan.
Jadual 5 : Harga Buah Nanas Pekebun Kecil Dijual Di Kilang Berdaftar
7.0 Pelaburan Asing dalam Industri Nanas di Malaysia & faktor-faktor ekonomi yang lain
7.1 Pelaburan Asing dalam Industri Nanas di Malaysia
Pelaburan merupakan elemen penting dalam menentukan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Kemasukan pelaburan asing amat penting kepada sesebuah negara yang sedang membangun terutama Malaysia. Terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan untuk menarik pelabur asing bagi memantapkan perindustrian nanas Malaysia. Kepentingan pelaburan asing ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk terutama dalam sektor perindustrian sama ada tenaga buruh mahir atau separuh mahir. Sumbangan perindustrian nanas ini menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Kewujudan peluang pekerjaan akan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Selain itu, kemasukan pelabur asing dari negara maju seperti Amerika Syarikat dapat meningkatkn pendapatan negara melalui pengaliran masuk mata wang asing dari negara asing. Kemasukan pelaburan asing akan meningkatkan KDNK ( Keluaran Dalam Negara Kasar ) negara dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Selain itu, kemasukan pelaburan asing dalam sesebuah negara dapat meningkatkan teknologi dan berlaku pemindahan teknologi. Pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global. Kemasukan syarikat multinasional akan menyebabkan kemajuan dalam sektor perindustrian. Contohnya, R&D (Penyelidikan dan Pembangunan ) dalam pengeluaran nanas Malaysia mampu meletakkan Malaysia mampu bersaing dengan Negara-negara lain dari segi teknologi pengeluaran nanas.
Pelbagai langkah dijalankan oleh kerajaan untuk menggalakkan pelaburan asing. Antara langkah yang dilakukan ialah menyediakan kemudahan prasarana dan infrastruktur yang lengkap. Kemudahan asas yang lengkap seperti jaringan pengangkutan yang cekap, sistem telekomunikasi dan bekalan air dan elektrik. Prasarana yang lengkap dapat menarik pelabur asing untuk melabur terutama dalam sektor perkilangan.Contohnya, penyediaan tapak kilang yang strategik dan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi dapat menarik minat pemodal asing untuk membuka kilang di negara ini. Penyediaan galakan pelaburan atau insentif merupakan daya tarikan untuk menarik minat pelabur asing untuk membuat pelaburan.Kerajaan telah memberi galakan pelaburan kepada pemodal asing seperti taraf printis iaitu pengecualian cukai dalam tempoh 10 tahun kepada pelabur asing, di samping itu, kerajaan melonggarkan peraturan pelaburan dengan membenarkan rakyat asing memiliki ekuiti yang tinggi sehingga seratus peratus dalam sesuatu projek. Kesimpulannya, pelaburan asing dijangka meningkat sekiranya Malaysia berusaha menyediakan suasana yang kondusif dan menjamin keselamatan pelaburan asing di negara ini.

7.2 Teknologi Inovasi Bagi Industri Nanas Negara
Menurut Raziah (2010), analisis secara makro dan jangka panjang umumnya menunjukkan teknologi yang dibangunkan selama ini tidak berjaya meningkatkan produktiviti nanas secara mapan[5]. Justeru, kajian mengenai teknologi inovasi nanas amat signifikan untuk dikaji terhadap impaknya ke atas industri nanas Negara. Kemerosotan pengeluaran output industri nanas Negara juga perlu dikaji terutama berkaitan maklumat aas tahap penggunaan dan permintaan terhadap teknologi nanas di peringkat penanam, pengusaha industri kecil sederhana (PKS) dan pengilang besar kerana di antara kelemahan industri nanas yang turut dikenalpasti oleh FAMA (2004)[6] adalah :
a) Tahap pengurusan ladang yang rendah serta tidak efisien.
b) Kedudukan kebun nanas yang bertaburan dengan saiz tanah yang tidak ekonomik serta pengeluaran hasil buah yang tidak stabil dan selaras serta tidak seperti kualiti yang dikehendaki oleh pasaran.
c) Kekurangan kemudahan infrastruktur serta bekalan benih yang bermutu.
d) Penggunaan teknologi konvensional diperingkat ladang dan perusahaan kecil sederhana (PKS)
e) Kecekapan kilang memproses nanas di Malaysia masih beroperasi di bawah tahap maksimum kapasiti dan kecekapan
Berdasarkan kajian MARDI (2011) didapati bahawa, majoriti PKS amat memerlukan teknologi separuh automatik di mana teknologi yang dihasilkan itu mestilah tidak terlalu mahal, mudah dikendalikan dan kurang penyelenggaraan. Manakala, bagi pengilang besar pula, mereka mengalami masalah kekurangan buah nanas yang sesuai untuk kaleng yang kritikal bagi memenuhi kehendak pelanggan disamping kos barangan yang semakin tinggi dan sukar di kawal. Sehubungan itu, penyelidikan terhadap varieti khas untuk nanas kaleng yang bermutu tinggi, mempunyai hasil yang banyak serta rintang terhadap penyakit perlu dibangunkan dengan kadar yang segera. Penjimatan kos pembungkusan melalui penyelidikan dalam proses pembungkusan bagi penggunaan PKS dan pengilang besar juga perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kos pengeluaran yang semakin meningkat.

8.0 Kesimpulan
Malaysia berpotensi besar untuk menjadi pengeluar uatama nanas segar di pasaran dunia terutama pasaran Asia Tenggara dan negara-negara Teluk. Namun yang demikian pihak LPNM perlu berusaha untuk membangunkan pembangunan varieti nanas segar yang berkualiti tinggi dan mengaplikasi teknologi terkini dalam meningkatkan produktiviti nanas segar untuk bersaing dengan Negara Pengeluar yang lain seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang menduduki lima tangga teratas pengeluar nanas dunia. Jika dilihat keupayaaan Negara Indonesia yang hanya menduduki tangga yang ke-17 bagi kelulusan kawasan tanaman nanas tetapi berupaya menjadi pengeluar di tangga ke-5 dunia berbanding dengan Malaysia mempunyai keluasan kawasan tanaman di tangga ke-15 tetapi menjadi pengeluar di tangga ke-18 bagi kedudukan negara pengeluar nanas dunia.
Pihak LPNM dan MOA perlu menjadikan negara Thailand dan Indonesia sebagai contoh dan menjadikan sebagai panduan bagaimana kedua-dua negara tersebut berupaya meningkatkan produktiviti nanas dengan kawasan tanaman nanas yang lebih kurang sama dengan Malaysia.
Usahawan nanas juga perlu cekal dan fokus dalam tanaman nanas dengan bantuan khidmat sokongan berterusan daripada pihak agensi kerajaan dilihat dapat membantu Malaysia menjadi pengeksport utama nanas segar dunia pada masa akan datang dan memenuhi keperluan nanas segar bagi pasaran domestik tanpa mengimport nanas segar daripada negara luar.
















RUJUKAN
[1]. Food and Ariculture Organization (FAO)
[2]. Laporan Tahunan LPNM 2014
[4] Sumber http://www.gtis.com/gta
[5] Raziah, M.L. (2010). Senario dan Prospek Industri Nanas Malaysia.Economic and Technology Management Review. Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI).Serdang m.s 11-24.
[6] FAMA (2004). Analisis Industri Buah Nanas. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).






Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA