GMGM3073 PENTADBIRAN BURUH DI MALAYSIA


1.0.   PENGENALAN
1.1.   Sejarah
Sejarah perkembangan Kesatuan Guru dan Penolong Guru Tabika Perpaduan Malaysia (KSGTPM) di negara ini pada awalnya didorong oleh penubuhan kesatuan-kesatuan sekerja selepas Perang Dunia Kedua. Pada awal tahun 1920-an, guru-guru sekolah Inggeris di beberapa negeri telah menubuhkan persatuan guru-guru untuk sekolah-sekolah rendah yang bertujuan untuk kegiatan sosial. Ini disusuli oleh penubuhan MTA (Malayan Teachers Association) yang terdiri daripada persatuan-persatuan guru dari beberapa buah negeri yang memperjuangkan kepentingan profesion, sosial dan ekonomi kaum guru. Pembentukan MTF (Malaya Teachers' Federation) pada 1946 yang dianggotai kesatuan guru dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak , Pulau Pinang dan Singapura telah memperlihatkan keperluan untuk menyatukan kesatuan-kesatuan guru di semua negeri tersebut di bawah naungan satu payung besar.

Disusuli  pada tarikh 3.8.1972, gabungan penubuhan NUT (National Union of Teachers), KKGSK (Kesatuan Kebangasaan Guru Sekolah Kebangsaan) dan DTC Union (Daily Training College/Centre) untuk mengadakan Persidangan Perwakilan di Kuala Lumpur menguatkan lagi usaha ke arah penyatuan KSGTPM. Impian ini telah direalisasikan dengan pengumuman kesatuan guru yang tunggal pada 14.8.1983. Setelah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran maka akhirnya lahirlah Kesatuan Guru dan Penolong Guru Tabika Perpaduan Malaysia (KSGTPM). KSGTPM telah berjaya didaftarkan pada Januari 1984. Dewasa ini, KSGTPM merupakan pelopor pembela nasib kaum guru dan penolong guru yang semakin mantap dan berwawasan. Kewujudannya telah membantu meningkatkan taraf dan status guru dan penolong guru.
Berikutnya pada tahun 1988, penubuhan ini menyertai bersama dengan penubuhan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Sebagai anggota kerabat NTUC, KSGTPM telah dapat melibatkan diri dengan lain-lain kesatuan sekerja dalam kegiatan-kegiatan sosial, budaya dan riadah. Penubuhan ini seterusnya menghantar permohonan kepada Setiausaha Agung CUEPACS dan berjaya  menyertainya pada tahun 1990.
1.2.   Visi
1.2.1.      Komited berkhidmat demi kecemerlangan anggota dan masyarakat.

1.3.   Misi
1.3.1.      Menjadikan Kesatuan Guru dan Penolong Guru Tabika Perpaduan Malaysia (KSGTPM) sebuah kesatuan sekerja yang memperkukuhkan status anggota dan masyarakat melalui peluang peningkatan dan perkembangan potensi.



1.4.   Piagam
Berazam untuk memberi perkhidmatan yang bermutu, cekap, tegas, mesra, adil dan saksama sebagai usaha untuk memuaskan hati ahli kesatuan dalam aspek-aspek berikut:-
1.4.1.      Memberi khidmat nasihat dan memberi maklumbalas ke atas pertanyaan pelanggan dengan pantas, tepat dan mesra;
1.4.2.      Menyiasat setiap aduan yang berkaitan dengan hal ehwal ahli kesatuan sekerja dalam tempoh satu bulan dari tarikh aduan diterima oleh kesatuan ini;
1.4.3.      Menjadikan kesatuan satu institusi yang dapat meningkatkan imej dan pendidikan guru dan penolong guru tabika;
1.4.4.      Membekalkan maklumat yang tepat dan segera mengikut keperluan;
1.4.5.      Sentiasa bekerjasama dengan semua pihak untuk kepentingan bersama;







1.5.   Strategi
1.5.1.      Kami melaksanakan tugas secara bermuafakat dan menggunakan kaedah perkongsian bersama. Segala masalah yang dihadapi oleh ahli kesatuan kami akan dirujuk secepat mungkin dan akan mengadakan perundingan bersama dengan majikan.
1.5.2.      Menggalakkan penggunaan “e-internet’ yang efektif dalam mempertingkatkan hubungan dengan ahli kesatuan;
1.5.3.      Mengamalkan kerja-kerja secara berkaliber, berkepimpinan, berpengetahuan dan beretika serta mengamalkan prinsip nilai-nilai murni.
1.6.   Keanggotaan

Keanggotaan KSGTPM terbuka kepada semua guru-guru dan penolong guru Tabika Perpaduan dalam perkidmatan awam yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Setiap ahli yang telah menjawat jawatan guru dan penolong guru di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional secara automatiknya telah pun memasuki KSGTPM.

Sejak penubuhan KSGTPM ini, jumlah keanggotaannya sehingga Mac 2012 adalah seramai 1347 orang penyertaannya. Bilangan penyertaan adalah berdasarkan kepada jumlah bilangan guru dan penolong guru yang diambil setiap kali berlaku kekosongan di seluruh Malaysia.



1.7.   Objektif Penubuhan
1.7.1.      Menyatupadukan guru dan penolong guru Tabika Perpaduan di seluruh negeri dalam meninggikan taraf perkhidmatan, sosial dan intelek mereka;
1.7.2.      Memperjuangkan hak-hak dan kepentingan serta tuntutan gaji / elaun guru dan penolong guru Tabika  Perpaduan;
1.7.3.      Menjadikan kesatuan satu institusi yang dapat meningkatkan imej dan pendidikan guru dan penolong guru Tabika Perpaduan;
1.7.4.      Meneliti syarat-syarat perkhidmatan serta faedah-faedah lain termasuk elaun, bonus dan KWSP bagi semua kategori pegawai awam;
1.7.5.      Menjadikan semua ahli Kesatuan sebagai pekerja yang disebut di bawah Peraturan 3(1) dan memajukan kepentingan mereka dalam bidang perhubungan perusahaan, kemasyarakatan dan ilmu pengetahuan;
1.7.6.      Mengatur perhubungan di antara ahli dengan ahli atau di antara ahli dengan lain-lain pekerja atau di antara ahli dengan Kesatuan atau pegawai Kesatuan dengan Kesatuan dan menyelesaikan sebarang perselisihan atau pertikaian di antara mereka itu dengan cara aman dan muafakat;
1.7.7.      Memajukan kebajikan ahli-ahli Kesatuan dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan menurut undang-undang;
1.7.8.      Memberi bantuan guaman kepada ahli-ahli berhubungan dengan pekerjaan mereka jika dipersetujui oleh Majlis Jawantankuasa Agung;
1.7.9.      Memberi bantuan kepada ahli-ahli jika dipersetujui oleh Majlis Jawatankuasa Agung, seperti pembiayaan di masa teraniaya atau di masa pertikaian kerja;
1.7.10.  Menganjurkan dan mengendalikan kursus, dialog, seminar dan sebagainya untuk kebajikan ahli-ahli kesatuan khasnya dan para pekerja amnya;
1.7.11.  Mengendalikan jika dipersetujui oleh Persidangan Perwakilan, urusan mengarang, mencetak, menerbit dan mengedarkan sebarang suratkhabar, majalah, surat berita atau penerbitan lain untuk menjayakan tujuan-tujuan Kesatuan ini atau untuk memajukan kepentingan-kepentingan ahli-ahli Kesatuan;
1.7.12.  Menubuhkan kumpulan wang kebajikan jika dipersetujui oleh Persidangan Perwakilan dan menggubalkan peraturan-peraturan tambahan untuk mentadbir dan mengawal wang itu;
1.7.13.  Secara amnya melaksanakan sebarang tujuan kesatuan sekerja yang sah di sisi undang-undang.
1.8.Nilai KSGTPM
1.8.1.      Komited, Gigih, Musyawarah, Segar.

1.9.   Carta Organisasi
Rounded Rectangle: PN. YEOH SU KIAN

EXCO ZON NEGERI SARAWAK
Rounded Rectangle: PN. ZAINI BT HJ HASSAN
EXCO ZON NEGERI SABAH
Rounded Rectangle: PN. ROHANI BT CHE MUSA
EXCO SELATAN
Rounded Rectangle: CIK SITI KHAIRIAH BT HAMZAH
EXCO ZON UTARA
Rounded Rectangle: PN. NOOR SYAHMINA BT RAMLI
EXCO ZON TIMUR
Rounded Rectangle: PN. SYUKRIYAH BT HUSSIN 
TIMB.S/U AGUNG
Rounded Rectangle: CIK FATMAWATI BT SHARUDDIN
SETIAUSAHA AGUNG
Rounded Rectangle: PN. SALMAH BT ISMAIL
PRESIDEN
Rounded Rectangle: PN. MAZLINI BT RAMLI
BENDAHARI AGUNG
Rounded Rectangle: PN. SAKINAH BT DERAMAN
NAIB PRESIDEN














2.0.            PROSEDUR PERUNDINGAN BERSAMA MAJIKAN
2.1.         ASPEK PENGIKTIRAFAN KESATUAN
2.1.1.                  Pengenalan
Pengiktirafan kesatuan sekerja merupakan aspek penting dibawah sistem perhubungan perusahaan di Malaysia. Sesebuah kesatuan sekerja mesti mendapatkan pengiktirafan daripada majikan sebelum kesatuan berkenaan boleh mempelawa majikan untuk memulakan perundingan kolektif. Prosedur dan proses tuntutan pengiktirafan adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 9, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (APP 1967) dan Peraturan-peraturan di bawahnya.
Pengiktirafan oleh majikan terhadap sesebuah kesatuan sekerja merupakan pra-syarat sebelum kesatuan berkenaan boleh menjemput majikan untuk mengadakan perundingan kolektif. Pengiktirafan ke atas kesatuan sekerja membolehkan sesebuah kesatuan itu berfungsi sebagai badan atau ejen yang mewakili para pekerja dalam meningkatkan hubungan kerjasama serta perhubungan perusahaan yang harmoni dan kondusif di tempat pekerjaan.
2.1.2.                              Pengiktirafan KSGTPM

KSGTPM telah memperolehi pengiktirafan pada 10 Januari 1984 setelah berjaya melakukan perundingan bersama majikan. Di peringkat cadangan penubuhan ini KSGTPM telah mengadakan mesyuarat bersama dengan guru dan penolong guru yang telah dihadiri seramai 20 orang wakil bagi setiap negeri.

Agenda mesyuarat peringkat permulaan adalah melantik “Pengerusi Sementara” bagi mengendalikan mesyuarat sebelum mesyuarat penubuhan dirasmikan dan melantik “Pencatat Minit” untuk mencatat perkara-perkara yang dibincangkan. Dalam mesyuarat tersebut perkara-perkara seperti tujuan penubuhan , skop keahlian kesatuan, penetapan kadar yuran masuk dan yuran bulanan, penetapan nama dan alamat berdaftar kesatuan dan meluluskan peraturan-peraturan kesatuan akan dibincangkan dalam mesyuarat penubuhan tersebut.

Setelah mesyuarat selesai dilaksanakan, kesatuan memulakan langkah proses kerja tuntutan pengiktirafan dengan majikan. Berikut adalah langkah-langkah kerja yang dibuat:-
2.1.2.1.                        Presiden yang dilantik telah mengemukakan tuntutan pengiktirafan kepada majikan dalam Borang A (Notis Tuntutan Untuk Mendapatkan Pengiktirafan).
2.1.2.2.                        Presiden mengemukakan Borang A berserta satu salinan Perlembagaan Kesatuan/Peraturan-peraturan Kesatuan Sekerja kepada majikan secara pos berdaftar dengan satu salinan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia (KPPPM).
2.1.2.3.                        Dalam tempoh 21 hari, pihak majikan tidak memberi persetujuan secara bertulis tentang cadangan untuk menubuhkan kesatuan ini.
2.1.2.4.                        Jika majikan memberi pengiktirafan secara sukarela, kes tuntutan pengiktirafan dianggap selesai.
2.1.2.5.                        Kemudiannya presiden telah mengemukakan aduan secara bertulis kepada KPPPM selepas tamat tempoh 21 hari.
2.1.2.6.                        Setelah proses perundingan dengan KPPPM dan pihak mereka bersetuju, KPPPM telah memohon dengan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) bagi menentukan kelayakan KSGTPM.
2.1.2.7.                        KPPPM kemudiannya, telah memohon dengan majikan untuk kemukakan senarai nama guru dan penolong guru Tabika Perpaduan dengan menggunakan Borang B.
2.1.2.8.                        Setelah senarai nama guru dan penolong guru dikemukan, proses undi sulit dijalankan bagi menentukan peratusan keahlian kesatuan sama ada mempunyai majoriti atau sebaliknya.
2.1.2.9.                        Mengikut peraturan yang telah digariskan oleh Akta Kesatuan Sekerja 1959, sekiranya undian yang diterima melebihi 50 peratus daripada kakitangan jabatan, maka kesatuan boleh ditubuhkan. Jesteru itu undi sulit yang diterima telah pun melepasi daripada syarat yang ditetapkan, iaitu sebanyak 75.3 peratus.
2.1.2.10.                    Dengan itu, laporan dibuat kepada Y.B. Menteri untuk mendapat keputusannya di bawah Seksyen 9 (5), mengikut Akta Perusahaan Perindustrian 1967.
2.1.2.11.                    Akhirnya setelah melalui rintangan untuk memohon bagi menubuhkan KSGTPM, Y.B. Menteri telah meluluskan permohonan tersebut dan dimaklumkan kepada majikan dan secara rasminya KSGTPM boleh beroperasi.


2.2. ISU-ISU KESATUAN
2.2.1.      Penyerapan guru dan penolong guru yang bertaraf kontrak kepada jawatan tetap.
Taraf jawatan guru dan  penolong guru sehingga sekarang masih lagi bertaraf  jawatan kontrak.  Mereka juga adalah penjawat awam dan rata-rata telah pun berkhidmat lebih 5 hungga 15 tahun. Sepanjang perkhidmatan pelbagai peranan dan jasa telah dicurahkan untuk Jabatan Perpaduan, jadi tidak salah jika mereka diserap ke jawatan tetap.

Kebanyakan  pekerja kontrak berada dalam dilema dan merasa bimbang dengan taraf pekerjaan mereka yang mungkin bila-bila masa boleh ditamatkan kontrak apabila perkhidmatan tidak diperlukan lagi. Jesteru itu, Mereka sering membuat aduan kepada pihak KSGTPM agar nasib mereka terbela.





2.2.2.      Kenaikan  pangkat.
Gred jawatan  guru semasa ialah gred S17 manakala bagi penolong guru ialah gred N1. Mengikut gred yang ada sekarang ini adalah tidak bersesuaian kerana guru dan penolong guru juga menghadapi pelbagai isu yang terkini berkaitan dengan pendidikan dan juga ekonomi negara. Mereka juga berhadapan dengan pelbagai tugas yang banyak di pejabat selain opsyen mereka sebagai pendidik. KSGTPM akan menggesa pihak majikan supaya mereka dinaikkan pangkat sesuai dengan keadaan semasa sepertimana dengan kehendak kerajaan.

2.2.3.      Kebajikan guru dan  penolong guru.
Kebajikan mereka sering kali diabaikan kerana tidak ada pihak yang  berani untuk tampil menuntut hak yang sepatutnya. Pihak kesatuan akan memastikan  lebih ramai guru dan penolong guru supaya menyambung pengajian mereka ke peringkat Ijazah. Ini bertujuan mereka menambahbaik laluan kerjaya mereka dan menikmati peluang kenaikan pangkat yang lebih tinggi.





2.2.4.      Perkhidmatan perguruan.
Perkhidmatan bagi guru dan penolong guru adalah kontrak. Ada sesetengah guru terpaksa menyambung kontrak dari 3 bulan hingga ke 2 tahun. Isu ini menimbulkan kegelisahan guru-guru tentang perkhidmatan mereka yang terlalu pendek dan mereka terpaksa mengisi berulang kali borang perjanjian yang lain. Pihak kesatuan meminta dengan pihak majikan supaya tempoh bagi perkhidmatan mereka dipanjangkan lagi supaya mereka dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Selain itu mereka juga berharap, kos bagi pengisian borang perjanjian yang baru ditanggung oleh majikan ataupun memansuhkan hasil setem pada borang perjanjian.
2.2.5.      Masa guru bertugas.
Guru meminta pihak majikan mengkaji semula tempoh masa guru bertugas yang tidak fleksibel dengan bebanan tugas pada masa kini. Guru telah pun diminta khidmat mereka untuk bertugas di pejabat selesai sahaja tamat waktu persekolahan. Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan guru kerana di tadika juga banyak perkara yang perlu diuruskan. Mereka juga bimbang kerja-kerja di tadika akan terabai dan tertangguh kerana mengejar bebanan di pejabat.
 
2.2.6.      Gaji dan ganjaran guru dan penolong guru masih lagi tertunggak.
Gaji dan ganjaran adalah penting bagi mana-mana pekerja yang telah memberi khidmat tenaga dan minda kerana sebab utama mereka bekerja adalah untuk mendapatkan upah. Apa yang telah dialami oleh guru dan penolong guru adalah berkaitan dengan gaji dan ganjaran mereka yang tertunggak. Ada antara mereka, gaji dan ganjaran tertunggak sehingga 10 tahun lamanya. Kelewatan ini menjejaskan prestasi guru dan penolong guru untuk terus berkhidmat dalam bidang pendidikan.
Jesteru itu pihak KSGTM akan berunding dengan majikan untuk menjelaskan apa yang dialami oleh mereka ini dan memastikan segala gaji dan tunggakan guru dan penolong guru tidak akan tercicir dan tidak ada lagi hal ini diambil remeh.






2.2.7.      Isu berkaitan guru dan penolong guru digesa untuk bertugas di pejabat selepas sesi persekolahan tamat.
Ramai diantara guru dan penolong guru yang tidak berpuas hati dengan pihak atasan yang mengerah mereka untuk bertugas selepas sesi persekolahan tamat. Apa yang dirisaukan oleh mereka ialah akan menjejaskan prestasi masing-masing kerana mendapat tekanan disebabkan dwi kerja yang terpaksa mereka tanggung.

Mereka juga berpendapat sekiranya ingin memberikan kerja tambahan pihak majikan sepatutnya membayar mereka dengan elaun tambahan bersesuaian dengan pelaksanaan kerja tambahan yang mereka buat.

2.2.8.      Perlu tingkatkan kualiti Penolong Guru.
Cabaran yang digalas oleh guru dan penolong guru sekarang jauh lebih berat dan secara realiti, masyarakat kini memerlukan guru yang berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan, sahsiah diri serta berintegriti dan beriltizam.


Tugas sebagai penolong guru juga tidak kurang pentingnya. Namun latihan pembangunan adalah kurang diberi perhatian. Bagi mencapai tahap itu, mereka menggesa pihak majikan supaya mereka tidak diabaikan dalam hal ini kerana penolong guru juga peka tentang kemahiran mendidik yang sentiasa berubah dengan persekitaran.
2.2.9.      Isentif guru tidak menyeluruh.
Isu insentif guru dan penolong guru yang diumumkan baru-baru ini, agak kecewa kerana ia tidak menyeluruh dan mendesak pihak majikan meneliti semula insentif yang diumumkan, disifatkan sebagai tidak memenuhi permintaan dan keperluan utama warga pendidik keseluruhan peringkat tabika.

Mereka kecewa kerana enam tuntutan yang dikemukakan kepada majikan tidak diberi perhatian termasuk tuntutan kenaikan gred cemerlang. Selain itu, tuntutan supaya kerajaan mewujudkan jawatan gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru gagal dilaksanakan.



2.2.10.  Pengesahan Jawatan Pegawai Khidmat Singkat.
Kekeliruan  guru dan penolong guru baru untuk berkhidmat kerana perkhidmatan mereka adalah  sebagai Pegawai Khidmat Singkat. Setiap 3 bulan sekai mereka harus mengisi borang kontrak yang baru. Jesteru itu mereka meminta penjelasan daripada majikan mengenai perkara itu.

2.2.11.  Anugerah Cemerlang berdasarkan permakahan bukan pilih kasih atau kroni.
Ada ahli kesatuan yang tidak berpuas hati dengan sesetengah pegawai mereka yang bersikap pilih kasih dalam memilih pekerja untuk diberikan anugerah  khidmat cemerlang. Oleh itu, mereka meminta pihak majikan menyiasat perkara ini.

2.2.12.  Anugerah Cemerlang kepada anggota yang lama berkhidmat.
Pihak KSGTPM meminta pihak majikan untuk menyemak senarai guru dan penolong yang talah lama berkhidmat 8 tahun ke atas supaya diberi anugerah cemerlang.



2.2.13.  Penilaian SKT tidak telus oleh Pegawai Penilai.
Sikap pilih kasih mungkin menyebabkan ada sesetengah pegawai tidak telus dalam penilaian. Ada guru mengadu mereka diberi pemarkahan yang tidak sepatutnya sedangkan curahan tenaga telah banyak diberikan untuk berkhidmat.

2.2.14.  Anggota Kontrak yang berkhidmat lama.
Ramai guru dan penolong guru yang setia dan telah pun lama berkhidmat,  sehingga ada yang berkhidmat lebih 15 tahun. Jesteru itu mereka layak untuk diberi jawatan tetap.

2.2.15.  Tuntutan Perjalanan Guru dan Penolong Guru yang tidak setimpal.
Tuntutan perjalanan guru dan penolong guru setakat ini hanyalah diberikan sebanyak RM100 sahaja. Sedangkan mereka banyak bergerak menggunakan kenderaan sendiri untuk menyelesaikan  masalah kerja.  Juga mereka sering berulang-alik ke pejabat untuk bertugas. Dengan keadaan pasaran ekonomi sekarang yang tidak stabil mereka memerlukan tuntutan yang lebih berpatutan. Pihak KSTGPM akan berunding dengan majikan untuk meminta bayaran dengan formula baru.

2.2.16.  Cuti sambilan guru dan penolong guru.
Dalam isu cuti bagi guru dan penolong guru, mereka hanya diberikan cuti persekolahan sahaja. Sedangkan sekiranya berlaku kecemasan, sukar untuk mereka memohon cuti kerana tiada peruntukkan  cuti khas kepada mereka.

2.2.17.  Kemudahan perubatan yang perlu ditambah baik
Setakat ini, segala pembiayaan perubatan adalah ditanggung pekerja sendiri. Sedangkan pekerja tetap di bawah jabatan yang sama mempunyai kemudahan dalam pembiayaan perubatan dan mempunyai klinik panel. Justeru itu mereka juga perlu diberi keistimewaan begitu kerana mereka juga adalah sebahagian kakitangan yang sama-sama berkhidmat dengan jabatan.






2.3.KESAN-KESAN PERUNDINGAN
KSTGPM telah bawa isu tersebut dalam mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) demi memastikan nasib pekerja kontrak terbela.Hasil daripada perbincangan  di mana pihak KSGTPM menggesa kerajaan supaya menyerap kesemua pekerja kontrak di agensi kerajaan ke jawatan tetap telah pun diambil perhatian. Menurut pihak tertentu seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mencari mekanisme terbaik berhubung isu itu.
Selain itu pihak kerajaan juga menjanjikan peluang kenaikan untuk guru menjadi lebih cerah dan gaji juga kana dinaikkan selaras dengan kenaikan pangkat baru. Kerajaan juga turut mempertimbangkan untuk mewujudkan satu dana khas bagi membantu penjawat awam berstatus kontrak seandainya mereka ditimpa kemalangan ketika waktu bertugas yang mana insiden itu mengakibatkan kecederaan serius ataupun kecacatan di mana peruntukan untuk dana khas tersebut diperolehi daripada Bajet pengurusan satu-satu Kementerian ataupun melalui skim potongan gaji daripada penjawat awam berstatus kontrak.
Berkaitan dengan perkhidmatan guru yang mana kontraknya terlalu pendek kerajaan akan membantu kira-kira 300 guru kontrak yang tidak dipanjangkan tempoh perkhidmatan mereka dalam bidang pendidikan.
Hasil perundingan pihak kerajaan dengan kesatuan beberapa perkara seperti gaji dan ganjaran guru dan penolong guru masih lagi tertunggak, masa guru bertugas, isu berkaitan guru dan penolong guru digesa untuk bertugas di pejabat selepas sesi persekolahan tamat, tuntutan perjalanan Guru dan Penolong Guru yang tidak setimpal dan peningkatkan kualiti Penolong Guru, pihak kerajaan akan mengerahkan pihak berwajib untuk memantau masalah ini. Gaji dan ganjaran guru dan penolong guru akan dibayar secepat mungkin. Masalah tersebut tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan prestasi pekerja awam walaupun berstatus kontrak.
Berkait pula dengan isu insentif guru yang tidak menyeluruh kerajaan menggantikannya dengan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru. Pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan guru.
Penjelasan berkaitan dengan Pegawai Khidmat Singkat pula, Kerajaan kini menggunakan kaedah tunggal untuk mendapatkan pekerja bukan tetap, iaitu melalui Skim Pekerja Sambilan Harian yang hanya menetapkan kontrak maksimum tiga bulan menggantikan Skim Pekerja Sambilan dan Pekerja Khidmat Singkat (PKS). Mengikut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, tempoh perkhidmatan pekerja harian itu tidak panjang dan tugasnya berbentuk ‘ad hoc’ atau mengikut tempoh sesuatu projek dan pengambilannya lebih mudah serta menjimatkan. Tempoh perkhidmatan mereka tidak melebihi tiga bulan dan boleh dilanjutkan tiga bulan lagi jika ada keperluan oleh ketua jabatan. Waktu bekerja ialah sembilan jam sehari. Pengambilan pekerja sambilan harian bukan jaminan untuk mereka diserap sebagai pegawai lantikan tetap, sebaliknya mereka yang memenuhi syarat hendaklah memohon melalui proses pengambilan biasa.
Isu berkaitan dengan anugerah cemerlang berdasarkan permakahan bukan pilih kasih atau kroni pula Ketua Unit/Bahagian akan dimaklumkan perkara ini dan siasatan akan dijalankan. Manakala bagi anugerah cemerlang kepada anggota yang lama berkhidmat pula, pihak kerajaan meminta senarai nama dan Kesatuan akan memberikan senarai nama kakitangan yang masih belum disenaraikan penerima anugerah cemerlang. Kerajaan akan mengeluarkan pekeliling bagi memaklumkan mengenai dasar penilaian SKT yang sepatutnya disebabkan Penilaian SKT tidak telus oleh Pegawai Penilai. Bagi anggota kontrak yang berkhidmat lama lama pula kerajaan mengamalkan dasar penerapan kakitangan berdasarkan kepada kekosongan jawatan, keperluan pengisian jawatan, dan memenuhi syarat-syarat perlantikan.






Hal yang berkaitan dengan cuti sambilan guru dan penolong guru pula kerajaan telah mengeluarkan surat Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 1995, di mana kelulusan cuti perlulah ditandatangani Pegawai Daerah. Peruntukan cuti hanya 7 hari setahun di mana baki cuti yang tidak dapat dihabiskan akan luput dan tidak boleh dibawa ke tahun hadapan. Cuti akan diberikan berdasarkan apabila berlakunya kecemasan ahli keluarga (suami/isteri dan anak-anak pegawai itu sendiri), ahli keluarga yang rapat (ibubapa, adik beradik, mertua, datuk dan nenek kepada suami/isteri pegawai itu sendiri).











3.0       PENUTUP
Kesatuan KSGTPM dilihat daripada perspektif positif dan negatif oleh majikan. Pertelingkahan secara terbuka tetapi terkawal dapat mengurangkan tempoh konflik kerana kedua-dua pihak, pekerja dan majikan dapat mengawal keadaan. Permintaan kesatuan bagi sesuatu isu kadang kala diterima dengan senang hati. Apabila majikan mendapati prestasi organisasi sangat memberangsangkan, mereka memikirkan bentuk penghargaan yang boleh diberikan kepada pekerja..
Suasana yang lebih mudah ialah wujud kerjasama di antara kesatuan sekerja dan majikan. Kerjasama ini pasti membantu pekerja dan majikan meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-masing. Kedua-dua pihak mendapat manfaat yang berkekalan.
Di bawah Dasar Pandang Ke Timur, kerajaan Malaysia menggalakkan kegiatan kesatuan sekerja dalaman. Ini kerana ia amat praktikal kerana golongan pekerja dan majikan dapat membuat sesuatu keputusan dengan segera demi meningkatkan produktiviti syarikat.
Elemen-elemen baru hubungan industri seperti kerja dalam pasukan, penglibatan pekerja, perkongsian keuntungan akan menjadi perhatian utama kesatuan sekerja dan majikan pada masa depan.




4.0           RUJUKAN
Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Berita Harian, Peluang Kenaikan Guru Lebih Luas. 8 Mac 2012.

Ibnu Zaidi (2008). Cabaran-Cabaran Dalam Kesatuan Sekerja. Hubungan Industri Universiti Malaysia Sabah. Fajar Bakti.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (2008). Tindakan Perusahaan (Piket, Mogok & Tutup Pintu), Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (2008). Pengendalian Tuntutan Pengiktirafan Kesatuan Sekerja, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (2008). Keharmonian Di Tempat Pekerjaan, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (2008). Perundingan Kolektif dan Perjanjian Kolektif, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (2008). Reprentrasi Pemulihan Kerja, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.









5.0     LAMPIRAN


Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA