SCCA 1013 PENGANTAR KOMUNIKASI


1.0         Pengenalan
Kemahiran komunikasi adalah suatu kebolehan untuk mewujudkan interaksi atau hubungan melalui medium perantara atau sebaliknya dengan orang lain. Kemahiran komunikasi ini meliputi kemahiran menulis, membaca, berhujah, mendengar, etika dalam berkomunikasi, dan juga mempunyai kaitan dengan penggunaan teknologi (Nussabaum, 2007)[1].

Berdasarkan kepada arus globalisasi kini, kemahiran komunikasi telah menjadi suatu aspek penting yang amat dititikberatkan supaya dikuasai oleh setiap individu. Menurut Sulaiman (2010), proses komunikasi merupakan tunjang utama dan tidak dapat dielakkan bagi seseorang itu dalam menjalankan aktiviti harian mereka. Ini kerana, proses ini akan terjadi dengan sendirinya apabila wujudnya interaksi antara dua individu tanpa dapat dielakkan.

Artikel  bertajuk “Tahap Kemahiran Komunikasi Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Ipta Di Utara Semenanjung Malaysia” ini telah ditulis oleh  Nurul Salmi Mohd Dazali dan Mohd Isha Awang dari Universiti Utara Malaysia. Tajuk jurnal ialah Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ) dan ISSN: 2180-4842. Vol. 4, Bil. 2 (Nov. 2014): 44-56

2.0         Isu Atau Permasalahan Yang Diperbincangkan Dalam Artikel Jurnal

Kemahiran komunikasi merupakan suatu elemen penting yang harus ada dan dikuasai oleh setiap pelajar, sama ada bagi memenuhi keperluan mereka ketika proses pelajaran, persiapan untuk menempuh alam pekerjaan ataupun dalam interaksi sosial.
Peranan guru adalah sangat besar dalam memastikan graduan yang dihasilkan mampu menjadi sumber tenaga yang memenuhi keperluan majikan. Pelajar akan mengalami masalah apabila bergelar graduan kelak sekiranya kemahiran ini gagal diterapkan ketika di alam pendidikan. Ini terbukti apabila terdapat maklum balas daripada pihak majikan yang mempertikaikan ketidakselarasan antara tahap pencapaian akademik dengan tahap kemahiran komunikasi di kalangan graduan.

Apa yang lebih menyedihkan graduan bukan hanya mempunyai masalah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi juga dalam Bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan yang telah menjadi bahasa pengantar sepanjang 11 tahun di alam persekolahan mereka (Noorasmahwati, 2008).


3.0         Tujuan, Pendekatan, Kaedah, Hipotesis Dan Kesimpulan Utama Yang Dinyatakan Oleh Penulis.

Matlamat Falsafah Pendidikan Negara menekankan perhubungan yang erat dan ciri-ciri komunikasi yang berkesan antara pelajar dengan guru, pihak pentadbiran dengan guru dan sesama rakan sejawat. Oleh yang demikian, tugas memahami dan mengaplikasikan komunikasi berkesan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan. Hal ini kerana, komunikasi yang berkesan adalah tunjang utama dalam usaha menjadikan pendidikan yang cemerlang dan bermutu. Maka, seharusnya pihak pentadbiran peka terhadap kepentingan komunikasi dalam proses PdP.

Pendedahan mengenai kepentingan memiliki kemahiran komunikasi perlu diberikan kepada guru terlatih atau guru pelatih dengan harapan ilmu tersebut boleh diserapkan pula kepada para pelajar mereka. Keberkesanan proses PdP akan terjejas sekiranya guru gagal mewujudkan komunikasi yang baik. Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pelajar kerana maklumat yang disampaikan akan sukar difahami dan disalah tafsir. Apa yang lebih merumitkan keadaan jika sekiranya apa yang difahami oleh pelajar tersebut, dipegang dan diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya tanpa berfikir secara mendalam kesan daripada kesalahfahaman tadi.

Objektif utama kajian ini adalah untuk:
1. Mengenal pasti tahap kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar semester 6 Sarjana Muda Pendidikan sebuah IPTA.
2. Mengkaji perbezaan tahap kemahiran komunikasi antara jantina.
3. Mengenal pasti hubungan antara setiap kemahiran komunikasi dengan pencapaian akademik pelajar.
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar pendidikan. Kajian berbentuk tinjauan ini melibatkan seramai 152 orang sampel pelajar semester 6 program Sarjana Muda Pendidikan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian.

Analisis deskriptif adalah digunakan untuk mengenal pasti latar belakang pelajar mengikut jantina, kaum dan aliran pengajian, menganalisis data mengikut bahagian dalam soal selidik, menganalisis tanggapan pelajar terhadap tahap keyakinan kemahiran generik dalam diri, menganalisis keseluruhan tahap keyakinan kemahiran generik, menganalisis perbandingan skor min kemahiran generik berdasarkan jantina.

Dapatan menunjukkan kemahiran komunikasi pelajar pendidikan adalah pada tahap yang tinggi. Namun begitu, tahap kebolehan berbahasa Inggeris masih berada pada tahap yang rendah. Hasil analisis ujian-t, juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap kemahiran komunikasi mengikut jantina [2].

Kajian juga mendapati bahawa kemahiran komunikasi mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian akademik pelajar. Berdasarkan kajian ini, pihak yang bertanggungjawab harus memberikan perhatian dalam memastikan bakal guru terus memiliki pengetahuan bahasa yang baik sama ada Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris yang seterusnya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan bakal guru di Malaysia.

4.0         Pandangan Anda Terhadap Sumbangan Kajian

Saya berpendapat Jurnal Kajian ini boleh membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia tentang bagaimana kita perlu melahirkan insan atau pelajar yangb bukan sahaja mempunyai kemahiran komunikasi yang baik namun juga harus mahir dalam berbahasa Inggeris. Sesebuah universiti bukan sahaja perlu melahirkan graduan yang cemerlang dalam ilmu akademik, tetapi perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah terutamanya dalam aspek komunikasi (Md Zain et al., 2007). Graduan kini lebih didedahkan kepada kepentingan pengetahuan teknikal sehingga kurang mengambil berat berkaitan dengan kemahiran insaniah sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Penyataan ini disokong oleh Ismail (2012) dalam kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (2003) yang menyatakan salah satu punca kegagalan para graduan mendapat pekerjaan adalah kurang kemahiran dari segi komunikasi dan interpersonal. Hassan (2002), Jantan (2005), Mokhtar (2006) dan Ismail (2012) juga mengatakan bahawa kelulusan akademik di institusi pendidikan tinggi tidak dapat dijanjikan di pasaran pekerjaan, ini adalah kerana keupayaan graduan akan terjejas jika hanya terikat kepada satu kebolehan atau tidak mempunyai kemahiran insaniah, terutamanya kemahiran komunikasi [3].
5.0         Pandangan Tentang Implikasi Dan Perbincangan Hasil Dapatan Penulis

Secara keseluruhan, keputusan analisis menunjukkan tahap keyakinan kemahiran komunikasi pelajar pendidikan adalah pada tahap yang tinggi. Walau bagaimanapun, kemampuan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris masih di tahap sederhana yakni kurang memuaskan. Kemahiran komunikasi sewajarnya dikuasai setiap guru.

Jika mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan satu bonus kepada individu. Di dalam kelas kepelbagaian pelajar akan mewujudkan kemampuan berkomunikasi yang berbeza-beza. Justeru, setiap guru perlu berusaha mengenal pasti kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap pelajarnya supaya guru dapat merancang aktiviti PdP yang lebih baik, tersusun dan melibatkan komunikasi dua hala.

Oleh demikian, guru perlu memikirkan dan mengguna pakai kaedah terbaik bagaimana hendak menggalakkan para pelajarnya berkomunikasi efektif dengannya. Komunikasi direktif dan ekspresif merupakan antara kaedah untuk membina interaksi yang baik antara guru dan pelajar ketika berlangsungnya proses PdP di dalam kelas. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa keberkesanan pengajaran dipengaruhi oleh kemahiran komunikasi kerana komunikasi merupakan asas perhubungan di antara guru dan pelajar.









6.0         Kesimpulan

Kesimpulannya, diharapkan semua pihak menggalakkan pelajar untuk menguasai kemahiran komunikasi terutamanya Bahasa Inggeris. Selain itu, semua pihak yang terlibat juga perlu memberi perhatian dan mengambil langkah yang berkesan dalam usaha memperkembangkan kemahiran komunikasi pelajar, terutamanya di IPTA bagi menyediakan tenaga kerja yang memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan masa depan seterusnya memastikan negara terus maju dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
























7.0         Rujukan

[1] Nussabaum, J.F. & Williams, A. (2007). Intergenerational communication across the life span. New York: Lawrence Erlbaum Assoc. Inc.

[2] Tahap Kemahiran Komunikasi Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Ipta Di Utara Semenanjung Malaysia, Nurul Salmi Mohd Dazali dan Mohd Isha Awang dari Universiti Utara Malaysia. (2014)

[3] Mokhtar, M. (2006). Menghayati globalisasi ekonomi. Shah Alam: Penerbit UiTM.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA