Garis Panduan Pengauditan Prestasi


BAHAGIAN A : PENDAHULUAN

A.1      PENGENALAN

Garis Panduan Pengauditan Prestasi ini disediakan dengan mengambil kira standard pengauditan yang diguna pakai oleh INTOSAI selaras dengan International Standards of Supreme Audit Institutions (ISSAI) 3000 dan 3100. Pengauditan prestasi di Jabatan Audit Negara (JAN) adalah tertakluk kepada Seksyen 6(d) Akta Audit 1957. Seksyen ini menghendaki pemeriksaan dibuat bagi menilai sama ada wang awam telah dibelanjakan untuk tujuan ia diperuntukkan dan program/aktiviti telah dilaksanakan secara cekap dan berhemat bagi mengelakkan pembaziran, pemborosan dan penyelewengan.

Garis Panduan ini bertujuan untuk membantu Juruaudit merangka kerja bagi mengenal pasti, mengumpul dan menganalisis maklumat serta memberi panduan yang praktikal untuk:

              i.        Merancang dan melaksanakan pengauditan prestasi;
            ii.        Memastikan amalan pengauditan prestasi yang seragam;
           iii.        Mewujudkan asas bagi memantapkan metodologi dan profesionalisme pengauditan prestasi; dan
           iv.        Menyediakan asas di mana laporan pengauditan prestasi dapat dihasilkan secara profesional.

Juruaudit yang melaksanakan pengauditan prestasi hendaklah mempunyai kebolehan untuk menganalisis bukti dan membentuk kesimpulan terhadap program dan aktiviti dalam kepelbagaian bidang yang semakin mencabar. Juruaudit hendaklah berupaya untuk menulis laporan secara logik dan terperinci terhadap isu yang kompleks.



A.1.1      Definisi Pengauditan Prestasi
ISSAI 3000 BHG. 1.1 : Pengauditan prestasi merupakan suatu pemeriksaan bebas dan objektif terhadap program, aktiviti, sistem Kerajaan atau organisasi Kerajaan dengan mengambil kira aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan bertujuan untuk penambahbaikan.


Berasaskan definisi pengauditan prestasi di bawah ISSAI 3000, skop pengauditan sektor awam meliputi pematuhan dan pengauditan prestasi yang menekankan tentang ekonomi, kecekapan dan keberkesanan iaitu:

i.        Ekonomi - pengurangan kos yang digunakan bagi sesuatu aktiviti tanpa menjejaskan kualiti dalam aspek prinsip pentadbiran, amalan dan dasar pengurusan yang kukuh;

ii.      Kecekapan - penggunaan sumber manusia, kewangan dan maklumat lain termasuk pemeriksaan sistem teknologi maklumat, penandaarasan, pemantauan dan prosedur yang digunapakai oleh auditi untuk menghasilkan output yang maksimum dengan penggunaan sumber input yang minimum;

iii.     Keberkesanan - sejauh mana pencapaian auditi terhadap objektif yang ditetapkan dan pengauditan terhadap kesan aktiviti sebenar berbanding sasaran pengauditan adalah berdasarkan keputusan yang dibuat atau matlamat yang hendak dicapai oleh Pihak Berkuasa dan ia boleh dilaksanakan di seluruh sektor awam.

A.1.2      Ciri-Ciri Utama Pengauditan Prestasi
ISSAI 3000 BHG. 1.2 : Pengauditan Prestasi di sektor awam adalah berbeza dengan sektor swasta. Di sektor awam pengauditan ini adalah bebas dalam membuat pelbagai analisis terhadap ekonomi, kecekapan dan keberkesanan program/aktiviti kerajaan/agensi.
Standard pengauditan prestasi tidak tertakluk kepada keperluan dan jangkaan yang spesifik. Ianya adalah lebih fleksibel dalam aspek pemilihan subjek, objek, kaedah dan pendapat. Pengauditan prestasi bukan merupakan pengauditan yang lazim dilaksanakan di sektor swasta. Ia merupakan pemeriksaan bebas yang dibuat mengikut keperluan Juruaudit. Secara umumnya, ia terbuka kepada pendapat profesional dan interpretasi yang luas. Pengauditan prestasi hendaklah mampu mengguna pakai kaedah penyiasatan dan penilaian serta beroperasi dengan asas pengetahuan yang berbeza berbanding pengauditan secara tradisi. Pengauditan prestasi tidak hanya berasaskan kepada senarai semak tetapi ciri utama pengauditan prestasi adalah merangkumi persoalan yang pelbagai dan kompleks.


Pengauditan prestasi hendaklah dilaksanakan secara bebas mengikut mandat undang-undang terhadap semua aktiviti Kerajaan daripada perspektif yang berbeza. Perbezaan antara pengauditan prestasi dan pengauditan pematuhan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kolaborasi antara kedua-dua pengauditan tersebut.

A.1.3      Asas Pengauditan Prestasi
ISSAI 3000 BHG. 1.3 : Asas pengauditan prestasi ialah membuat penilaian secara bebas terhadap program/aktiviti kerajaan mengenai aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan.
Akauntabiliti awam bermaksud penjawat awam yang bertanggungjawab terhadap program/aktiviti Kerajaan adalah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya secara cekap dan berkesan. Sehubungan ini, akauntabiliti merupakan aspek penting untuk dinilai bagi memastikan individu yang telah diberikan tanggungjawab menjalankannya dengan cekap dan berkesan.  Pengauditan prestasi adalah satu kaedah untuk pembayar cukai, pemberi dana, badan perundangan, eksekutif, orang awam dan media untuk mengetahui tahap pelaksanaan dan pencapaian sesuatu program dan aktiviti. Pengauditan prestasi juga bertujuan untuk mendapat nilai terhadap perbelanjaan (value for money) atau wang tersebut dibelanjakan dengan lebih baik dan lebih cekap. Semua perkhidmatan awam adalah tertakluk kepada aktiviti pengauditan bagi menentukan tadbir urus yang baik.


Pengauditan prestasi terhadap pelaksanaan program/aktiviti Kerajaan menyumbang ke arah mempertingkatkan akauntabiliti awam melalui laporan yang benar dan boleh dipercayai mengenai ekonomi, kecekapan dan keberkesanan program/aktiviti Kerajaan. Pengauditan prestasi juga boleh dijadikan asas untuk membuat keputusan dalam pelaburan pelaksanaan program dan aktiviti pada masa hadapan. Selain itu, pengauditan prestasi menjadi pemangkin kepada perubahan melalui analisis bebas dan penilaian terhadap prestasi sektor awam. Dalam dunia yang serba mencabar dengan sumber yang terhad serta ketidakpastian, pengauditan prestasi adalah amat penting.

A.1.4      Pengauditan Prestasi Dalam Aspek Ekonomi, Kecekapan dan Keberkesanan (3E)

 ISSAI 3000 BHG. 1.5 : Pengauditan prestasi ialah berkaitan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan.  Aspek ekonomi merujuk kepada penghasilan output pada kos yang rendah, kecekapan merujuk kepada penghasilan output yang terbaik berdasarkan input yang ada manakala keberkesanan merujuk kepada pencapaian objektif yang ditetapkan.

Ekonomi – memastikan kos kekal rendah

Mengikut Standard Pengauditan, ekonomi bermaksud penggunaan kos sumber yang minimum bagi sesuatu aktiviti dengan mengambil kira mutu output yang bersesuaian. Pengauditan terhadap ekonomi merangkumi aspek sama ada:

              i.        Kaedah atau peralatan yang diperoleh menggunakan wang awam yang paling berekonomi;
            ii.        Sumber manusia, kewangan dan bahan mentah digunakan secara berekonomi;
           iii.        Pengurusan aktiviti dilaksanakan mengikut prinsip pentadbiran dan polisi pengurusan yang baik.

Walaupun konsep ekonomi telah didefinisikan dengan jelas, pengauditan terhadap aspek ini sukar dilakukan. Pengauditan ini menjadi satu tugasan yang mencabar bagi seseorang Juruaudit untuk menentukan sama ada input yang digunakan merupakan kaedah yang paling berekonomi, sumber yang boleh diperoleh telah digunakan secara berekonomi dan kualiti serta kuantiti input merupakan gabungan yang optimum. Perolehan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti sering dikaitkan dengan kos yang tinggi. Sebaliknya, bagi perolehan barangan atau perkhidmatan yang kurang berkualiti atau rendah kualiti kos perolehan adalah lebih rendah. Justeru mutu yang bersesuaian dengan kos yang berpatutan menjadi penentu sama ada sesuatu perolehan itu adalah ekonomi atau tidak.

Pengurusan program/aktiviti perlu dilaksanakan mengikut prinsip pentadbiran dan polisi pengurusan yang baik untuk memastikan kos menguruskan sumber manusia, kewangan dan bahan mentah digunakan secara ekonomi.

Kecekapan – menggunakan sumber secara optimum
Kecekapan berhubung kait dengan aspek ekonomi iaitu pengurusan sumber input yang cekap dan keberhasilannya. Aspek ini juga menekankan tentang penggunaan sumber sama ada sumber ini telah digunakan secara optimum atau memuaskan. Selain itu, sama ada kuantiti dan kualiti output yang sama dihasilkan dapat diperoleh dengan penggunaan sumber yang lebih rendah dan berkurangan.

Sesuatu penemuan mengenai kecekapan boleh diperoleh melalui perbandingan dengan program/aktiviti yang sama atau bagi tempoh yang berlainan atau berdasarkan standard yang diterima umum. Kadangkala standard seperti amalan terbaik akan digunakan sebagai asas perbandingan. Penilaian terhadap kecekapan juga mungkin akan dibuat berdasarkan keadaan yang tidak berhubungkait dengan mana-mana standard yang khusus iaitu situasi yang begitu kompleks sehingga tiada standard yang boleh diguna pakai. Dalam keadaan ini, penilaian mestilah dibuat berdasarkan maklumat dan hujah yang boleh diperoleh dan selari dengan analisis yang dijalankan semasa pengauditan.

Pengauditan terhadap kecekapan merangkumi aspek sama ada:

              i.        Sumber manusia, kewangan dan lain-lain digunakan dengan cekap;
            ii.        Program/aktiviti Kerajaan diurus, dikawal selia, diatur, dilaksanakan, dipantau dan dinilai dengan cekap;
           iii.        Program/aktiviti Kerajaan adalah konsisten dengan objektif dan keperluan yang ditetapkan;
           iv.        Perkhidmatan awam yang berkualiti, berorientasikan pelanggan dan disampaikan pada masa yang sesuai; dan
          v.          Objektif program/aktiviti Kerajaan dicapai dengan kos yang efektif.

Konsep keberkesanan kos menekankan tentang kebolehan atau potensi entiti yang diaudit, aktiviti, program atau operasi mencapai hasil yang ditetapkan dengan kos yang berpatutan. Analisis keberkesanan kos merupakan kajian terhadap hubungan antara kos projek dan outcome di mana kos seunit outcome dicapai. Keberkesanan kos merupakan satu elemen daripada keseluruhan semakan terhadap kecekapan termasuk membuat analisis. Dalam sesetengah kes, adalah sukar untuk memisahkan kedua-dua konsep kecekapan dan ekonomi kerana kedua-duanya berkait rapat dengan entiti yang diaudit sama  ada:

              i.        Amalan perolehan adalah telus;
            ii.        Urusan perolehan yang dibuat menepati dari segi jenis, kualiti dan kuantiti diperolehi pada kos yang berpatutan;
           iii.        Sumber dijaga dengan baik bagi memastikan kebolehgunaan;
           iv.        Sumber yang optimum untuk menghasilkan output berkualiti pada masa yang ditetapkan dicapai;
            v.        Peraturan berkaitan perolehan, penyenggaraan dan penggunaan sesuatu sumber dipatuhi;
           vi.        Sistem kawalan pengurusan berkesan.

Konsep kecekapan adalah tertakluk kepada persoalan sama ada sumber telah digunakan dengan optimum. Kecekapan juga lebih diperincikan kepada dua kemungkinan iaitu sama ada output yang sama dapat diperoleh dengan sumber yang sedikit atau jumlah sumber yang sama dapat mengeluarkan output yang lebih. 

Keberkesanan – mencapai objektif yang ditetapkan

Keberkesanan merupakan konsep pencapaian matlamat yang merupakan hubungan antara matlamat atau objektif, output, impak dan outcome. Matlamat yang ditetapkan sama ada dapat dicapai, output dapat dihasilkan dan impak yang diharapkan. Impak dan outcome yang ditemui merupakan hasil sebenar polisi atau disebabkan oleh faktor lain.  Persoalan mengenai keberkesanan terdiri daripada dua bahagian iaitu pertama, sama ada objektif sesuatu dasar dicapai dan kedua, sama ada pencapaian itu berkait dengan program yang dilaksanakan.

Satu pengukuran untuk menentukan sejauh mana matlamat dicapai perlulah dirangka di mana ia tidak dapat dilaksanakan bagi matlamat yang tidak jelas dan abstrak. Perbandingan perlu dibuat bagi membolehkan keberkesanan sesuatu dasar dinilai. Satu cara adalah dengan membandingkan keadaan sebelum dan selepas pelaksanaan sesuatu polisi dengan melibatkan kumpulan kawalan yang tidak berkaitan secara langsung dengan pelaksanaan polisi berkenaan. Dalam keadaan sebenar, sesuatu perbandingan adalah sukar dibuat kerana kekurangan bahan yang boleh dibuat perbandingan. Bagaimanapun, objektif  pengauditan boleh diubah kepada yang lebih mudah seperti menilai sejauh mana objektif tercapai, atau sama ada hasilnya sampai ke golongan sasar atau tahap pencapaian sesuatu polisi.

Juruaudit boleh menilai atau mengukur keberkesanan dengan membuat perbandingan antara impak/outcome atau keadaan semasa dengan matlamat yang dinyatakan dalam objektif sesuatu polisi. Pendekatan ini sering dikenali sebagai analisis pencapaian matlamat. Bagaimanapun, Juruaudit sepatutnya mengenali instrumen yang digunakan benar-benar memberi kesan terhadap pencapaian matlamat berkenaan. Ini merupakan pengauditan terhadap keberkesanan  dan memerlukan bukti yang menunjukkan hasil yang diperoleh benar-benar disebabkan oleh tindakan yang diambil, bukannya disebabkan oleh faktor lain.

Semasa mengaudit tahap keberkesanan, Juruaudit boleh menilai atau menentukan sama ada:

              i.        Program/aktiviti Kerajaan telah disediakan dan dirangka dengan berkesan, jelas dan konsisten;
            ii.        Objektif dan sumber yang digunakan iaitu aspek perundangan, kewangan dan lain-lain untuk sesuatu program/aktiviti baru Kerajaan atau yang sedang berjalan adalah teratur, konsisten, sesuai atau relevan;
           iii.        Keberkesanan struktur organisasi, proses membuat keputusan dan pengurusan sistem untuk pelaksanaan program/aktiviti;
           iv.        Program/aktiviti berkenaan saling melengkapi, berulang, bertindih atau bercanggah dengan program/aktiviti lain;
            v.        Kualiti perkhidmatan awam menepati kehendak orang awam atau objektif yang ditetapkan;
           vi.        Sistem pengukuran, pemantauan dan pelaporan keberkesanan sesuatu program/aktiviti itu memadai;
          vii.        Keberkesanan dari segi pencapaian matlamat pelaburan kerajaan dan komponen sesuatu program/aktiviti;
        viii.        Impak sosial, ekonomi dan persekitaran yang wujud sama ada secara langsung atau tidak langsung itu adalah disebabkan oleh pelaksanaan polisi berkenaan dan bukan disebabkan oleh faktor lain;
           ix.        Faktor kejayaan sesuatu program/aktiviti;
            x.        Punca sesuatu penemuan atau masalah bagi menentukan kaedah penambahbaikan; dan
           xi.        Terdapat pendekatan lain yang boleh meningkatkan prestasi atau mengurangkan faktor yang boleh menjejaskan keberkesanan program/aktiviti.

Pengauditan prestasi tidak semestinya bertujuan untuk mendapatkan rumusan berkenaan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan. Juruaudit boleh menilai sama ada penggunaan sumber dalam mencapai objektif sesuatu program/aktiviti itu adalah cekap dan berekonomi.

A.1.5      Pengauditan Prestasi Dalam Aspek Pembaziran, Pemborosan Dan Penyelewengan (3P)

Selain merujuk kepada aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan, Juruaudit juga perlu meneliti 3 perkara penting iaitu :

              i.        Pembaziran
      Penilaian terhadap pelaksanaan aktiviti atau program adalah berdasarkan kepada keperluan sebenar dan tidak berlakunya perkara-perkara seperti barangan/perkhidmatan yang tidak digunakan, melebihi keperluan dan tidak menepati objektif asal.

            ii.        Pemborosan
      Penilaian terhadap perbelanjaan atau penggunaan sumber yang melampaui tahap keperluan.

           iii.        Penyelewengan
      Penilaian terhadap pelaksanaan sesuatu program/aktiviti sama ada mempunyai unsur-unsur penipuan, pakatan dan penyalahgunaan kuasa yang bermaksud untuk menyeleweng dan kepentingan peribadi.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA