BWBS 3043 PENGURUSAN PERBANKAN ISLAM


PAJAK GADAI SECARA ISLAM & KONVENSIONAL :
Abstrak
Skim pajak gadai Islam Ar-Rahn yang ditawarkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dengan kerjasama Bank Negara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia YPEIM mula bergerak setelah dilancarkan pada 27 Oktober 1993. Skim ini merupakan alternatif kepada pajak gadai konvensional yang telah wujud sejak sekian lama di Malaysia. Skim Ar-Rahn yang berlandaskan hukum syariah dapat mengatasi masalah-masalah operasi pajak gadai konvensional yang dikatakan mengekploitasi golongan bependapatan rendah. Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dikatakan gagal menangani masalah-masalab tersebut dan memiliki unsur riba bertentangan dengan agama Islam.Pajak gadai konvensional yang telah lama bertapak di Malaysia sejak dari zaman Melaka kini hanya mengalami pertumbuhan kecil. Skim Ar-Rahn kini mula berkembang maju di mana beberapa organisasi seperti Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad, Muasasah Gadaian Islam Terengganu, Permodalan Kelantan Berhad, Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Yayasan Islam Melaka dan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah telah sama-sama menawarkan skim ini.Bilangan cawangan atau kedai pajak gadai Ar-Rahn turut meningkat.
1.0 PENGENALAN
Pajak Gadai di Malaysia begitu mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan masyarakat kelas miskin dan menengah bagi mendapatkan sumber kewangan dengan cepat dan mudah. Atas asas itu, Kedai Pajak Gadai dan Kedai Emas di seluruh Malaysia menawarkan skim pajak gadai ini. Kemasukan gelombang Islamisasi ke Malaysia membawa sekali semangat untuk menerapkan Islam dalam seluruh system kehidupan dan kenegaraan masyarakat Malaysia. Hasil daripada dorongan dan gelombang tersebut lahir institusi Perbankan dan Pasaran Modal Islam di Malaysia pada awal 1980 an. Kewujudan al-Rahn adalah pelengkap kepada sistem kewangan yang ada iaitu pada mulanya al-Rahn ditawarkan oleh Institusi bukan Perbankan (NBFI) seperti Bank Kerjasama Rakyat yang dibangunkan di bawah Akta Koperasi 1970, Muassasah Gadaian Terengganu dan Permodalan Kelantan Berhad. Perkembangan dan sambutan yang menggalakkan memberikan semangat kepada institusi perbankan menawarkan perkhidmatan al-Rahn yang terpisah daripada perkhidmatan perbankan yang ada. Hasilnya lahir Bank Islam, EON Bank (sekarang Hong Leong Bank) dan Bank Pertanian (sekarang Agro Bank) dengan instrumen al-Rahn masing-masing. Kajian ini akan menelusuri sejarah al-Rahn di Malaysia dan analisis perbandingan dengan sistem pajak gadai konvensional.
2.0 ISI KANDUNGAN
LATARBELAKANG SISTEM PAJAK GADAI KONVENSIONAL & AR –RAHN DI MALAYSIA
Pajak Gadai Konvensional
Amalan gadaian sudah menjadi perkara lumrah dan menjadi darah daging dari segi praktiknya kepada masyarakat Malaysia khususnya orang-orang Melayu (Islam) dalam memenuhi keperluan kredit mudah tunai bagi golongan yang berpendapatan rendah. Amalan tersebut terus berjalan walaupun ada sungutan tentang adanya unsur penindasan terhadap pelanggan yang dilakukan oleh institusi pajak gadai konvensional tersebut.
Perjalanan sistem pajak gadai oleh pemegang pajak gadai di Malaysia tertakluk kepada Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Akta ini adalah menggantikan Sembilan Enakmen /Ordinan yang berasingan di Malaysia sebelumnya iaitu (Azizian Abdul Hamid: 2006)[1]. 
i. Ordinan Pemegang Pajak gadai Negeri-negeri Melayu Selat Perkara 216 (Pawn-Broker Ordinance S.S. Cap 216). Pemakaiannya termasuk di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.
ii. Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Melayu Bersekutu Perkara 85 (Pawn-brokers Enactment F.M.S cap 85). Pemakaiannya termasuk di Pahang, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.
iii.Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Johor No. 36.
iv.Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Kedah No. 71.
v.Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Terengganu No. 42.
vi.Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Perlis No. 5 Tahun 1335H.
vii.Enakmen Pemegang Pajak Gadai Negeri Kelantan No.8 tahun 1910.
viii.Ordinan Pemegang Pajak Gadai Negeri Sabah Perkara 94.
ix.Ordinan Pemegang Pajak Gadai Negeri Sarawak Perkara 115.

Ar-Rahn
Dalam bahasa Arab, Ar -Rahnu bermaksud sesuatu barang yang diserahkan kepada seseorang sebagai cagaran hutang.  Dari segi syarak pula, ia membawa erti harta yang dijadikan cagaran kerana sesuatu hutang untuk menyamakan hutangnya apabila tidak berkemampuan pembayarannya oleh yang berhutang mengikut ketentuan syarak. Manakala dari segi syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar.
Selain itu, Definisi Ar-Rahnu menurut istilah undang-undang Islam ialah sebagaimana yang diperkatakan oleh para ulama Maliki iaitu “Pemberian seseorang yang diizinkan berkontrak, sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar yang sedikit sebagai sandaran (jaminan) ke atas sesuatu hak”. Definisi di atas adalah meliputi definisi yang dinyatakan oleh empat mazhab utama ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab Hambali. Penggunaan perkataan “pemberian” membawa maksud semua urus niaga samada gadaian atau jual beli. Ungkapan “seseorang yang diizinkan berkontrak” pula membawa maksud mukallaf (mukallaf adalah orang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan hukum tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan-Nya atas dasar orang tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal)  yang diizinkan berurus niaga mengikut perundangan Islam iaitu berakal, baligh dan tidak boros. Manakala  ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa maksud sesuatu perkara yang boleh digunakan dalam berkontrak contohnya berjual beli.
Perkataan gharar dalam bahasa Arab berasal daripada kata perbuatan gharra bermakna memperdaya. Dari segi istilah, gharar ialah sesuatu yang tidak diketahui kewujudannya atau ketiadaannya atau tidak diketahui jumlahnya sama ada sedikit atau banyak atau sesuatu yang tidak mampu diserahkan ketika berkontrak. Gharar yang sedikit pada pandangan mazhab Maliki ialah sesuatu ketidakpastian yang dimanfaatkan oleh masyarakat.

Ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Akan tetapi tidak semua perkara boleh dijadikan seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya benda ini haram dan tidak boleh sama sekali dijadikan barang gadaian walaupun ianya boleh dijual beli. Ungkapan ini memberi pengertian umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfaah (manfaat daripada benda), berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan benda” atau manfaah. Ulama telah bersepakat menetapkan bahawa hukum gadaian adalah harus, ini kerana ianya telah nyata di dalam disebut Al-quran dan selari dengan Al-hadis.
3.0 APLIKASI
Pajak Gadai Konvensional
Akta berkenaan menjelaskan kuasa mengeluar dan penarikan balik lesen dan peraturan-peraturan yang lengkap mengenai pelbagai urusan penggadaian. Akta ini juga memberikan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan bilangan lesen dikeluarkan di tiap-tiap kawasan dalam negeri-negeri dan melantik beberapa pegawai pelesen dan inspektor pajak gadai dalam negeri-negeri tersebut.
Mengikut Seksyen 3(1) Akta berkenaan, seseorang itu dikira menjalankan urusan pajak gadai sekiranya ia:
a. Menerima atau mengambil daripada sesiapa juga sebarang benda yang dijadikan sebagai cagaran untuk pembayaran balik pendahuluan wang atau sejumlah wang yang tidak melebihi lima ribu ringgit.
b. Membeli atau menerima atau mengambil benda-benda dan seterusnya membayar atau mendahulukan atau member pinjaman wang yang tidak melebihi lima ribu ringgit dengan perjanjian atau persefahaman sama ada secara nyata atau tidak nyata bahawa benda-benda berkenaan kemudiannya akan ditebus atau dibeli semula dengan apa jua syarat.
Kajian mengenai penglibatan masyarakat di Negara ini yang menggunakan perkhidmatan kedai pajak atau pawn-brokers pernah dibuat oleh pusat penyelidikan Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1978 ke atas 13 buah premis Kedai Pajak Gadai di Wilayah Persekutuan. Kajian menunjukkan pelanggan-pelanggan yang terlibat menggunakan perkhidmatan tersebut mengikut pecahan kaum ialah 42.05% ialah orang Melayu, 31.14% orang India,26.58% orang Cina dan 0.23% lain-lain bangsa. Oleh kerana tidak ada suatu sistem alternatif kepada masyarakat terhadap sistem gadaian pada masa tersebut, mereka terpaksa berurusan kerana desakan hidup walaupun sistem ini memberatkan pelanggannya. Antara rasa tidak puas hati yang disuarakan dalam pengamalan sistem ini ialah (Azizian Abdul Hamid: 2006).

a. Semakin rendah nilai barangan (sandaran), semakin tinggi kadar bunga yang dikenakan.
b. Memberi pinjaman kepada penggadai dengan tidak memberikan nilaian sandaran semasa ke atas barang yang digadaikan.
c. Menghilangkan hak penggadai di bawah undang-undang jika tidak dapat ditebus.

Description: E:\PAJAK GADAI KONSIONAL GMBR 1.jpg
Description: E:\PAJAK GDAI KNVSIONAL GMBR 2.jpg

Pajak Gadai Islam/ Ar-Rahn
Keputusan menubuhkan perbadanan al-Rahnu di Malaysia telah diputuskan dalam persidangan Pengarah/ Yang Di Pertua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri ke-13 pada 28 Mei 1979 di Melaka. Ekoran keputusan tersebut beberapa siri perbincangan lanjut mengenainya termasuk memperkemaskan peraturan/undang-undang mengenainya telah dirangka bagi tujuan penyelarasan di semua negeri. Laporan mengenai cadangan penubuhan Perbadanan al-Rahn ini telah dipersetujui bagi mulai 30 Januari 1985 (Azizian Abdul Hamid: 2006) . Selain daripada itu terdapat pengecualian di bawah Seksyen 46, Akta 81–Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, ianya menyebut bahawa organisasi berikut adakah dikecualikan daripada peruntukan Akta ini, iaitu :
i. Sebuah bank yang diberi lesen untuk menjalankan perniagaan bank di Persekutuan;
ii. Bank Pertanian Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Bank Pertanian Malaysia 1969;
iii. Sebuah syarikat kerjasama yang didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Persekutuan berhubung dengan syarikat kerjasama.
Sehubungan dengan Akta di atas maka wujudlah satu peluang baru yang selaras dengan tuntutan Islam yang mana ianya dinamakan Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu. Skim ini juga merupakan rentetan dari perlaksanaan Syariah dalam sistem perbankan pada awal 1983. Ianya telah dilaksanakan buat pertama kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23 Januari 1993 dengan dikenali sebagai Muassasah Gadaian Islam Terengganu. Perlaksanaannya yang memenuhi kehendak Syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKNK). Melalui anak syarikatnya iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) ia telah mewujudkan ‘Kedai Ar-Rahn’ yang mula beroperasi pada Mac 1992. Dari segi perlaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim ini kepada masyarakat umum. Perlaksanaannya mendapat kerjasama sepenuhnya dari Bank Negara Malaysia yang turut bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan pada 23 Oktober 1995 (Abdul Rahman Dewani: 2005)[2].
Sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pelbagai golongan telah memberi peluang kepada YPEIM untuk menjadi pelopor yang berdaya saing. Fasa seterusnya dijalankan dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia (BPM) pada November 1997. Sungguhpun begitu, perlaksanaan skim ini di semua institusi kewangan adalah sama kerana hukum Syariah dijadikan landasan dan panduan. Memandangkan skim ini berdaya maju dan memenuhi kehendak dan hukum Syariah, beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri telah mula menceburkan diri ke dalam bidang ini. Kerajaan Perlis, sebagai contoh, telah menubuhkan Pajak Gadai Islam pada Januari 1997.  Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam perlaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN). Sebagai contoh, KOKANUN telah mewujudkan Muassasah Gadaian Islam (Ar-Rahnu) KOKANUN atau 2001. Ianya telah mula beroperasi pada tarikh yang sama setelah mendapat mandat daripada anggota-anggotanya dalam Mesyuarat Agung Tahunan KOKANUN Kali Ke-31 pada 17 Jun 2000. Al-Rahn terus disemarakkan lagi dengan pembukaan perkhidmatan pajak gadai Islam di EON Bank Berhad pada tahun 2002 (Abdul Ghafar Haji Ismail: 2005)[3]. Namun begitu, secara praktikalnya, menurut perangkaan oleh Bank Negara Malaysia pada 2005, nilai pajak gadai Islam hanya merangkumi 15 peratus dari pasaran pajak gadai sedia ada, manakala nilai pinjaman yang ditawarkan hanyalah RM275 juta berbanding dengan jumlah nilai pinjaman sedia ada iaitu RM1.5 bilion (Pelancar: 2005)[4].
Operasi Al-Rahn Di Malaysia
1.      Sistem Gadaian Islam al-Rahn di Terengganu
Skim ini diwujudkan mengikut seksyen 225 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu dan dibiayai oleh kerajaan negeri. Ia dikendalikan oleh Unit Muassasah Gadaian Islam bertempat di tingkat 3, Bangunan Tabung Haji, Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu (salah satu unit di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu. Ianya dikendalikan oleh seramai 16 orang pekerja dan diketuai oleh seorang Pegawai Pentadbir Negeri. Marhun yang diterima bagi maksud gadaian ialah emas dan berlian. Kadar minimum gadaian yang diterima ialah sebanyak RM 10.00 dan kadar maksimum sehingga 75% daripada nilai marhun atau tidak melebihi RM 1500 untuk seorang. Bilangan penggadai dihadkan seramai 150 sahaja untuk sehari. Perkhidmatan gadaian yang diberi adalah percuma tetapi pihak ‘muassasah’ menerima sumbangan ikhlas daripada penggadai. Tempoh gadaian yang dibenarkan ialah sehingga tiga bulan dan perlanjutan tempoh dipertimbangkan untuk tiga bulan lagi. Apabila lelongan berlaku ke atas marhun yang tidak ditebus, lebihan hutang dan kos lelongan akan dikembalikan kepada tuan punya. Sambutan masyarakat terhadap skim ini menjangkau nilai gadaiannya secara purata RM 122,000.00 (Abibullah Shamsuddin: 2005)[5]. 

2.      Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) di Kelantan
Perlaksanaan skim al-Rahn ini dilaksanakan oleh Permodalan Kelantan Berhad (anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan) dan pusat operasinya di P.T 95, Seksyen 7, Jalan Temenggong, Kota Bharu, Kelantan. Perjalanannya diuruskendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Permodalan Kelantan Berhad dan mempunyai dua bahagian iaitu Bahagian Gadai dan Tebus. Ianya dikendalikan oleh 16 kakitangan dan diketuai oleh seorang pentadbir. Barang gadaian (marhun) yang diterima adalah emas sahaja dan pinjaman maksimum sebanyak RM 5000.00 untuk seorang. Pendapatan (keuntungan) yang akan diperolehi adalah daripada upah penjagaan marhun. Perkhidmatan gadaian yang dikenakan berdasarkan nilai marhun bukannya ke atas pinjaman. Kadar upah yang dikenakan adalah untuk tempoh sebulan bagi setiap bagi setiap seratus ringgit. Tempoh gadaian yang dibenarkan ialah selama enam bulan dan perlanjutan tempoh tebus balik boleh dipertimbangkan sehingga 4 bulan. Urusan melelong barang gadaian akan dilaksanakan bagi melunaskan hutang dan lebihan (bayaran hutang dan kos lelongan ) akan dikembalikan kepada penggadai. Perjalanan al-Rahn ini mendapat sambutan masyarakat dengan jumlah purata gadaian sebulan ialah RM 15000 hingga RM 20000 (Azizian Abdul Hamid: 2006).

3.      Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
Skim ini dikendalikan dan dibiayai bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM). Operasinya meliputi 70 buah cawangan diseluruh negara. Ia dikendalikan oleh kakitangan bank berkenaan dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu Bahagian Pinjaman (memproses dan memberi pinjaman) dan bahagian Barangan Cagaran (menyimpan dan mempastikan keselamatan barang cagaran). Perkhidmatan gadaian yang dikenakan oleh pihak bank ini ialah dalam bentuk upah menjaga marhun mengikut kadar yang ditetapkan bagi setiap seratus ringgit sebulan. Pada mulanya Bank Rakyat memperkenalkan Pajak Gadai-i iaitu skim yang menawarkan pinjaman sehingga RM 5000 bagi sehari sehingga jumlah gadaian terkumpul sebanyak RM 25 000 dengan tempoh bayaran balik secara ansuran selama 6 bulan dengan tempoh lanjutan tidak melebihi 4 bulan. Mengikut skim ini, pembiayaan boleh mencapai 65% daripada nilaian marhun. Sebagai lanjutan kepada skim tersebut atas sambutan yang memberangsangkan, Bank Rakyat memperkenalkan skim baru iaitu Pajak Gadai-i Az-Zahab yang merangkumi pembiayaan 65% daripada nilai gadaian yang menawarkan pinjaman RM 5001 sehari sehingga jumlah gadaian terkumpuk RM 50 000 dengan tempoh ansuran lebih fleksible selama 3 tahun.  Jika melebihi tempoh tersebut perlelongan marhun yang tidak ditebus akan dilakukan bagi maksud melunaskan pinjaman. Baki bersih lelongan setelah ditolak kos lelongan akan dikembalikan kepada pemilik barang (www.bankrakyat.com: 22 Mac 2010)[6].

4.      Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) Bank Islam Malaysia Berhad
Perlaksanaan skim al-Rahn oleh bank ini juga melalui kerjasama dan pembiayaan oleh pihak YPEIM. Peringkat awal perlaksanaannya adalah meliputi cawangannya di Medan MARA dan Selayang sahaja kemudian ia telah diperluaskan ke semua cawangannya di Malaysia yang merangkumi 60 buah cawangannya. Barangan yang diterima untuk gadaian adalah emas sahaja. Tempoh gadaian yang dibenarkan ialah selama enam bulan dan perlanjutan dipertimbangkan sehingga 3 bulan lagi. Sekiranya marhun tidak ditebus dalam tempoh yang dibenarkan, perlelongan akan dilakukan, lebihan bayaran hutang dan kos lelongan akan dikembalikan kepada pemilik barang berkenaan(Azizian Abdul Hamid: 2006).

5.      Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) Pahang
Operasi al-Rahn di Pahang dijalankan oleh Koperasi Pengguna Pahang Berhad berdasarkan peruntukan Undang-undang Kecil Koperasi badan tersebut. Perjalan skim al-Rahn ini dibiayai bersama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang. Skim ini dikendalikan oleh seramai 5 orang pekerja dan diketuai oleh seorang pengurus iaitu kakitangan koperasi itu sendiri. Perjalanan urusan gadaian terhad kepada ahli koperasi sahaja dan bagi mereka yang tidak menjadi ahli ia perlu menjadi ahli bersekutu terlebih dahulu. Barang yang diterima untuk gadaian adalah emas dengan kadar hutang maksimum sebanyak 50% daripada nilai marhun tetapi tidak melebihi RM 5000. Perkhidmatan gadaian yang dikenakan berdasarkan nilai marhun yang dikira atas setiap RM 100.00. Tempoh gadaian yang dibenarkan hanya 3 bulan dan perlanjutan tempoh hanya dibenarkan 3 bulan lagi dengan syarat semua upah bagi tempoh tiga bulan yang telah luput dijelaskan. Barang gadaian akan dilelong setelah 6 bulan tidak ditebus dan akan digunakan untuk melunaskan hutang dan lebihan akan dikembalikan kepada penggadai. Sambutan ahli terhadap operasi ini ialah purata nilai gadaian sehari adalah antara RM 15,000 hingga RM 20 000(Azizian Abdul Hamid: 2006).



6.      Sistem Gadaian Islam (al-Rahn) Agro Bank Berhad (Bank Pertanian Malaysia)
Agro Bank Berhad juga antara pelopor sistem gadaian Islam di Malaysia. Pada mulanya ia adalah hasil daripada kerjasama YPEIM selepas kejayaan perlaksanaan skim ini di Bank Rakyat dan Bank Islam. Agro bank menawarkan kemudahan al-Rahn sehingga RM 50 000 dengan limit harian sebanyak RM 5000. Pelanggan boleh mencagarkan emas dengan serendah nilai RM 100. Skim ini menawarkan pembiayaan dengan bentuk pengiraan yang agak ganjil iaitu dengan memberi pilih kepada pelanggan untuk mengambil pinjaman berasaskan kepada 50%, 60% atau 70% daripada nilai gadaian. Kadar upah simpan dikira berasaskan setiap RM 100 seperti skim yang lain. Masa penebusan ialah selama 6 bulan. Namun jangka waktu boleh di sambung selama 3 bulan, dan jika gagal ditebus, pelanggan masih boleh minta perlanjutan selama 2 bulan lagi. Barang gadaian akan dilelong setelah 11 bulan tidak ditebus dan akan digunakan untuk melunaskan hutang dan lebihan akan dikembalikan kepada penggadai. Antara cawangan Agro bank yang menawarkan skim ini ialah cawangan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuantan, Kangar, Alor Setar, Kepala Batas, Bagan Serai, Tanjung Karang, Selayang, Melaka, Muar, Langkawi, Jitra, Pendang, Kuala Kangsar, Banting, Port Dickson, Raub, Jerteh, Dungun, Kemaman, Kuala Krai, Georgetown dan Nibong Tebal[7]


PROSES PENAWARAN PRODUK PAJAK GADAI KONVENSIONAL & AR-RAHN
Pajak Gadai Konvensional
1. Faedah yang dibenarkan ialah 2% sebulan atau 24% setahun.
2. Barang kemas menjadi pilihan utama serta jam tangan dan pen berjenama.
3. Tidak boleh menerima apa-apa barang antara 6 petang – 8 pagi, tidak boleh mengadakan urusan perniagaan pada waktu tersebut.
4. Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun.
5. Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berada dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna akal.
6. Tidak boleh menyimpan apa-apa barangan yang mempunyai tanda-tanda hakmilik kerajaan atau kerajaan negeri.
7. Apa-apa barangan disyaki ” dicuri daripada pemilik asalnya” juga tidak boleh diniagakan.
8. Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tamat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM 100 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik.
9. Pinjaman melebihi RM 100 akan dilupuskan melalui lelongan awam dan wang lebihan adalah hak mutlak pemajak gadai.
ADAKAH TERDAPAT SEKATAN TERHADAP WAKTU PERNIAGAAN DAN SEKATAN TERHADAP PENERIMAAN BARANGAN?
Akta Pajak Gadai 1972 menjelaskan dengan jelas tentang sekatan perniagaan iaitu:
• Tidak boleh menerima apa-apa barang antara pukul 6 petang dengan 8 pagi. Tiada boleh mengadakan urusan perniagaan pada waktu tersebut.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berumur dibawah 18 tahun.
• Tidak boleh berurusan dengan sesiapa yang berada dalam keadaan mabuk atau tidak sempurna akal.
• Tidak boleh menyimpan apa-apa barangan yang mempunyai tanda-tanda hakmilik kerajaan ataupun kerajaan negeri.
• Apa-apa barangan disyaki “dicuri daripada pemilik asalnya”
APAKAH CARA UNTUK MENGADAI DI PAJAK GADAI?
Pemajak gadai dikendaki membawa barangan gadaian tersebut untuk mendapatkan pinjaman. Pemegang pajak gadai haruslah mencacatkan butir-butir transaksi pemajakgadaian dalam buku dena mengelurkan surat pajak gadai.
Contohnya ingin meminjam RM150.00 dengan mengadai seutas cincin emas dengan kadar faedah 2% sebulan dalam tempoh 6 bulan. Jumlah yang dipinjam RM150.00 + faedah 2% (2x6bulan = RM18) = RM168.00
BERAPAKAH KADAR FAEDAH YANG AKAN DICAJ?
Menurut Akta Pajak Gadai 1972 faedah yang dibenarkan ialah 2% atau 24% setahun. Jikalau dicaj selebih daripada jumlah tersebut adalah merupakan satu kesalahan.
TEMPOH UNTUK MENEBUS BARANG GADAIAN?
Tempoh gadaian ialah selama enam bulan, tetapi gadaian juga boleh ditebus pada bila-bila masa. Sekiranya tidak dapat menebus gadaian sebelum tamat tempoh pemajak gadai boleh memberitahu kepada pemegang pajak gadai untuk melanjutkan tempoh masa tidak kurang daripada tiga bulan. Setiap butir lanjutan hendaklah dibuat dalam buku pemegang pajak gadai juga dalam surat pajak gadai.
SEKIRANYA TEMPOH GADAIAN TELAH TAMAT, ADAKAH BARANG GADAIAN MENJADI HAKMILIK PEMEGANG PAJAK GADAI?
Sekiranya pemajak gadai gagal menebus sebelum tamat tempoh, barangan gadaian boleh dilupuskan. Pinjaman yang kurang daripada RM200.00 akan menjadi milik pemegang pajak gadai secara automatik. Jikalau pinjamanya melebihi RM200, ia hanya boleh dilupuskan melalui lelongan awam oleh pelelong berlesen. Pemegang pajak gadai juga boleh membuat tawaran untuk membeli barang gadaian tersebut.
APAKAH PERLINDUNGAN AKTA PEMEGANG PAJAK GADAI 1972 SEKIRANYA GAGAL MENEBUS GADAIAN SEBELUM TAMAT TEMPOH?
Wang lebihan adalah hak mutlak pemajak gadai. Pemegang pajak gadai dikehendaki memberitahu pemajak gadai mengenai jualan itu melalui surat berdaftar dalam tempoh tujuh hari dari had lelongan dan menghantar penyata menunjukan lebihan berkenan. Jika pemajak gadai tidak menuntut lebihan berkenan dalam tempoh empat bulan, pemegang pajak gadai berkenan dikehendaki membayar wang lebihan tersebut kepada Akauntan Negara (Kerajaan) dalam masa 14 hari. Pemajak gadai masih boleh menuntut lebihan itu daripada Perbendaharaan.
ADAKAH PEMAJAK GADAI MEMPUNYAI HAK UNTUK MEMERIKSA BUKU JUALAN?
Dalam tempoh empat bulan selepas pelelongan,pemegang pajak gadai hendaklah membernarkan pemegang surat pajak gadai itu memeriksa catatan mengenai jualan itu dalam buku pemegang pajak gadai.
SEKIRANYA RESIT PAJAK GADAI HILANG ATAU BINASA, APAKAH HAK PEMAJAK GADAI?
Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 memperuntukan salinan surat pajak gadai diberikan secara percuma dengan tidak berlengah. Walaubagaimanapun, perkara yang biasa yang dipraktikan oleh pemegang pajak gadai ialah meminta pemajak gadai untuk membuat laporan polis dan seterusnya mendapatkan surat sumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah.
ADAKAH BARANGAN GADAIAN DIBERIKAN PERLINDUNGAN OLEH PEMEGANG PAJAK GADAI?
Pemegang Pajak Gadai mempunyai tanggungjawab untuk menjaga barang-barang gadaian itu dengan cermat dan bersungguh-sungguh sebagaimana menjaga harta bendanya. Pmegang Pajak Gadai hendaklah bertanggungjawab bagi kehilangan atau kerosakan barang gadaian Jikalau berlaku romapakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak. Nilai gadaian itu hendaklah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih daripada jumlah pinjaman. Pemegang Pajak Gadai hanya perlu membayar jumlah pimjaman + 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Nilai pampasan tersebut adalah tidak memadai dan juga tidak adil tetapi inilah di peruntukan dalam Akta Pajak Gadai 1972.
Prosedur Gadaian, Peraturan Dan Sekatan Al-Rahnu
1. Perkhidmatan al-Rahn dibuka kepada semua individu yang berumur 18 tahun dan ke atas.
2. Jumlah pinjaman sehingga 60% dan ke atas dari nilai barang sandaran ( marhun ).
3. Barang-barang sandaran ( marhun ) yang terdiri daripada barang-barang emas sahaja yang diterima.
4. Penggadai dikenakan upah menyimpan barang gadaian bergantung kepada nilai marhun.
5. Gadaian dikira sah dan sempurna ( Ijab dan Qabul ) apabila penggadai dan pemegang gadai serta saksi menandatangani surat gadaian menandakan telah bersetuju menerima syarat-syarat yang dikenakan.
6. Tempoh gadaian adalah selama enam (6) bulan dari tarikh gadaian. Bagaimanapun penggadai boleh memohon melanjutkan tempoh gadaian mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak sehingga enam bulan lagi.
7. Jika penggadai gagal menebus, al-Rahn akan mengeluarkan ” Notis Lelong ” sebelum menjual marhun secara lelongan oleh pelelong berlesen.
8. Baki harga lelong akan dikembalikan kepada penggadai, sesudah ditolak jumlah hutang, upah, kos.
Cara Pajak Emas Di Ar-Rahnu
Apa yang anda perlu tahu, polisi setiap ar-rahnu berbeza-beza. Berapa nilai emas, apa dokumen yang diperlukan, berapa banyak pinjaman yang diberikan, berapa lama tempoh pinjaman, memang berbeza antara setiap ar-rahnu.

Emas + sijil ketulenan (kalau ada) + resit belian asal. Sesetengah ar-rahnu tak perlukan resit belian.
Apa jenis emas yang diterima ar-rahnu?
Barang kemas solid (tanpa permata), gold bar, dinar, atau syiling emas. Asalkan ianya emas dan ianya tulen. Sesetengah ar-rahnu hanya terima barang kemas sahaja. Gold bar, dinar & syiling emas tak diterima.
Berapa banyak pinjaman akan diberi?
65% atas nilai emas yang dipajak. Sesetengah ar-rahnu bagi sehingga 70% daripada nilai emas. Apa yang anda perlu tahu, nilai emas bukan berdasarkan harga emas yang dijual oleh pengeluar emas seperti Kijang Emas, Dinar Kelantan ataupun Public Gold, tapi berdasarkan harga semasa yang ditetapkan oleh ar-rahnu itu sendiri. Dan harga setiap ar-rahnu pastinya berbeza. Anda perlu call ar-rahnu untuk tahu harga semasa mereka sebab kebanyakkan ar-rahnu tak publish harga semasa mereka di website.

Description: E:\DENSIMETER.jpg
Densimeter – alat penimbang & menguji ketulenan emas

Untuk menentukan berapakah nilai emas anda, ar-rahnu akan timbang berat dan test ketulenan menggunakan alat densimeter. Kalau ketulenannya berbeza daripada apa yang tertera dalam sijil ketulenan, samada (1) anda ditipu oleh penjual, atau (2) mesin densimeter tu ‘problem’. Kalau nak kepastian, bawa emas tu ke ar-rahnu cawangan lain.

Description: E:\CTH SURAT PJK.png
Contoh surat pajak Ar-Rahnu Agrobank

Berapakah caj yang dikenakan?
Caj pajakan ar-rahnu dinamakan “upah simpan” seolah-olah kita bayar caj ar-rahnu simpankan emas kita. Tapi hakikatnya ia adalah caj pinjaman, cuma kaedahnya dibuat supaya patuh syariah. Secara umumnya, caj dikenakan sekitar RM0.70 sebulan atas setiap RM100 nilai emas yang dipajak (istilahnya “marhun”),BUKAN atas nilai pinjaman. Apa yang anda perlu tahu, caj adalah tetap sebagaimana tertera pada surat pajak walaupun harga emas turun naik dalam tempoh pajakan. Dan anda bebas untuk bayar upah simpan tu pada bila-bila masa samada dalam tempoh pajakan ataupunsekaligus masa tebus emas tu nanti.

Berapa lama tempoh pinjaman?
Tempoh standard ialah 6 bulan. Sesetengah ar-rahnu bagi ‘extended-period’ sehingga 9 – 12 bulan. Habis tempoh pinjaman, anda kena tebus balik emas tu ataupun emas tu kena lelong! Kalau nak sambung lagi pajakan, kena renew surat pajak. Dan jangan lupa, anda bebas untuk tebus emas tu pada bila-bila masa walaupun tempoh pajakan belum tamat. Kalau tebus dalam masa sebulan, maka caj pajakan cuma dikenakan untuk sebulan sahaja.

Bagaimana cara sambung pajakan bila tamat tempoh?
Sebelum habis tempoh pajakan, datang ke ar-rahnu dan settlekan kos upah sahaja. Kemudian emas tu akan dinilaikan semula mengikut harga semasa. Katakanlah dulu nilai emas RM10,000, tapi masa renew surat pajak (untuk sambung pajakan), nilai emas naik menjadi RM12,000, maka jumlah pinjaman baru akan diberi sebanyak 65% atas RM12,000 (bersamaan RM7,800) dan caj pajakan (“upah simpan”) juga dikenakan atas nilai RM12,000 (bersamaan RM84 sebulan).

4.0 PERBANDINGAN PENAWARAN PRODUK PAJAK GADAI KONVENSIONAL & AR-RAHN
KELEBIHAN AL-RAHN BERBANDING PAJAK GADAI KONVENSIONAL
Antara kelebihan al-Rahn berbanding pajak gadai konvensional ialah :
a. Tidak melibatkan unsur riba
Dalam perjanjian al-Rahn, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah ( interest ) iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam, berbanding pajak gadai konvensional yang menjadikan faedah sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya diharamkan oleh Islam. Islam pada hakikatnya memandang kepada kontrak yang dilaksanakan. Bentuk perlaksanaan kontrak yang menepati prinsip Islam walaupun kelihatan hampir sama dengan pengamalan konvensional, ia tetap diharuskan.
b. Nilai gadaian tidak merosot
Nilai gadaian bagi barangan yang ingin ditebus semula tidak merosot dan tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Barang gadaian akan diuji berat dan ketulenan emas dan dibuat catatan. Berbanding pajak gadai konvensional nilai gadaian mungkin akan merosot kerana Akta Pajak Gadai 1972 tidak mewajibkan pajak gadai untuk mencatatkan berat, panjang dan jenis emas kepada barang kemas yang menjadi gadaian. Perkara ini dapat diteliti dalam Bahagian III, Seksyen 14. Banyak aduan yang diterima oleh FOMCA berkaitan dengan nilai barang gadaian menyusut akibat perbuatan individu daripada pajak gadai konvensional mengikis emas atau barangan kemas yang digadaikan (Mohd Hamdan Haji Adnan: 2005).
c. Wang Lebihan Gadaian Dipulangkan
Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggungnya apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan. Ini berlaku kerana nilai pinjaman adalah jauh lebih rendah dari nilai barang gadaian. Manakala sistem konvensional kerap dilaporkan bahawa pemegang pajak gadai tidak memberi penggadai wang lebihan daripada gadaiannya yang dilelongkan selepas mengira hutang yang perlu dibayar (Mohd Hamdan Haji Adnan: 2005). Ini adalah kerana tiada peruntukan khusus yang menyatakan pemegang pajak gadai perlu untuk memulangkan semula lebihan tersebut. Perkara ini boleh diteliti dalam Bahagian III, Seksyen 23, Akta Pajak Gadai 1972.
d. Penyimpanan Barang Gadaian
Semua barang kemas yang disimpan dalam skim tersebut adalah selamat. Di mana penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian. Semua Institusi gadaian Islam di Malaysia menggunakan sistem takaful bagi melindungi barang-barang yang disimpan. (Mohd Hamdan Haji Adnan: 2005) Situasi yang sama dapat dilihat dalam Akta Pajak Gadai 1972 dalam Seksyen 22 (1), (2) dan (3). Namun begitu, barang-barang tersebut tidak diinsurankan tetapi pemegang pajak gadai perlu menggantikannya berasaskan kepada peruntukan dalam Seksyen 22 (3) yang menyatakan:
’Dalam hal mana-mana sandaran telah binasa atau rosak kerana atau akibat kebakaran, kecuaian, peninggalan, kecurian atau rompakan atau selainnya, nilai sandaran itu adalah bagi maksud pampasan kepada pemajak gadai itu dikira sebagai satu perempat lebih dari jumlah pinjaman ke atasnya’ 
e. Jenis Bayaran dan Tempoh Membayar Balik Yang DiJelaskan
Sistem gadaian Islam menerima bayaran secara ansuran daripada pelanggan. Ansuran ini boleh dibuat dalam tempoh 6 bulan dan lebih berdasarkan kepada tempoh perlanjutan yang dibenarkan seperti yang terdapat dalam kontrak yang ditandatangani bersama oleh penggadai dan pemegang pajak gadai. Sistem konvensional tidak menerima bayaran secara ansuran dan hanya menerima bayaran secara tunai untuk penebusan . Sistem ini hanya membenarkan bayaran bunga sahaja bagi setiap bulan tanpa boleh membayar pinjaman secara ansuran. Manakala tempoh pula adalah selama 6 bulan dan tempoh perlanjutan tidak dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 23 (1). Ini memberi ruang kepada pemegang pajak gadai memanipulasikan barangan tersebut menurut kehendak mereka.
f. Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan
Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Selain daripada notis yang berbentuk surat rasmi yang menyatakan butiran barang gadaian, pihak al-Rahn biasanya akan memaklum secara panggilan telefon atau sms bagi memaklumkan gadaian tersebut. Dengan ini pihak penggadai akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan. Berbeza dengan pajak gadai konvensional, melelong gadaian bernilai lebih RM 100 tanpa memberitahu pihak penggadai. Apa yang sering berlaku ialah pemegang pemajak gadai tidak melelongnya tetapi terus mengambil alih miliknya. Selain itu, kebanyakkan penggadai tidak mengetahui bahawa gadaian mereka akan dilelongkan. Iklan-iklan memberi notis kepada orang ramai mengenai acara lelong lazimnya disiarkan dalam akhbar-akhbar Cina dan Inggeris sahaja. Akibatnya ramai daripada mereka sering terlepas peluang untuk menebus gadaian mereka (Mohd Hamdan Haji Adnan: 2005).
PERBANDINGAN PENGIRAAN ANTARA SISTEM GADAIAN ISLAM AL-RAHN BANK RAKYAT DAN SALAH SEBUAH KEDAI PAJAK GADAI DI TANAH MERAH, KELANTAN.
SISTEM AL-RAHN BANK RAKYAT 
Di bawah sistem Islam, perniagaan pajak gadai Islam (murtahin) tidak mengenakan faedah (riba ). Keuntungan yang diperolehi ialah daripada yuran menyimpan aset yang dicagar
Contoh :
Jika nilai cagaran ialah RM 3,000 atau kurang. Nilai pinjaman yang diberikan = 60% x RM 3000 = RM 1800 Upah simpan = ( RM 1000/ 100 ) x 0.65 sen = RM 6.50 sebulan
= (RM 2000/100)x 0.75 sen = RM 15 sebulan
Jumlah upah simpan 6 Bulan = RM 6.50 x 6 bulan
= RM 39
= RM 15.00x 6 bulan
= RM 90
= RM 90 + RM 39
= RM 129
Jesteru, untuk menebus peminjam (rahin) perlu membayar murtahin RM 1929.


SISTEM PAJAK GADAI KONVENSIONAL: SALAH SEBUAH KEDAI PAJAK GADAI DI TANAH MERAH, KELANTAN

Di bawah sistem ini, kedai pajak gadai mendapat keuntungan daripada kadar faedah yang dikenakan dan bayaran tambahan daripada transaksi dengan peminjam[8].
Contoh :
Jika nilai cagaran ialah RM 3,000 atau kurang.
Nilai pinjaman yang diberikan = 60% x RM 3000
= RM 1800
Caj faedah = RM 2 bagi setiap RM 100 yang dipinjamkan.
( kadar faedah 2% sebulan ) = ( RM 1800/ 100 ) x RM 2
= RM 36 sebulan
Jumlah caj faedah selama 6 Bulan = RM 36 x 6 bulan
= RM 216
Jesteru, untuk menebus jumlah yang perlu dibayar oleh penggadai ialah RM 2016.
Dapat dilihat disini perbezaan bayaran semasa menebus barang gadaian adalah sebanyak RM 87 ( RM 2016- RM 1929 )

PERBEZAAN ANTARA PAJAK GADAI ISLAM DENGAN BUKAN ISLAM
PAJAK GADAI ISLAM
PAJAK GADAI BUKAN ISLAM
Memberi pinjaman tanpa bunga (mengikut syariah Islam)
Memberi pinjaman beserta bunga (riba)
Tidak dibenarkan mengaut keuntungan
Mengaut keuntungan dari kesusahan pelanggan
Upah menyimpan yang rendah
Upah menyimpan yang tinggi
Lebihan wang ke atas barang yang dijual akan dikembalikan kepada pelanggan
Lebihan wang ke atas barang yang dijual tidak akan dikembalikan kepada pelanggan

APAKAH KELEMAHAN PAJAK GADAI?
1.    Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran
2.    Barang kemas yang digadai, samada cincin, gelang atau rantai biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak aduan diterima di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dimana barang kemas yang digadai itu lebih ringgan atau pendek apabila ditebus. Terdapat aduan yang peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu.
Cadangan: Oleh kerana itu, pemajak seharusnya meminta pemegang pajak untuk            merekodkan barangan yang digadai contohnya sebentuk cincin, seutas rantai dan yang paling penting menimbang berat dan mengukur panjang rantai emas tersebut dan meminta butir-butir tersebut dituliskan diatas resit sebelum memberikan barangan tersebut.
3.    Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki nilai gadaian yang kurang daripada RM200, tanpa melantik pelelong berlesen. Akta Pajak Gadai 1972 juga tidak memperuntukan barang gadaian dipamerkan sewaktu leongan awam dilakukan.
Cadangan: Peruntukan mempamerkan barangan gadaian adalah perlu dijadikan keperleuan mandotori.
4.    Terdapat aduan daripada orang ramai berkenan barangan gadaian yang telah dilelong dan punggutan wang lebihan juga tidak diberikan notis seperti yang diperuntukan oleh Akta Pajak Gadai 1972. Ini merupakan satu penganiyaan terhadap pemajak gadai.
5.    Jika berlaku rompakan, kebakaran atau malapetaka ke atas kedai pajak gadai sehingga menyebabkan barang gadaian hilang atau rosak, pemegang pajak gadai hanya perlu membayar jumlah cagaran yang ditambah 25% lagi kepada pemajak gadai sebagai pampasan. Itu tidak memadai dan tidak adil tetapi inilah yang diperuntukan dalam akta yang sedia ada.
KEBAIKAN AR-RAHNU
Diantara kelebihan utama dalam Ar-rahnu dengan pajak gadai yang lain adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Ini kerana keuntungan dalam Ar-Rahnu tidak diambil daripada pinjaman secara langsung sebaliknya mengambil manfaat daripada peminjaman dan penerimaan barang. Faedah tersebut terbit daripada kontrak baru yang diwujudkan iaitu kontrak upah simpan. Kontrak upah adalah satu kontrak yang wujud dan halal dalam perundangan Islam, tidak sepertimana sistem pajak gadai konvensional yang mengambil keuntungan dari faedah bergantung pada nilai pinjaman yang dilakukan ini dapat dilihat dalam syarat gadaian konvensional yang menetapkan bahawasanya penghutang mesti membayar faedah atau bunga pada kadar 2% sebulan ke atas jumlah pinjaman. Syarat ini bertentangan dengan perundangan Islam secara langsung yang tidak membenarkan penambahan kepada kadar asal pinjaman berdasarkan tempoh masa sebagaimana ketetapan yang dibuat oleh Majlis Penyelidikan Islam dalam persidangannya yang kedua pada tahun 1965. Ia menyatakan bahawa segala jenis faedah ke atas semua jenis pinjaman adalah riba yang diharamkan oleh perundangan Islam. Kaedah ini nyata sekali haram disisi Islam kerana ia dilihat member keuntungan hanya pada satu pihak saja dan satu pihak lagi tertindas, firman yang dinyatakan dalam lampiran.
Di samping itu penggadai tidak perlu bimbang akan keselamatan barang gadaiannya, kerana  barang yang berada dalam simpanan pemegang gadaian akan dijamin keselamatannya . Di mana, penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan dan bertanggungjawab ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian dan jika apa–apa yang tidak diingini berlaku terhadap barang gadaian tersebut samada hilang ataupun rosak pihak pemegang gadaian akan bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi ke atas barang gadaian itu iaitu dengan membayar ganti rugi kepada pihak penggadai. Dengan ini, pemberi gadaian tidak perlu risau dengan masalah pemeliharaan dan penjagaan barang kemas mereka sepanjang ia berada di pihak penerima gadaian. Dalam Ar-Rahnu juga penggadai tidak perlu bimbang akan nilai gadaiannya kerana dalam Ar-Rahnu kadar nilai barang gadaian dijamin tidak akan merosot apabila ingin ditebus semula ianya akan tetap dengan harga asal sepertimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak ketika berakad dan  tidak akan berlaku sebarang masalah di mana barang kemas seperti rantai emas apabila ditebus didapati kurang berat atau pendek sedikit daripada sebelum digadai.
Dan jika sekiranya pihak yang menggadai tidak mampu menjelaskan hutangnya pada masa yang ditetapkan iaitu tamatnya tempoh perjanjian maka pemberi gadaian akan diberitahu atau dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual bagi melangsaikan hutangnya yang tertangguh itu, Sekiranya harga jualan melebihi baki hutangnya, lebihan tersebut akan dikembalikan, hal ini berlaku kerana nilai gadaian adalah jauh lebih tinggi daripada nilai hutang tersebut.
Selain itu juga Ar-Rahnu mengenakan caj perkhidmatan yang rendah terhadap penggunanya. Ini dapat dilihat dalam aspek pengurusan di Ar-Rahnu yang hanya melibatkan kos dan risiko yang rendah jika dibandingkan dengan Pajak Gadai Konvensional. Pajak Gadai Konvensional menawarkan caj perkhidmatan yang tinggi dan ada juga sebilangan pemegang  Pajak Gadai Konvensional yang menerima atau meminta wang pendahuluan dari penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut. Pemberi gadaian juga tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat. Ini kerana, dalam Ar-Rahnu tidak akan berlaku sebarang unsur penipuan semasa timbangan dibuat dan nilai timbangan yang jelas akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian.
Ar-Rahnu juga merupakan sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannya berkaitan dengan tempoh membayar balik wang pinjaman yang telah dipinjam. Tempoh membayar balik yang dikenakan adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak. Tidak seperti sesetengah Pajak Gadai Konvensional yang kadangkala meminta wang tambahan daripada pemberi gadaian sekiranya pemberi gadaian ingin melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman mereka ini ternyata membebankan pihak yang berhutang, sedangkan dalam Islam melarang sebarang penindasan yang berlaku.
Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan ini berlaku kerana tempoh masa membayar balik untuk mereka telah tamat. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan. Ini bertepatan dengan perundangan Islam kerana ia adalah sebahagian daripada kesan atau natijah kontrak gadaian tersebut.
Ar-Rahnu turut menitik beratkan soal penentuan nilai gadaian yang sepatutnya. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai contohnya ialah kadar hutang yang ditetetapkan oleh penggadai  hendaklah bersamaan dengan 50% atau 60% daripada nilai barang gadaian (barang kemas emas). Syarat ini berkaitan dengan mensyaratkan kadar tertentu untuk hutang berdasarkan nilai barang gadaian. Para ulama membenarkan meletakkan syarat yang tidak bertentangan dengan maksud kontrak dan tidak memberi mudarat kepada salah satu daripada dua pihak yang berkontrak. Bahkan mereka bersepakat membenarkan kadar hutang sama ada bersamaan atau melebihi atau kurang daripada nilaian barang gadaian. Tidak seperti kedai Pajak Gadai Konvensional yang memberi kadar pinjaman berdasarkan rundingan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak tanpa mengambil kira nilai barang gadaian yang digadaikan. Ia berlaku kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara atau kriteria untuk menilai gadaian berkenaan berbeza dengan pajak Ar-Rahnu di mana nilai taranya telah ditetapkan.
KEBURUKAN AR-RAHNU
Gadaian anda akan dimasukkan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS). Hal ini akan menjadikan anda disenarai hitam dalam sistem perbankan. Kalau anda nak buat loan perumahan di mana2 bank, mesti ditolak. Kenapa? Emas merupakan kekayaan anda, bukan pinjaman tanpa cagar dari Bank. CCRIS itu sangat serius!!
Proses pemajakgadaian telah ditukar kepada PINJAMAN BERCAGAR EMAS. Banyak kerumitan dikenakan. Anda perlu membayar DUTI SETEM untuk perjanjian pinjaman bercagar emas sebanyak RM10.00. Banyak borang kena ditandatangan dan juga dicop ibu jari. Anggota ahli keluarga yang rapat diambil nama & telefon, semua ini tektik pemasaran Bank.
Imbangkan bahawa banyak borang yang dikena sign dan satu barang emas perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 20minit. Kalau seorang 20minit, katakan 3 orang di depan anda, anda perlu tunggu 1 jam baru sampai giliran anda. Di Pajak Gadai Berlesen, proses secepat 3 minit utk satu barang. Penggunaan komputer yang paling canggih dengan perisian pemajakgadaian.
Nilai Pinjaman yang rendah. Ar-rahnu paling tinggi bagi sehingga 75% daripada nilai marhun. Kedai Pajak Gadai Berlesen sekarang mampu bersaing sehingga 82% daripada nilai marhun.
Tempoh gadaian maksimum 10 bulan. Perlu ditebus kembali selepas ini! Di pajak gadai berlesen tradisi, kalau upan simpan 6 bulan dibayar setiap kali, simpan seumur hidup pun tiada masalah!
5.0 KESIMPULAN
Sistem Ar-Rahnu dalam ekonomi Islam di Malaysia lebih bersifat adil berbanding konvensional. Oleh itu kami menyarankan konsep Ar-Rahnu dalam Islam diperluaskan kerana konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan, ia bagi membantu masyarakat kita tanpa mengira agama dan keturunan. Islam menggalakkan dan menghalalkan sistem gadaian kerana ia dapat meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat. Selain daripada itu, ia dapat mengembangkan potensi perniagaan serta menggalakan mereka mencari rezeki yang halal lagi berkat. Konsep ini dapat membantu meringankan beban seseorang yang dalam kesusahan mahupun dalam keadaan terdesak. Ia juga bagi  mengelakkan berlakunya keruntuhan sosial dalam institusi masyarakat seperti meminjam daripada along dan lintah darat. Sistem ini adalah dihalalkan dan tidak akan berlaku sebarang masalah penipuan. Hal ini kerana, setiap pelangan yang urusan akan diberikan penjelasan yang terang dan nyata melalui dokumen perjanjian yang akan persetujui bersama. Dokumen tersebut mengandungi syarat-syarat perjanjian yang dikuatkuasakan oleh kedua-dua belah pihak.

Tidak dinafikan juga, apabila masih ada skim Ar-Rahnu yang mengandungi unsur-unsur riba dalam transaksinya. Walau bagaimanapun, skim ar-rahnu ini juga mempunyai manfaat, jika dibandingkan dengan transaksi konvensional. Oleh itu, usaha ke arah menghilangkan syubhat riba perlu dilakukan dan dititik beratkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam yang berkelayakkan dan berkemampuan untuk mengubah situasi ini. Agar ekonomi kita dapat dijalankan dengan berteras Al-Quran dan As-sunnah serta terus berkembang dan membangun sejajar dengan arus pembangunan negara.

         Firman Allah :
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
"Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.........."(Surah Al-Muddasir 74:38)

Berpandukan ayat diatas, semua urusniaga yang dijalankan haruslah ditulis kerana ia dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh dan jelas. Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya unsur-unsur gharar (penipuan) dan riba. Unsur-unsur ini boleh dielakkan jika kita mempunyai instrumen kewangan Islam serta menggunakannya cara yang efesien dan berkesan.    



RUJUKAN 
[1] Azizian Abdul Hamid. 2006. Al-Rahn sebagai Alternatif Sistem Pajak Gadai di Malaysia. JAKIM: Putrajaya.
[2] Abdul Rahman Dewani. 2005. Model Mikro Kredit dan Kesannya kepada Sosioekonomi Ummah di Negara Serantau. Kompilasi Prosiding Konvensyen Ar-Rahn Serantau 2002/2004. YPEIM: Kuala Lumpur.
[3] Abdul Ghafar Haji Ismail. 2005. Skim al-Rahn: Ke Arah Pengukuhan Kerjasama Serantau: Pengalaman Serantau. Kompilasi Prosiding Konvensyen Ar-Rahn Serantau 2002/2004. YPEIM: Kuala Lumpur.
[4] ANGKASA. 2005 Pelancar: Kuala Lumpur. 
[5] Abibullah Shamsuddin. 2005. Skim al-Rahn: Satu Model Mikro Kredit di Malaysia.
[6] http:// www.bankrakyat.com: 22 Mac 2010
[7] http://www.agrobank.com.my: 22 Mac 2010
[8] Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh (2). Temubual. 13 Mac 2010. Aspek Pengiraan Kedai Pajak Gadai Konvensional di Tanah Merah, Kelantan.



Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA