DEFISIT DALAM BELANJAWAN DAN HUTANG NEGARA



DEFISIT DALAM BELANJAWAN DAN HUTANG NEGARA

1.0       PENGENALAN DEFISIT DAN HUTANG
            Apakah defisit? Defisit bermaksud dalam belanjawan kerajaan berbelanja lebih daripada pendapatannya. Hutang pula ialah jumlah pinjaman kerajaan daripada pihak lain untuk menampung belanjawan. Defisit lazimnya ditunjukkan dalam belanjawan setiap tahun tetapi hutang meliputi defisit tahun-tahun sebelumnya. Baik buruk hutang bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk membayar balik pada masa akan datang. Kajian ahli ekonomi IMF, Abdul Abiad dan Jonathan David Ostry (2015) menunjukkan tahap hutang yang munasabah ialah pada kadar 30% KDNK sesebuah Negara[1].

Masalah defisit
Antara keburukan defisit dan hutang ialah
1) penambahan hutang dan faedah hutang (kos dilepaskan)
 2) inflasi
 3) kesan himpitan keluar (crowding out effect)
 4) peningkatan cukai dan kadar faedah.

Apabila sesebuah negara berhutang, sama ada di peringkat domestik atau luar, hutang ini masih tetap perlu dibayar. Setiap hutang ini mempunyai faedahnya tersendiri. Semakin besar jumlah hutang, maka semakin besarlah faedah yang perlu dibayar. Dengan jumlah hutang sebesar RM500 billion, faedah sekecil satu peratus bersamaan dengan nilai RM5 billion. Itu jika nilainya satu peratus. Jika nilainya lima peratus, ia bermaksud nilainya ialah RM25 billion.

Menurut Laporan Ekonomi Malaysia, jumlah bayaran sebenar perkhidmatan hutang negara ialah 10.7% (anggaran belanjawan) atau bersamaan dengan hampir RM23.2 billion. Lazimnya, bon akan dikeluarkan untuk menangani defisit. Jika bon ini dikeluarkan kepada orang ramai, maka defisit tidak akan menghasilkan inflasi. Ini kerana tidak ada wang baru dikeluarkan. Orang ramai membeli bon ini daripada simpanan mereka sendiri. Tetapi, bon ini juga mungkin dijual kepada sistem perbankan. Melaluinya, wang baru dikeluarkan dan ia akan menghasilkan inflasi.

Himpitan keluar bermaksud pihak selain kerajaan dinafikan atau diminimakan peluang untuk meminjam, melabur atau membelanjakan simpanan atau pendapatan mereka. Apabila kerajaan melakukan sesuatu perkara, peranan pihak lain semakin berkurangan. Sebenarnya, semua hasil cukai yang dikutip kerajaan menghimpit keluar perbelanjaan sebenar yang mungkin akan dibuat oleh pihak yang dicukai. Selain itu, himpitan keluar berlaku apabila kadar faedah untuk meminjam naik disebabkan pinjaman besar kerajaan. Ini menghalang pihak selain kerajaan untuk meminjam dan melabur. Di sini jelas, meskipun pembelian bon dibuat oleh orang ramai, tidak dibiayai oleh bank, ia masih mempunyai kesan himpitan keluar.

Kadangkala, sesebuah kerajaan menangani masalah defisit dengan memperkenalkan cukai baru atau meluaskan lagi kutipan cukai. Sebagaimana pernah diungkapkan oleh Cyril Northcote Parkinson dalam Parkinson’s Law: The Pursuit of Progress: “Perbelanjaan akan ditingkatkan untuk menyamai pendapatan”. Dalam kata lain, jika kerajaan mahu melakukan defisit pada kadar tertentu, katakan 5%, maka ia akan memastikan, meskipun jumlah pendapatan yang ada sudah cukup besar, perbelanjaan ditambah selari dengan nilai defisit itu. Kadangkala, inflasi disamakan dengan cukai. Cuma inflasi adalah cukai tidak langsung. Jika inflasi sering dianggap masalah, maka cukai juga perlu dilihat sebagai masalah. Tetapi sebenarnya cukai adalah lebih buruk. Dengan inflasi, sekurang-kurangnya lebihan bayaran itu masih boleh digunakan untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang kita perlukan. Sebaliknya wang yang diberikan atas cukai akan diguna oleh kerajaan untuk tujuan yang mungkin kita tidak perlukan. Tidak ada jalan pintas yang mudah untuk menangani defisit yang besar. Langkah tegas perlu diambil oleh kerajaan ialah mengurangkan perbelanjaannya[2].


2.0       HUTANG KERAJAAN PERSEKUTUAN

TABUNG Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) melalui Special Data Dissemination Standard (SDDS) telah melaporkan data dan statistik serta butiran terperinci mengenai jumlah rizab antarabangsa sesebuah negara termasuk Malaysia. Antara data yang dilaporkan adalah berkenaan saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab serta aset mata wang asing lain. Selain itu, maklumat seperti jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang juga dipaparkan untuk tatapan umum.

Butiran terperinci rizab antarabangsa yang dilaporkan itu sebenarnya mempunyai empat jadual iaitu Jadual I, II, III dan IV. Maklumat di dalam Jadual I adalah berkenaan aset rizab rasmi Malaysia yang berjumlah AS$104,405.0 juta manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$120.3 juta, jumlah pada akhir Ogos 2018. Di dalam Jadual II ada menunjukkan aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman dalam mata wang asing.

Aliran keluar ini disebabkan oleh pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan sebanyak AS$241.0 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang. Nilai ini menunjukkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran kewangan. Selaras dengan amalan yang digunakan mulai April 2006, data ini tidak melaporkan unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2,618.5 juta untuk tempoh 12 bulan ke hadapan. Di dalam Jadual III ada menunjukkan satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka adalah jaminan kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, dan ia dilaporkan berjumlah AS$108.6 juta.

Rizab antarabangsa Malaysia juga tidak mempunyai pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit. Bank Dunia berpendapat bahawa paras hutang Malaysia tidak akan menyebabkan Malaysia terjerumus kepada krisis. Malah risiko kewangan yang dihadapi oleh Malaysia juga didapati masih dalam keadaan terkawal. Merujuk kepada kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia, Dr. Richard Record, sebanyak 97.7 peratus hutang Malaysia adalah dalam denominasi ringgit.

Ini menunjukkan risiko yang terhad kepada kerajaan apabila terdedah kepada pertukaran asing. Hampir 70 peratus daripada hutang itu adalah jangka sederhana dengan tempoh matang melebihi tiga tahun dan mempunyai risiko terhad berdasarkan terma rollover atau pulang ganti. Pun begitu, kerajaan baharu sudah tentu akan memastikan hutang terus ditangani de­ngan telus, waspada serta berhati-hati selain melaksanakan pengurusan yang lebih berhemat.

Kenyataan Ketua Ekonomi Bank Dunia itu dibuat ketika beliau membentangkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi Ke-18 Bank Dunia yang lalu. Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia mengunjurkan ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang pada paras 5.4 peratus untuk 2018 disokong asas makroekonomi dan permintaan eksport yang kukuh. Malaysia sebenarnya masih mampu mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dan dapat memberikan asas mampan untuk kerajaan terus melaksanakan agendanya. Malaysia adalah sebuah negara yang berjaya kerana mempunyai ekonomi yang kukuh dan bergerak ke arah pendapatan tinggi. Laporan itu juga menekankan kepentingan me­lihat kepada kualiti pertumbuhan secara keseluruhan dan bagaimana setiap rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan ekonomi yang telah dicapai.

Saban tahun hutang negara telah dilaporkan mengikut piawaian IMF iaitu format SDDS ini. SDDS merupakan panduan kepada negara anggota IMF dalam penyebaran statistik dan data negara kepada orang ramai. Mengikut laporan SDDS, hutang Malaysia pada 31 Disember 2017 adalah RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka pula adalah RM238 bilion. Angka ini terbuka dan boleh didapati di laman web Bank Negara, Jabatan Perbendaharaan Negara, Jabatan Perakaunan Negara dan Jabatan Audit Negara.

Baru-baru ini kerajaan telah menambah angka baharu kepada jumlah tersebut termasuk komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka yang berjumlah RM201.4 bilion. Oleh kerana pertambahan itulah yang telah menunjukkan jumlah keseluruhan hutang negara berada pada nilai mendekati RM1 trilion. Ia sebenarnya bermaksud jumlah hutang dan liabiliti adalah sebanyak RM1 trilion. Secara teknikalnya, ini adalah angka yang benar kerana Malaysia mempunyai liabiliti lebih daripada RM1 trilion, di mana RM686.8 bilion adalah dalam bentuk sekuriti hutang. Kerajaan lain di dunia juga menggunakan SDDS dan melaporkan hutang sekuriti tertunggak mereka sebagai hutang negara, yang tidak termasuk tanggungan luar jangka. Tiada kerajaan di dunia mengambil kira komitmen pajakan dalam laporan hutang negara mereka. Bayaran sewa pula adalah semua perbelanjaan barangan namun ia bukanlah hutang barang. Jika kita memasukkan nilai ini, maka semua perbelanjaan kerajaan seperti gaji pegawai kerajaan, pencen dan subsidi dalam jumlah hutang negara juga perlu dimasukkan ke dalam laporan.

Piawai kiraan yang digunakan adalah seperti yang ditetapkan oleh badan kewangan antarabangsa dalam melaporkan hutang negara, dan angka-angka ini boleh diperoleh dengan mudah menerusi laman web Jabatan Negara, Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan dan Jabatan Audit Negara. Ia merupakan laporan yang tepat dan telus yang dilaporkan dari semasa ke semasa. Malah agensi penarafan, komuniti pelaburan dan institusi kewangan juga memahami dan menyedari akan kewujudan ke semua angka tersebut kerana ia tidak pernah disembunyikan. Bahkan, agensi penarafan sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pegawai EPU dan MOF dan laporan sentiasa dikemas kini secara kerap.

Perkembangan ekonomi memungkinkan kerajaan untuk mencari lebih banyak sumber pendapatan sekaligus meningkatkan keupayaan negara untuk menyerap lebih banyak hutang. Untuk rekod, setakat ini, Malaysia tidak pernah culas menunaikan tanggungjawab membayar komitmen yang telah diambil. Pun begitu, ia bukanlah hanya berkisar kepada jumlah hutang yang kita punyai namun apakah sebenarnya yang boleh dilakukan dengan hutang tersebut dan keupayaan negara untuk melunaskannya. Ini kerana apabila kita pandai berhutang, kita juga perlulah bertanggungjawab untuk membuat bayaran dan menyelesaikan hutang tersebut. Semoga negara ini akan terus maju dan berupaya untuk terus melangsaikan hutang[3].

Jumlah hutang luar negeri Malaysia menurun kepada 66.2% daripada KDNK pada akhir S3 2018 daripada paras tertinggi iaitu 74.3% daripada KDNK pada akhir tahun 2016. Sebahagian besar hutang luar negeri dikumpul oleh syarikat dan bank. Hutang luar negeri dalam denominasi mata wang asing berjumlah 46% daripada KDNK pada akhir S3 2018, berbanding dengan paras tertinggi iaitu 60% daripada KDNK semasa Krisis Kewangan Asia 1997. Yang ketara, hutang luar negeri Kerajaan dalam denominasi mata wang asing adalah amat rendah (1.2% daripada KDNK).

Meskipun risiko yang menyelubungi keadaan pembiayaan luar negeri telah meningkat, risiko kepada hutang luar negeri Malaysia, termasuk hutang luar negeri jangka pendek, kekal terurus. Hal ini disokong oleh profil hutang luar negeri yang menggalakkan dan keupayaan pembayaran balik peminjam yang berterusan. Mencerminkan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing Malaysia secara berperingkat-peringkat dan desentralisasi rizab antarabangsa, entiti Malaysia telah mengumpul aset luar negeri dengan jumlah yang ketara.

Yang penting, aset luar negeri bukan rizab Malaysia meningkat sekali ganda daripada RM622 bilion pada akhir tahun 2010 kepada RM1.3 trilion pada akhir S3 2018. Syarikat dan bank tempatan kini memegang tiga perempat daripada aset luar negeri Malaysia yang bernilai RM1.7 trilion. Pengumpulan aset ini menyumbang kepada kedudukan aset mata wang asing bersih yang dicatat oleh Malaysia. Kedudukan ini menjadi pelindung sekiranya kadar pertukaran asing menyusut nilai secara mendadak. Paling penting, aset ini boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang luar negeri peminjam tanpa memerlukan tuntutan ke atas rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia.

Hutang sektor awam meliputi obligasi hutang  semua peringkat kerajaan termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, badan berkanun dan syarikat awam bukan kewangan (SABK) termasuk jaminan Kerajaan kepada entity sektor awam. Liputan hutang sector awam yang komprehensif merupakan aspek penting dalam pengurusan hutang yang berhemat bagi mengukur potensi pendedahan risiko terhadap kewangan sector awam. Pendekatan ini membantu Kerajaan mengambil langkah konstruktif dan menyeluruh dalam mengurus dan mengurangkan paras hutang.
Jadual 5.1 Hutang Sektor Awam Tahun 2016-2017
Sumber : Kementerian Kewangan Malaysia (2018)

Pada akhir Disember 2017, hutang sektor awam mencatat peningkatan kepada RM989.2 biliion atau 73.1% daripada KDNK (akhir Disember 2016: RM901.2 billion; 73.2%) dengan Hutang Kerajaan Persekutuan sebagai komponen terbesar iaitu RM686.8 bilion  atau 69.5%. Hutang SABK meningkat kepada 242.8 bilion atau 24.5% daripada jumlah hutang (akhir 2016: RM204 bilion; 22.7%) manakala baki 6% ialah hutang badan berkanun. Sebahagian besar hutang SABK bertujuan untuk pelaburan projek infsrastruktur terutamanya transit aliran massa (MRT) dan pemanjangan laluan transit aliran ringan (LRT). Sementara itu, hutang badan berkanun meningkat kepada 59.6 bilion ) terutamanya disebabkan oleh terbitan hutang LPPSA  dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dijamin kerajaan bagi membiayai pinjaman perumahan penjawat awam dan projek perumahan PR1MA.


Sumber : Kementerian Kewangan Malaysia (2018)
           
Berdasarkan anggaran Bajet Tahun 2019 oleh Kementerian Kewangan Malaysia, jumlah kenaan atau kewajipan bayaran hutang kerajaan bagi tahun 2018  adalah sebanyak RM 30.9 bilion dijangka meningkat kepada RM 33 bilion bagi anggaran tahun 2019.

3.0       PUNCA NEGARA DALAM KEDAAN BERHUTANG

Defisit belanjawan kerajaan berlaku apabila suatu kerajaan membelanjakan lebih duit berbanding dengan pendapatan yang diperolehinya Meskipun ada beberapa langkah yang diambil kerajaan wajar disokong dan dipuji, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi. Untuk tulisan ini, saya hanya akan memberikan fokus kepada perbelanjaan kerajaan. Ramai yang mahu kerajaan melakukan itu dan ini, namun jarang ditanyakan dari manakah sumber pendapatan kerajaan yang ingin dibelanjakan itu. Ya, jawapannya tepat – orang ramai. Ramai yang menyangka kehidupan mereka ditanggung kerajaan walhal sebenarnya kerajaan yang ditanggung semua orang. Selain itu, kerajaan juga dijadikan alat untuk sesetengah pihak hidup melalui hasil usaha pihak lain.

Berdasarkan rekod yang ada, belanja mengurus terus berada pada paras yang tinggi dan belanja untuk pembangunan pula menyusut. Pada 2009, perbelanjaan pembangunan berada pada tahap 25.9 peratus. Ia meningkat pada kadar 27.8 peratus pada 2010, sebelum turun pada kadar 23.9% pada tahun berikutnya, 2011. Ia terus menyusut kepada 22.0% pada 2012, 19.1% pada 2013, 16.9% pada 2014 dan menokok sedikit kepada 17.8% pada 2015.

Data-data ini tidak mengambil kira tambahan belanjawan yang dikemukakan kemudian. Perlu diingatkan, peningkatan belanja mengurus dan penyusutan belanja pembangunan ini berlaku dalam situasi belanjawan negara terus meningkat dari tahun ke tahun. Jika dikaitkan dengan defisit dan hutang, ternyata masalah yang perlu diselesaikan ialah nafsu berbelanja kerajaan. Sudah tentu, perbelanjaan kerajaan boleh dijustifikasi melalui beberapa aspek. Misalnya, menurut Adolph Wegner, ahli ekonomi Jerman (1835-1917), belanja kerajaan meningkat lebih cepat daripada ekonomi kerana tuntutan kian bertambah. Beliau percaya kerajaan perlu memulakan sejumlah inisiatif pembangunan seperti jalanraya dan juga sekolah.

William J. Baumol, Profesfor Emeritus dalam bidang ekonomi pula mengatakan perbelanjaan kerajaan seharusnya meningkat selaras dengan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar agar tahap perkhidmatan bagi setiap individu dapat dikekalkan. Pandangan Wegner dan Baumol dipersoal Gordon Tullock, mantan profesor ekonomi dan undang-undang di Universiti George Mason, juga pengasas bersama Teori Ekonomi Pilihan Awam. Pandangan Wagner misalnya, dibuktikan sebaliknya dalam tempoh 40 tahun selepas beliau menyatakan pendapat tersebut sekitar dekad 1880-an. Baumol juga tidak dapat menjelaskan situasi sebelum 1929 di mana tidak ada peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan, termasuk dekad awal selepas 1953.

Tullock menyatakan ahli-ahli ekonomi masih tidak dapat menjelaskan secara saksama mengapakah perbelanjaan kerajaan perlu meningkat tinggi. Beliau berpendapat, aktiviti merentir (rent-seeking, antara masalah utama ekonomi Malaysia seperti yang terkandung dalam Model Baru Ekonomi (MBE)) adalah punca utama peningkatan tersebut. Ia merujuk kepada aktiviti sesetengah pihak yang melobi kerajaan untuk memperuntukkan sejumlah kekayaan kepada mereka.

John Maynard Keynes, tokoh besar ekonomi pula berpendapat perbelanjaan kerajaan akan menyuntik kuasa beli dalam ekonomi, terutama ketika ekonomi suram. Ini sering dinamakan sebagai rangsangan ekonomi. Namun, jarang ada yang menyebut, sebelum kematiannya, Keynes mengingatkan prestasi ekonomi akan terjejas sekiranya perbelanjaan kerajaan melebihi 25% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bahkan, pemuka-pemuka teori Keynesian mengingatkan perbelanjaan kerajaan perlu dikurangkan apabila ekonomi mula berkembang bagi mengelakkan inflasi.
William Arthur Niskanen (1933-2011), mantan profesor ekonomi di Universiti California, disebut sebagai arkitek kepada program ekonomi di bawah Presiden Ronald Reagan, pula menyumbang dalam Teori Pilihan Awam dengan membangunkan Model Memaksimumkan Belanjawan melalui bukunya, Bureaucracy and Representative Government yang diterbitkan pada 1972.

Menurut Niskanen, pertumbuhan perbelanjaan kerajaan didorong kepentingan birokrat yang mahu memaksimumkan utiliti mereka sama ada dalam bentuk gaji, kuasa, prestij, faedah dan sebagainya. Teori lain yang boleh dilihat ialah Keluk Rahn (Rahn Curve) yang menyatakan ekonomi menguncup sekiranya kerajaan tumbuh terlalu.

Sehingga kini, meskipun ahli ekonomi tidak sepakat mengenai had perbelanjaan kerajaan, umumnya mereka bersetuju peningkatan perbelanjaan kerajaan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi kerana ia mengalihkan sumber produktif ke sumber kurang produktif – sekaligus rantaian kesannya termasuk peningkatan kadar faedah yang boleh menjejaskan pelaburan. Ini mungkin kelihatan seperti hanya berteori. Namun, jangan dilupakan teori lazimnya hanya akan terbentuk melalui pelbagai ujian di lapangan, di samping pengalaman yang dilalui. Teori bukanlah cakap-cakap kosong tanpa asas seperti mana yang sering ditanggapi ramai. Jika mahukan bukti, sesungguhnya pengalaman belanjawan berimbang pada dekad 1990-an adalah contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan sesebuah ekonomi boleh bertumbuh dengan baik tanpa defisit.

Walaupun dalam keadaan ekonomi serta kewangan yang agak menekan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berupaya mengumumkan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi bagi 2019 beserta beberapa cukai baharu serta peningkatan cukai selain cadangan bayaran khas kepada penjawat awam. Kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang Bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ di Dewan Rakyat hari ini. Daripada jumlah terbabit, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion, katanya.

Menurut Guan Eng, pada 2019, Kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion berbanding RM239.86 bilion pada 2018, dan ini merangkumi dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion untuk membayar balik tunggakan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion. Beliau berkata, defisit fiskal pula dijangka mencapai 3.7 peratus pada 2018 kerana adalah tidak realistik untuk mencapai sasaran defisit 2.8 peratus walaupun kerajaan sudah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dan menunda perbelanjaan tidak kritikal.

Bagi tempoh tiga tahun akan datang, katanya, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, tiga peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021. Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka terus berkurangan kepada sekitar dua peratus. Guan Eng berkata, KDNK pula diunjur berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2018 dan akan meningkat kepada 4.9 peratus pada 2019 walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu. Belanjawan 2019 menumpukan kepada tiga aspek iaitu Melaksanakan Reformasi Institusi, Memastikan Kesejahteraan Rakyat dan Memupuk Budaya Negara Keusahawanan[4].

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengkritik kerajaan PH kerana tidak berpegang kepada janji. Menurutnya, ini kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mac lalu berkata, tiada sebarang cukai baharu akan diperkenalkan tahun. Namun begitu, Najib berkata, dua cukai baharu telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam iaitu bagi pembelian sebarang perkhidmatan digital luar negara bagi tahu depan dan levi pelepasan sehingga RM40 seorang bermula Julai ini. "Pada Mac lalu, cukai bagi empat bidang juga diperkenalkan, iaitu untuk perkhidmatan hiburan, pembersihan, latihan dan pelaburan. "Kalau nak bawa kanak-kanak ke taman tema, basuh baju di dobi, pergi kursus dan beli saham, rakyat kena bayar cukai. Cukai gula juga akan mula dilaksanakan pada 1 Julai ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. Penyedia perkhidmatan digital asing bakal dikenakan cukai enam peratus bermula 1 Januari tahun depan selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019[5].

Hasil Kerajaan Persekutuan termasuk dividen khas PETRONAS dijangka lebih tinggi sebanyak RM261.8 bilion atau 17.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, berbanding RM236.5 bilion atau 16.5 peratus kepada KDNK yang diunjurkan bagi 2018. Dari jumlah itu, hasil cukai menjadi komponen utama dengan jangkaan kutipan RM176.2 bilion berbanding sasaran RM174.7 bilion yang disemak bagi 2018. Bagaimanapun, peratusan kepada KDNK dijangka menyusut sedikit kepada 11.5 peratus daripada 12.2 peratus pada 2018, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.


Secara keseluruhan, kutipan cukai langsung dijangka menyumbang 76.7 peratus kepada hasil cukai kepada RM135.1 bilion pada 2019, peningkatan 1.2 peratus berbanding RM133.5 bilion yang diunjurkan pada 2018. Peningkatan ini diunjur akan disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) yang lebih tinggi sebanyak RM18.1 bilion berbanding RM16.8 bilion yang dianggarkan pada 2018 di tengah-tengah andaian harga minyak mentah yang sederhana.

Sementara itu, cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) dijangka berjumlah RM35 bilion (2018: RM34.8 bilion) dan RM70.2 bilion (2018: RM70.5 bilion) pada 2019. Hasil daripada duti setem (2019: RM6.3 bilion), Cukai Keuntungan Harta Tanah (2019: RM1.8 bilion) dan cukai langsung lain pula, dijangka meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM8.2 bilion tahun depan.

“Pada masa sama, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai untuk melakukan kajian menyeluruh sistem percukaian bertujuan memperluaskan asas cukai dan mengurangkan jurang cukai,” kata laporan itu.

Bagi cukai tidak langsung, kutipan dijangka menurun sedikit kepada RM41.1 bilion (2018: RM41.2 bilion) dengan RM22 bilion dianggarkan disumbangkan oleh pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Kutipan duti eksais pada 2019 pula dijangka akan meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM11.4 bilion berikutan permintaan yang lebih tinggi ke atas kenderaan bermotor.

“Berdasarkan kajian separuh pertama 2018 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan dijangka meningkat dua peratus pada 2019 sejajar permintaan berterusan untuk model kenderaan baharu dan promosi agresif oleh syarikat automotif,” tambah laporan itu.

Sementara itu, duti eksport dijangka kekal pada RM1.6 bilion dan duti import meningkat lima peratus kepada RM2.9 bilion (2018: RM2.8 bilion). Bagi hasil bukan cukai, kutipan disasarkan melonjak kepada RM85.7 bilion pada 2019 daripada jangkaan RM61.8 bilion bagi 2018 disumbang oleh kutipan faedah dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.
Sebahagian besar pulangan pelaburan meliputi dividen daripada PETRONAS berjumlah RM54 bilion tahun ini berbanding anggaran RM26 bilion pada tahun sebelumnya. Daripada RM54 bilion, RM30 bilion adalah dividen khas yang akan digunakan untuk membayar balik tunggakan bayaran balik cukai.
“Pembayaran bayaran balik cukai akan meningkatkan aliran tunai perniagaan dan isi rumah, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi,” jelas laporan itu.
Sementara itu, kutipan hasil lesen dan permit disasarkan berkembang enam peratus kepada RM15.6 bilion, disumbang oleh kutipan royalti petroleum sebanyak RM5.6 bilion, lesen kenderaan bermotor sebanyak RM3.5 bilion dan levi pekerja asing. Peratusan pendapatan berkaitan petroleum kepada jumlah hasil tidak termasuk dividen khas PETRONAS dianggarkan meningkat sedikit kepada 19.5 peratus pada 2019 daripada 21.7 peratus, tahun lalu.
“Walaupun cukai berasaskan kepenggunaan berkurang, peratusan hasil berkaitan petroleum masih rendah daripada purata tahunan sebanyak 34.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh 2009-2014.
“Ini menunjukkan bahawa sumber hasil kerajaan kekal pelbagai. Kerajaan dijangka dapat meningkatkan asas pendapatan bukan petroleum terutamanya dari inisiatif pembaharuan cukai,” kata laporan itu[6].

4.0       KESAN DAN IMPAK HUTANG KEPADA NEGARA

               Defisit fiskal timbul apabila kerajaan membelanjakan lebih banyak wang daripada yang dibawanya semasa tahun fiskal. Ketidakseimbangan ini, kadang-kadang dipanggil defisit akaun semasa atau defisit belanjawan, adalah biasa di kalangan pemerintah kontemporari di seluruh dunia. Sejak 1970, kerajaan U. S. mempunyai perbelanjaan yang lebih besar berbanding pendapatan untuk semua tetapi empat tahun. Empat defisit anggaran terbesar dalam sejarah Amerika berlaku antara 2009 dan 2012, setiap tahun menunjukkan defisit lebih daripada $ 1 trilion.

               Ahli ekonomi dan penganalisis dasar tidak bersetuju dengan impak defisit fiskal terhadap ekonomi. Beberapa orang, seperti pemenang Hadiah Nobel Paul Krugman, mencadangkan bahawa kerajaan tidak membelanjakan wang yang mencukupi dan pemulihan yang lembap dari Kemelesetan Besar 2007-2009 disebabkan oleh keengganan Kongres untuk menjalankan defisit yang lebih besar untuk meningkatkan permintaan agregat. Lain-lain berhujah bahawa defisit belanjawan memuncak peminjaman swasta, memanipulasi struktur modal dan kadar faedah, mengurangkan eksport bersih, dan membawa kepada cukai yang lebih tinggi, inflasi yang lebih tinggi atau keduanya.

               Meskipun kesan makroekonomi jangka panjang terhadap defisit fiskal tertakluk kepada perdebatan, terdapat sedikit perdebatan mengenai akibat segera dan jangka pendek tertentu. Walau bagaimanapun, kesan-kesan ini bergantung pada sifat defisit. Jika defisit timbul kerana kerajaan telah terlibat dalam projek perbelanjaan tambahan - misalnya, perbelanjaan infrastruktur atau pemberian kepada perniagaan - maka sektor-sektor yang dipilih untuk menerima wang menerima rangsangan jangka pendek dalam operasi dan keuntungan. Jika defisit timbul kerana resit kepada kerajaan telah jatuh, sama ada melalui potongan cukai atau penurunan dalam aktiviti perniagaan, maka tidak ada rangsangan sedemikian berlaku. Sama ada perbelanjaan rangsangan yang diinginkan juga merupakan subjek perdebatan, tetapi tidak ada keraguan bahawa sektor-sektor tertentu mendapat faedah daripadanya dalam jangka pendek.

               Semua defisit kerajaan perlu dibiayai. Ini pada awalnya dilakukan melalui penjualan sekuriti kerajaan, seperti bon Perbendaharaan (bon-T). Individu, perniagaan dan kerajaan lain membeli bon ini dan meminjamkan wang kepada kerajaan dengan janji pembayaran masa depan. Impak yang jelas, awal peminjaman kerajaan adalah bahawa ia mengurangkan kumpulan dana yang ada untuk dipinjamkan kepada atau dilaburkan dalam perniagaan lain. Ini sememangnya benar: individu yang meminjamkan $ 5, 000 kepada kerajaan tidak boleh menggunakan $ 5.000 yang sama untuk membeli stok atau bon syarikat swasta. Oleh itu, semua defisit kerajaan mempunyai kesan mengurangkan potensi saham modal dalam ekonomi. Ini akan berbeza jika Rizab Persekutuan mengewangkan hutang sepenuhnya; bahaya itu akan menjadi inflasi dan bukan pengurangan modal.

               Selain itu, penjualan sekuriti kerajaan yang digunakan untuk membiayai defisit mempunyai kesan langsung ke atas kadar faedah. Bon kerajaan dianggap sebagai pelaburan yang sangat selamat, jadi kadar faedah yang dibayar atas pinjaman kepada kerajaan mewakili pelaburan bebas risiko yang mana hampir semua instrumen kewangan lain harus bersaing. Jika bon kerajaan membayar faedah 2%, jenis aset kewangan lain perlu membayar kadar yang cukup tinggi untuk menarik pembeli daripada bon kerajaan. Fungsi ini digunakan oleh Federal Reserve apabila ia terlibat dalam operasi pasaran terbuka untuk menyesuaikan kadar faedah dalam batasan dasar monetari. Pendek kata, apabila kerajaan meningkatkan pembiayaannya dalam apa-apa kapasiti, ia menjadikannya agak sukar bagi perniagaan untuk meningkatkan modal dalam apa-apa kapasiti[7].

Beberapa langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah defisit dan hutang semasa, antaranya:
               1.      Meningkatkan pertumbuhan
               2.      Tidak berbelanja melebihi pendapatan.
               3.      Mengurangkan jumlah kementerian dan kakitangan awam
               4.      Membasmi ketirisan dan penyelewengan
               5.      Pengurangan atau penghapusan subsidi
               6.      Memperkenalkan kadar cukai rata pendapatan (flat rate tax) yang munasabah untuk semua. Cukai keuntungan atas modal (capital gains tax) perlu diperkenalkan untuk industri monopoli milik kerajaan.


5.0      
BELANJAWAN 2019

sumber : Kementerian Kewangan Malaysia (2018)
Berdasarkan Jadual 3.1, perbelanjaan kerajaan yang paling tinggi ialah emolument. Ia semakin meningkat pada tahun 2017 dan 2018 dan dijangka akan terus meningkat bagi tahun 2019 ini kepada RM 82,045 Juta. Manakala bayaran khidmat hutang kerajaan pula meningkat dari tahun 2017 ke tahun 2018 dan dijangka terus meningkat bagi tahun 2019 iaitu sebanyak RM 33,000 Juta.

sumber : Kementerian Kewangan Malaysia (2018)

Berdasarkan Jadual 3.2, perbelanjaan kerajaan mengikut sektor yang paling tinggi perbelanjaan bagi sektor ekonomi.  Ia semakin meningkat pada tahun 2017 daripada RM 24,186 Juta kepada RM 33,025 Juta pada tahun 2018 namun ia dijangka menurun pada tahun 2019 dengan anggaran RM 29,235 Juta. Bagi perbelanjaan sektor sosial pula ia terus meningkat dari tahun 2017 sehingga tahun 2019 dengan nila RM 15,183 Juta[8].










Ringkasan Perbelanjaan Kerajaan Mengikut Bajet 2019 dalam Carta Pai dan Graf

sumber : Kementerian Kewangan Malaysia (2018)



6.0       ULASAN BADAN ANTARABANGSA MENGENAI BELANJAWAN NEGARA BAGI TAHUN 2019

Moody's Investors Service berpendapat bahawa Belanjawan 2019 yang baharu dibentang Jumaat lalu, adalah satu pembentangan baik kerana menunjukkan ketelusan yang lebih ketara. Namun agensi penarafan itu menunjukkan sedikit kegusaran kerana berpendapat fiskal defisit negara yang ditetapkan, meningkat, sesuatu di luar jangkaan badan penarafan antarabangsa itu. Moody's berkata, ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan dibuktikan melalui tumpuan kepada pertumbuhan inklusif. Sekiranya pendekatan ini berterusan, Moody's yakin ia akan menyumbang kepada kredit positif untuk Malaysia.

Walau bagaimanapun, dalam jangka pendek, Moody's berkata, defisit fiskal Malaysia adalah tinggi dan semakin meningkat. Ini disebabkan oleh kebergantungan negara kepada pendapatan minyak yang tidak menentu sekali gus akan melemahkan profil fiskal Malaysia. Ini mungkin akan menyebabkan negara mengalami kredit negatif. Moody's sebelum ini menyasarkan defisit fiskal sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK untuk tahun 2019. Ramalan ini adalah lebih tinggi daripada anggaran rasmi tahun 2018 iaitu 3.7 peratus. Walau bagaimanapun, unjuran Moody's untuk tahun 2018 melebihi sasaran asal yang dianggarkan sebanyak 2.8 peratus daripada KDNK. Pada tahun 2018, dividen yang lebih tinggi daripada syarikat minyak milik negara, Petronas tidak akan menjejaskan kerugian hasil peralihan dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Belanjawan 2019 juga menunjukkan tahap hutang Malaysia yang tinggi, dan ini mungkin berterusan untuk tempoh lebih lama daripada yang diharapkan kerana defisit mungkin kekal melebihi tiga peratus daripada KDNK sehingga tahun 2020. Dalam jangka pendek, pengurangan defisit berkemungkinan akan berlanjutan kerana kebergantungan negara terhadap sumber bukan cukai. Moody's beranggapan bahawa hutang kerajaan akan mencapai sehingga 51.1 peratus daripada KDNK bagi tahun 2019. Ini lebih tinggi dari anggaran awal iaitu 50.6 peratus untuk tahun 2018. Buat masa ini, Moody's memberikan unjuran penarafan median A-rated 40.9 peratus untuk 2018, dengan kekangan fiskal sebagai cabaran kredit utama. Moody juga mengatakan bahawa beberapa langkah yang dilaksanakan kerajaan, iaitu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti akaun awam adalah langkah-langkah yang baik[9].



7.0       KESIMPULAN

Dalam Belanjawan 2019, keperluan pinjaman kasar Kerajaan  Persekutuan dijangka meningkat untuk membiayai defisit dan pembiayaan semula kertas matang. Sebanyak RM70 bilion hutang dianggar akan matang pada tahun 2019 dan sekitar 25% akan ditebus pada separuh pertama 2019 mencerminkan risiko pembiayaan semula wang yang lebih rendah dalam jangka masa terdekat. Walaupun terdapat keperluan pinjaman yang lebih tinggi, namun purata keperluan pembiayaan kasar kepada KDNK pada 2019 dianggarkan jauh lebih rendah daripada had purata 15% IMF untuk ekonomi yang berkembang pesat.

 Sementara itu, Kerajaan sedang meneroka pasaran antarabangsa bagi mempelbagaikan portfolio, menetapkan penanda aras abaharu dan menggalakkan aktiviti perdagangan dalam pasaran kewangan. Melangkah ke hadapan, Kerajaan bermatlamat untuk mengurangkan paras hutang secara berperingkat tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Justeru, penting untuk Kerajaan mengimbangi keperluan menwujudkan ruang fiskal dan mematuhi peraturan pengurusan hutang demi mencapai kesemua objektif tersebut.

Hasil kajian menunjukkan perbelanjaan kerajaan berhubung secara positif dengan hasil cukai, inflasi, populasi, pengangguran dan keterbukaan. Ini bermakna sekiranya berlaku peningkatan dalam hasil cukai, inflasi, populasi, pengangguran dan keterbukaan maka perubahan ini turut memberi kesan kepada peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan. Walaupun hasil cukai berhubung secara positif dengan perbelanjaan kerajaan namun peningkatan perbelanjaan kerajaan terutamanya jika melebihi peningkatan dalam hasil cukai akan memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi negara.

 Selaras dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, kerajaan menjangkakan peningkatan dalam kutipan hasil cukai negara. Namun begitu, peningkatan hasil cukai ini tidak dapat mencapai objektif bagi menambahkan pendapatan negara sekiranya peningkatan perbelanjaan masih melebihi peningkatan hasil. Secara tidak langsung pelaksanaan GST ini tidak dapat membantu mengurangkan defisit. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan adalah lebih perlahan berbanding peningkatan dalam hasil cukai supaya defisit dapat dikurangkan. Selain itu, perbelanjaan kerajaan juga berhubung secara positif dengan populasi dan pengangguran. Ini bermakna semakin bertambah populasi dan pengangguran dalam negara, semakin meningkat perbelanjaan kerajaan. Namun begitu, peningkatan jumlah populasi merupakan objektif dalam Dasar Kependudukan Malaysia bagi mencapai jumlah penduduk seramai 70 juta orang. Oleh sebab itu, walaupun peningkatan populasi ini menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan tetapi kerajaan masih lagi boleh mendapat pulangan yang positif pada masa hadapan sekiranya perbelanjaan tersebut dibuat secara bijaksana. Misalnya perbelanjaan yang tinggi dalam sektor pendidikan dan kesihatan khasnya, dilihat sebagai satu skop yang positif untuk meningkatkan pembangunan manusia yang berhubung dengan kualiti hidup. Secara tidak langsung keadaan ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Pada masa yang sama, lebih banyak modal insan dapat dihasilkan.

Justeru, kerajaan harus memberi penekanan dalam memperuntukkan perbelanjaan pendidikan dan kesihatan sebagai langkah yang berkesan dalam memenuhi kehendak komersial dan industri. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu cara bagi mencapai tahap produktiviti yang tinggi melalui tenaga kerja yang sihat dan berkemahiran. Dengan ini, pengangguran dapat dikurangkan. Oleh sebab pembolehubah tidak bersandar didapati mempunyai hubungan jangka penjang dengan perbelanjaan kerjaan, maka kerajaan dapat menggunakan petunjuk ini bagi merancang perbelanjaan yang lebih berkesan. Secara tidak langsung dapat memperbaiki corak perbelanjaan dan mengurangkan masalah defisit yang dihadapi.



















8.0       RUJUKAN











[10] Jurnal Penentu-Penentu Perbelanjaan Kerajaan Malaysia, 1980-2014, Norshajida binti Mukhtar, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM




Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA