GMGF 2013 EKONOMI DALAM PENGURUSAN AWAM II


PENGENALAN
PENGERTIAN PELABURAN AWAM SECARA UMUM
Pelaburan awam ialah aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh kerajaan dengan tujuan untuk meningkatkan kebajikan masyarakat melalui pengeluaran barangan dan perkhidmatan awam. Perbelanjaan kerajaan (G) dibahagikan kepada perbelanjaan semasa (GS) dan perbelanjaan modal (GC). GS adalah perbelanjaan tak produktif iaitu segala bentuk perbelanjaan kerajaan yang tidak menghasilkan produk khusus. Contohnya perbelanjaan operasi kerajaan - gaji. GC adalah perbelanjaan produktif iaitu perbelanjaan yang digunakan secara langsung untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan. Contoh: perbelanjaan pembangunan kerajaan iaitu perbelanjaan pembangunan ekonomi dan perbelanjaan pembangunan sosial.
Projek pelaburan awam dilaksanakan untuk mencapai matlamat-matlamat pembangunan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.  Misalnya Rancangan Malaysia Pertama (RMP) bertujuan untuk mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi, mengurangkan pengangguran dan menyamaratakan agihan pendapatan dan kekayaan. Matlamat-matlamat ini berubah mengikut rancangan Malaysia. Kebanyakan projek pelaburan awam yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah berskala besar kerana skop penggunaan adalah luas. Oleh kerana pelaburan awam berskala besar, maka kerajaan yang menyediakan projek ini dianggap sebagai monopoli. Contoh: projek penyediaan tenaga elektrik dipertanggungjawabkan kepada Tenaga Nasional. 
PERMASALAHAN & OBJEKTIF KAJIAN
Saya memilih tajuk “Pelaburan Awam” ini bagi mengkaji apakah permasalahan atau kekangan yang dihadapi oleh Kerajaan dalam menjayakan matlamat Pelaburan Awam. Kajian ini membolehkan saya memahami matlamat-matlamat pelaburan awam, jenis-jenis pelaburan awam, contoh agensi yang bertindak sebagai pelaksana bagi pihak Kerajaan dalam pelaburan awam di Negara kita dan permasalahan utama yang dihadapi oleh Kerajaan. Di sini juga saya boleh membuat analisis mengenai jumlah perbelanjaan Kerajaan dalam pelaburan awam dan corak atau perubahan dasar Kerajaan dalam sesuatu sektor seperti Pertanian, Pengangkutan, Kemudahan awam, Kesihatan, Pendidikan dan sebagainya. Selain itu, saya dapat menilai sejauh mana pencapaian matlamat dalam pelaburan awam yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui agensinya dan adakah wujudnya kegagalan dalam pengurusan Kewangan serta pencapaian matlamatnya. Perbandingan perbelanjaan awam Negara dengan Negara luar juga dikaji supaya matlamat atau corak perbelanjaan dapat diketahui dengaan lebih lanjut.
MATLAMAT PELABURAN AWAM OLEH KERAJAAN
Pelaburan awam secara umum-nya cenderung untuk memberi faedah kepada pengeluaran melalui alokasi sumber-sumber antara penggunaan dan kawasan yang berbeza. Pelaburan awam menyebabkan pengalihan sumber-sumber ekonomi dari satu penggunaan kepada penggunaan yang lain. Pelaburan awam juga bertindak sebagai penstabil kepada turun-naik prestasi ekonomi. Pelaburan awam menjadi pelawan kepada kitaran ekonomi.
Kerajaan menanggung sejumlah perbelanjaan khususnya perbelanjaan modal untuk mengeluarkan barang-barang awam bagi memenuhi keperluan dan kehendak sosial. Contoh: bekalan air bersih dan bekalan elektrik. Pelaburan awam merupakan instrumen penting bagi memperbaiki ketakseimbangan agihan pendapatan dan kekayaan. Penyediaan barang-barang modal overhed sosial dapat memperbaiki agihan pendapatan dan kekayaan. Kesan pelaburan awam dalam mengagihkan semula pendapatan dan kekayaan ber-gantung kepada jenis-jenis perbelanjaan pelaburan yang dibuat oleh kerajaan.
Kadar pembentukan modal sesebuah negara dapat dipercepatkan melalui pelaburan awam. Pelaburan awam yang dilaksanakan oleh kerajaan menyumbang kepada stok tambahan aset modal fizikal.  Dalam hal ini, kerajaan boleh melakukan pelaburan langsung dalam sektor barang-barang modal. Penciptaan barang-barang modal overhed sosial sebenarnya membantu dalam aktiviti-aktiviti pembentukan modal dalam sektor swasta.[1]
Peningkatan aktiviti-aktiviti pelaburan awam menyebabkan pertumbuhan ekonomi.  Ekonomi yang makmur sudah tentu menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat dan berupaya mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia.
PERMASALAHAN/KEKANGAN YANG DIHADAPI
Namun begitu, Kerajaan harus sestiasa berwaspada mengenai kelemahan pengurusan kewangan dalam agensi Kerajaan kerana banyak kes penyelewengan dana Kerajaan dan kegagalan pencapaian matlamat yang boleh membantutkan hasrat Kerajaan dalam sesuatu program atau aktiviti pelaburan. Contohnya, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun bagi tahun 2010 mennyatakan pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan yang melanggar etika pengurusan kewangan dan kebocoran atau ketirisan dalam penggunaan wang awam. Contohnya Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang telah diberikan geran sebanyak RM 250 Juta pada tahun 2008 dan sehingga kini masih gagal dalam melaksanakan hasrat Kerajaan dalam menghasilkan penternakan lembu secara besar-besaran dan mengurangkan kebergantungan import daging daripada negara luar seperti India dan Australia. Namun projek tersebut telah gagal dalam pencapaian matlamat penubuhannya dan kerugian wang rakyat berjuta-juta ringgit.[2]

SOROTAN LAMPAU & HIPOTESIS
Berdasarkan Jadual 1 seperti di lampiran, perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 1970 sehingga 1999 menunjukkan bahawa pelaburan awam oleh Kerajaan semakin meningkat setiap tahun sehingga ia mencapai RM 22,614 Juta pada tahun 1999. Ia menunjukkan bahawa Kerajaan sentiasa melipat gandakan pelaburan awam dalam pelbagai sektor bagi menyediakan infrastuktur dan pendidikan kepada rakyat.
Berdasarkan Jadual 2 seperti di lampiran, jumlah kadar pengangguran dari tahun 1982 sehingga tahun 2000 telah berkurangan daripada 3.4 % kepada 3.0 %. Ini menunjukkan pembangunan ekonomi Malaysia telah dirancakkan melalui pelaburan awam oleh Kerajaan.[3]
Guna tenaga meningkat pada kadar purata 3.3 peratus setahun dengan 1.6 juta pekerjaan baru diwujudkan, seperti ditunjukkan dalam  Jadual 3 seperti di lampiran. Sebanyak 1,062,800 pekerjaan disediakan oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan pula 566,300 pekerjaan. Guna tenaga dalam sektor pertanian menguncup sebanyak 17,300 peker jaan pada  tahun 2005 hasil daripada peningkatan penggunaan teknologi penjimatan buruh dan pengurusan lading yang lebih baik. Struktur guna tenaga mengikut kumpulan pekerjaan utama menunjukkan pertambahan permintaan terhadap sumber manusia berkemahiran tinggi, seperti ditunjukkan dalam  Jadual 4 seperti di lampiran.
Dalam tempoh Rancangan, produktiviti pekerja telah meningkat dalam semua sektor ekonomi. Produktiviti pekerja dalam sektor pertanian meningkat berikutan amalan pertanian yang baik, penggunaan teknologi baru dan peralihan kepada aktiviti pertanian bersepadu dan pengeluaran komersil berskala besar. Dalam sektor pembuatan, pertumbuhan produktiviti pekerja disebabkan oleh peningkatan kualiti tenaga kerja dan pengurusan organisasi yang lebih baik serta peningkatan kecekapan pekerja. Dalam sektor perkhidmatan, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih meluas seperti e-perbankan dan e-dagang serta pelaksanaan proses kerja yang inovatif, proses penggabungan dan pengambilalihan terutamanya dalam sektor kecil perbankan dan telekomunikasi menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti.
Tenaga buruh meningkat kepada 11.3 juta pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 3 seperti di lampiran. Kualiti tenaga buruh meningkat dengan peratusan mereka yang mempunyai kelayakan di peringkat tertiari bertambah daripada 13.9 peratus pada tahun 2000 kepada 20.0 peratus pada tahun 2005. Ekonomi negara mencatatkan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran 3.5 peratus pada tahun 2005. Kekurangan tenaga buruh terutamanya pekerja kurang mahir mengakibatkan peningkatan pengambilan pekerja asing. Pekerja asing dengan permit kerja meningkat kepada 1.7 juta pada tahun 2005. Sektor pembuatan merupakan majikan terbesar menggaji 31.0 peratus daripada pekerja asing. Jumlah pegawai dagang meningkat kepada 35,480 dan 52.6 peratus bekerja dalam sektor perkhidmatan.
METOD & ANALISIS KAJIAN
Bagi menyiapkan tugasan ini, saya mengunakan tiga kaedah bagi mendapatkan maklumat dan menganalisis data. Yang pertama saya mendapatkan statistik jumlah perbelanjaan pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan dan kadar penggangguran di Malaysia di laman web Unit Perancang Ekonomi (UPE). Selain itu data perbelanjaan tahun 2010 dan 2011 negara Singapura juga turut saya perolehi daripada laman web Kementerian Kewangan Singapura bagi membuat perbandingan dan analisis. Yang kedua saya membuat pemerhatian dan analisis terhadap statistik tersebut dalam bentuk jadual dan Carta Garis seperti di bawah bagi menyokong hujah tersebut. Yang ketiga saya mendapatkan info daripada buku-buku ilmiah, jurnal atau laporan contohnya Laporan Ketua Audit Negara 2010 seperti yang saya nyatakan dalam bibliografi. Info tersebut penting bagi memahami konsep pelaburan awam, mengkaji permaslahan, membuat perbandingan dengan Negara lain dan seterusnya untuk membuat analisis.
Berdasarkan Jadual 6 seperti di lampiran, dapat saya analisiskan seperti dibawah :
Tahun
Jumlah Perbelanjaan Perkhidmatan Ekonomi
Jumlah Perbelanjaan Perkhidmatan Sosial & Masyarakat
Jenis Sektor Pelaburan Tertinggi
Jumlah (RM Juta)
2000
11,639
11,076
Pendidikan
22,715
2001
12,725
15384
Pendidikan
28,109
2002
12,433
18,043
Pendidikan
30,476
2003
13,793
17,707
Pendidikan
31,500
2004
11,851
10,260
Pengangkutan
22,111
2005
14,957
7,450
Pengangkutan
22,407
2006
17,404
9,525
Pengangkutan
26,929
2007
20,116
12,893
Pengangkutan
33,009
2008
21,353
13,717
Pengangkutan
35,070
2009
26,440
17,388
Pendidikan
43,828
2010
26,120
20,784
Pendidikan
46,904

Carta Garis
Mulai tahun 2000 hingga 2003, pelaburan awam kerajaan lebih tertumpu dalam sektor pendidikan. Kesungguhan kerajaan di dalam memastikan pendidikan di negara ini membangun dan setaraf dengan negara-negara maju terbukti apabila menyediakan peruntukan yang besar dalam bajet tahunan. Misalnya, dalam Bajet 2004, kerajaan memperuntukkan RM20.2 bilion, satu perempat daripada peruntukan perbelanjaan mengurus untuk pendidikan.
Teras Dasar Pembangunan Modal Insan
Pelaburan dalam modal insan akan diberikan penekanan yang lebih besar dalam tempoh Rancangan bagi meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi, memacu ekonomi berasaskan pengetahuan serta membentuk masyarakat dengan sistem nilai yang boleh diteladani. Matlamat ini akan dicapai melalui peningkatan kerjasama antara Kerajaan,  sektor  swasta dan masyarakat .[4] (Merujuk kepada buku Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010] Sehubungan ini, teras dasar pembangunan modal insan adalah seperti yang berikut:
melaksanakan penambahbaikan secara komprehensif ke atas sistem penyampaian pendidikan dan latihan;
memperkasa sekolah kebangsaan untuk menjadi sekolah pilihan utama rakyat Malaysia bagi meningkatkan perpaduan negara;
melaksanakan langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah di luar Bandar dengan di bandar;
mewujudkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan majikan;
menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
memperluas dan memperkemas forum perbincangan dan perundingan antara Kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Program Pendidikan

Pendidikan Prasekolah dan Rendah. Enrolmen kanak-kanak prasekolah berumur empat hingga enam tahun meningkat kepada 702,897 pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 7 di lampiran. Sebanyak 51.3 peratus daripada jumlah enrolmen tersebut di prasekolah awam. Penggunaan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan Prasekolah bagi kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun telah diwajibkan di semua prasekolah mulai tahun 2003 untuk menjamin kualitinya. Enrolmen di sekolah rendah meningkat kepada 3.0 juta pada tahun 2005. Pembinaan 9,930 bilik darjah baru telah menyumbang kepada peningkatan nisbah kelas kepada bilik darjah daripada 1:0.90 pada tahun 2000 kepada 1:0.92 pada tahun 2005.

Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih besar dan meningkatkan prestasi pelajar di sekolah rendah, pelbagai program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks, kemudahan asrama, Skim Baucer Tuisyen dan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin disediakan terutamanya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, kawasan pedalaman dan Orang Asli. Enrolmen pelajar Orang Asli di peringkat pendidikan rendah meningkat daripada 21,704 pada tahun 2000 kepada 26,210 pada tahun 2005
manakala peringkat pendidikan menengah daripada 5,971 kepada 8,490.

Di samping itu, Program Pembangunan Pendidikan Luar Bandar Sabah dan Sarawak menyediakan infrastruktur dan kemudahan secara bersepadu di sekolah luar bandar dan pedalaman. Pelbagai program dilaksanakan bagi memupuk nilai moral dan etika serta melahirkan warganegara yang bertanggungjawab. Pada tahun 2005, program j-QAF2 diperkenalkan kepada pelajar beragama Islam di sekolah rendah yang melibatkan pelajar Tahun 1. Mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan juga diperkenalkan pada tahun 2005 kepada pelajar Tahun 4 sekolah rendah dan Tingkatan 1 sekolah menengah bagi mewujudkan kesedaran mengenai peranan, hak dan tanggungjawab ke arah melahirkan masyarakat yang patriotik.

Pendidikan Menengah.
Enrolmen di sekolah Kerajaan dan sekolah bantuan Kerajaan meningkat kepada 2.1 juta pelajar pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 7. Enrolmen pelajar di sekolah teknik dan vokasional meningkat kepada 72,827 pada tahun 2005. Pembinaan sebanyak 9,936 bilik darjah meningkatkan nisbah kelas kepada bilik darjah daripada 1:0.83 pada tahun 2000 kepada 1:0.85 pada tahun 2005. Peratusan pelajar aliran sains meningkat daripada 32.2 peratus pada tahun 2000 kepada 45.6 peratus pada tahun 2005.


Pendidikan Khas.
Program Integrasi Pendidikan Khas diperluas untuk menyepadukan kanak-kanak istimewa dalam persekitaran sekolah biasa. Di bawah program ini, kurikulum kebangsaan diguna pakai untuk kanak-kanak kurang upaya penglihatan dan pendengaran di sekolah rendah dan menengah. Kurikulum kebangsaan yang disesuaikan diguna pakai untuk pembelajaran kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran.

Peningkatan Kualiti.
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dikaji semula bagi memperkukuh penggunaan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. Pada tahun 2005, pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang diperkenalkan pada tahun 2003 diperluas kepada pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3, peringkat menengah rendah dan Tingkatan 6 serta kolej matrikulasi.

Pembangunan Guru.
Kurikulum dan kokurikulum latihan perguruan diperkukuh untuk menjadikan guru sebagai pengurus yang cekap dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta berupaya menggunakan ICT bagi mencipta teknik pengajaran yang inovatif. Pelaksanaan Program Pensiswazahan Guru diteruskan bagi meningkatkan bilangan guru berijazah. Pendidikan Tertiari. Kapasiti universiti sedia ada telah dipertingkat bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pendidikan tinggi. Di samping itu, universiti, kolej universiti, kampus cawangan, politeknik serta kolej komuniti baru ditubuhkan, seperti ditunjukkan dalam Jadual 8 di lampiran.

Enrolmen pelajar di semua peringkat pengajian di institusi pendidikan tertiari awam dan swasta meningkat kepada 731,698 pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 9 seperti di lampiran. Di peringkat lepasan ijazah, enrolmen bagi program sarjana dan kedoktoran falsafah (Ph.D) adalah sebanyak 16.2 peratus daripada jumlah enrolmen di semua peringkat ijazah di institusi pendidikan tinggi awam3 dan 3.8 peratus di institusi pendidikan tinggi swasta. Jumlah keluaran dari institusi pendidikan tertiari awam dan swasta di semua peringkat pendidikan meningkat daripada 130,161 pada tahun 2000 kepada 252,730 pada tahun 2005. Sebanyak 58.5 peratus daripada jumlah ini merupakan lepasan institusi pendidikan tertiari swasta. Pada tahun 2005, dianggarkan 11,900 pelajar tajaan kerajaan melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di luar negara.
Bagi meningkatkan peluang pendidikan tinggi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) telah mengeluarkan sejumlah RM7.9 bilion dalam tempoh Rancangan. Jumlah pembiayaan ini memanfaatkan 678,467 pelajar. Di samping itu, agensi Kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan, kerajaan negeri serta organisasi swasta seperti syarikat dan bank juga menyediakan bantuan kewangan untuk pendidikan di peringkat tinggi.

Peningkatan Penawaran Sumber Manusia S&T.
Enrolmen pelajar yang mengikuti program sains dan teknikal serta yang berkaitan di peringkat ijazah pertama dan diploma di institusi pendidikan tertiari awam dan swasta meningkat daripada 229,014 pada tahun 2000 kepada 291,546 pada tahun 2005. Di peringkat lepasan ijazah, enrolmen pelajar yang mengikuti program sains dan teknikal serta yang berkaitan meningkat daripada 12,602 kepada 18,910.

Peningkatan enrolmen di peringkat lepasan ijazah terutamanya dalam bidang sains dan teknikal serta bidang yang berkaitan dan pertambahan bilangan lepasan ijazah kedoktoran menyumbang kepada peningkatan aktiviti penyelidikan dan perancangan (R&D) di universiti dan kolej universiti awam. Geran R&D berjumlah RM676.1 juta diperuntukkan bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan.Sejumlah 1,631 projek R&D dilaksanakan di bawah  pembiayaan Program Penumpuan Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan (IRPA). Program ini membolehkan seramai 92 pelajar Ph.D dan 338 sarjana memperoleh ijazah mereka melalui penyelidikan. Dalam tempoh Rancangan, sebanyak 27 institut ditubuhkan seperti Institut Gerontologi, Institut Sains Angkasa dan Institut Makanan Halal untuk menjadi pusat kecemerlangan.

Peningkatan Kualiti.
Usaha telah diambil bagi meningkatkan kualiti pendidikan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dibangunkan bagi menjamin keseragaman kelayakan dan kualiti penyampaian. Program baru dibangunkan menerusi perundingan dengan pihak industri. Di samping itu, keputusan telah dibuat supaya institusi pendidikan tinggi mengkaji semula kurikulum setiap tiga hingga lima tahun. Program akademik disusun semula bagi membolehkan pelajar mengikuti pengajian dwi-pengkhususan, major-minor, dwi-ijazah dan ijazah anugerah bersama.


Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Program pembelajaran sepanjang hayat dengan syarat kemasukan yang fleksibel ditawarkan oleh kolej komuniti serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta seperti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Kolej komuniti menawarkan kursus jangka pendek manakala institusi pendidikan tinggi menawarkan program pendidikan lanjutan.

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau.
Langkah diambil bagi mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau serta pusatkecemerlangan pendidikan. Langkah ini termasuk pelaksanaan sistem jaminan kualiti, aktiviti promosi dan penubuhan pejabat promosi pendidikan di Beijing, Dubai, Ho Chi Minh City dan Jakarta. Menerusi usaha ini, enrolmen pelajar asing di institusi pendidikan meningkat kepada 50,380 pada tahun 2005. Daripada jumlah ini, 82 peratus mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi terutamanya dari Asia Timur dan Pasifik, diikuti oleh negara ASEAN.

Latihan Kemahiran.
Kapasiti institusi latihan awam bagi latihan sebelum bekerja meningkat menerusi penubuhan 20 institusi latihan kemahiran dan menaik taraf 10 institusi latihan sedia ada. Hasilnya, keluaran daripada institusi latihan awam meningkat kepada 38,765 pada tahun 2005, seperti ditunjukkan dalam Jadual 10 seperti di lampiran. Pengambilan bagi kursus di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 dan diploma di institusi latihan tinggi awam meningkat kepada 7,110 pada tahun 2005. Di samping itu, pusat pembangunan kemahiran negeri (PPK) menambahkan kapasiti untuk melatih lebih ramai pekerja mahir dengan meningkatkan pengambilan bagi kursus sebelum bekerja kepada 11,060 pada tahun 2005. Seramai 2,735 perantis dilatih di bawah Skim Perantisan Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Dalam tempoh Rancangan, seramai 286,669 sumber manusia mahir telah dilatih. Kerajaan telah melaksanakan program latihan secara dua syif pada tahun 2005 bagi menambahkan peluang latihan untuk lepasan sekolah serta menambahkan penawaran sumber manusia mahir. Sebanyak 49 institusi latihan termasuk institusi latihan awam dan PPK melaksanakan program tersebut.
Dalam tempoh Rancangan, Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM644.6 juta kepada 135,496 pelatih. Peningkatan Kualiti. Bagi meningkatkan dan menyelaras kualiti latihan untuk tenaga pengajar, Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) untuk tenaga pengajar telah dibangunkan dan program latihan semula di bawah Program Pembangunan Kemahiran untuk Tenaga Pengajar dan Pegawai Latihan Vokasional serta Dasar Pandang Ke Timur terus dilaksanakan. Bagi meningkatkan kualiti latihan, NOSS disediakan berdasarkan format baru mulai tahun 2005.
Akan tetapi pada tahun 2004 hingga 2008, corak pelaburan kerajaan lebih tertumpu kepada bidang pengangkutan. Dan pada tahun 2009 hingga 2010, kerajaan kembali memfokuskan perbelanjaan dalam bidang pendidikan. Jumlah pelaburan awam bagi tempoh 2000 hingga 2010 juga menunjukkan peningkatan yang ketara denggan melibatkan jumlah pelaburan dari RM 22,715 Juta kepada RM 46,904. Contoh projek pengangkutan terbesar yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam tempoh tersebut ialah Stesen Sentral.
Contoh Transformasi Bidang Pengangkutan Malaysia
Stesen Sentral ialah nama yang diberikan kepada Lot H, iaitu pusat pengangkutan dalam projek pemajuan KL Sentral, tetapi stesen ini sahaja pun dipanggil "KL Sentral" oleh orang awam dan khidmat pengangkutan. Stesen Sentral yang direka untuk menempatkan enam rangkaian gerabak disiapkan pada bulan Disember 2000 dan dibuka pada April 2001. Bangunan utama yang terletak atas tanah seluas 9.3 ekars (38,000 m²) meliputi keluasan lantai kasar 500,000 kaki persegi (46,000 m²), manakala spesifikasinya pula berasaskan jangkaan bilangan pengguna sehingga tahun 2020. Pada tahun 2008, Stesen Sentral mencatat penggunaan 100,000 orang sehari, atau 36.5 juta orang setahun.[5]

Stesen Sentral menempatkan perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan bergerabak tersebut:

§  Express Rail Link (ERL): tren berkelajuan tinggi
§  KLIA Ekspres: tren berkelajuan tinggi terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
§  KLIA Transit: tren komuter berkelajuan tinggi ke KLIA
§  KTM Komuter: tren elektrik komuter Lembah Klang

§  Kereta api antara bandar yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Bangkok dan Singapura.
Berdasarkan Jadual 11 seperti di lampiran, dapat dianalisiskan bahawa kadar pengangguran bagi tempoh 2001 hingga 2007 telah menurun dari 3.5 % kepada 3.2 %. Ini menunjukkan usaha pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan membuahkan hasil bagi memastikan peratusan kadar pengangguran di Negara ini berada pada tahap minimum dan memastikan kadar penyertaan tenaga buruh yang optimum di Negara ini bagi meningkatkan ekonomi di tahap yang tertinggi.
Analisis Bajet Kerajaan Singapura bagi Tahun 2010 & 2011
Singapura merupakan sebuah Negara maju dan berpendapatan tinggi di dunia. Mata wang yang digunakan ialah Dolar Singapura. Berdasarkan Jadual 5 seperti di lampiran, pada tahun 2010, jumlah perbelanjaan kerajaan Singapura ialah sebanyak Dolar Singapura (S $) 46,393,111,717 ( S$ billion) dan telah meningkat pada tahun 2011 kepada Dolar singapura 47,099,935,557 (S$ billion). Pada tahun 2010, Kerajaan Singapura telah memperuntukkan perbelanjaan yang paling tinggi daripada peruntukan belanjawannya iaitu sebanyak 21.4% dalam bidang pendidikan dan 24.7% bagi sistem pertahanan. Manalaka pada tahun 2011 pula Singapura juga terus memperuntukan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan sebanyak 23.2% dan 25.65% dalam bidang pertahanan. Secara relatifnya walaupun Singapura merupakan sebuah kerajaan yang kecil berbanding Malaysia namun jumlah belanjawan mereka nyata lebih besar daripa kita sehingga menghampiri 50 billion Dolar Singapura. Ini menunjukkan bahawa mereka sebuah Negara yang lebih maju dan berpendapatan tinggi daripada Negara kita, Malaysia. [6]
Hubungan erat antara ekonomi dan pengetahuan

Ekonomi Malaysia bukan berasaskan pengetahuan sepertimana yang dijadikan piawaian oleh badan-badan antarabangsa seperti IMD, WEF dan sebagainya. Ekonomi Malaysia masih kuat berpegang kepada bahan mentah atau dalam ertikata lain memanipulasikan bahan mentah untuk menonjolkan kekayaan. Singapura adalah contoh terbaik sebuah negara yang berasaskan pengetahuan dalam aspek ekonominya tanpa bergantung kepada sumber. CIA menyatakan Singapura memiliki ekonomi inovatif yang bergantung kepada eksport, penghasilan industri (terutama elektronik), IT, perubatan dan sektor servis seperti pengangkutan dan sebagainya. Peratusan sektor yang menyumbang kepada KDNK Singapura ialah Pertanian: 0%, Industri: 33.2%, Perkhidmatan: 66.8% (2008 est.) Manakala CIA menunjukkan Malaysia masih banyak bergantung dengan sumber alam untuk KDNK, Pertanian: 9.7%, Industri: 44.6%, Perkhidmatan.: 45.7% (2008 est.)[7]

Kemajuan Bidang Pendidikan di Singapura

Indeks Inovasi Global 2008-2009 menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke 25 dunia pada indeks 4.06. malaysia gagal bersaing dengan Singapura yang berada pada tangga ke-5 dengan indeks sebanyak 4.81. Di atas Malaysia adalah Qatar pada tangga ke-24 dan Israel pada tangga ke-23. Akan tetapi Israel boleh berbangga dengan inovasi mereka sendiri kerana teknologi Yahudi telah sekian lama menguasai dunia terutama Amerika Syarikat yang kekal pada tangga pertama . Indeks yang sama juga menunjukkan dari segi ‘pengetahuan’ (knowledge), Malaysia berada pada tangga 17 dunia di mana Singapura pula berada pada tangga 11. Indeks ‘pengetahuan’ ini menilai tahap sesebuah negara dalam mencipta nilai tambah bagi sesuatu keluaran atau produk serta berpotensi meningkat hasil berdasarkan tahap ekonomi. Indeks ini menunjukkan Malaysia ketinggalan berbanding Singapura yang amat terhad sumber alamnya. Human Capacity juga diukur oleh Indeks Inovasi Global 2008-2009 dan menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke-18 manakala Singapura pada tangga ke-7! Indeks Human Capacity mengukur peningkatan modal insan yang kompeten, berilmu serta mampu menjalankan kerja R&D secara tersusun untuk peningkatan negara.

Sebagai contoh nilai jurnal Malaysia juga dinilai sebagai tidak mesra-pembaca. Pengamat jurnal antarabangsa menyatakan terlalu sukar mendapati jurnal ekonomi atau sains sosial yang dipapar melalui online-atau plugged dalam jaringan jurnal antarabangsa. Sebagai contoh, Malaysian Journal of Economic Studies, yang diterbit oleh UM hanya disiarkan abstraknya sahaja melalui online. Ini menunjukkan betapa elitnya jurnal malaysia sehingga sukar didapati intipatinya secara mudah apatah lagi jika ingin membaca tulisan yang dicetak. Adakah ini menunjukkan intelegensi Malaysia risau nilai tulisan mereka turun apabila ia dibaca secara meluas seluruh dunia?
Jika kita menekan journal Malaysia di dalam google, pertamanya kita akan menjumpai ’Electronic Journal of University of Malaya’ (EJUM). Ia memiliki 5 jurnal yang isolisasi dari himpunan jurnal antarabangsa. Ia sukar dicari secara rawak di dalam internet.[8]

Kajian dan penyelidikan (R&D) di Singapura sedang berkembang pesat. Bidang ini menjadi berkembang melalui peruntukan wang yang besar serta individu yang terlibat juga ramai. $6 billion telah dibelanjakan untuk R&D pada 2007. Ini melibatkan 2.61% daripada KDNK Singapura dan matlamat mereka adalah mencapai 3% pada 2010.[9]

Jika dibanding keluasan negara, Singapura hanya seluas 697 km2, manakala Malaysia ialah 329,847 km2. Malaysia seluas 400 kali ganda berbanding Singapura. Namun dalam hal kajian dan pembangunan, Singapura mempu berbelanja 2 kali ganda daripada peruntukan peratusan Malaysia .

Perbelanjaan Pertahanan Kerajaan Singapura
Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura (Lee Kuan Yew) mengenai kenapa negara sekangkang kera itu memerlukan pertahanan yang begitu kuat sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pegawai-pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuan Yew merujuk kepada Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman utama kenapa negara itu perlu pertahanan yang kuat. Dalam bersedia menghadapi ancaman tersebut, negara anak didik Yahudi ini membelanjakan RM35.5 bilion untuk pertahanan pada tahun lalu, tertinggi di Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Berbanding negara sebesar kita, sejak lebih 23 tahun yang lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan RM180 bilion sahaja. 
Purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun hampir 2.5 peratus daripada KDNK negara antara 1987 hingga 2004. Bermaksud lebih lima tahun, belanja pertahanan Singapura bersamaan lebih 23 tahun belanja pertahanan kita. Lihatlah betapa jauhnya kita ketinggalan dalam aspek pertahanan negara. Perbelanjaan pertahanan merupakan yang kedua terbesar dalam bajet negara sehinggalah krisis kewangan global melanda Malaysia pada 2008, menyebabkan ia diatasi oleh perkara lain dalam bajet 2009. Namun begitu, perbelanjaan pertahanan kita telah meningkat lebih lima kali ganda dari RM2.09 bilion pada 1987 kepada RM11.013 bilion pada 2010 (enam peratus belanjawan negara).[10]
OUTPUT & PERBINCANGAN
KESIMPULAN/RUMUSAN MENGENAI PELABURAN AWAM
          DALIL YANG MENGHARUSKAN PELABURAN
Islam tidak menghalang manusia menggunakan modal dan harta kekayaan untuk dilaburkan dan dikembangkan. Walau bagaimanapun manusia tidak seharusnya lupa bahawa segala harta kekayaan tersebut adalah milik Allah. Mereka hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk memelihara dan menggunakan harta tersebut untuk mencapai kesejahteraan alam ini.
Pada asasnya, pengembangan modal dan harta kekayaan  yang di tuntut oleh Islam adalah bertujuan membangunkan  ekonomi negara, memberi kebahagiaan kepada umat manusia dan merapatkan jurang perbezaan dalam pengagihan kekayaan.[11]
Terdapat banyak dalil sama ada daripada Al-Quran, al-sunnah yang mengharuskan usaha-usaha pelaburan. Antaranya :                                                               
Dalil al-Sunnah ( dalam bentuk pengakuan Rasulullah s.a.w  )
Kontrak yang dilakukan oleh Rasulullah dengan  Khadijah dalam urusan perdagangannya ialah melalui kontrak Al-mudharabah iaitu  prinsip yang melibatkan kontrak antara kedua belah pihak untuk salah seorang ( salah satu pihak ) mengeluarkan sejumlah wang atau modal kepada pihak yang lain untuk diperdagangkan. Keuntungan daripada perdagangan itu dibahagi dua mengikut kadar yang telah dipersetujui.[12]
Dalam urusan perdagangan Rasulullah Khadijah mengeluarkan sejumlah modal kepada Rasulullah dan Baginda pergi ke Sham dengan membawa modal tersebut untuk diperdagangkan. Ini berlaku sebelum baginda di angkat menjadi Rasul. Setelah baginda di angkat menjadi rasul, baginda tidak melarang perlaksanaan perniagaan yang menggunakan prinsip al Mudharabah di kalangan para sahabat.
Jadi adalah wajar Kerajaan Melaysia juga harus bertindak sebagai pelabur. Pelaburan awam dapat meningkatkan kebajikan masyarakat melalui pengeluaran barangan dan perkhidmatan awam. Ia juga dapat menjadi penstabil harga di pasaran terutamanya pemilikan saham kerajaan dalam GLC. Selain itu, kerajaan dapat menyediakan pasaran modal bagi pelaburan pihak swasta yang boleh merangsang ekonomi negara dan seterusnya menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tercinta. Pengurusan kewangan merupakan satu aktiviti penting untuk mencapai objektif Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan. Bagi mengatasi masalah kebocoran dan ketirisan wang rakyat dalam program pelaburan kerajaan, setiap Pegawai Pengawal/Ketua Agensi perlu memastikan pengurusan kewangan dikendalikan dengan teratur, cekap dan berkesan. Pengurusan kewangan yang lemah akan memberi ruang kepada isu negatif seperti penyelewengan, pemborosan dan pembaziran. Pengurusan perbelanjaan yang berhemah, cekap dan berkesan dapat mengelakkan pembaziran, penyelewengan dan kerugian kepada Kerajaan.[13]
Oleh itu, Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap projek atau program yang dilaksankan dalam pelaburan pelaburan awam perlu sentiasa dipantau dan diselia dengan rapi. Sesungguhnya pelaburan awam oleh pihak Kerajaan adalah wajar dan perlu dipertingkatkan dengan lebih cemerlang agar tidak berlaku kerugian terhadap wang rakyat. Usahasama pelaburan Awam dengan swasta adalah diibaratkan seperti dalam Peribahasa Melayu :  Bagai Aur Dengan Tebing dan Seperti Isi Dengan Kuku dimana ia saling berkaitan, sama penting dan tidak boleh dipisahkan dalam mencapai matlamat pencapai dan pembangunan ekonomi yang mapan.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA