BAGAIMANA SESEBUAH TEORI KOMUNIKASI DIBENTUK


BAGAIMANA SESEBUAH TEORI KOMUNIKASI DIBENTUK
1.0       PENGENALAN
Komunikasi adalah suatu proses penyampaian maklumat atau pesanan dari satu pihak kepada pihak yang lain agar terjadi keadaan yang mempengaruhi perbuatan seseorang. Ramai pakar menilai bahawa komunikasi sangat diperlukan dalam kehidupan bermasyarakat. Ini diterangkan oleh Profesor Wilbur Schramm yang menerangkan bahawa komunikasi dan masyarakat adalah dua data kembar yang tidak dapat dipisahkan satu sama lainnya. Saodah, Narimah dan Mohd Yusof (2003) menerangkan komunikasi merupakan suatu yang asas seperti mana keperluan kita untuk makanan, tempat tinggal dan pakaian[1]. Individu dalam masyarakat akan berkomunikasi sama ada antara rakan sekaum atau dengan kaum lain dalam proses sosial masyarakat. Kebiasaannya ia melibatkan proses pertukaran dan koordinasi maklumat.
2.0       TEORI KOMUNIKASI
Teori Komunikasi secara dasarnya adalah penyataan untuk menerangkan, menjelaskan, menilai dan membuat ramalan terhadap komunikasi. Gabungan konsep antara teori iaitu penyataan dengan komunikasi telah membentuk satu tanggapan atau proses yang berfaedah untuk penyelidikan. Cragan dan Shields, (1998) menerangkan yang teori komunikasi ialah satu kenyataan yang mengandungi konsep yang membantu memberi secara keseluruhan atau sebahagian, keterangan, penjelasan dan mempunyai perkaitan antaranya yang membolehkan seseorang memahami, menjelas dan menilai fenomena serta ramalan[2].
Manakala Borman (1989) pula member pendapat definisi satu perkataan atau istilah yang merupakan pendokong kepada semua perbincangan yang berkaitan dengan proses komunikasi. Berbanding Littlejohn (1996), pendapat yang dikemukakan oleh pakar komunikasi ini lebih jelas iaitu teori komunikasi adalah satu teori atau sekumpulan ‘collective wisdom’ yang didapati daripada keseluruhan teori berkaitan proses komunikasi. Teori komunikasi adalah penting bagi individu dan masyarakat untuk memahami konsep interaksi individu yang menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat madani. Bahagian seterusnya akan membincangkan tentang kepentingan teori komunikasi kepada masyarakat. Terdapat pelbagai teori komunikasi yang wujud didunia ini seperti Teori Komunikasi Lasswell, Teori Komunikasi Behaviorisme, Teori Komunikasi Humanisme, Teori Penentuan Agenda dan lain-lain lagi.
3.0       BAGAIMANA SESEBUAH TEORI KOMUNIKASI DIBENTUK
Saya memilih untuk membincangkan mengenai salah satu teori komunikasi yang penting iaitu Teori Penentuan Agenda (Agenda Setting Theory). Walter Lipmann, seorang wartawan dari Amerika Syarikat telah mempelopori teori penentuan agenda. Menurut beliau, masyarakat menerima sesuatu fakta bukan sebagaimana adanya, tetapi menerima apa yang mereka anggap sebagai fakta dan ada kalanya perkara yang diterima merupakan fakta palsu. Menurutnya, hal ini demikian kerana manusia tidak melihat sesuatu fakta dan merumuskan. Sebaliknya, merumuskan sesuatu fakta dan kemudian merumuskannya.
McCombs dan Shawan (2004) mendefinisikan penentuan agenda sebagai “mass media have the ability to transfer the salience of items on their news agendas to public agenda” (Griffin, 2010). Penjelasan ini memperincikan bahawa media massa berkuasa dalam mempengaruhi serta mempengaruhi pola pemikiran khalayak melalui informasi yang disalurkan. McCombs dan Shaw menerangkan bahawa media massa mampu membuat masyarakat menilai sesuatu yang penting berdasarkan apa yang dipaparkan oleh media, seperti ‘we judge as important what the media judge as important”. Mereka berpendapat bahawa media massa selalunya mempunyai agenda tersendiri iaitu menyampaikan berita kepada khalayak untuk mempengaruhi mereka. Masyarakat sering kali beranggapan bahawa apa yang disampaikan oleh media adalah sangat penting dan perlu diperhalusi secara terperinci. McCombs dan Shawan (2004) beranggapan bahawa media tidak begitu signifikan dalam mempengaruhi pemikiran rakyat tetapi media amat signifikan untuk mempengaruhi bagaimana rakyat memikirkan sesuatu.
 Sejak teori ini diperkenalkan, banyak kajian ilmiah serta kertas kerja telah dibentangkan dalam pelbagai seminar di peringkat antarabangsa. Denis McQuail (2000) mendefinisikan agenda setting sebagai “process by which the relative attention given to items or issues in news coverage influences the rank order of public awareness of issues and attribution of significance. As an extension, effects on public policy may occur”.
 Menurut Bernard Cohen (1963) “The press may not be successful much of the time in telling people what to think, but it is stunningly successful in telling its readers what to think about”. Akhbar mungkin kurang berjaya mendorong seseorang memikirkan sesuatu tetapi akhbar sangat berjaya mendorong pembacanya untuk menetapkan apa yang perlu mereka fikirkan. Kenyataan ini jelas menunjukkan pola pemikiran manusia boleh ditentukan mengikut sesuatu fakta atau maklumat yang disebarkan. Teori Penentuan Agenda menggariskan bahawa media massa berpengaruh untuk menyalurkan informasi serta menyedarkan masyarakat. Media massa juga mampu mencuri tumpuan masyarakat terhadap sesuatu isu.
 Penentuan agenda dapat ditakrifkan sebagai isu atau berita yang penting untuk media, rakyat atau parti politik. Parti politik menggunakan media untuk penentuan agenda untuk disampaikan kepada rakyat. Pada tahun McCombs dan Shawan telah mempopularkan teori ini melalui kajian Pilihan raya Amerika Syarikat. Mereka berpendapat bahawa media berkuasa mempengaruhi rakyat.
Agenda media                                                     Agenda rakyat
                            Rajah I: Penentuan Agenda
Namun demikian, teori penentuan agenda ini juga telah mewujudkan beberapa polemik dalam kalangan sarjana. Segelintir sarjana berpendapat bahawa media massa mempunyai kuasa yang sangat kuat dan mampu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri rakyat. Ini menggambarkan media massa menjadi ejen penentu agenda calon pilihan raya ke atas pemilih. Rakyat bukan hanya bergantung kepada media massa sahaja untuk mendapatkan informasi tentang calon pilihan raya, mereka juga mendengar ceramah atau ucapan calon pilihan raya secara bersemuka dan mampu membuat pertimbangkan logik berpandukan perkara yang disampaikan oleh calon tersebut. Selain itu, publik juga mudah terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu yang didengari daripada rakan-rakan dan ahli keluarga.
Di samping itu, media massa secara beretika perlu menyediakan ruang liputan yang sama rata untuk semua parti yang bertanding dalam pilihan raya. Namun demikian realitinya adalah berbeza apabila kebanyakan media bertidak berat sebelah dengan menyokong parti yang memerintah sesebuah negara. Ini menyebabkan berita yang disiarkan tidak seimbang dan melanggar etika profesionalisme media massa.
Sekumpulan sarjana berpendapat bahawa media tidak dapat mempengaruhi khalayak kerana media massa hanya menyiarkan berita yang menjadi topik pilihan khalayak. Media massa bagi tujuan survival perniagaan akan menyajikan berita yang sudah tersebar dalam kalangan khalayak. Tahap mempengaruhi khalayak adalah pada peringkat tahap kedua kerana khalayak terlebih dahulu sudah mendapat informasi awal tentang sesuatu isu. Sarjana-sarjana ini berpendapat bahawa media massa hanya berperanan memantapkan lagi persepsi khalayak tentang sesuatu isu. Mereka berpendapat bahawa “news doesn’t select itself”. Berita tidak memilih dirinya menjadi berita sebaliknya pihak-pihak tertentu yang menentukan perkara yang perlu menjadi berita. Lazimnya, isu-isu semasa dalam kalangan khalayak akan dijadikan berita.
Teori ini banyak digunakan dalam kajian pilihan raya kerana rakyat bergantung pada media untuk membuat keputusan pilihan mereka dalam pilihan raya. Pergantungan kepada media dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti akses mudah kepada media melalui internet. Dewasa ini, banyak surat khabar dan majalah boleh dibaca dalam talian. Selain itu, di negara ini surat khabar pelbagai bahasa mudah didapati di tempattempat tumpuan orang ramai. Di samping itu, jarak antara rakyat dengan calon pilihan raya menyebabkan calon pilihan raya tidak dapat menyalurkan informasi secara bersemuka kepada rakyat[3].
4.0       KESIMPULAN
Secara keseluruhannya dapat kita simpulkan disini bahawa komunikasi merupakan tunjang dan asas utama dalam kehidupan bermasyarakat kerana ia berkait rapat dengan tugas serta aktiviti harian kita khususnya dan masyarakat amnya. Dengan adanya komunikasi kita dapat memberitahu, menghantar dan menerima pesanan kepada seseorang. Tidak hanya disitu, melalui komunikasi, hubungan kemasyarakatan dapat diterapkan melalui komunikasi yang berunsur hiburan dan jenaka yang boleh mengeratkan hubungan antara individu dan masyarakat di dalam sesebuah komuniti itu khasnya. Setiap ruang dan aspek kehidupan kita dipengaruhi oleh komunikasi yang baik mahupun komunikasi dengan cara yang kurang baik, ia jelas mencakupi segala aspek kehidupan masyarakat. Dengan demikian komunikasi tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan umat manusia dan masyarakat. Ia amat diperlukan untuk mengatur aktiviti seharian dan pergaulan antara manusia.
5.0       RUJUKAN
[1]       Saodah, Narimah dan Mohd Yusof. (2003).
[2]        Cragan, J. F., & Shields, D. C. (1998). Understanding communication theory: The communicative forces for human action. MA: Allyn & Bacon.
[3]        KOMUNIKASI POLITIK: STRATEGI KEMPEN CALON PILIHAN RAYA (Jessica Ong Hai Liaw ,Abdul Hamid Moiden, S. Inderjit, Norlaila Mazura Mohaiyadin, Ahmad Azan Ridzuan, Noor Azmi Zainol Abidin, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.(2018)

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA