Masjid Muhammadi: Mercu perkembangan Islam di Kelantan


Masjid Muhammadi: Mercu perkembangan Islam di Kelantan
Muhammad Iman haikal Bin Nazman
3 As-Salam

Pendahuluan
Masjid merupakan Rumah Allah, dan menjadi kewajipan setiap pemerintah Kerajaan Islam membina kemudahan ibadat ini dengan harapan seluruh rakyat boleh memakmurkan Rumah Allah ini. Begitulah adatnya diseluruh Alam Nusantara ini, masjid dan surau ada dimana sahaja dan tidak menjadi satu masalah kepada Umat Islam untuk menunaikan kewajipan Ibadat Solat termasuklah di Kelantan.
Masjid yang sentiasa diingati di Kelantan adalah Masjid Muhammadi. Masjid ini menyaksikan Islam berkembang dengan Pesat di Kelantan berikutan ia menjadi lokasi utama masyarakat umum dari Kelantan, Patani, Terengganu, Kedah serta dari Acheh menadah ilmu agama Islam sebelum melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah dan Al azhar di Mesir. Ramainya penuntut dan pelajar yang bermusafir di Masjid Muhammadi menyebabkan mereka membina kediaman sementara sekitar Masjid yang dikenali sebagai pondok sebagai tempat berteduh menunggu hari siang. Begitulah kelangsungan budaya menuntut ilmu di Kelantan terutamanya di Kota Bharu pada waktu itu, tetapi ramai yang melihat fungsi Masjid Muhammadi sekadar sebagai pusat perkembangan Ilmu di Kelantan, jarang yang cuba menyelidiki kisah disebalik pembinaan dan tujuan ia dibina dengan senibinanya yang unik yang pada satu masa dirujuk sebagai Masjid Besar Kelantan.

Pembinaan
Tarikh tepat mengenai pembinaan masjid ini tidak dapat dipastikan, setakat yang diketahui ianya telah berdiri ratusan tahun lampau, bagaimanapun ia sering dilanda banjir hinggalah pentadbiran Sultan Muhammad II (1838—1886) mengarahkan pembinaan semula masjid tersebut di atas tapak asal masjid lama selepas ia dilanda bah pada 1847. Pada masa pemerintahan beliau juga, Kelantan telah mengamalkan undang-undang syariah sepenuhnya malah Hukum Hudud juga telah dikuatkuasakan.
Berdasarkan kepada foto 1905, itulah rupa bentuk Masjid Besar, paling menarik saya dalam gambar ini adalah lampu jalan berhampiran pintu gerbang masjid. Ketika ini strukturnya masih sepenuhnya dalam senibina Melayu yang menggunakan kayu-kayu terpilih hinggalah ia mula diubah suai dengan penggunaan konkrit pada 1922 dan sehinggalah ianya dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Ibnu Almarhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931 dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.

Gambar 1 : Masjid Besar 1905 [Sumber : Monograf Warisan Kelantan VII 1984].
 Gambar: Pemandangan bahagian sisi Masjid Muhammadi Kota Bharu Kelantan pada tahun 1940.
Gambar 3 : Masjid Muhammadi pada masa kini
Gambar 1-3 adalah bukti akan perubahan yang berlaku kepada Masjid Muhammadi. Gambar pertama memaparkan senibina masjid ini masih lagi utuh dengan binaan orang-orang Melayu yang menggunakan kayu-kayan, namun ia mula berubah setelah ia diubah suai dengan penggunaan konkrit, ia telah memasukkan unsur seni bina asing dalam binaan masjid. Sejajar dengan umur masjid ini yang lama, wajar ia dibaik pulih serta dilakukan penambahbaikkan untuk melanjutkan lagi tempoh penggunaannya, untuk rekod masjid ini telah menjalani proses penambahbaikan sekurang-kurangnya setiap 10 tahun bermula 1959, 1968,1976, dan 1987.
Pada gambar kedua, kelihatan masih dikekalkan unsur binaan kayu, bagaimanapun sudah kelihatan menara batu setinggi tiga tingkat disebelahnya, gabungan antara binaan asli dan moden dalam gambar 2 itu cukup mengkagumkan, bagaimanapun binaan ini tidak lagi wujud pada gambar 3, dipercayai ia telah musnah dalam Peristiwa Bah 1967 yang melanda seluruh Kelantan dan ianya digantikan dengan struktur konkrit pada 1976. Hikmahnya, selepas menjalani beberapa fasa penambahbaikkan Masjid Muhammadi terus utuh dan hingga kini aia mampu menampung jemaah seramai 2400 orang dengan keluasan 10,600 kaki, kapasiti ini cukup menggambarkan akan struktur masjid ini, justeru ia relevan untuk dijolok sebagai Masjid Besar Kota Bharu.
Gambar 4 : Pemandangan dari atas Masjid Muhammadi Kota Bharu Kelantan.
Gambar 5 : Pemandangan bahagian lorong dalam kawasan & pintu gerbang mercu tanda Masjid Muhammadi Kota Bharu Kelantan.




Sumbangan Masjid
Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Tabal (1840-1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini. Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah".

Berikut 10 Imam Besar Masjid Muhammadi :
1.      Haji Muhammad Salleh, Kg. Masjid, Kota Bharu
2.      Haji Abdul Rahman Arab, Kg. Mek Senggora, Kota Bharu
3.      Haji Wan Abdullah bin Wan Derahim, Sg. Budor
4.      Haji Che Samat bin Che Senik, Kg. Laut Tumpat
5.      Haji Nik Wan Daud bin Haji Wan Sulaiman, Kg. Atas Banggol, Kota Bharu
6.      Haji Wan Muhammad bin Haji Abdul Samad, Kg. Tok Semian
7.      Haji Nik Mahmud bin Haji Wan Abdul kadir, Kg. Nik Dhir Nakhoda, Kota Bharu
8.      Haji Ahmad Hafidz bin Haji Jamaluddin, Kg. Che Su, Kota Bharu
9.      Haji Wan Ahmad bin Haji Muhammad Said, Kg. Balik Kota, Kota Bharu
10.  Haji Nik Abdul Rahman bin haji Wan Abdullah, Kg. Tok Semian, Kota Baharu

Langkah-langkah Pemuliharaan Bangunan Masjid
Masjid ini terletak lebih kurang hanya 100 meter dari Sungai Kelantan dan mengalami banjir setiap tahun. Oleh itu mengikut pandangan saya secara peribadi, Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah banjir bagi kawasan yang berhampiran dengan Sungai Kelantan. Sungai harus diperdalamkan dan benteng konkrit lebih tinggi dilaksanakan di persekitaran masjid ini agar kesan banjir dapat diminimumkan dan mengelakkan kerosakan harta benda dalam masjid termasuk struktur binaannya.

Rumusan
Pada pengamatan saya sendiri apabila selalu berkunjung ke masjid ini untuk solat berjemaah, saya dapati bilangan atau jumlah kehadiran jemaah pada setiap waktu solat amat mengkagumkan. Masjid ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan unik, maka kita haruslah sentiasa menjaga dan memakmurkan masjid yang hebat ini.


Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA