GMGA 1013 ASAS PENTADBIRAN AWAM


PERKHIDMATAN AWAM
1.0 PENGENALAN
1.1       Sejarah Perkhidmatan Awam
Kalau disusur dari segi sejarah, bermulanya perkhidmatan awam di negara ini, adalah sekitar tahun 1934, yang ketika itu dikenali sebagai Malayan Establishment Office, membawa kepada tahun 1954 diubah kepada Federation Establishment Office, kemudiannya pada tahun 1967 dikenali pula sebagai Establishment Office of Malaysia, sehinggalah kepada tahun 1968 ditukar lagi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam yang kekal sampai hari ini.  Oleh itu, pastinya, sepanjang kira-kira 83 tahun, perjalanan Perkhidmatan Awam negara ini, pra dan pasca kemerdekaan, hingga ke era pembangunan serta kemajuan dewasa ini, telah menempa satu tempoh yang panjang, penuh dengan pengetahuan serta sarat mengendong pengalaman. Perkhidmatan Awam Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Malayan Civil Service (MCS) telah melaksanakan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini. Dicorakkan melalui perkembangan sejarah negara, sosial dan institusi politik, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai rekod yang amat menarik. Sewaktu era pra-kemerdekaan, pihak British telah memperkenalkan struktur dan amalan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan asas kepada rakyat dalam usaha untuk menjamin keamanan yang selari dengan aktiviti ekonomi dan politik pada waktu itu. Struktur dan amalan tersebut merupakan asas penubuhan kepada MCS.
Dengan tujuan untuk membangun berdasarkan kepercayaan di atas kemampuan sendiri selepas kemerdekaan, Perkhidmatan Awam Malaysia telah melalui banyak perubahan di mana struktur perkhidmatan awam telah diorientasikan semula dan mengalami evolusi yang relevan dan progresif melalui pengenalan penambahbaikan yang terancang dan inovasi supaya seiring dengan pembangunan pada waktu itu dan keperluan masa hadapan. Hingga kini, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai kekuatan seramai 1.6 juta orang meliputi skim perkhidmatan awam persekutuan, perkhidmatan awam negeri, perkhidmatan awam bersama, perkhidmatan guru, kehakiman, perundangan, polis dan tentera. Perkhidmatan Awam Malaysia telah diperturunkan oleh legasi Perkhidmatan Awam British dengan perubahan asas yang telah berlaku secara signifikan 50 tahun lepas. Secara ringkas, apabila mengimbau kembali sejarah Perkhidmatan Awam Malaysia, penubuhannya bermula pada awal tahun 1700 apabila Syarikat India Timur British menakluki Pulau Pinang. Pada waktu itu, perkhidmatan awam dianggotai oleh pemegang biasiswa terbaik dan pintar dari England yang dilantik sebagai Pegawai Tadbir.
Pada lewat tahun 1800 menyaksikan penggabungan perkhidmatan awam di antara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kepada satu perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States Civil Service atau FMS). Penggabungan tersebut bertujuan untuk menyediakan kuasa pentadbiran secara berpusat dengan prosedur pengambilan bersama yang akan membenarkan pegawai untuk dilantik dan dihantar untuk berkhidmat di beberapa Negeri-Negeri Melayu. Dengan pelaksanaan pemerintahan secara berpusat, prosedur pengambilan diselaraskan bagi menarik calon-calon yang mempunyai taraf sekurang-kurangnya sama atau lebih baik untuk dilantik di dalam perkhidmatan awam dan ini merupakan asas permulaan kepada pengambilan secara tersusun dan profesional ke dalam perkhidmatan awam. FMS telah berkembang dan membuka pintu kepada pegawai Melayu untuk menubuhkan perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pentadbir Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1903, terdapat seramai 332 orang Melayu daripada jumlah keseluruhan 6,607 penjawat awam di dalam Kerajaan. Raja Chulan bin Raja Abdullah yang pada awalnya telah berkhidmat di dalam Kerajaan sebagai Settlement Officer di negeri Perak menjadi orang Melayu pertama dilantik sebagai Pegawai Daerah in Perak Utara, seterusnya memecahkan penguasaan orang Eropah dalam perkhidmatan tersebut.
Di bawah perkembangan FMS dan Perkhidmatan Pentadbir Melayu, banyak reformasi pentadbiran telah diperkenalkan untuk meningkat dan menambah baik perkhidmatan awam. Antaranya, Skim Sterling, Gaji dan Pengelasan Stubb dan Suruhanjaya Bucknill yang terus memberi definisi dan memperkukuh prinsip perkhidmatan awam berkaitan sistem saraan cuti dan pencen dan terma perkhidmatan yang lain.  Apabila British meninggalkan Malaya selepas pendudukan Jepun pada tahun 1941, kewibawaan 85 pegawai Perkhidmatan Pentadbir Melayu diuji di mana tunggak pentadbiran negara terletak di dalam tangan mereka. Mereka berjaya menguruskan pentadbiran negara dengan baik dan terus memainkan peranan yang penting ke arah mencapai kemerdekaan pada tahun 1950an. Permulaan pewujudan penggabungan perkhidmatan awam yang bersatu dimulakan apabila perkhidmatan koloni British seperti Perubatan, Pelajaran, Perundangan, Polis dan seumpamanya telah dicantumkan di bawah perkhidmatan yang dikenali sebagai Colonial Administrative Service, di mana MCS merupakan sebahagian daripada komponennya. MCS seterusnya telah mengalami evolusi dan kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD)[1], sebuah perkhidmatan yang unggul di mana peranannya telah bertukar dari developmentalist kepada fasilitator dan sekarang menjadi inovator yang instrumental untuk membawa negara maju dalam mencapai dominasi ekonomi, penambahbaikan pembangunan modal insan, menangani kedudukan ketidakseimbangan sosioekonomi, memperbaiki dan mengekalkan kualiti hidup dan memperkukuh institusi dan kapasiti pelaksanaan. Secara umumnya, PTD dianggap sebagai perkhidmatan elit dan berprestij yang membekalkan Pegawai Tadbir di peringkat Persekutuan dan Negeri. Dengan sifat sebagai generalist di mana pegawai akan memberi khidmat dan berfungsi sebagai pentadbir, melaksanakan dasar Kerajaan di pelbagai agensi Kerajaan dan Kementerian memberi perspektif umum dengan peranan sebagai penasihat secara non-partisan kepada ahli politik. Sifat generalist PTD ini mempunyai kesan yang buruk kepada prestasi pegawai. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1990an, dasar pengambilan pegawai daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta disiplin dan seterusnya ditempatkan untuk berkhidmat di kementerian dan agensi yang relevan telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan imej generalist PTD.

1.2       SEJARAH PENEMPATAN DAN LOKASI JPA
Sejarah Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bermula pada 22 Ogos 1934 melalui penubuhan Malayan Establishment Office (MEO) atau Pejabat Perjawatan Malaya yang beroperasi di City Hall, Singapura. Apabila pentadbiran dipindahkan ke Tanah Melayu pada tahun 1954, Jabatan ini turut dipindahkan ke Kuala Lumpur dan beribu pejabat di Bangunan Persekutuan, Jalan Sultan Hishamuddin. Pertambahan fungsi dan saiz seterusnya memerlukan Jabatan ini berpindah ke lokasi baru di Bangunan UMBC, Jalan Sulaiman seterusnya ke Bangunan Sulaiman, Jalan Damansara sebelum berpindah ke Wisma Bernama, Jalan Tun Razak. Bagi memudahkan pelanggan berurusan, beberapa Bahagian yang menyediakan perkhidmatan kaunter telah ditempatkan di pusat bandaraya Kuala Lumpur seperti Cawangan Perundingan dan Rekod di Wisma PKNS, Jalan Raja Laut, Bahagian Pencen di Bangunan KWSG, Jalan Kampung Attap dan Bahagian Latihan dan Pembangunan Kerjaya di Bangunan PERKIM, Jalan Raja Laut.
Hanya pada tahun 1993, kesemua bahagian berjaya dikumpulkan di bawah satu bumbung apabila JPA berpindah ke bangunan milik sendiri di Kompleks JPA, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. Bagi memudahkan pelanggan di Malaysia Timur, pejabat cawangan Bahagian Pasca Perkhidmatan dibuka di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Berikutan dasar Kerajaan memusatkan kesemua pejabat Kerajaan di satu lokasi di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, maka pada tanggal 15 April 2001, JPA telah berpindah ke Kompleks C, Putrajaya. Cawangan Pengurusan Kompetensi telah ditempatkan di bangunan Sapura@Mines, Seri Kembangan. Berikutan penjenamaan semula JPA pada tahun 2009, tiga Bahagian telah berpindah ke Bangunan MKN-Embassy Techzone, Cyberjaya iaitu Bahagian Pengurusan Maklumat , Bahagian Pengurusan Psikologi, Bahagian Saraan dan Unit Audit Dalam[2].
2.0 ISI
2.1       CARTA ALIRAN CORAK PEMERINTAHAN NEGARA MALAYSIA
Perkara 132. Perkhidmatan-perkhidmatan awam.
(1) Bagi maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan-perkhidmatan awam ialah-
(a) angkatan tentera;

(b) perkhidmatan kehakiman dan perundangan;

(c) perkhidmatan awam am Persekutuan;

(d) pasukan polis;

(e) (dimansuhkan);

(f) perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133;

(g) perkhidmatan awam setiap Negeri; dan

(h) perkhidmatan pendidikan.

(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukan dengan nyata selainnya oleh Perlembagaan ini, kelayakan bagi pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan-perkhidmatan awam, selain orang dalam perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (g) Fasal (1), boleh dikawal selia melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Yang di-Pertuan Agong; dan kelayakan bagi pelantikan dan syarat-syarat perkhidmatan orang dalam perkhidmatan awam mana-mana Negeri boleh dikawal selia melalui undang-undang Negeri dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang sedemikian, oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu.
(2A) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tiap-tiap orang yang menjadi anggota mana-mana perkhidmatan yang disebut dalam perenggan (a)(b)(c)(d)(f) dan (h) Fasal (1) memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata oleh Perlembagaan Negeri itu, tiap-tiap orang yang menjadi anggota perkhidmatan awam sesuatu Negeri memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri[3].

(3) Perkhidmatan awam tidaklah dikira sebagai termasuk-
(a)
jawatan mana-mana anggota pentadbiran di dalam Persekutuan atau sesuatu Negeri; atau
(b)
jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri atau ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau ahli Dewan Undangan sesuatu Negeri; atau
(c)
jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi; atau
(d)
jawatan anggota mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang ditubuhkan oleh Perlembagaan ini atau mana-mana Suruhanjaya atau Majlis yang bersamaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan sesuatu Negeri; atau
(e)
apa-apa jawatan diplomatik yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui perintah, iaitu jawatan yang, jika tidak kerana perintah itu, akan menjadi jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.

2.2       Konsep Klasifikasi Perkhidmatan
Konsep Klasifikasi Perkhidmatan diperkenalkan di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Baru pada 1 Januari 1992 apabila kesemua 574 skim perkhidmatan di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 telah digabungkan menjadi 274 skim perkhidmatan. Selaras dengan penggabungan tersebut, skim-skim perkhidmatan juga telah digolongkan kepada beberapa Klasifikasi Perkhidmatan mengambil kira kesamaan atau kesetandinganperkhidmatan dari segi peranan dan fungsi. Rasional pembentukan Klasifikasi Perkhidmatan ini ialah bagi membolehkan perhatian khusus dan berasingan dalam pelbagai aspek pengurusan personel diberi kepada perkhidmatan-perkhidmatan mengikut keutamaan dan kepentingan. Berdasarkan kajian yang telah dibuat terhadap peranan dan bidang-bidang fungsi yang perlu dijalankan oleh sektor awam, terutamanya dalam konteks proses pembangunan Negara masa hadapan, mulai 1 Januari 2014 terdapat sebanyak 252 skim perkhidmatan yang berkuatkuasa dengan 21 Klasifikasi Perkhidmatan seperti berikut[4]:
(sumber : Laman web JPA)

2.3       Tugas penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam
Ø  Setiap penjawat awam perlu mematuhi peraturan mengenai tata kelakuan & tata tertib.
Ø  Hendaklah sentiasa mementingkan tugas awamnya, bukannya menguruskan kepentingan peribadi dalam waktu bertugas.
Ø  Hendaklah berpegang teguh kepada integriti & etika bekerja semasa menjalankan tugas.
Ø  Hendaklah menjalankan tugas dengan jujur & amanah demi kepentingan awam & negara.
Ø  Hendaklah pada setiap masa memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara & kerajaan.
Ø  Sentiasa menjaga, memelihara & mempertahankan kedaulatan & maruah negara, hormat & patuh kepada undang-undang serta berusaha untuk berbakti kepada negara.
Ø  Mengamalkan sikap berkecuali dalam menjalankan tugas.

2.4       VISI, MISI DAN OBJEKTIF JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
Perkhidmatan Awam berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat
Memacu dan Meneraju Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam
  • Merasionalisasi saiz Perkhidmatan Awam melalui perancangan sumber manusia yang sistematik dan berstruktur dengan menjalankan unjuran keperluan sumber manusia yang menyeluruh

  • Menyediakan Perkhidmatan Awam dengan skim perkhidmatan dan struktur organisasi yang relevan, anjal serta memenuhi keperluan semasa bagi membolehkan organisasi melaksanakan fungsi penubuhannya

  • Melahir dan membangun modal insan terbaik serta kompeten untuk memenuhi keperluan strategik Perkhidmatan Awam dan negara melalui dasar latihan dan program penajaan yang dinamik

  • Menguruskan penjawat awam dan membangunkan dasar pengurusan sumber manusia melalui penggubalan dan pelaksanaan dasar perkhidmatan yang strategik dan berkesan

  • Menggubal dasar dan garis panduan berkaitan perkhidmatan psikologi mengikut keperluan semasa bagi memantapkan pembangunan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam

  • Mengutamakan kebajikan pesara dan penerima pencen melalui penambahbaikan dasar-dasar pasca perkhidmatan

  • Memperkenal pakej saraan terbaik dan menyeluruh kepada penjawat awam serta menjalin hubungan harmoni majikan-pekerja

  • Memantapkan penggunaan teknologi dalam pengurusan sumber manusia ke arah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan [5]

2.5       CARTA ORGANISASI TERKINI JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
(Sumber: Laman web rasmi JPA)
2.6       INISIATIF KERAJAAN DALAM MEMBELA KEPENTINGAN DAN MENJAGA KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM
Sejak 8 tahun kebelakangan ini, KERAJAAN MALAYSIA telah berbuat pelbagai inisiatif dan sekian banyak penambahbaikan, demi membela kepentingan dan menjaga kebajikan penjawat awam, antaranya;
Ø  Pertama: Menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 7 peratus hingga 13 peratus pada tahun 2012.

Ø  Kedua: Menaikkan pencen minimum daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit, bagi mereka yang berkhidmat selama 25 tahun atau lebih pada 1 Januari 2012.


Ø  Ketiga: Mensetarakan pangkat-pangkat dalam perkhidmatan ATM dan PDRM dengan Perkhidmatan Awam Am, selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji, pada 1 Januari 2013. Juga, pelaksanaan kenaikan pangkat anggota Polis dan Angkatan Tentera berpangkat Konstabel, Prebet dan Lans Koperal berdasarkan time-based.

Ø  Keempat: Penetapan gaji terendah daripada 832 ringgit kepada 1,200 ringgit sebulan mulai Julai 2016.


Ø  Kelima: Melaksanakan dasar di mana pegawai lantikan kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016;

Ø  Keenam: Pemberian pergerakan gaji tahunan sebanyak 3 peratus setahun kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum;


Ø  Ketujuh: Memanjangkan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh kepada Kumpulan Pelaksana bermula Tahun 2017 ini dengan peruntukan sebanyak 15 juta ringgit; dan

Ø  Kelapan: Mewujudkan kaedah kenaikan pangkat secara time-based kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Pegawai Perubatan.


Selain daripada penambahbaikan daripada segi struktur gaji dan perkhidmatan, Kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan dari sudut kebajikan penjawat awam. Contohnya:-
Ø  Pertama: Melancarkan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M sejak tahun 2013, di mana sebanyak 200 ribu unit rumah akan disiapkan menjelang tahun 2020.

Ø  Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup atau COLA sebanyak 50 ringgit sebulan pada tahun 2012 bagi penjawat awam yang tinggal di kawasan-kawasan pinggir bandar; dan

Ø  Ketiga: Menaikkan Imbuhan Tetap Perumahan atau ITP minima kepada 300 ringgit sebulan pada tahun 2015. Manakala, 25 peratus ITP turut diterima oleh penjawat awam yang mendapat kemudahan kuarters.


Ø  Tidak dilupakan juga, kepada para pesara, Kerajaan telah menaikkan kadar pencen terendah daripada 720 ringgit pada tahun 2012, kepada 950 ringgit sejak 1 Julai 2016 lalu.
Apa yang penting di sini, kesemua kemudahan dan imbuhan yang dinikmati oleh Penjawat Awam adalah kerana hubungan kerjasama yang kukuh di antara Kerajaan yang baik dan Perkhidmatan Awam yang cekap lagi efisyen.  Barulah wujudnya satu simbiosis yang mantap dalam memecut dan to leapfrog atau melonjakkan Malaysia supaya tersenarai dalam kelompok 20 negara termaju serta terbaik di dunia menjelang tahun 2050.

2.7       KEPERLUAN LATIHAN KEPADA MODAL INSAN PERKHIDMATAN AWAM
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) adalah sebuah pusat latihan yang terletak di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia. Ia bermula di sebuah bangunan kecil di Port Dickson pada bulan September 1959 yang ketika itu dikenali sebagai Pusat Latihan Kakitangan. Pusat ini memberikan kursus kepada pegawai-pegawai berkaitan pentadbiran tanah, pentadbiran kewangan, pengurusan pejabat dan pentadbiran kerajaan tempatan.
Hasrat untuk menyediakan latihan lebih formal kepada pegawai-pegawai kerajaan telah menyebabkan wujudnya Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Jalan Elmu, Kuala Lumpur pada bulan Jun 1972. Perkembangan pesat latihan oleh INTAN dalam tahun 1980-an juga telah menyaksikan tertubuhnya beberapa kampus cawangan pada tahun 1983. Ini termasuklah Kampus Wilayah Utara (INTURA) di Sungai Petani, Kedah; Kampus Wilayah Timur (INTIM) di Kemaman, Terengganu dan Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di Kluang, Johor.
Pada tahun 1984, Kampus Utama INTAN yang terletak di Bukit Kiara, Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya manakala INTAN di Jalan Elmu kemudian dijadikan Kampus Wilayah Tengah (INTENGAH) pada tahun 1998. Permintaan terhadap program latihan INTAN yang semakin bertambah kemudian telah mewujudkan penubuhan dua lagi kampus cawangan. Kampus Sarawak di Kuching, Sarawak telah diwujudkan pada tahun 1999 manakala Kampus Sabah dibuka pada tahun 2001[6].

2.8       CABARAN PENJAWAT AWAM
Bukan mudah untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan sepertimana yang telah digariskan dalam dasar-dasar atau program-program kerajaan ke arah peningkatan kualiti, kecekapan, keberkesanan dan produktiviti dalam perkhidmatan awam. Pihak yang bertanggungjawab dalam menjayakan semua perancangan dan matlamat kerajaan adalah penjawat awam dan sumber manusia yang terpenting dalam perkhidmatan awam. Oleh itu, sikap, pola-pola tingkahlaku, persepsi, kepentingan dan tindak-tanduk di kalangan anggota penjawat awam memang sukar diramal. Justeru, segala tindakan dan keputusan yang membabitkan penjawat awam (manusia dalam organisasi) adalah melibatkan soal nilai dan etika, yakni ada tindakan, perbuatan dan keputusan di kalangan penjawat awam bertentangan dengan nilai murni dan etika kerja yang positif.
Kesilapan dalam membuat keputusan dan mengambil sesuatu tindakan akhirnya terjebak dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika profesionalisme sebagai penjawat awam. Dengan demikian, keingkaran terhadap undang-undang, peraturan dan perintah kerajaan merupakan sesuatu yang mencabar nilai dan etika dalam perkhidmatan awam itu sendiri. Tidak hairanlah jika ada di antara pegawai-pegawai kerajaan yang dituduh menerima dan mengamal rasuah, pecah amanah, terlibat dalam pelbagai jenayah dan kes-kes tatatertib yang lain. Jika semua gejala seperti ini semakin menular, apakah ia suatu petanda kian terhakisnya nilai dan etika kerja yang murni dan berakhlak mulia di kalangan penjawat awam? Apakah yang akan terjadi jika gejala-gejala negatif ini tidak berupaya ditangani dengan berkesan terhadap perkhidmatan awam di negara ini? Persoalan-persoalan inilah yang telah dikupas dalam kertas kerja oleh Malike bin Brahim (UUM) dengan mengaitkannya dengan slogan “Yang Menurut Perintah” dan prinsip-prinsip Rukun Negara[7].

2.9       KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN PERKHDIMATAN AWAM
Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar di dalam sektor perindustrian, pertanian dan sosial melalui pelbagai Pelan 5-tahun dan Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1970 di mana telah berjaya mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan luar bandar dan industri, yang telah menjadi pendorong bagi pertumbuhan pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama mengurus implikasi sosial ke atas pelbagai etnik di negara ini. Setelah menempuhi tahun-tahun tersebut, Perkhidmatan Awam telah berkembang dan mengharungi cabaran yang dilalui negara, menyesuaikan, disesuaikan dan memperkukuh program politik, ekonomi dan sosial yang telah menyumbang kepada negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang paling maju dan moden di rantau ini. Bukan sekadar memastikan kemajuan berjalan lancar, Perkhidmatan Awam juga telah membantu melonjakkan kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara membangun.
Sejak kemerdekaan Perkhidmatan Awam Malaysia telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memenuhi keperluan dan hasrat rakyat dan stakeholders yang lain. Dengan kekuatan seramai 1.6 juta ahli, Perkhidmatan Awam Malaysia telah berperanan sebagai perunding, pengawal dan fasilitator. Di samping itu juga, ia telah menjadi pelancar kemajuan (pace setter) dan berperanan sebagai agen perubahan di negara ini. Dalam hubungan ini, perkhidmatan awam perlu melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk memberi perkhidmatan, mengurus kepentingan rakyat, memastikan keselamatan awam dan program komuniti. Perkhidmatan Awam Malaysia secara signifikan telah menempa nama dan diiktiraf sebagai antara perkhidmatan awam yang terbaik di rantau ini. Ia telah melaksanakan peranan utama dalam pembangunan dan modenisasi Malaysia.
Secara umum, usahanya untuk mentadbir Kerajaan dalam dekad-dekad yang lepas, telah berjaya memberi impak dalam memperbaiki tadbir urus dan kualiti perkhidmatan awam. Dalam usaha menjayakan kedua-dua Dasar Visi Nasional dan Misi Nasional bermula dari tahun 2001 hingga 2020, Perkhidmatan Awam Malaysia secara berterusan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam tempoh yang mencabar ini. Dengan pelbagai petikan seperti “No Wrong Door Policy”, “Business is not as Usual” dan penubuhan PEMUDAH telah membantu untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan karenah birokrasi dan menyediakan perkhidmatan yang produktif, kreatif dan inovatif,ia diharapkan akan menjadi rakan akrab di dalam pelbagai sektor bagi memastikan kemakmuran negara Kesemua ini bertujuan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia bertaraf dunia dan memenuhi tanda aras antarabangsa dari segi prestasi dan kecemerlangan.

2.10     6 Falsafah dan Garis Besar Haluan Perkhidmatan Awam Menuju TN50
Justeru itu, demi mewajah masa depan dalam melakar perjalanan mendakapi aspirasi TN50, Perkhidmatan Awam hendaklah berpegang kepada 6 Falsafah dan Garis Besar Haluan Menuju TN50[8].

Ø  Kerangka Manhaj Maqasid Syariah
Pertamanya: Seandainya secara sedar atau pun tidak, pembentukan negara bangsa Malaysia telah dan untuk tempoh 30 tahun mendatang, dicorakkan atas kanvas KERANGKA MAQASID SYARIAH, makanya, perkhidmatan awam sudah semestinya juga, berpandukan jalur-jalur Manhaj yang sudah pun tersulam asasnya, sejak sekian lama, sekurang-kurangnya 60 tahun yang lalu. Sepanjang tempoh 6 dekad ini, perkhidmatan awam telah bergerak pada landasan yang sama, seiring sejalan dengan Kerajaan, sehingga Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam progresif lagi dinamik, bermanhajkan Maqasid Syariah, dengan berpegang kepada prinsip Wasatiyyah atau moderation, Perlembangaan Persekutuan dan Ideologi Kebangsaan yang kukuh serta tentunya kesinambungan gagasan-gagasan pucuk pimpinan Kerajaan. Sebenarnya, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan, mensasarkan kepada maslahah umum yakni yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan mengambil kira tahap kemampuan kebertanggungjawaban Kerajaan mengikut 3 keutamaan, sama ada di peringkat DHA-RU-RIYAT yakni KEPERLUAN ASAS YANG PALING UTAMA, sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya. Manakala HA-JIY-YAT pula, berkaitan dengan KEHENDAK DAN KEPERLUAN UMUM yang membawa kepada kelapangan hidup, TETAPI TIDAK TERLALU MENDESAK serta ketiganya, TAH-SI-NIYAT sebagai PENGHIAS, PENCANTIK DAN BERSIFAT PENGINDAH semata-mata, dalam memberi kesempurnaan hidup. Ditambah lagi di peringkat DHA-RU-RIYAT, yang amat mementingkan kepada usaha berterusan dalam pemeliharaan lima prinsip asas utama kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, harta benda serta keturunan, khususnya dalam hal-ehwal pembangunan dan kebajikan rakyat serta memajukan negara. Kesemua dasar, usaha dan pendekatan ini terbukti telah membuahkan hasil apabila laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters, kita bukan sahaja telah menduduki tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia, bahkan turut diakui sebagai ‘the best developed ecosystem for Islamic Finance in the world, sekaligus KWSP negara ini dilaporkan mempunyai Islamic Saving Plan yakni Pelan Penyimpanan Islam yang terbesar di dunia.

Ø  Tahun 2017 Sebagai Tahun Penyampaian
Kedua: Tahun 2017 sebagai “Year of Delivery” atau Tahun Penyampaian, sebagai fokus dan bidang keutamaan. Ertinya, jentera perkhidmatan awam perlu mempastikan bahawa, penyampaian perkhidmatan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mempunyai nilai kepada rakyat dalam mempastikan segala projek, insiatif dan bantuan yang telah dirancang, benar-benar sampai kepada rakyat. Jika tidak, sia-sialah segala perancangan dan dasar yang telah digubal oleh Kerajaan, termasuklah pelbagai bajet yang telah diperuntukkan, namun dek kerana salah penyampaian, maka berlakulah ketirisan dan gagal-lah matlamat Kerajaan. Lantaran itu, aspek delivery atau penyampaian ini, perlu berdarah daging dan bersebati dengan Perkhidmatan Awam, sampai kepada tahap apabila disebut tentang Penyampaian Yang Cekap, ia seharusnya sinonim dengan Perkhidmatan Awam Malaysia. Itulah setinggi-tinggi matlamat yang kita dambakan.  Oleh yang demikian, effective and efficient delivery, Perkhidmatan Awam, yang bukan sahaja menjadi slogan pada tahun ini, tetapi saya tahu pasti bahawa, ia telah menjadi iltizam sejak sekian lama kepada perkhidmatan ini,…apa yang penting ia mesti terus diperkasakan lagi. Jadinya, Pengukuhan dan Pemerkasaan Perkhidmatan Awam harus bertumpu dengan menjadikan perkhidmatan awam yang lebih berfokus kepada rakyat, inklusif, dengan penyertaan komuniti dan berbudaya kerja serta perkhidmatan par excellence dan mempunyai nilai-nilai murni yang membawa kepada keutuhan organisasi.

Ø  Prinsip Wala’ dan Kesetiaan
Ketiganya: Satu lagi nilai yang sangat penting dalam kepimpinan dan organisasi ialah prinsip Wala’ dan Kesetiaan, yakni memberi kepatuhan, sumpah setia, ketaatan serta bai’ah yang wajib kepada seseorang pemimpin yang sah dan institusi kepemimpinan serta kemuncaknya anggota pentadbiran Kerajaan. Selagi mana, radar kepimpinan dan kepemimpinan itu masih kekal berada dalam parameter maslahah umum serta tidak terjadinya unsur-unsur kezaliman. Pokoknya, jika prinsip dan nilai Wala’ serta Kesetiaan ini menjadi amalan dalam Perkhidmatan Awam, barulah adanya disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi Kerajaan ini. Malahan, Ibnu Khaldun sendiri, seorang tokoh ilmuwan besar Islam yang sangat terkenal dengan karya agungnya, “Muqaddimah”, bukan sahaja menghuraikan tentang ketamadunan secara umum, bahkan turut mengupas tentang kepentingan sifat kesetiaan sebagai pemacu kepada tadbir urus yang profesional. Turut disebut oleh Ibnu Khaldun lagi, bahawa, golongan yang memiliki nilai kesetiaan tinggi adalah mereka yang hingga sanggup berkorban nyawa dalam melunasi setiap amanah yang diberikan. Begitulah tingginya nilai Wala’ dan Kesetiaan dalam organisasi seperti yang dituntut dalam ajaran agama.

Ø  Budaya Kerja Di Luar Kelaziman
Keempat: Budaya Kerja Di Luar Kelaziman yang bermaksud, bekerja melepasi dan melangkaui tahap keupayaan lazim atau kebiasaan, di luar lingkungan kotak pemikiran biasa, demi keberhasilan yang luar biasa. Ini termasuklah juga meraikan idea-idea baharu dan sentiasa melakukan penambahbaikan, demi mencapai keberhasilan, selain mempiawai diri serta meningkatkan kompetensi dan nilai tambah, supaya our benchmarking, bukan lagi sekadar menjadi jaguh kampung, akan tetapi untuk menjadi Pelaku Global yang lebih sistematik dan berdaya maju. Selanjutnya, Kerajaan juga menyarankan agar, para penjawat awam di negara ini terus melipat gandakan usaha, dalam melatih diri menjadi multi-tasking, multi-skills dan multi-talented, berbudaya kreatif lagi berinovatif, yang mampu menyumbang kepada budaya kerja ‘high productivity’, ‘high value’, ‘high thinking’, ‘high skills’ dan ‘highly motivated’, untuk sentiasa bekerja keras bagi mencapai kejayaan untuk negara. Dalam hal demikian, pada minggu lepas, Kerajaan telah mentransformasi dan menjenamakan semula Institusi TVET di negara ini menjadi “TVET Malaysia”, dengan menggabungkan 7 Kementerian di bawah satu kolaborasi unggul lagi bersepadu, bagi melatih warga dan anak-anak muda Malaysia untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

Ø  Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50
Kelima: Menjengah masa depan, ke arah Revolusi Perindustrian Keempat dan Ekonomi Digital Menuju TN50, dunia kontemporari kini berada dalam transisi, yang bakal menyaksikan massive structural change dan membawa bersamanya teknologi yang bersifat disruptif dan breakthrough; Daripada robotik dan artificial intelligence kepada teknologi nano; daripada the Internet of Things kepada analitik kesihatan, yang membawa satu quantum leap kepada kehidupan kita. Ketika itu, negara bakal menikmati kebestarian kehidupan, merangkumi pelbagai bidang seperti smart energy, smart mobility, smart healthcare, smart infrastructure, smart governance and smart citizens. Berhubung itu, berbalik kepada realiti Malaysia dan Perkhidmatan Awam khususnya serta pasaran kerja dunia secara keseluruhannya, telah mula timbulnya kebimbangan bahawa pelbagai sektor dan bidang pekerjaan tidak lagi wujud, sebaliknya diambil alih oleh teknologi terkini seperti artificial intelligence dan automasi. Dalam konteks yang lebih luas, kerana itulah Kerajaan ini mempunyai visi yang menjangkau jauh ke depan, dengan mengambil serius akan perkembangan semasa dan berusaha melakukan langkah-langkah proaktif dalam menangani hal tersebut, dengan menceburi bidang Digital Economy yang dianggap sebagai industry of the future. Di sinilah, sebagai sebuah Kerajaan kita perlu menggunakan teknologi digital untuk melonjakkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Ø  Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi
Akhir sekali, Falsafah dan Garis Besar Haluan yang keenam kepada Perkhidmatan Awam Menuju TN50 adalah Merekayasa Malaysia untuk menjadi negara maju yang mencapai pengertian Al-Falah, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, sebagaimana yang diseru dalam surah Al-Baqarah ayat 201. Sesungguhnya lagi, tiada siapa yang tahu, apakah rupa bentuk dan wajah dunia amnya dan Malaysia khususnya, tatkala menyinsing fajar subuh tahun 2050 kelak. Akan tetapi, Allah SWT sukakan hamba-hambanya terus merancang masa depan, bekerja dan bertawakal, tanpa duduk bersimpuh dengan hanya berserah kepada keadaan serta nasib.

3.0       RUMUSAN
Apa yang ingin kami  katakan adalah, kami yakin dan percaya Perkhidmatan Awam di negara ini, nyatanya, telah sampai kepada satu tahap keampuhan dan kematangan yang mampu menjadi serta selayaknya dipersiagakan bukan sahaja pada paras ini, tetapi yang lebih utama daripada itu, adalah untuk mencorakkan Malaysia bagi tempoh 30 tahun yang mendatang. Dalam pembangunan sesebuah negara mahupun tamadun, pelbagai ayat suci Al-Quran dan hadis serta pedoman agama haruslah sentiasa diambil sebagai panduan dan pengajaran.  Umpamanya, petikan daripada surah Al-Qasas ayat 26 yang antara tafsirannya merujuk tentang peri-mustahaknya untuk kita, tidak kira pemimpin, golongan teknokrat, para birokrat mahupun rakyat terbanyak, supaya bekerja kuat lagi bersungguh-sungguh, dengan penuh amanah juga dipercayai, demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat. Ini diperteguhkan lagi dengan potongan ayat ke-15 surah As-Saba’ yang menyebut bahawa, Allah SWT telah mengiktiraf kemajuan dan kemewahan serta kesejahteraan penduduk di negeri Saba’, selagi mana mereka mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Ilahi, negara tersebut akan terus berada dalam keadaan yang baik lagi makmur, di bawah lindungan Tuhan sekaligus mendapat keampunan dan keberkatan daripadaNya.
Sistem tadbir urus yang baik dan sistem penyampaian yang telus serta cekap mencerminkan kecemerlangan sistem pentadbiran negara. Sektor awam yang telus dan efektif sangat bergantung kepada birokrat itu sendiri iaitu bebas daripada jenayah pentadbiran, tadbir urus yang baik, bebas daripada karenah birokrasi dan sistem penyampaian yang cekap. Kepentingan rakyat dan masyarakat banyak diletakkan kepada agensi awam. Malah dewasa ini, rakyat peka terhadap sebarang perbelanjaan yang dibelanjakan untuk cukai yang dibayar. Justeru dalam sektor awam jelas menunjukkan pemimpin dalam perkhidmatan awam yang cekap dan  berkesan amat diperlukan dalam menjana perkhidmatan yang terbaik dan efisien.
Perspektif Perkhidmatan Awam, seruan kepada semua penjawat awam supaya membuat persediaan rapi dan merencana strategi berkesan dari sekarang, khususnya untuk menongkah dengan beberapa fasa perubahan menuju TN50, di mana Malaysia disasarkan akan menjadi High Income Advanced Economy pada tahun 2020; Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi 2 trilion ringgit pada tahun 2025; Revolusi Perindustrian Keempat mula memberikan impak yang signifikan pada tahun 2030; Negara kompetitif bersifat hampir ‘zero defects’ pada tahun 2040; dan Sebuah ketamadunan unggul, tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju dan terbaik di dunia. Apa yang mustahak, di kala kita menggariskan haluan Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi, generasi Perkhidmatan Awam yang ada kini dan akan datang dicungkil bakat, diasuh serta diasah bukan sekadar dilengkapi dengan kemahiran duniawi, akan tetapi sewajibnya dibekalkan dengan nilai-nilai murni sejagat dan Islami, supaya bila tibanya tahun 2050 nanti, akan lahirnya Malaysia yang terimbang kemajuannya memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi.



4.0       Rujukan / Bibliografi
[1] "Service Par Excellence" (2005) oleh Wan Mansor Abdullah. Penerbit: INTAN
[2]http://www.jpa.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=2716&Itemid=900&lang=ms
[3] Perlembagaan Malaysia,Perkara 132, muka surat 133
[4]https://www.interactive.jpa.gov.my/ezskim/Penerbitan/Buku%20Skim%20Perkhidmatan%201%20Januari%202014.pdf
 [5] http://www.jpa.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=246&lang=ms
[6] Laman Web Institut Tadbiran Awam Negara (www.intan.gov.my)
[7] Malike bin Brahim, Jabatan Pengurusan Awam, Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang,Universiti Utara Malaysia.“YANG MENURUT PERINTAH”—NILAI PENJAWAT AWAM
[8] Teks Ucapan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 (Mappa Xv),Yab. Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Dewan Plenari, Picc, Putrajaya,03/10/2017

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA