BPMN 3123 ETIKA PENGURUSAN


WHISTLEBLOWING : APA KATA ETIKA
Sesebuah negara demokratik perlu mempunyai beberapa elemen asas seperti tadbir- urus yang baik (good governance), ketelusan (transparency), dan kesamarataan (equality) bagi memastikan kerajaan negara tersebut dapat berfungsi dengan baik. Tadbir-urus yang baik dan ketelusan merupakan dua asas penting yang perlu ada terlebih dahulu dalam sesebuah kerajaan sebelum cita-cita ke arah kesamarataan sosial dan ekonomi dapat dicapai.
Antara isu penting membabitkan kedua-dua aspek ini yang wajar diketengahkan ialah kebolehpercayaan masyarakat terhadap institusi-institusi penguatkuasaan. Hal ini kerana, kakitangan awam yang berada di dalam institusi-institusi penguatkuasaan yang ada merupakan komponen penting dalam tadbir-urus sesebuah kerajaan memandangkan golongan ini terlibat secara langsung dengan tugas-tugas perkhidmatan kepada masyarakat awam. Secara tidak langsung, mereka ini juga dapat dilihat sebagai jurubicara bagi pihak kerajaan dan sekaligus digunakan sebagai kayu ukur oleh masyarakat dalam menilai prestasi kerajaan.
Di Malaysia, institusi penguatkuasaan yang sering menjadi tumpuan masyarakat bagi melihat tahap keberkesanan serta ketelusan kerajaan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Hal ini kerana, PDRM yang diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan membentuk gambaran bahawa PDRM dan kerajaan merupakan satu entiti yang sama. Rentetan dari ini, setiap tindakan yang diambil oleh PDRM ditanggapi oleh masyarakat sebagai tindakan kerajaan. Justeru, tanggapan yang sudah menjadi kebiasaan ini kemudiannya meletakkan PDRM sebagai salah satu aspek yang digunakan sebagai kayu ukur terhadap pemerintahan kerajaan. Jika terdapat banyak laporan salah laku yang wujud dalam PDRM, maka masyarakat juga akan beranggapan wujudnya salah laku yang sama dalam kerajaan. Begitu juga hal yang sebaliknya apabila PDRM melaksanakan tugas dengan cekap, kerajaan juga akan dilihat sebagai cekap. Cara pandang yang sudah sedia kukuh ini rata-ratanya mempunyai kesan yang negatif terhadap PDRM secara keseluruhan. Secara umumnya, pasukan polis mempunyai dua tugas utama iaitu: (1) menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman awam; serta (2) mengekalkan keselamatan dan keamanan.
INTEGRITI DAN PRAKTIK WHISTLEBLOWING

Amalan whistleblowing dapat dilihat sebagai suatu pendekatan yang tepat bagi mewujudkan pengurusan pekerja dan organisasi yang lebih berkesan serta terancang (Zawiyah, et.al., 2005). Sarjana seperti Near & Miceli (2013) mendefinisikan whistleblowing sebagai pendedahan oleh ahli organisasi, sama ada oleh mereka yang masih bekerja bersama organisasi tersebut atau yang telah meletak jawatan, terhadap tingkah laku yang bertentangan dengan undang-undang, tidak bermoral, atau tindakan yang tidak sah dalam organisasi kepada orang perseorangan atau sebuah badan yang mempunyai bidang kuasa untuk menangani salah laku tersebut.

Secara amnya, whistleblowing melibatkan tiga pihak iaitu (1) seseorang yang melakukan perbuatan yang tidak beretika; (2) orang yang melihat tingkah laku tersebut serta melaporkannya; dan (3) orang yang menerima laporan salah laku tersebut (Near & Miceli, 1986). Selain itu, whistleblowing juga termasuklah sebuah tindakan untuk melaporkan kepada organisasi berkenaan perbuatan tidak beretika yang mempunyai nilai moral yang rendah, berbahay, serta berpotensi untuk menjurus kepada kemudaratan dan pembaziran. Glazer & Glazer (1989) pula membahagikan praktik whistleblowing kepada dua kategori iaitu praktik yang bersifat dalaman (internal) dan luaran (external).

Whistleblowing dapat ditanggap sebagai sebilah pedang bermata dua (double-edged sword) iaitu praktik yang mempunyai potensi untuk memberikan kesan positif dan negatif kepada organisasi dalam masa yang sama (Zawiyah et.al., 2005). Kesan positif yang dapat diperoleh melalui praktik ini antaranya ialah pembasmian amalan-amalan negatif sama ada yang bertentangan dengan undang-undang (formal) atau perlakuan yang melanggar etika organisasi (tidak formal). Ianya mampu untuk mewujudkan organisasi yang lebih cekap, berkualiti, dan memenuhi kehendak masyarakat. Dalam konteks individu pula, pendedahan amalan yang menyimpang daripada norma dan peraturan organisasi dapat memberikan kesan positif apabila tindakan tersebut berhasil untuk memelihara kelancaran sesebuah organisasi. Dari sini, ianya juga dapat memberikan galakan kepada ahli-ahli yang lain untuk turut sama tampil dan mendedahkan kesalahan-kesalahan yang berlaku.

Sementara itu, kebanyakan praktik whistleblowing biasanya akan memberikan kesan libasan (backlash) kepada mereka yang mendedahkan kesalahan tersebut. Jika ditanggapi dalam konteks Malaysia, kesan libasan ini mempunyai potensi yang lebih besar untuk berlaku memandangkan Malaysia tidak mempunyai undang-undang khas yang melindungi individu yang mendedahkan maklumat. Dalam hal ini individu yang mendedahkan maklumat atau whistleblower tersebut akan terdedah kepada pelbagai bentuk bahaya termasuklah diskriminasi, kedudukan dalam organisasi tergugat, ugutan, atau ancaman.

Beberapa kajian berkenaan praktik whistleblowing di dalam organisasi telah dilakukan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Kedah dan Perlis. Kajian yang telah dilakukan ke atas JKDM Kedah dan Perlis mendapati bahawa daripada seramai 153 responden yang terlibat, hanya 30.7 peratus (47 orang) sahaja yang pernah membuat laporan tentang perlakuan tidak beretika yang wujud dalam organisasi. Walaupun praktik whistleblowing merupakan suatu tindakan yang positif, tetapi penerimaannya dalam kalangan masyarakat masih lagi berada di tahap yang rendah.  Daripada penyataan tersebut, dapat disimpulkan beberapa faktor yang dapat dilihat sebagai penyumbang utama kepada keengganan responden yang terlibat untuk tampil membuat aduan berkenaan salah laku atau kelakuan tidak beretika yang berlaku dalam organisasi mereka.

Antara faktor yang paling dominan ialah responden-responden tersebut berasakan ianya bukan merupakan satu tanggungjawab untuk melaporkan salah laku yang berlaku dalam organisasi mereka. Min skor tertinggi yang diperoleh iaitu 3.92 dan 3.84 (setuju) mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menyokong laporan yang hendak dibuat. Justeru, dapat dilihat bahawa dalam satu-satu organisasi atau kelompok masyarakat, individu – individu yang berada didalamnya sendiri masih lagi belum memiliki kesedaran tentang kepentingan untuk membasmi perkara-perkara yang melanggar etika (Zawiyah et.al., 2005).

Sebagai contoh, JKDM telah pun mewujudkan peraturan dan prosedur berkenaan dengan praktik whistleblowing dalam organisasi iaitu melalui perintah tetap perjawatan pada Julai 2004 di bawah tajuk peranan penggerak etika (whistleblower) di JKDM. Perintah tetap perjawatan tersebut memberi panduan yang jelas tentang prosedur untuk membuat aduan secara dalaman dan juga faedah yang akan diperoleh. JKDM juga turut mewujudkan beberapa insentif yang akan diberikan kepada individu yang bertindak untuk mendedahkan salah laku yang berlaku seperti pertimbangan untuk kenaikan pangkat, sijil penghargaan, dan
keutamaan untuk menghadiri kursus-kursus tertentu. Kajian terhadap JKDM negeri Kedah dan Perlis juga turut mendapati bahawa kebanyakan responden cenderung untuk membuat aduan di peringkat dalaman organisasi berbanding melaporkannya kepada pihak luar seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Pengaduan Awam (BPA), dan media (Zawiyah, 2004). Langkah ini dapat ditanggap sebagai satu langkah yang baik yang mana di samping memastikan kelancaran pentadbiran organisasi, persepsi masyarakat luar terhadap organisasi juga dapat dijaga dalam masa yang sama. Institut Integriti Malaysia (IIM) telah melakukan kajian untuk memperoleh Indeks Persepsi Integriti Nasional. Indeks tersebut dibangunkan untuk mengukur tahap kefahaman dan persepsi masyarakat terhadap gejala rasuah, kualiti penyampaian perkhidmatan awam, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial, kemantapan institusi keluarga dan komuniti, kualiti hidup masyarakat serta budi bahasa di Malaysia.

LANGKAH PENINGKATAN PRAKTIK WHISTLEBLOWING

Kajian ini mendapati bahawa anggota PDRM Perak mempunyai tanggapan yang positif terhadap amalan whistleblowing dan integriti anggota PDRM. Bagi menggalakkan amalan ini dalam organisasi, terdapat beberapa langkah yang dapat diambil : -

Memberi Pendedahan Tentang Peranan Penggerak Etika Melalui Amalan Whistleblowing
Pihak pengurusan organisasi perlu memberikan pendedahan yagn meluas tentang peranan dan tanggungjawab sebagai seorang penggerak etika melalui amalan whistleblowing kepada organisasi dan masyarakat. Pendedahan seperti ini membolehkan aduan dibuat melalui saluran yang betul serta berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan sekaligus menjamin kerahsiaan dan melindungi pengadu di samping pemberian insentif.

Melaporkan Tindakan Kes Yang Telah Selesai Disiasat
Pihak pengurusan organisasi perlu mengambil tindakan segera dan menyiasat laporan yang diterima daripada pekerja. Organisasi seterusnya perlu membuat makluman berkala tentang perjalanan penyiasatan untuk pengetahuan ahli organisasi.

Aspek Perlindungan Perlindungan kepada pembuat aduan (whistleblower) penting khususnya dari aspek undang-undang.
 Hal ini bagi memberikan keyakinan kepada pengadu bahawa keselamatan mereka terjaga dan terlindung daripada sebarang kesan buruk akibat laporan yang telah dibuat. Identiti pengadu juga perlu dirahsiakan agar tidak menerima ancaman atau sebarang bentuk diskriminasi sama ada dari dalam mahupun luar organisasi. Mekanisme dan Prosedur Penyediaan mekanisme dan prosedur aduan yang jelas serta teratur dapat menggalakkan anggota untuk membuat aduan. Dua langkah awal yang dapat dilaksanakan ialah pewujudan akta berkaitan whistleblowing dan penubuhan urusetia bagi mengelola praktik tersebut.
RUMUSAN
Kajian ini mendapatai bahawa anggota PDRM Perak mempunyai persepsi yang positif terhadap amalan whistleblowing. Responden-responden yang memberi maklumbalas secara amnya tidak menolak amalan whistleblowing dalam perkhidmatan PDRM. Anggota PDRM Perak walaubagaimanapun mempunyai persepsi yang pelbagai terhadap kesan membuat aduan. PDRM selaku badan penguatkuasa yang sentiasa berhubungan langsung dengan masyarakat sentiasa terdedah kepada tanggapan-tanggapan yang pelbagai. Oleh hal yang demikian, galakan terhadap amalan whistleblowing yang mampu menyumbang kepada peningkatan integrity merupakan satu langkah penting dalam memperbaiki imej PDRM di mata masyarakat selanjutnya meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap badan penguatkuasaan ini.
RUJUKAN
Whistleblowing.” 41: 267-281. Glazer, M. P. and Glazer, P.M. (1989). The Whistleblowers: Exposing Corruption in improvement of the Malaysian police from the perspective of the Royal Commission Report.
Journal of Law and Conflict Resolution, 1 (4). 072-078. Strategic management and improvement of the Malaysian police from the Miceli, M. P., Near, J., Dworkin, T,. 2013. Whistle-Blowing in Organizations New York: Taylor & Francis Group. Nadrah,
Kamaruzaman, Kadir, & Jusoff. 2009. The Royal Commision Report for strategic management and improvement of the Royal Malaysian Police. Management Science and Engineering , 3 (3). pp. 28-37. Near, J.P. and Micelli M.P. 1985.
 Organizational Dissidence: The case of whistleblowing. Journal of Business Ethics, 4: 1-6. New Straits Time. Report of the Royal Commission to Enhance the Operation and Management of the Royal Malaysia Police. (2005). Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Kajian: Pengalaman, Persepsi dan Faktor Penggalak ‘Whistleblowing’ DiKalangan Pegawai Kastam Kedah dan Perlis.

Comments

Popular posts from this blog

CONTOH KERTAS KERJA PROJEK KHIDMAT MASYARAKAT : ANAK YATIM

KOMUNIKASI

PENTADBIRAN KEWANGAN KERAJAAN MALAYSIA