BEEB 1013 PRINSIP EKONOMI
1.0 Pengenalan
Pengangguran ialah satu fenomena
dimana seseorang yang boleh bekerja dan mahu bekerja tetapi tidak dapat
mendapat pekerjaan. Mereka ini digolongkan dalam tenaga buruh sesebuah negara,
iaitu mereka yang berumur 16 ke 64 tahun dan sanggup bekerja. Isu pengangguran
telah menjadi satu isu sensitif kepada masyarakat terutama golongan siswazah.
Namun, ada banyak pihak yang beranggapan isu ini bukan sahaja melibatkan siswazah
tetapi golongan lain juga.
Dalam
masyarakat di mana kebanyakan orang boleh mencari nafkah dengan bekerja dengan
orang lain, pengangguran adalah masalah serius. Kesan negatifnya termasuk
kehilangan, perasaan ditolak dan kegagalan peribadi, dan kerana itu
pengangguran digunakan secara secara meluas untuk mengukur kebajikan pekerja.
Kadar pekerja yang menganggur juga menunjukkan tahap kecekapan penggunaan
sumber manusia sesebuah negara dan menjadi indeks bagi aktiviti ekonomi.
Menurut
perangkaan utama tenaga buruh negara
yang dikeluarkan bagi bulan Ogos 2015 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia
menunjukkan peningkatan 0.3 mata peratus kepada 67.8 peratus berbanding bulan
sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan penduduk bekerja dalam
pasaran buruh sebanyak 0.7 peratus kepada 13.9 juta orang. Perbandingan tahun
ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.7 mata peratus
berbanding 67.1 peratus pada Ogos 2014. Kadar pengangguran kekal 3.2 peratus
seperti bulan sebelumnya. Perbandingan tahun ke tahun pula, kadar pengangguran
bulan semasa meningkat 0.5 mata peratus. Kadar pengangguran pelarasan bermusim
adalah 3.3 peratus, kekal pada kadar sama seperti bulan sebelumnya[1].
Pengangguran
dalam kalangan siswazah merupakan salah satu isu yang sering dibincangkan sejak
beberapa tahun kebelakangan ini. Penubuhan lebih banyak Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) oleh kerajaan dan penyertaan pihak swasta dalam sector pendidikan
memberi impak yang sangat besar ke atas pembangunan dan perubahan negara. Perkembangan
yang berlaku menyebabkan wujudnya peningkatan jumlah tenaga kerja negara dalam
pasaran pekerjaan walhal permintaan terhadap tenaga kerja tidak tumbuh seiring
penawarannya. Berdasarkan statistik sehingga Disember 2010, didapati jumlah tenaga
buruh negara adalah seramai 12,059,000 orang. Daripada jumlah tersebut,
terdapat seramai 391,400 orang atau 3.25 peratus daripada jumlah tenaga buruh
yang menganggur di Malaysia. Seramai 32,000 orang atau 8.2 peratus daripada
jumlah penganggur berkenaan terdiri daripada siswazah yang telah menamatkan pengajian
iaitu sebanyak 21,760 orang atau 68 peratus terdiri daripada perempuan dan
10,240 orang atau 32 peratus adalah lelaki yang sedang aktif mencari pekerjaan
(Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010)[2].
2.0 Definisi
pengangguran
Penganggur
didefinisikan sebagai seorang individu (tenaga buruh) yang berumur dalam
likungan 16 tahun hingga 64 tahun yang tiada pekerjaan tetapi mampu bekerja dan
mahukan pekerjaan. Terkecuali mereka yang berumur dibawah 16 tahun dan diatas
64 tahun termasuk pelajar, surirumah, orang cacat dan sebagainya yang merupakan
penduduk yang tidak sanggup bekerja.
Pengangguran pula didefinisikan sebagai satu
permasalahan yang kepada tenaga buruh tetapi tidak menyumbang kepada keluaran
negara. Oleh itu pengangguran boleh di definisikan sebagai masalah tenaga buruh
yang tidak melakukan sebarang aktiviti ekonomi tetapi sedang giat mencari
pekerjaan dalam ekonomi.
Pengangguran
merupakan satu penyakit era globalisasi yang semakin menular ke negara ini.
Saban tahun negara kita dikejutkan dengan isu kegagalan belia terutama golongan
siswazah untuk memperoleh pekerjaan. Malah, berita ini sudah dianggap menjadi
satu isu yang akan menjelma setiap kali keputusan peperiksaan umum negara
diumumkan atau konvokesyen sesebuah universiti dijalankan.
Kajian
Okun’s (1970), telah mendapati wujud hubungan yang songsang antara pengangguran
dan keluaran negara kasar (KNK). Dalam kajiannya mendapati penurunan 1% dalam
pengangguran akan meningkatkan (KNK) potensi sebanyak 2-3%. Susulan itu banyak
kajian-kajian serupa turut dilakukan bagi membuktikan kebenaran peraturan
Okun’s. Antaranya ialah Dornbusch, Fischer dan Startz(2001) dan Downes (1998)[3]
. Kesimpulan mudah yang dinyatakan ialah orang yang tidak bekerja tidak
menyumbang kepada pengeluaran dan seterusnya tidak menyumbang kepada
pertumbuhan pengeluaran dalam negara. Kajian empirikal yang dijalankan oleh
Farzad Farsio(2003) turut menyokong peraturan Okun’s[4]. Walau bagaimanapun
terdapat juga beberapa kajian yang bercanggah dengan peraturan Okun’s.
Antaranya ialah Prachowny (1993), Blinder’s (1997) dan Altig,Fitzgerald dan
Rupert’s (1997)[5]. Kajian mereka mendapati wujud hubungan yang positif antara
pengangguran dan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Mereka mendapati bahawa
perubahan dalam output mempunyai hubungan dengan produktiviti buruh.
3.0 Jenis-jenis
pengangguran
Pengangguran
boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah pengangguran geseran
atau normal. Pengangguran ini berlaku untuk sementara waktu sahaja. Pekerja
tidak puas hati dengan pekerjaan sekarang dan sedang berusaha untuk mencari
pekerjaan lain yang lebih baik.
Pengangguran kedua ialah pengangguran
struktur. Pengangguran ini berlaku disebabkan perubahan struktur ekonomi dalam
sesebuah negara. Pada masa dahulu sektor pertanian memainkan peranan penting
dalam menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada tenaga buruh. Dengan
perkembangan sektor industri dan pembinaan, penyumbang terbesar dalam
penyediaan peluang pekerjaan telah beralih ke sektor tersebut. Oleh kerana
sebilangan tenaga buruh tidak mempunyai kelayakan dan kemahiran maka berlakulah
pengangguran.
Perubahan sektor ini juga berlaku kerana
kurangnya penawaran dari sektor pertanian atau terdapat kekurangan permintaan
terhadap keluarannya. Kekurangan permintaan ini adalah disebabkan berlakunya
peningkatan kos pengeluaran, persaingan, terdapatnya keluaran baru dalam
pasaran dan sebagainya. Yang ketiga pula ialah pengangguran kitaran atau
edaran. Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya kemelesetan teruk dalam
permintaan agregat. Pengurangan permintaan agregat ini akan mengurangkan
pengeluaran dan seterusnya akan mengurangkan penggunaan tenaga buruh oleh
pengeluar. Kemerosotan permintaan agregat yang disebabkan oleh kemelesetan
ekonomi dan berlakunya inflasi akan menyebabkan kuasa beli isi rumah merosot.
Keempat
pula ialah Pengangguran teknologi. Pengangguran teknologi berlaku apabila
penggunaan tenaga buruh dalam proses pengeluaran telah diambil alih oleh mesin dan
robot. Ini disebabkan berlakunya perkembangan teknologi yang telah berjaya
mencipta alatan yang lebih baik untuk meningkatkan pengeluaran dengan kos
pengeluaran yang semakin berkurangan.
Jenis
pengangguran yang kelima ialah pengangguran tersembunyi atau tidak ketara.
Pengangguran ini berlaku apabila terdapatnya lebihan penggunaan tenaga buruh
dalam sesuatu ekonomi. Pengangguran ini kebanyakkannya berlaku dalam sektor
pertanian. Kehadiran tenaga buruh yang berlebihan ini tidak akan menambahkan
pengeluaran dan ketiadaan tenaga buruh ini juga tidak akan menjejaskan
pengeluaran.
Seterusnya
yang keenam ialah pengangguran bermusim. Pengangguran bermusim berlaku apabila
berlakunya perubahan musim yang menghalang tenaga buruh melakukan kegiatan
ekonomi. Misalnya, pesawah padi tidak turun ke bendang apabila selesai musim
menuai dan terpaksa tunggu hingga musim menanam semula. Nelayan pula tidak
turun ke laut untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh.
Jenis pengangguran yang ketujuh ialah
pengangguran sukarela atau terbuka. Pengangguran ini berlaku apabila tenaga
buruh secara sukarela enggan bekerja apabila ditawarkan pekerjaan. Ini
disebabkan oleh pekerjaan yang ditawarkan tidak sesuai dengan kelulusan,
kemahiran, pengalaman dan sebagainya dengan tenaga buruh.
Justeru,
belia yang tidak bekerja akan mengambil peluang ini untuk mencuba nasib mereka
sebagai ahli perniagaan.Sebenarnya, masalah pengangguran ini bukanlah satu isu
baru. Cuma masyarakat harus berfikiran positif dan cuba meninggikan kemahiran
diri mereka. Dunia pekerjaan sering berubah mengikut teknologi dan mereka yang
sering meningkatkan kemahiran sahaja mampu duduk di tempat yang sama sepanjang
hidup mereka. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
4.0 Cara pengiraan
kadar pengangguran
Kadar
pengangguran boleh dikira dengan menggunakan satu kaedah yang direka khas.
Seseorang yang melakukan apa saja kerja bagi minggu itu dan mendapat bayaran
atau keuntungan, bekerja 15 jam atau lebih sebagai pekerja tak berbayar dalam
perniagaan keluarga, atau mempunyai kerja di mana dia tidak hadir sementara,
dikira sebagai mempunyai pekerjaan.
Pengangguran
boleh dihitung dengan cara:
Pengangguran
= tenaga buruh – guna tenaga
Guna
tenaga adalah tenaga buruh yang bekerja dalam sesebuah ekonomi. Oleh itu beza antara
jumlah tenaga buruh dengan guna tenaga adalah pengangguran. Jumlah pengangguran
dalam sesebuah negara biasanya dinyatakan dalam bentuk kadar. Pengiraan kadar
pengangguran dikira dengan jumlah mereka yang menganggur kemudian dibahagikan
dengan jumlah orang dalam tenaga buruh (iaitu jumlah mereka yang bekerja dan
tidak bekerja).
5.0 Faktor berlakunya pengangguran
Terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan berlakunya pengangguran dikalangan penduduk di muka bumi ini.
Antaranya ialah keadaan ekonomi negara yang merudum. Situasi ini menyebabkan
banyak syarikat atu kilang terpaksa gulung tikar dan membuang pekerjanya. Bukan
sahaja mereka dibuang kerja tetapi mereka juga sukar untuk memperoleh kerja
dalam tempoh yang terdekat akibat tiadanya aktiviti ekonomi di negara. Malah
ekonomi dunia bukan sahaja memberi kesan terhadap ekonomi negara tetapi
mengambil masa yang lama untuk pulih seperti peristiwa kejatuhan ekonomi pada
akhir dekad 90-an. Ini menyebabkan peluang pekerjaan kepada siswazah menjadi
terhad.
Mungkin
juga faktor malas menjadi pendorong wujudnya masalah ini. Sikap belia yang
hidup ketika era pembangunan pesat menyebabkan belia mengambil konsep tunggu
dan lihat. Mereka hanya bertindak apabila keadaan mendesak atau sudah terlewat.
Mereka menganggap pertumbuhan ekonomi negara akan berterusan maju tanpa
sebarang masalah. Mereka juga sudah terlalu lama menerima bantuan kerajaan
seperti pemberian biasiswa dan menganggap kerajaan akan memberi mereka
pekerjaan selepas tamat belajar. Berdasarkan kajian yang dihasilkan oleh sebuah
syarikat Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd melalui pengurusnya Sam Haggang
mendapati [6] :
Ø 3
daripada 5 graduan universiti akan mengambil masa lebih daripada 6 bulan bagi
mengisi jawatan kosong yang ada di Malaysia.
Ø Manakala
40% yang lain, mengambil masa lebih lama untuk mengisi jawatan kosong yang ada.
Selain
itu, pengangguran turut disebabkan oleh sikap belia yang tidak mempunyai
kemahiran. Belia kita hanya didedahkan dengan konsep teori baik ketika di
sekolah mahupun ketika di universiti. Akibatnya, belia kita kekurangan
kemahiran berfikir, menganalisa sesuatu, berbicara dalam pelbagai bahasa, dan
mempunyai kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Biasanya, majikan akan
memilih pekerja yang mereka beranggapan mempunyai keunikan yang tertentu
terutama penguasaan bahasa asing dan pengetahuan komputer
Selain itu, sebahagian besar faktor
pengangguran itu membabitkan graduan
sendiri seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian dimiliki graduan,
kekurangan kemahiran berkomunikasi, kelemahan menulis dan bertutur dalam Bahasa
Inggeris. Hasil kajian
yang dihasilkan oleh Jobstreet menunjukkan di sini terdapat beberapa faktor
menyebabkan ramai graduan universiti di luar yang masih menganggur. Antara puncanya
ialah [7] :
Masalah
penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah : 56%
Masalah
sikap dalam diri yang teruk : 37%
Mengharapkan
gaji yang tidak realistik : 33%
Kemahiran
yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran : 30%
Terlalu
memilih kerja dan syarikat : 28%
Tiada
kemahiran menyelesaikan masalah : 26%
Tahap
pengetahuan yang lemah : 24%
Melihatkan
kepada faktor masalah graduan universiti menganggur yang semakin bertambah
saban tahun ditambah dengan kehendak majikan hari ini, terdapat “masalah yang
terus bernanah” yang masih belum mampu dirawati sehingga ke hari ini kepada kalangan
anak muda. Melihat kepada laporan International Student Assessment (PISA) yang
menilai kepada kemahiran dan kekreatifan menyelesaikan sesuatu masalah pada
tahun 2012 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 39 daripada 44 negara [8] :
Ø Anak
muda di Malaysia dilihat tidak disediakan persekitaran yang kondusif dan juga
tidak dilatih kemahiran yang benar-benar diperlukan di tempat kerja kelak
Ø Daripada
100 anak muda di Malaysia, hanya 1 orang sahaja yang mampu menyelesaikan
masalah yang paling kompleks berbanding 1 daripada 5 anak muda dari Singapore.
Jepun dan juga Korea Selatan
Selain
itu ada graduan enggan berhijrah dari kampung halaman dan terlalu memilih
tempat bekerja manakala sebahagian lagi mengharapkan gaji tinggi. Pada masa
sama, kebanyakan majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai satu syarat
pengambilan.
Seterusnya
kurang penguasaan bahasa inggeris. Apabila penguasaan terhadap bahasa inggeris
ini berkurangan ,maka ini adalah kelemahan bagi para siswa dan siswazah melayu
terutamanya untuk bersaing di bahagian penswastaan. Oleh itu, ramai yang
merebut peluang untuk memasuki masuk
sektor kerajaan. Jika bahasa inggeris sudah berada didalam tangan, maka kita
boleh mencuba nasib di sektor swasta dan mula bersaing dengan bangsa-bangsa
yang lain seperti kaum cina dan india. Bahasa inggeris juga sama pentingnya
seperti bahasa tambahan yang lain iaitu bahasa mandarin dan bahasa arab.
Faktor
gaji yang rendah dan kurang menarik juga menyebabkan siswazah terlalu memilih
pekerjaan. Contohnya dalam industri ICT, hasilnya amat menyedihkan merujuk
kepada kajian yang dilakukan oleh PIKOM dan juta Portal Jobstreet pada Jun 2014
mendedahkan berlakunya jurang gaji dan pendapatan yang besar melibatkan
profesional ICT di Malaysia berbanding negara-negara lain seperti China, Hong
Kong, Vietnam, Singapore, Thailand.
Hakikatnya,
profesional Malaysia dibayar pada gaji dan pendapatan yang rendah dibandingkan
negar-negara Asia Pasifik yang lain pada paras antara 10% – 30% lebih rendah
berbanding negara-negara jiran serantau kita[ 9].
Pihak
institusi pengajian juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan para
graduan mudah mendapat pekerjaan. Namun begitu,terdapat kelemahan pihak
institusi pengajian yang menyebabkan para graduan menganggur selepas tamat
pengajian. Kekurangan latihan industri yang disediakan oleh pihak institusi
pengajian dengan kerjasama syarikat-syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan
tidak membantu graduan mengharungi cabaran-cabaran industri. Oleh itu siswazah
tidak mendapat pendedahan awal berkaitan dengan prospek pekerjaan dan tidak
dapat memenuhi standard yang telah ditetapkan oleh dunia luar. Kesannya tahap
saing siswazah adalah rendah dan tidak dapat menandangi persaing daripada
institusi yang lain yang banyak memberi latihan industri.
6.0 Kesan-kesan
pengangguran
Pengangguran
yang berlaku dalam sesebuah negara akan
menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial. Kesan ekonomi termasuk
mengurangkan keluaran negara, menurunkan taraf hidup dan sekaligus melambatkan
pembangunan negara. Dengan pengangguran yang tinggi juga boleh meningkatkan
kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.
Selain
itu, pengangguran boleh menyebabkan manusia didalam belenggu kesempitan.
Walaupun ada diantara mereka yang mempunyai kemahiran yang baik tetapi tiada
pekerjaan, mereka sukar untuk menjalani hidup seperti biasa. Ini kerana mereka
harus pandai menggunakan wang yang ada untuk perkara keperluan sahaja. Ini
mungkin akan memberi kesan kepada diri mereka yang tidak dapat memuaskan diri
dari segi memiliki sesuatu yang mereka
ingini. Tambahan pula, barangan keperluan semakin hari semakin naik harga.
Jumlah orang yang bekerja dalam sesebuah keluarga yang besar mungkin sedikit.
Oleh itu, masalah ekonomi mereka jelas dapat kita lihat.
Seterusnya
kesan kepada sosial. Kesan pengangguran terhadap sosial termsuk pengaruh
negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh membawa
kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada peningkatan
jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada keyakinan
diri. Tambahan pula, Peningkatan kejadian anti sosial dalam masyarakat. Akibat
dari masalah kewangan yang dihadapi oleh pengangguran, maka mereka sanggup
melakukan rompakan, pembunuhan dan lain-lain kegiatan anti sosial untuk
mendapatkan wang.
7.0 Langkah-langkah
mengatasi pengangguran
Seorang
rakyant yang prihatin terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling, kta
haruslah memikirkan cara untuk mengatasi bagaimana untuk mengurangkan kadar
pengngguran dikalangan masyarakat pada zaman ini. Antara cara mengatasinya
ialah ibubapa haruslah memberi semangat yang padu kepada seseorang individu
agar tidak berputus asa untuk mencari pekerjaan. Juga, masyarakat sekeliling
haruslah peka sekiranya terdapat anak remaja atau sesiapa sahaja yang tiada
pekerjaan, bolehlah membantu mereka dangan hati yang terbuka.
Selain
itu, kementerian haruslah mengkaji semula penawaran kursus di universiti
terutamanya sukatan pelajaran kursus universiti dikaji dari semasa ke semasa.
Tambahan lagi, kursus yang ditawarkan mestilah diselaraskan dengan keperluan
pasaran kerja. Penekanan haruslah diberikan kepada kemahiran dan amali supaya
kursus universiti menjadi lebih praktikal.
Era globalisasi ini, kita haruslah mengubah
sikap iaitu sikap memilih pekerjaan haruslah dikikis. Kita juga harus pandai
menceburi bidang mengikut permintaan pasaran pekerjaan. Untuk memantapkan
kemahiran kita, kita wajar mengikuti latihan semula siswazah dalam pelbagai
kemahiran seperti kemahiran berbahasa, latihan pengurusan dan sebagainya untuk
memenuhi kehendak pasaran kerja. Sebaiknya, kita haruslah mengubah amalan
paradigma lama, iaitu mahu sanggup berdikari dalam menjalankan pekerjaan.
Pihak
kerajaan juga memudahkan urusan pembiayaan perniagaan terutamanya kepada
golongan belia. Pihak bank sendiri telah memudahkan urusan untuk mendapatkan
pinjaman peribadi untuk membantu belia memulakan perniagaan mereka secara
kecil-kecilan. Langkah drastik ini memastikan lebih banyak industri kecil dan
sederhana mampu diwujudkan dan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik
dalam tempoh terdekat ini.
Oleh
itu, bagi mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia, program latihan Skim
Latihan Graduan (SLG) telah dilaksanakan oleh kerajaan. Namun, apa yang menarik
perhatian pengkaji adalah berkenaan pelaksanaan program tersebut. Adakah
program latihan berkenaan dapat mengurangkan kadar pengangguran yang wujud
dengan kesesuaian program latihan yang disediakan dan adakah pelaksanaannya
memenuhi keperluan majikan pada masa kini atau sebaliknya. Tambahan pula,
pelaksanaan program latihan SLG adalah berteraskan kepada modul yang telah
ditetapkan oleh kerajaan. Tempoh masa latihan yang perlu diikuti oleh pelatih
yang berdaftar adalah selama enam bulan dengan jumlah elaun yang diterima
adalah sebanyak RM600 bagi graduan sarjana muda dan RM500 bagi lepasan diploma.
Keberkesanan program latihan yang disediakan kepada graduan sama ada lepasan
sarjana muda mahupun diploma yang mengikuti SLG berkenaan mengambil kira
petunjuk kepasaran graduan iaitu dalam tempoh enam bulan setelah tamat
menjalani latihan (Mohd Yahya & Roseliza 2002)[10].
Dalam
masa yang sama ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high
order thinking) dan kreatif. Menyedari hakikat bahawa pendidikan yang
berkualiti dan cemerlang merupakan wahana untuk membangunkan generasi alaf
baru, sistem pendidikan negara memerlukan usahausaha strategik yang boleh
meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang tinggi dan
cemerlang serta memerlukan perubahan sejajar dengan perubahan ekonomi, budaya
dan politik. Sikap leka dan alpa juga boleh menyebabkan seseorang individu
terpinggir dan disingkirkan. Oleh itu, sumber manusia yang merupakan aset
negara utama perlu digilap dan dilatih untuk memaksimumkan tahap pengetahuan
dan kemahiran mereka. Transformasi pendidikan harus diteruskan untuk melahirkan
masyarakat yang mendokong wawasan negara dalam menuju wawasan 2020 iaitu negara
perindustrian yang berteknologi tinggi (Mohd Yusof & Ishak 2002)[11].
Peranan kaunseling kerjaya dalam mengatasi
masalah pengangguran. Kaunselor sentiasa bersedia bagi memikul pelbagai peranan
meliputi kepelbagaian perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat dan orang
awam. Tugas utama seorang kaunselor adalah mengendalikan sesi individu,
kelompok ataupun keluarga berkaitan masalah peribadi, interpersonal ataupun
kerjaya. Tugas-tugas sampingan mereka agak berbeza daripada tugas utama pula adalah
penglibatan mereka dalam program-program pendidikan, membuat penilaian dan
diagnosis serta menangani krisis intervensi. Bagi memastikan matlamat dan
objektif perkhidmatan bimbingan dan kaunseling tercapai, kaedah penyampaian
perkhidmatan kepada kumpulan sasaran adalah penting. Keberkesanan perkhidmatan
kepada kumpulan sasaran adalah penting. Keberkesanan perkhidmatan dapat
mewujudkan pelajar yang seimbang, berjiwa besar dan waja, berwawasan serta
keterampilan. Usaha-usaha membina insan yang terus maju ke arah hidup yang
bermakna bagi kesejahteraan diri, masyarakat dan negara perlu
dilaksanakandengan secara seimbang dalam semua bidang..
Terdapat
pelbagai teori kerjaya yang telah dibangunkan yang menjadi asas pengkaji dalam
kajian mereka terhadap bidang kerjaya. Antara teori tersebut ialah teori
kerjaya Islam, teori pemilihan kerjaya yang menggunakan pendekatan struktur
yang memberikan penekanan kepada proses yang terlibat dalam pemilihan kerjaya
yang mempunyai struktur yang amat jelas seperti teori Tret dan Faktor, teori
Holland, teori Anne Roe dan teori Psikonalitik Bordin (Sidek Mohd Noah, 2002)[12].
Manakala teori Super yang diasaskan oleh Donald E.Super pula lebih dikenali
menggunakan pendekatan proses.
Contohnya,
Teori kerjaya Islam. Teori Kerjaya Islam ini telah cuba dibangunkan oleh Sidek
Mohd Noah (Sidek Mohd Noah, 2002). Teori ini melihat kerjaya sebagai satu
kepentingan material dalam aktiviti kehidupan manusia di muka bumi. Tanpa asas
kerjaya yang mantap dan kukuh, mungkin keseimbangan antara fitrah semulajadi
manusia sama ada dari segi jasmani dan rohani atau antara mental dan emosi akan
terganggu. Allah disamping menyuruh manusia beribadah kepada-Nya dengan tekun
dalam masa yang sama menyeru manusia berusaha mencari rezeki yang halal.
Bekerjaya adalah sunnah para Rasul terdahulu tanpa mengira taraf pekerjaan
tetapi yang penting ianya adalah pekerjaan yang halal.
8.0
Kesimpulan
Kesemua pihak harus berganding bahu untuk
menyelesaikan masalah pengangguran terutamanyadi kalangan siswazah.Tabungan
Usahawan Siswazah haruslah ditubuhkan untuk melatih semula dam memberi khidmat
nasihat termasuk pinjaman bagi membolehkan para siswazah memulakan perniagaan
dan mengisi kekosongan mengikut pasaran pekerjaan. Kesimpulannya bagi mengatasi
masalah ini, kita harus mengharunginya dengan sahsiah yang positif dan berusaha
mencari jalan untuk menanganinya.
Usah
berada ditangkuk yang lama dan mengadu akan nasib kita yang malang, tetapi
sebaliknya hadapi rintangan itu dengan berani.Mendapatkan ilmu yang lebih tidak
akan membebankan kita, malah ia boleh memanfaatkan kita, terutama sekali dalam
mendapatkan pekerjaan baru kerana pilihan pekerjaan kita tidak akan terkongkong.
Justeru,
kita harus berusaha untuk mengatasi masalah.Jikalau kita tidak menyelenggarakan
hidup kita, siapa pula akan melakukannya? Pokoknya, kita harus sentiasa ingat
yang kita sendiri yang boleh mengubah nasib kita kerana kitalah pengelola dan
pengendali hidup kita sendiri. Dalam masa yang sama, janganlah berputus asa.
Gagal itu merupakat langkah kepada kejayaan.
Secara amnya, mereka yang menganggur harus mengorak langkah menuju ke
mercu kejayaan dengan mempertingkatkan nilai diri mereka dengan mempraktikkan
budaya pembelajaran seumur hidup, terutama sekali mempelajari kemahiran baru
yang boleh menjadi aset negara.
Comments