SADN 1043 HUBUNGAN ETNIK
PENGENALAN
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya
terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa
kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara
masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dalam mengekalkan
keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang
tersendiri di Malaysia. Malaysia pada hari ini
didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah.
Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa,
agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan
oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan
struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak
begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu
ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil
bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan
masayarakat majmuk.
J.S.Furnivall
merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan
kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat
majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa
dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah
sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan
interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka
hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan
dilakukan atas garis-garis ras.
Idea
Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh
sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan
satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga
menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya,
perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk
dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri.
Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan,
bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L.
Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep
masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat
dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan
budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.
Ketiga-tiga
tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam
masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional
yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai
bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea
atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau
bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk
membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba
memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk
konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.
ANALISIS SEJARAH PENDUDUK MALAYSIA
Sebelum
abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi
oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi
daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga
kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak
masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa
yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).
Pada
awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia
disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik
yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang
bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini.
Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar
dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit
sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku.
Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi
daripada luar terutamanya daripada China dan India.
Kemasukkan
masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan
masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah.
Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial
Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu
ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya
dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan
masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat
luar.
Migran
kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka
berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga
mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar.
Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong
penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu
ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris.
Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris
berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.
Selain
migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga
menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon.
Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China
dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan
(Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan
yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga
berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar.
Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya
terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan
negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19
berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan
British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan
mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang
mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
Setelah
kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk
yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada
mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan
seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa
13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan
mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh
daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah
sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak
pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana
yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).
Campur
tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau
Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran
daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial
British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786
hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang
dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak
mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk.
Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada
masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan
India sebagai komponen utamanya.
Setelah
kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan
India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya
yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi
bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan
penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran
seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan
penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India,
Melayu-Cina dan lain-lain.
CARA KEMASUKAN KAUM
CINA
Masyarakat
imigran China datang dari pelbagai wilayah dan beragam sifatnya. Situasi ini
sahaja menunjukkan sifat majmuk itu sendiri sememangnya telah ada dalam diri
mereka. Mereka yang datang ke Tanah Melayu ini berasal dari daerah atau kumpulan yang tertentu. Hal ini menyebabkan
setiap kumpulan ini mempunyai identiti yang tersendiri. Hal ini terbukti
melalui tiga kawasan asal mereka yang
utama iaitu Kwantung, Funchien, dan Kwangsai.[1] Menurut B.W. Andaya dan L.Y
Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin
keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka
terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina
ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina
sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang
sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang
berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun
angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan
kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.
Bagi
orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak abad
ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang. Menjelang awal
abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah. Penghijrahan orang Cina
ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak dan faktor penarik.
Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan
politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah
Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan sikap
diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak
berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan
Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk memadamkan
perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai orang Cina
terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu.
Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun dan negara-negara
di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia dan lain-lain.
Selain faktor penolak, faktor penarik juga
menyebabkan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Faktor penarik ini telah
berlaku di Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di
Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan
tenaga buruh bagi menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah
salah satu faktor disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan
bandar dan kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di
bawah Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke
Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk
mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.
Dari segi politik, hasil daripada
pemerintahan British yang liberal telah mewujudkan keadaan politik yang stabil.
British juga menggalakkan kedatangan orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan
seperti subsidi tambang dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula
menggalakkan kemasukan buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.
Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses
pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin
bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan
sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu[2]. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu
akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina
Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan
masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat
luar.
CARA KEMASUKAN BURUH
INDIA
Imigran
India datang ke Tanah Melayu melalui dua cara, iaitu sistem buruh kontrak dan
Sistem Kangani.
SISTEM BURUH KONTRAK
Pemilik
ladang akan membuat pesanan jumlah tenaga buruh yang diperlukan kepada seorang
ejen di India. Ejen tersebut akan pergi ke kampung-kampung bagi mendapatkan
buruh-buruh India yang ingin datang bekerja di Tanah Melayu. Kos perjalanan
akan ditanggung oleh pemilik ladang yang membuat pesanan. Di Tanah Melayu,
mereka dikehendaki menandatangani satu kontrak untuk bekerja selama 5 tahun
dengan gaji yang telah tetapkan oleh majikan masing-masing. Di samping itu,
sebahagian daripada gaji mereka akan diserahkan kepada majikan bagi menjelaskan
tambang perjalanan.
Di
bawah sistem ini, buruh India dipaksa bekerja keras di ladang iaitu antara 9
hingga 10 jam sehari dengan bayaran gaji yang rendah iaitu 6 sen sehingga 16
sen sehari. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1820 hingga dihapuskan pada
tahun 1910, kira-kira 250,000 orang buruh India telah dibawa masuk ke Tanah
Melayu melalui sistem ini.
SISTEM KANGANI
Sistem
ini diperkenalkan pada tahun 1898 dan dihapuskan pada tahun 1938 kerana berlaku
kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929-1932. Menurut Sistem Kangani, majikan
akan menghantar seorang Kangani atau mandur dari ladangnya ke India. Di India,
Kangani itu akan kembali ke kampung halamannya. Di sana beliau akan berusaha
mengumpulkan saudara mara, sahabat handai dan penduduk kampung yang ingin
bekerja dan berhijrah ke Tanah Melayu dan semua perbelanjaan mereka ditanggung
oleh Kangani. Melalui sistem ini seramai 300,000 orang buruh India telah dibawa
masuk ke Tanah Melayu sehingga tahun 1938.
SEBAB-SEBAB
PENGHIJRAHAN ORANG INDIA KE TANAH MELAYU.
1. MASALAH KEPADATAN
PENDUDUK
Kepincangan
dan kesengsaraan hidup telah mendorong penghijrahan orang India ke Tanah
Melayu bagi memulakan penghidupan
baru. India menghadapi masalah
kepadatan penduduk yang tinggi, sedangkan keluasan kawasan pertanian tidak
bertambah. Ini telah menyebabkan bekalan makanan tidak mencukupi akibat
kekurangan kawasan pertanian. Akibatnya wujud masalah kemiskinan dan kebuluran
di kalangan penduduk India. Pada tahun 1845, jumlah penduduk India ialah 130
juta orang dan meningkat kepada 390 juta orang pada tahun 1941.
2. BENCANA ALAM
Kejadian
bencana alam seperti banjir dan kemarau turut merumitkan keadaan. Pada tahun
1840-an, kawasan di Selatan India mengalami masalah kemarau yang berpanjangan.
Keadaan ini telah menjejaskan pengeluaran makanan. Kadar kematian meningkat
akibat masalah kebuluran dan merebaknya wabak penyakit. Di samping itu, ramai
petani di India menghadapi masalah kehilangan tanah pertanian kerana terpaksa
menggadaikan tanah untuk membayar cukai kepada Kerajaan Inggeris yang tinggi
dan menjelaskan hutang kepada peminjam wang.
3. AMALAN SISTEM KASTA
Amalan
sistem kasta yang membezakan darjat seseorang individu turut menjejaskan
mobiliti sosial dan ekonomi. Orang India dari kasta bawahan dipandang hina dan
tersisih dari masyarakat. Oleh itu, mereka telah memulakan penghijrahan ke
Tanah Melayu bagi memperbaiki maruah diri. Pada tahun 1931, satu per tiga
daripada jumlah buruh India yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri dari
kasta rendah.
4. PERKEMBANGAN TANAMAN DAGANGAN IAITU PERUSAHAAN GETAH
Perkembangan
Revolusi Perindustrian di Eropah telah membawa kepada perkembangan perusahaan
getah di Tanah Melayu. Di Eropah, getah diperlukan dengan banyak dalam
perusahaan automobil bagi menghasilkan tayar kereta dan getah juga dijadikan
bahan penebat elektrik dalam perusahaan elektronik. Pada awal abad ke-20,
keperluan tenaga buruh dalam sektor perladangan getah adalah tinggi kerana
orang Melayu tidak berminat bekerja di estet-estet getah. Sebaliknya, mereka
menumpukan perhatian terhadap tanaman padi.
Penghijrahan
orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu berlaku antara tahun 1911
hingga tahun 1921. Pada masa itu, harga getah melambung tinggi. Oleh itu,
kawasan tanaman getah telah ditambah dengan banyaknya. Pada tahun 1900, kawasan
tanaman getah ialah seluas 20,250 hektar. Jumlahnya meningkat melebihi lima
kali ganda pada tahun 1938 iaitu seluas 1.3 hektar. Justeru itu, tenaga buruh
India diperlukan dengan banyak selaras dengan pertambahan keluasan ladang atau
estet getah. Pada tahun 1911, imigran India di Tanah Melayu berjumlah 270 ribu
orang. Jumlahnya meningkat kepada 470 ribu orang pada tahun 1921.
Perkembangan pertanian ladang telah
mewujudkan banyak peluang pekerjaan sekaligus mendorong kedatangan imigran
asing ini ke Tanah Melayu secara besar-besaran.[3] Hal ini menyebabkan bilangan imigran India telah
bertambah di Tanah Melayu.[4]
Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British
merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu.
Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah
menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang wujud
dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk bekerja
di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak
menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya
juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu.
5. DASAR KERAJAAN
INGGERIS
Kerajaan
Inggeris di Tanah Melayu menggalakkan kedatangan imigran India ke Tanah Melayu.
Buruh-buruh dari India bersedia untuk bekerja di ladang-ladang getah dengan
bayaran gaji yang rendah. Di samping itu, mereka juga diperlukan untuk menjadi
buruh bagi membina jalan raya dan jalan kereta api sebagai langkah memantapkan
penguasaan ekonomi pemerintah Inggeris di Tanah Melayu.
Sementara
itu, orang Punjabi (Sikh) telah dibawa masuk oleh Inggeris untuk berkhidmat
dalam pasukan polis dan tentera. Golongan yang berpendidikan tinggi digalakkan
datang untuk berkhidmat dengan kerja-kerja pengkeranian dan teknikal. Bagi
menggalakkan kedatangan orang-orang India, Kerajaan Inggeris telah menyediakan
bantuan bagi membiayai kos perjalanan mereka ke Tanah Melayu. Antara tahun 1887
hingga tahun 1892, sejumlah $30 ribu dikeluarkan bagi menanggung kos perjalanan
buruh India menggunakan kapal stim.
Selain
migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga
menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon.
Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China
dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan
(Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagian kepulauan
yang berhampiran dengan Selat Melaka.
Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik
antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar.
Indonesia
Sebelum
pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka
terdiri daripada orang Bugis, orang Jawa dan orang Minangkabau. Pada penghujung
abad ke-19, penghijrahan masuk orang Indonesia ke Tanah Melayu semakin
meningkat. Kesemuanya ini disebabkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang
berlaku di Indonesia. Dari segi sosial, penduduk Indonesia terutama dari Pulau
Jawa dan Sumatera telah bertambah dengan pesat menyebabkan kemiskinan,
kebuluran dan kemerosotan taraf hidup rakyat Indonesia. Sementara itu, tekanan
politik oleh pihak penjajah iaitu Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang
Indonesia ke Tanah Melayu. Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang
dikenakan terhadap orang Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa
menyebabkan mereka berhijrah ke Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, pelbagai cukai
seperti cukai tanah, cukai kepala dan cukai tol telah menambahkan lagi
kesenangan hidup.
Menurut
S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri
daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara
tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19
berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan
British di Ceylon. Faktor ekonomi adalah bukan faktor utama penghijrahan
mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang
mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
HUBUNGAN
ETNIK DAN CABARAN
Pelbagai usaha dirancang
dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara
ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik.
Umumnya, cabaran dibahagikan kepada dua elemen utama iaitu cabaran internal dan
external seperti berikut: -
(i)
Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri
sendiri dan memperjuangkan hak etnik masing-masing serta cuba menidakkan etnik
Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini memberi cabaran hebat kepada
hubungan etnik di negara ini. Tindakan pihak ketiga mencetuskan rasa tidak puas
hati semua pihak yang pastinya mengundang kepada perpecahan.
(ii)
Dasar “pecah dan perintah” oleh British memberi
implikasi kepada hubungan etnik sehingga kini. Etnik Melayu, Cina dan India
terasing dari segi penempatan dan jenis pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan
interaksi di kalangan etnik amat kurang khususnya yang tinggal dalam wilayah
berbeza. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari
aspek lokasi berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan
hubungan etnik di Malaysia.
(iii)
Sistem pendidikan yang tersendiri memperlihatkan
tentang dominasi mengikut kepentingan etnik masing-masing. Pelajar Melayu
menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu.
Pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin
sebagai bahasa perantaraan. Pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan
menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Sistem persekolahan yang
memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan
peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan
pelajar. Hal ini menyebabkan interaksi antara etnik amat terhad dan interaksi
hanya tertumpu dalam kumpulan etnik yang sama. Implikasi bagi hubungan etnik
ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Hasilnya,
masing-masing cuba mempertahankan bahasa ibunda. Termasuklah mengamalkan sistem
pendidikan yang berbeza. Justeru itu, cabaran wujud dalam usaha membentuk suatu
kesatuan sistem pendidikan bersepadu yang sesuai untuk semua etnik. Sistem
pendidikan yang berbeza secara tidak langsung memberikan impak yang kurang baik
kepada penstrukturan negara. Cabaran dalam aspek pendidikan harus dipandang
serius oleh semua pihak kerana jika ini berlarutan akan wujud perasaan kekitaan
di kalangan etnik masing-masing.
(iv)
Cabaran dari aspek budaya juga harus diambil kira.
Ini kerana bentuk penajajahan baru oleh kuasa-kuasa asing adalah melalui
ledakan budaya. Masyarakat berbilang etnik terdedah kepada cara pergaulan bebas
antara lelaki dan wanita. Aspek kepercayaan dan agama semakin dipinggirkan
memandangkan terlalu memikirkan keseronokkan dunia.
(v)
Cabaran dari aspek ekonomi. Kepentingan etnik dari
sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik
Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia
dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti
perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat
dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan
ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan
keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang
berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan
dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua
golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga
perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai
tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan
sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam
perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi
(vi)
Cabaran dari
aspek politik. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati
dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat
kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama,
kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan
mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling
berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada
hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.
(vii)
Cabaran dari
aspek nilai-nilai etnik. Setiap etnik di Malaysia mempunyai perbezaan dari segi
agama, bahasa, dan kebudayaan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama,
bahasa dan kebudayaan berbeza. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap etnik
fanatik dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing. Kesannya, setiap etnik
lebih mengutamakan anggota sendiri daripada etnik yang berbeza dalam memilih
sahabat dan mendapatkan perkerjaan. Kesukaran untuk hidup dalam satu kelompok
yang sama akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini kerana masyarakat
pelbagai etnik mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan etnik-etnik lain
memandangkan mereka terbiasa hidup dengan masyarakat dalam etnik yang sama.
(viii)
Cabaran dari
segi globalisasi. Semua etnik perlu berani menyahut cabaran globalisasi agar
tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam bidang teknologi dan perkembangan
komunikasi. Aspek cabaran globalisasi perlu diambil kira dalam memupuk semangat
perpaduan etnik di Malaysia.
Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan
etnik di Malaysia?
Profesor
Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race
Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud
bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam
ruang yang sama.Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut
menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap
mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang
perlu diuruskan.Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami
hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi
merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di
sesebuah negara.Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan
kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti
rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut. Malah cadangan
pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina
keserasian antara kaum.Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat
peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal.
Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian
etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.Ia akan membina
toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik.Bagi
menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan
memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas
bersama.
Kegagalan
memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.Kajian oleh Nur Atiqah T.
Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan
menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah.Maka
tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya
dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang
rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan
menjejaskan kestabilan negara.Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber
tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi
semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya.Satu bangsa Malaysia hanya boleh
wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan
dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.
RUMUSAN
Kesimpulannya,
pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran
daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah
Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di
Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara
yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang
berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan
masyarakat luar.
Malaysia mengecapi
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah
kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing dan sehingga kini negara telah
mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan
kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada
negara secara tidak langsung. Termasuklah mempengaruhi populasi rakyat Malaysia
sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin
ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina
dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan
Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi kesan yang amat besar
kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini
meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha
diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke
arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu. Diantaranya adalah
pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun, Dasar
Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Usaha untuk
memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa
adanya kerjasama daripada semua pihak.
Dalam era globalisasi
terdapat banyak cabaran yang mampu menggugat perpaduan di kalangan etnik di
negara ini. Isu-isu internal dan external menyumbang kepada kegoyahan hubungan
etnik jika tidak ditangani dengan bijak. Kestabilan ekonomi dan politik
merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik. Perpaduan yang dikecapi pada
hari ini perlu dihargai agar terus dirasai oleh generasi akan datang. Kegagalan
mengekalkan perpaduan memudahkan dominasi negara-negara lain untuk menakluki
negara kita[5]. Semua etnik tanpa mengira batas agama, budaya dan adat perlu
belajar daripada sejarah agar sejarah penjajahan yang telah berlangsung lebih
dari seratus tahun tidak akan berulang. Cabaran era globalisasi hadir tanpa
mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu bijak
dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang. Keupayaan
sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu menjadikan negara
berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain.
BIBLIOGRAFI
[1]
Abu Talib Ahmad, Masyarakat Berbilang Kaum Di Tanah Melayu, ( 1974)
Kuala Lumpur, Fajar Bakti hlm 172
[2] Ann Wan Seng. (1994). Perayaan Orang
Cina. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[3] Cheah Boon Kheng dan Abu Talib
Ahmad, Kolonialisme di Malaysia dan
Negara-Negara Lain, (1990) Kuala Lumpur, Fajar Bakti hlm 172.
[4] Institute Pentadbiran Awam
Negara, Negara Sejarah,
Pentadbiran & Dasar-Dasar Pembangunan (1980), Kuala Lumpur, Perpustakaan
Negara Malaysia, hlm 5.
[5] Abdul Rahim Abu Bakar.
(2001). Kelangsungan Hidup Bahasa Melayu Sebagai Tonggak Negara Barat Dalam
Gelombang Globalisasi. Dewan Bahasa. Oktober 2001, Jilid 1 Bil.10
Comments