SCCA 1013 PENGANTAR KOMUNIKASI
1.0
Pengenalan
Kemahiran komunikasi adalah suatu kebolehan
untuk mewujudkan interaksi atau hubungan melalui medium perantara atau
sebaliknya dengan orang lain. Kemahiran komunikasi ini meliputi kemahiran
menulis, membaca, berhujah, mendengar, etika dalam berkomunikasi, dan juga
mempunyai kaitan dengan penggunaan teknologi (Nussabaum, 2007)[1].
Berdasarkan kepada arus globalisasi kini,
kemahiran komunikasi telah menjadi suatu aspek penting yang amat
dititikberatkan supaya dikuasai oleh setiap individu. Menurut Sulaiman (2010),
proses komunikasi merupakan tunjang utama dan tidak dapat dielakkan bagi
seseorang itu dalam menjalankan aktiviti harian mereka. Ini kerana, proses ini
akan terjadi dengan sendirinya apabila wujudnya interaksi antara dua individu tanpa
dapat dielakkan.
Artikel
bertajuk “Tahap Kemahiran
Komunikasi Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Ipta Di Utara
Semenanjung Malaysia” ini telah ditulis oleh Nurul Salmi Mohd Dazali dan Mohd Isha Awang
dari Universiti Utara Malaysia. Tajuk jurnal ialah Jurnal Pendidikan Bahasa
Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ) dan ISSN: 2180-4842.
Vol. 4, Bil. 2 (Nov. 2014): 44-56
2.0
Isu
Atau Permasalahan Yang Diperbincangkan Dalam Artikel Jurnal
Kemahiran komunikasi merupakan suatu elemen
penting yang harus ada dan dikuasai oleh setiap pelajar, sama ada bagi memenuhi
keperluan mereka ketika proses pelajaran, persiapan untuk menempuh alam
pekerjaan ataupun dalam interaksi sosial.
Peranan guru adalah sangat besar dalam
memastikan graduan yang dihasilkan mampu menjadi sumber tenaga yang memenuhi
keperluan majikan. Pelajar akan mengalami masalah apabila bergelar graduan
kelak sekiranya kemahiran ini gagal diterapkan ketika di alam pendidikan. Ini
terbukti apabila terdapat maklum balas daripada pihak majikan yang
mempertikaikan ketidakselarasan antara tahap pencapaian akademik dengan tahap
kemahiran komunikasi di kalangan graduan.
Apa yang lebih menyedihkan graduan bukan
hanya mempunyai masalah berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sahaja, tetapi juga
dalam Bahasa Melayu yakni bahasa kebangsaan yang telah menjadi bahasa pengantar
sepanjang 11 tahun di alam persekolahan mereka (Noorasmahwati, 2008).
3.0
Tujuan,
Pendekatan, Kaedah, Hipotesis Dan Kesimpulan Utama Yang Dinyatakan Oleh
Penulis.
Matlamat Falsafah Pendidikan Negara
menekankan perhubungan yang erat dan ciri-ciri komunikasi yang berkesan antara
pelajar dengan guru, pihak pentadbiran dengan guru dan sesama rakan sejawat.
Oleh yang demikian, tugas memahami dan mengaplikasikan komunikasi berkesan
adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam institusi
pendidikan. Hal ini kerana, komunikasi yang berkesan adalah tunjang utama dalam
usaha menjadikan pendidikan yang cemerlang dan bermutu. Maka, seharusnya pihak
pentadbiran peka terhadap kepentingan komunikasi dalam proses PdP.
Pendedahan mengenai kepentingan memiliki
kemahiran komunikasi perlu diberikan kepada guru terlatih atau guru pelatih
dengan harapan ilmu tersebut boleh diserapkan pula kepada para pelajar mereka.
Keberkesanan proses PdP akan terjejas sekiranya guru gagal mewujudkan
komunikasi yang baik. Ini sekali gus akan memberi kesan kepada pelajar kerana
maklumat yang disampaikan akan sukar difahami dan disalah tafsir. Apa yang
lebih merumitkan keadaan jika sekiranya apa yang difahami oleh pelajar
tersebut, dipegang dan diaplikasikan dalam kehidupan sehariannya tanpa berfikir
secara mendalam kesan daripada kesalahfahaman tadi.
Objektif utama kajian ini adalah untuk:
1.
Mengenal pasti tahap kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar semester 6
Sarjana Muda Pendidikan sebuah IPTA.
2. Mengkaji perbezaan tahap
kemahiran komunikasi antara jantina.
3. Mengenal pasti hubungan
antara setiap kemahiran komunikasi dengan pencapaian akademik pelajar.
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap
penguasaan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar pendidikan. Kajian
berbentuk tinjauan ini melibatkan seramai 152 orang sampel pelajar semester 6
program Sarjana Muda Pendidikan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen
kajian.
Analisis deskriptif adalah digunakan untuk
mengenal pasti latar belakang pelajar mengikut jantina, kaum dan aliran
pengajian, menganalisis data mengikut bahagian dalam soal selidik, menganalisis
tanggapan pelajar terhadap tahap keyakinan kemahiran generik dalam diri,
menganalisis keseluruhan tahap keyakinan kemahiran generik, menganalisis
perbandingan skor min kemahiran generik berdasarkan jantina.
Dapatan menunjukkan kemahiran komunikasi
pelajar pendidikan adalah pada tahap yang tinggi. Namun begitu, tahap kebolehan
berbahasa Inggeris masih berada pada tahap yang rendah. Hasil analisis ujian-t,
juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap
kemahiran komunikasi mengikut jantina [2].
Kajian juga mendapati bahawa kemahiran
komunikasi mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian akademik
pelajar. Berdasarkan kajian ini, pihak yang bertanggungjawab harus memberikan
perhatian dalam memastikan bakal guru terus memiliki pengetahuan bahasa yang
baik sama ada Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris yang seterusnya dapat
meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan bakal guru di Malaysia.
4.0
Pandangan
Anda Terhadap Sumbangan Kajian
Saya berpendapat Jurnal Kajian ini boleh
membantu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia tentang bagaimana kita perlu
melahirkan insan atau pelajar yangb bukan sahaja mempunyai kemahiran komunikasi
yang baik namun juga harus mahir dalam berbahasa Inggeris. Sesebuah universiti
bukan sahaja perlu melahirkan graduan yang cemerlang dalam ilmu akademik,
tetapi perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah terutamanya dalam aspek
komunikasi (Md Zain et al., 2007). Graduan kini lebih didedahkan kepada
kepentingan pengetahuan teknikal sehingga kurang mengambil berat berkaitan
dengan kemahiran insaniah sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
Penyataan ini disokong oleh Ismail (2012)
dalam kajian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (2003) yang menyatakan salah satu
punca kegagalan para graduan mendapat pekerjaan adalah kurang kemahiran dari
segi komunikasi dan interpersonal. Hassan (2002), Jantan (2005), Mokhtar (2006)
dan Ismail (2012) juga mengatakan bahawa kelulusan akademik di institusi
pendidikan tinggi tidak dapat dijanjikan di pasaran pekerjaan, ini adalah
kerana keupayaan graduan akan terjejas jika hanya terikat kepada satu kebolehan
atau tidak mempunyai kemahiran insaniah, terutamanya kemahiran komunikasi [3].
5.0
Pandangan
Tentang Implikasi Dan Perbincangan Hasil Dapatan Penulis
Secara keseluruhan, keputusan analisis
menunjukkan tahap keyakinan kemahiran komunikasi pelajar pendidikan adalah pada
tahap yang tinggi. Walau bagaimanapun, kemampuan berkomunikasi dalam Bahasa
Inggeris masih di tahap sederhana yakni kurang memuaskan. Kemahiran komunikasi
sewajarnya dikuasai setiap guru.
Jika mampu berkomunikasi dalam pelbagai
bahasa merupakan satu bonus kepada individu. Di dalam kelas kepelbagaian
pelajar akan mewujudkan kemampuan berkomunikasi yang berbeza-beza. Justeru,
setiap guru perlu berusaha mengenal pasti kelebihan dan kekurangan yang ada
pada setiap pelajarnya supaya guru dapat merancang aktiviti PdP yang lebih
baik, tersusun dan melibatkan komunikasi dua hala.
Oleh demikian, guru perlu memikirkan dan
mengguna pakai kaedah terbaik bagaimana hendak menggalakkan para pelajarnya
berkomunikasi efektif dengannya. Komunikasi direktif dan ekspresif merupakan
antara kaedah untuk membina interaksi yang baik antara guru dan pelajar ketika
berlangsungnya proses PdP di dalam kelas. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan
bahawa keberkesanan pengajaran dipengaruhi oleh kemahiran komunikasi kerana
komunikasi merupakan asas perhubungan di antara guru dan pelajar.
6.0
Kesimpulan
Kesimpulannya, diharapkan semua pihak
menggalakkan pelajar untuk menguasai kemahiran komunikasi terutamanya Bahasa
Inggeris. Selain itu, semua pihak yang terlibat juga perlu memberi perhatian
dan mengambil langkah yang berkesan dalam usaha memperkembangkan kemahiran
komunikasi pelajar, terutamanya di IPTA bagi menyediakan tenaga kerja yang
memenuhi kehendak pasaran kerja semasa dan masa depan seterusnya memastikan
negara terus maju dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
7.0
Rujukan
[1] Nussabaum, J.F. & Williams, A.
(2007). Intergenerational communication across the life span. New York:
Lawrence Erlbaum Assoc. Inc.
[2]
Tahap Kemahiran Komunikasi Dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Ipta
Di Utara Semenanjung Malaysia, Nurul Salmi Mohd Dazali dan Mohd Isha Awang dari
Universiti Utara Malaysia. (2014)
[3]
Mokhtar, M. (2006). Menghayati globalisasi ekonomi. Shah Alam: Penerbit UiTM.
Comments